UMW Toyota Motor Perluas Barisan Gazoo Racing Dengan GR Supra Track Edition dan GR Yaris Variant Automatik
UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini mengukuhkan lagi kedudukan Gazoo Racing di Malaysia dengan memperkenalkan dua model baharu, iaitu GR Supra Track Edition dan GR Yaris Variant Automatik.
Kedua-dua model ini mencerminkan komitmen Toyota dalam menawarkan kejuruteraan bertaraf sukan permotoran yang kini lebih mudah diakses untuk kegunaan harian.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., pengenalan model ini menzahirkan misi Toyota dalam mengejar kecemerlangan prestasi.
“Setiap model GR bukan sekadar alat pengangkutan, malah ia membangkitkan emosi dan mencabar batasan. Kami percaya bahawa prestasi sebenar menanam keyakinan dan membuka peluang baharu, membolehkan pemandu pergi lebih jauh, lebih pantas, dan dengan lebih bermakna. Inilah bagaimana kami terus Menggerakkan Dunia Anda.”
GR Supra Track Edition: Evolusi Legenda Yang Lebih Fokus dan Berprestasi Tinggi
Sebagai ikon dalam keluarga Gazoo Racing, GR Supra sentiasa menjadi lambang aspirasi sukan permotoran Toyota.
Kini dengan model Track Edition, fokus terhadap prestasi dipertingkatkan melalui penambahbaikan pada casis, pengendalian dan aerodinamik.
Dikuasakan oleh enjin 3.0 liter 6-silinder sebaris turbo, GR Supra Track Edition menjana 388 PS dan 500 Nm tork.
Pilihan transmisi merangkumi 6-kelajuan manual atau 8-kelajuan automatik dengan pedal penukar gear.
Pecutan 0–100 km/j hanya dalam 4.1 saat (automatik) dan 4.3 saat (manual).
Bukan sekadar kuasa, prestasinya dipertingkatkan melalui Adaptive Variable Suspension yang ditala semula untuk lebih cengkaman.
Dilengkapi juga dengan Electric Power Steering dan Limited Slip Differential dengan tetapan eksklusif edisi Track bagi kestabilan unggul di selekoh berkelajuan tinggi.
Sistem brek pula menggunakan cakera 374mm dengan kaliper Brembo 4-piston untuk prestasi brek lebih konsisten.
Ads
Dari sudut aerodinamik, GR Supra Track Edition dilengkapi sayap belakang ‘carbon fibre ducktail’, spat tayar yang diperluas, flap aero dan tetapan camber negatif di bahagian hadapan untuk pengendalian lebih lincah.
Penyerap hentak dan stabilizer bar yang lebih rigid turut menyumbang kepada ketangkasan kereta ini.
GR Supra ini dipasang dengan rim aloi tempa 19 inci berwarna hitam matte, digandingkan dengan tayar Michelin Pilot Super Sport.
Di dalam, ruang kabin diserlahkan dengan upholsteri Alcantara hitam bersama sulaman logo GR, tali pinggang keselamatan merah, serta tombol gear berbingkai merah bagi varian manual.
Sistem audio dikuasakan dengan JBL 12-pembesar suara dan paparan Head-Up Display berwarna.
Keselamatan pula dijamin dengan teknologi Toyota Supra Safety, merangkumi Pre-Collision Warning, Lane Departure Warning, Adaptive Cruise Control, Blind Spot Monitor, dan sokongan brek kecemasan.
Ads
GR Supra Track Edition ditawarkan pada harga bermula RM698,000.00.
GR Yaris Variant Automatik: Membawa Semangat Rali Kepada Lebih Ramai Pemandu
Dilancarkan pertama kali pada tahun 2021, GR Yaris dikenali sebagai mesin berinspirasikan rali untuk keseronokan pemanduan sebenar.
Tahun ini, UMW Toyota Motor memperkenalkan varian automatik dengan transmisi 8-kelajuan GAZOO Racing Direct Automatic.
Kenderaan ini masih mengekalkan DNA perlumbaan sambil memberikan akses lebih luas kepada peminat.
Transmisi baharu ini, dibangunkan dengan input pasukan Toyota GAZOO Racing World Rally Team, menawarkan penukaran gear yang pantas dan responsif berdasarkan kemahuan pemandu, bukan sekadar tingkah laku kenderaan, menjadikan pemanduan lebih intuitif dan menyeronokkan.
Ads
GR Yaris menggunakan enjin 3-silinder turbo paling berkuasa di dunia.
Model ini menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork, membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam hanya 5.2 saat.
Varian automatik ini turut dilengkapi pakej penyejukan termasuk radiator tambahan, semburan intercooler dan penyejuk ATF gabungan udara dan air untuk ketahanan dalam cuaca tropika Malaysia.
Selain itu, ciri baharu seperti Launch Control diperkenalkan bagi memastikan pecutan dari pegun yang lebih konsisten dan kawalan optimum.
Digandingkan dengan paddle shifter sport dan transmisi automatik lapan kelajuan, GR Yaris Automatik menawarkan pengalaman pemanduan rali sebenar setiap hari.
Dari segi keselamatan, varian ini dilengkapi sistem Toyota Safety Sense 3.0.
Sistem ini termasuk Pre-Collision System, Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist dan Expert Mode untuk pemandu berpengalaman yang inginkan kawalan dinamik lebih bebas.
GR Yaris Variant Automatik ini ditawarkan pada harga RM325,600.00.
Kedua-dua model ini kini tersedia di semua pusat GR Garage di seluruh Malaysia.
Model ini lengkap dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan serta sokongan penuh selepas jualan.
Charles Leclerc akhirnya berjaya meraih kemenangan dalam Grand Prix Monaco, mencatat sejarah dengan memenangi perlumbaan di depan penyokong tempatan walaupun terdapat drama awal yang mencemaskan.
Bendera merah dikibarkan sebelum pusingan pertama perlumbaan ikonik ini selesai, selepas berlakunya pertembungan besar antara kereta Red Bull Sergio Perez dan dua kereta Haas yang dipandu oleh Kevin Magnussen dan Nico Hulkenberg, mengakibatkan ketiga-tiganya tersingkir dari perlumbaan.
Selepas perlumbaan disambung semula, Leclerc memulakan semula perlumbaan dengan baik. Manakala Esteban Ocon terpaksa bersara selepas pertembungan kuat dengan, Pierre Gasly, pada Pusingan 1.
Leclerc – Kemenangan di kampung halaman
Restart – Charles Leclerc Mendahului
Perlumbaan strategi mula dimainkan, dengan semua mata tertumpu sama ada kereta teratas akan berhenti di pit atau terus hingga ke garisan penamat.
Namun begitu, pemandu Ferrari itu tetap tenang dan berada di hadapan pesaingnya untuk meraih kemenangan pertama di jalan raya Monte Carlo. Mengatasi pencapaian terbaiknya sebelum ini iaitu P4.
Charles Leclerc menamatkan perlumbaan tujuh saat di hadapan Oscar Piastri, yang menunjukkan pemanduan mantap dalam McLaren dan berjaya menahan cabaran akhir daripada Carlos Sainz, dengan pemandu Sepanyol itu menjadikan podium Ferrari berganda di tempat ketiga.
Sainz turut dikejar oleh Lando Norris sepanjang separuh akhir perlumbaan, dengan McLaren kedua menamatkan hari di tempat keempat.
Keadaan kereta Sergio Perez selepas pertembungan dengan Team Haas
Tempat ke-5 dan ke bawah
George Russell menjadi Mercedes teratas di tempat kelima, menahan cabaran Max Verstappen yang menghadapi beberapa hari yang mencabar bagi Red Bull. Lewis Hamilton mengikuti di tempat ketujuh untuk menambah mata bagi pasukan Silver Arrows.
Yuki Tsunoda menikmati hari yang kukuh dengan menamatkan di tempat kelapan dalam RB. Manakala Alex Albon dan Pierre Gasly masing-masing mencatat mata pertama mereka tahun ini untuk Williams dan Alpine di tempat kesembilan dan kesepuluh.
Fernando Alonso berjaya pulih selepas hari yang sukar pada hari Sabtu tetapi hanya sekadar terlepas mata, menamatkan di tempat ke-11 untuk Aston Martin. Di hadapan Daniel Ricciardo di tempat ke-12 untuk RB dan Valtteri Bottas sebagai pemandu teratas Kick Sauber di tempat ke-13.
Oscar Piastri – P2, Sainz – P3, Norris – P4, George – P5
Lance Stroll mengalami kekecewaan apabila menamatkan acara di tempat ke-14 untuk Aston Martin. Ia selepas mengalami pancit tayar berikutan pit stop pada separuh kedua perlumbaan, manakala pemandu Williams Logan Sargeant menamatkan di tempat ke-15.
Zhou Guanyu menjadi pemandu terakhir yang diklasifikasikan di tempat ke-16 untuk Kick Sauber. Dengan empat kereta tidak berjaya melepasi pusingan pertama.
Ocon yang disebutkan tadi terpaksa bersara selepas perlanggaran dengan Gasly. Hal tersebut juga menyebabkan dia dikenakan penurunan lima tempat grid untuk perlumbaan seterusnya di Kanada.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Ikuti ulasan mendalam kami mengenai Aveta Ranger Max Explorer, motor cup adventure yang pertama kali menggegarkan pasaran Malaysia! Benarkah ia mampu menguasai medan off-road seperti yang digembar-gemburkan? Soalan paling lazim, Senang ke nak cari spare part ? kalau rosak kat mana nak repair?
Semua kami dah jawab, tonton video ni sampai habis okay?
Jangan lupa follow semua platform sosial media Roda Panas di Facebook, Instagram, TikTok dan X” />
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Cadillac akhirnya mendapat lampu hijau untuk menyertai Formula 1 sebagai pasukan ke-11 di grid perlumbaan pada musim 2026. Dengan sokongan daripada TWG Motorsports dan General Motors. Jenama Amerika ini bersedia untuk menggoncang dunia sukan permotoran elit.
Persiapan Rapi dan Sokongan Ferrari
Perjalanan Cadillac ke F1 bukanlah sesuatu yang berlaku semalaman. Pasukan ini telah mengumumkan hasrat mereka untuk menyertai perlumbaan sejak Januari 2023, dan kini segala persiapan akhirnya membuahkan hasil.
Pada Disember lalu, Cadillac telah mengesahkan bahawa enjin mereka untuk musim debut akan dibekalkan oleh Ferrari. Walau bagaimanapun, bagi musim 2027 dan seterusnya, penghasilan unit kuasa akan diketuai oleh pakar industri, Russ O’Blenes.
Dalam aspek kepimpinan, pasukan ini turut melantik Graeme Lowdon, seorang tokoh berpengalaman dalam dunia perlumbaan, sebagai Ketua Pasukan.
Dengan segala persiapan ini, Cadillac tidak sekadar ingin menjadi pasukan tambahan di grid, tetapi benar-benar mahu bersaing di peringkat tertinggi.
Kelulusan Rasmi dari FIA
Minggu lalu, semua keperluan terakhir telah dipenuhi, dan Presiden FIA, Mohammed Ben Sulayem, secara rasmi mengesahkan penyertaan Cadillac dalam Formula 1.
“Hari ini menandakan detik transformasi besar dalam sukan ini. Saya bangga untuk memimpin Persekutuan dalam langkah progresif ini,” kata Ben Sulayem. “Kemasukan pasukan ke-11 pada 2026 adalah satu pencapaian penting. GM/Cadillac membawa tenaga baharu selari dengan peraturan FIA 2026, membuka lembaran baharu yang lebih menarik untuk sukan ini.”
Kemasukan Cadillac bukan sahaja menambah persaingan, tetapi turut memberi inspirasi kepada pasukan dan peminat F1 di seluruh dunia.
Kerja Keras Dua Tahun yang Berbaloi
Sejak mengumumkan penyertaan mereka tahun lalu, TWG Motorsports telah mengumpulkan lebih 300 tenaga kerja yang fokus kepada pembangunan aerodinamik, casis, komponen, perisian serta simulasi dinamik kenderaan.
Pasukan ini juga telah menjalankan ujian terowong angin, menghasilkan komponen dan melakukan ujian prestasi di beberapa lokasi utama termasuk Indianapolis, Charlotte, Warren, dan Silverstone.
Valtteri Bottas
Siapa Bakal Memandu untuk Cadillac pada 2026?
Dengan musim 2025 bakal menyaksikan banyak wajah baharu seperti Andrea Kimi Antonelli, Oliver Bearman, Liam Lawson, Jack Doohan, Isack Hadjar, dan Gabriel Bortoleto. Beberapa pemandu berpengalaman bakal kehilangan tempat di grid.
Antara nama besar yang akan berada dalam peranan simpanan pada 2025 ialah Valtteri Bottas, Sergio Perez, Franco Colapinto dan Zhou Guanyu. Sementara itu, Daniel Ricciardo, juara lapan kali perlumbaan F1, kini masih mencari peluang selepas disingkirkan dari RB pada pertengahan musim lalu.
Adakah Cadillac akan memilih salah seorang daripada mereka sebagai pemandu utama? Atau adakah mereka akan mempertaruhkan bakat baharu? Sama-sama kita nantikan siapa yang bakal membawa jentera Cadillac beraksi di pentas F1 pada 2026!
BMW Malaysia telah memperkenalkan BMW i5 M60 xDrive serba baharu dan BMW 520i baharu pemasangan tempatan di Malaysia Autoshow 2024.
Kedua-dua model ini menyertai barisan sedan premium BMW 5 Series, bersama dengan BMW iX1 eDrive20 M Sport serba baharu dan BMW iX2 xDrive30 M Sport.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, menyatakan, “Menghampiri pertengahan tahun 2024, kami teruja untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar utama kenderaan premium di Malaysia dengan mengembangkan rangkaian BMW 5 Series.
BMW i5 M60 xDrive serba baharu dan BMW 520i baharu ini melambangkan komitmen kami dalam menawarkan keseronokan pemanduan yang tiada tandingan dengan ciri pemanduan dinamik BMW untuk pelanggan di Malaysia. Kedua-dua model baharu ini bakal meneruskan legasi BMW 5 Series, yang telah menghasilkan lebih sepuluh juta unit di seluruh dunia sejak diperkenalkan pada tahun 1972.”
BMW 5 Series: Legasi dan Inovasi
BMW 5 Series telah menjadi nadi kepada jenama BMW dan peneraju dalam segmen sedan eksekutif berprestij selama bertahun-tahun.
Kini, rangkaian 5 Series membawa dua varian elektrik penuh yang pertama kali dikomersialkan di bawah nama BMW i5, iaitu BMW i5 eDrive40 dan BMW i5 M60 xDrive serba baharu, bersama dengan varian BMW 520i terkini yang dipasang secara tempatan.
BMW i5 M60 xDrive Serba Baharu
BMW i5 M60 xDrive serba baharu menggabungkan kemodenan dan prestasi dengan reka bentuk yang menarik. Gril kidney M Performance yang menyerlah dan pakej luaran BMW Iconic Glow menambah keunikan pada model ini.
Jalur LED menegak pada lampu hadapan bukan sahaja meningkatkan penglihatan ketika pemanduan tetapi juga sebagai lampu nyalaan siang yang menawan. Bahagian eksklusif M Sport Pro, termasuk spoiler belakang M dan brek M Sport bewarna merah berkilat, menambah daya tarikan sporty kereta ini.
Model ini dilengkapi dengan tayar aerodinamik 21 inci dan rekaan dalaman mewah yang menyerlahkan ciri utama BMW 5 Series. BMW Curved Display terdiri daripada panel instrumen 12.3 inci dan paparan kawalan skrin sentuh 14.9 inci, memberikan interaksi intuitif dan komunikasi digital sepenuhnya.
Sistem bunyi keliling Bowers & Wilkins dengan 18 pembesar suara menambah pengalaman pemanduan yang lebih baik.
Dari segi prestasi, BMW i5 M60 xDrive dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa 442 kW/601 hp dan tork maksimum 795 Nm.
Model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat, dengan kelajuan maksimum 230 km/j. Bateri voltan tinggi dengan kapasiti 83.9 kWh memberikan kuasa untuk perjalanan jarak jauh hingga 516 kilometer (WLTP).
BMW 520i Baharu
BMW 520i baharu menampilkan reka bentuk luaran yang sporty dan dalaman yang canggih. Stereng dua jejari menawarkan kawalan bersepadu dan BMW Curved Display menyediakan paparan instrumen 12.3 inci serta paparan kawalan skrin sentuh 14.9 inci.
BMW Interaction Bar memudahkan kawalan penghawa dingin dan fungsi lain untuk meningkatkan pengalaman pemanduan.
Dikuasakan oleh enjin B48 empat silinder dengan teknologi hibrid ringan 48V, BMW 520i menghasilkan 153 kW/208 hp dan tork 330 Nm. Model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.5 saat, dengan kelajuan maksimum 230 km/j.
BMW i5 M60 xDrive serba baharu ditawarkan dalam pelbagai warna seperti Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, dan Fire Red Metallic, manakala BMW 520i baharu ditawarkan dalam warna seperti Phytonic Blue Metallic dan Cape York Green Metallic.
Harga anggaran untuk BMW i5 M60 xDrive serba baharu adalah RM480,000, manakala BMW 520i baharu adalah RM340,000.
Program Kewangan dan Pemilikan Premium
Dengan pelan pembiayaan Easy Drive daripada BMW Group Financial Services Malaysia, pelanggan boleh menikmati rebat tunai RM10,000 apabila mendaftar untuk pembiayaan Easy Drive dari sekarang hingga 30 Jun.
Pemilik juga akan menikmati pengalaman Pemilikan Premium BMW Group Malaysia yang merangkumi jaminan bateri selama 8 tahun / 160,000 km untuk BMW i5 M60 xDrive baharu, Bantuan Tepi Jalan, dan Perkhidmatan Dalam Talian BMW.
Dengan pelancaran ini, BMW Malaysia terus komited untuk menawarkan kenderaan premium yang memenuhi kehendak pelanggan, menggabungkan teknologi terkini dan reka bentuk mewah.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!