Aveta Global Marketing Sdn Bhd telah memperkenalkan motosikal dwi-kegunaan terbaru mereka, VTM 250, dalam dua varian – Enduro LX dan Supermoto M. Model ini adalah tambahan terkini dalam rangkaian motosikal adventure Aveta.
Bertujuan untuk memberi lebih banyak pilihan kepada penunggang motosikal di Malaysia yang mencari kelainan.
Kedua-dua varian ini dikuasakan oleh enjin tunggal 250cc SOHC dengan sistem penyejukan minyak dan transmisi manual 6-kelajuan. Perbezaan antara kedua-dua model ini terletak pada jarak kelegaan bumi dan saiz rim.
VTM 250 LX/M
Direka khas untuk penggemar enduro, dilengkapi dengan jarak ketinggian tanah 305 mm, rim depan 21-inci dan rim belakang 18-inci. Ini menjadikannya pilihan ideal untuk laluan mencabar dan off-road.
Manakala varian M, yang lebih sesuai untuk tunggangan jalan raya harian, mempunyai rim aluminium depan-belakang 17-inci dengan jarak ketinggian tanah 290 mm, menjadikannya lebih ringan dan mudah dikendalikan.
Dari segi reka bentuk, LX hadir dengan pilihan warna menarik Arsenal Red atau Army Green. Manakala M menampilkan Blazing Red atau Admiral Blue.
Harga VTM 250
VTM 250 LX dijual pada harga RM12,988 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan). Manakala varian M berharga RM13,388. Kedua-duanya dilengkapi dengan jaminan satu tahun atau 10,000km. Yang mana tiba dahulu.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Aveta, Steven Lim, pelancaran VTM 250 mengukuhkan lagi identiti jenama Aveta yang sinonim dengan gaya hidup bermotosikal penuh cabaran.
Ads
“VTM 250 adalah motosikal serba boleh yang bukan sahaja dilengkapi ciri-ciri terbaik, malah ia mudah diselenggara dan sesuai digunakan di jalan raya serta off-road,” katanya.
Pilihan Dwi-Kegunaan untuk Semua
Aveta percaya VTM 250 akan menarik minat pencinta motosikal yang mencari keseimbangan antara kegunaan harian dan keseronokan hujung minggu.
Model LX sesuai untuk mereka yang ingin meneroka laluan sukar. Manakala varian M adalah pilihan komuter harian yang praktikal tetapi bergaya.
Ciri-ciri seperti lampu isyarat dan cermin sisi juga menjadikan kedua-dua model ini sah digunakan di jalan raya. Tanpa perlu kenderaan tambahan untuk membawanya ke tapak latihan.
Susulan kejayaan model Ranger Max Explorer, Aveta yakin bahawa VTM 250 akan mendapat sambutan yang sama hangat.
“Misi kami adalah untuk menawarkan produk adventure yang membolehkan rakyat Malaysia merasai kebebasan dan keseronokan tunggangan,” tambah Steven Lim.
Ads
Rangkaian Perkhidmatan Aveta yang Kukuh
Dalam usaha memperkukuh sokongan selepas jualan, Aveta juga sedang memperluaskan rangkaian perkhidmatan mereka.
Setakat ini, mereka mempunyai 16 Aveta Authorised Service Corners di seluruh negara. Selain program servis mudah-alih, Aveta Care on Wheels.
Aveta turut bekerjasama dengan sembilan stokis di seluruh Malaysia untuk memastikan akses yang lebih mudah kepada alat ganti tulen dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Bagi menggalakkan pembelian lebih awal, Aveta menawarkan set Pembelian dengan Hadiah (GWP) eksklusif untuk 50 pelanggan pertama bagi setiap varian VTM 250.
Pelancaran ini pastinya menguatkan lagi kehadiran Aveta dalam pasaran motosikal adventure di Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Aveta diwww.aveta.com.my.
Pada tahun 2008, Perodua membuat langkah berani dengan melancarkan sebuah SUV kompak premium bernama Perodua Nautica 4WD.
Model ini merupakan pengganti kepada Perodua Kembara yang popular pada akhir 1990-an.
Namun, berbeza dengan Kembara yang mampu menguasai 60% pasaran SUV Malaysia pada tahun 1999 sebagai SUV pacuan 4 roda mampu milik, Nautica tampil sebagai produk niche berharga hampir RM90 ribu angka yang menjadikannya kereta termahal pernah membawa lencana Perodua pada masa tersebut.
Artikel ini mengupas sejarah pengenalan Nautica di Malaysia, spesifikasi teknikal utamanya, keunikan reka bentuknya berbanding model kembarnya di Jepun (Daihatsu Terios/Be-go), sebab ia dihentikan pengeluaran, serta pandangan pengguna selepas model ini berkubur.
Perodua Nautica dilancarkan pada Mei 2008 sebagai SUV kompak 5-tempat duduk hasil kerjasama Perodua-Daihatsu.
Seperti model Perodua sebelumnya, Nautica juga berasaskan model Daihatsu dan dalam kes ini Daihatsu Terios generasi kedua versi jarak roda pendek, yang turut dikenali sebagai Daihatsu Be-go di Jepun dan mempunyai kembar panjang 7-tempat duduk Toyota Rush untuk pasaran lain.
Namun, berlainan daripada amalan biasa Perodua yang memasang kereta di kilang tempatan, Nautica diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun dan ini adalah pertama kali dalam sejarah Perodua membawa masuk model siap pasang dari luar.
Hanya beberapa komponen luaran seperti gril hadapan dan bampar depan/belakang dipasang dengan rekaan tempatan di Malaysia manakala selebihnya adalah binaan asal Jepun.
Perodua juga memilih nama baharu “Nautica” (berasal daripada perkataan nautical yang bermaksud kelautan) bagi menggantikan nama “Kembara” yang pernah sinonim dengan SUV kompak mereka.
Ini melambangkan langkah Perodua meneroka “perairan” baharu dalam segmen SUV urban premium dan satu pertaruhan besar berbekalkan reputasi kejayaan model-model kompak mereka seperti Myvi dan Viva pada ketika itu.
Pelancaran Nautica dilakukan secara sederhana, dengan Perodua hanya menyasarkan jualan 150–200 unit sebulan atau sekitar 5% daripada pasaran SUV tempatan jauh lebih rendah berbanding dominasi Kembara satu dekad sebelumnya.
Hanya satu varian ditawarkan dan bertransmisi automatik sahaja, dengan pilihan dua warna badan iaitu Medallion Grey dan Majestic Black.
Harga atas jalan ditetapkan sekitar RM89,900 termasuk insurans menjadikannya lebih kurang setara dengan Toyota Rush versi 1.5L yang lebih besar dan berkapasiti 7 tempat duduk.
Keputusan menjadikan Nautica model CBU premium menimbulkan tanda tanya kerana ia dilihat bertentangan dengan falsafah Perodua sebagai pengeluar nasional kenderaan mampu milik.
Namun, Perodua mempertahankan langkah ini dengan alasan ketiadaan volum jualan yang mencukupi untuk pemasangan tempatan, sambil berharap reputasi kualiti buatan Jepun akan menarik pembeli khusus yang mahukan SUV kompak berprestij.
Sebagai SUV kompak urban, Perodua Nautica hadir dengan spesifikasi teknikal yang agak mengagumkan untuk kelasnya.
Model ini menggunakan enjin 1.5 liter DVVT (3SZ-VE) empat silinder sebaris dengan kuasa sekitar 109 hp pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,400 rpm.
Enjin bersesaran sederhana ini sama dengan yang digunakan pada Toyota Avanza dan Rush 1.5L, membolehkan kos penyelenggaraan dan alat ganti lebih mudah didapati.
Padanan transmisi pula ialah kotak gear automatik 4-kelajuan (tiada pilihan manual ditawarkan).
Menariknya, Nautica dilengkapi sistem pacuan semua roda sepenuh masa (full-time 4WD) dengan diferensial tengah yang boleh dikunci apabila diperlukan untuk cengkaman maksima.
Butang pengunci 4WD disediakan pada papan pemuka untuk mengaktifkan mod tersebut, memaksa agihan kuasa 50:50 ke gandar depan dan belakang bagi kondisi off-road atau jalan licin.
Ciri pacuan 4WD sepenuh masa ini membezakan Nautica daripada Toyota Rush spesifikasi Malaysia ketika itu yang hanya didatangkan dengan pacuan 2-roda belakang sahaja demi penjimatan kos.
Dari segi casis dan suspensi, Nautica dibangunkan berasaskan platform Daihatsu Terios/Avanza dengan tetapan pacuan enjin hadapan, pacuan belakang/4 roda.
Struktur casis monokoknya diperkuatkan sehingga 30% lebih tegar berbanding model Avanza untuk mengimbangi keperluan off-road ringan.
Sistem suspensi menggunakan topang MacPherson di depan dan gandar hidup dengan suspensi berpegas di belakang konfigurasi yang lazim untuk SUV kecil ketika itu.
SUV kompak ini mempunyai berat sekitar 1,200 kg dengan dimensi 4115 mm panjang, 1695 mm lebar, 1740 mm tinggi, menjadikannya agak pendek dan sempit berbanding Toyota Rush (versi Rush lebih panjang ~4.4 m dengan tambahan barisan tempat duduk ketiga).
Jarak kelegaan tanah Nautica mencukupi untuk kegunaan urban dan sedikit lasak, dan ia dipadankan dengan roda aloi 16-inci serta tayar 215/65 R16 sebagai standard.
Dari sudut ciri keselamatan, Nautica tidak diketepikan meskipun ia model “niche”.
Ia dilengkapi dengan dua beg udara SRS di bahagian hadapan untuk pemandu dan penumpang, serta sistem brek ABS anti-kunci dengan EBD (agihan daya brek elektronik) dan BA (bantuan brek) sebagai standard.
Binaan rangka badan juga direka dengan ciri crash resistant untuk menyerap impak perlanggaran, disertai perlindungan untuk pejalan kaki dan sistem pedal brek yang mengelakkan intrusi ke kabin semasa kemalangan.
Masuk ke ruang dalaman, Nautica menawarkan kabin 5-tempat duduk dengan susun atur dua baris.
Kemasan interior berwarna gelap memberikan suasana lebih elegan dan kurang mudah kotor.
Walaupun saiz luaran kompak, ruang kabin dioptimumkan, Perodua menyatakan panjang ruang dalam 1800 mm dengan jarak legroom dan headroom yang mencukupi untuk penumpang dewasa di depan dan belakang.
Tempat duduk belakang boleh dilipat rata untuk menambah kapasiti kargo (kapasiti but asas sekitar 380 liter).
Dari segi kelengkapan, Nautica dilengkapkan dengan penyaman udara manual, pemain audio CD dengan sokongan radio, serta panel instrumen tiga meter bulat yang jelas.
Terdapat juga paparan maklumat pemanduan pelbagai info (MID) pada kluster meter yang memaparkan data seperti jam, purata penggunaan petrol, suhu luaran, dan anggaran jarak perjalanan yang masih boleh ditempuh dengan baki bahan api.
Cermin sisi luar adalah jenis boleh laras dan boleh lipat secara elektrik serta dilengkapi lampu isyarat sisi terbina, satu ciri premium pada masa itu.
Keseluruhannya, Nautica hadir penuh dengan spesifikasi standard tinggi untuk sebuah SUV kompak; ia seolah-olah “Kembara versi mewah” dengan teknologi 4WD moden dan ciri keselesaan yang ditingkatkan.
Dari segi reka bentuk luaran, Perodua Nautica secara asasnya sama dengan Daihatsu Terios versi Jepun (Be-go), kecuali beberapa sentuhan kosmetik untuk identiti Perodua.
Bahagian muka depan Nautica menampilkan gril dengan logo Perodua dan rekabentuk bampar unik buatan tempatan, berbeza sedikit daripada Terios/Be-go asal.
Lampu hadapan Nautica ialah jenis projektor halogen dengan lampu kabus di bampar, manakala lampu belakang menggunakan kluster konvensional jernih berlapis reflektor, kombinasi yang serupa dengan model Jepun pra-facelift.
Rim aloi 5 jejari berukuran 16” melengkapkan penampilan sisi, bersama spoiler kecil di pintu belakang dan tayar ganti yang dipasang pada pintu but ala kenderaan off-road tradisional (ciri ini sama bagi Terios/Be-go dan Nautica).
Rail bumbung juga disertakan, menyerlahkan imej SUV yang praktikal untuk membawa barangan tambahan di atas bumbung.
Di bahagian dalaman, Nautica mendapat stereng berlogo Perodua dan kemasan sedikit berbeza, tetapi susun atur papan pemuka dan tempat duduk adalah serupa dengan model Daihatsu.
Menariknya, pada model JDM Daihatsu Be-go, tuil gear automatik diletakkan di konsol tengah tetapi lebih dekat ke papan pemuka (sedikit condong ke depan) untuk ergonomik – namun bagi Nautica, Perodua memilih untuk mengekalkan kedudukan tuil gear konvensional di antara kerusi hadapan seperti kereta biasa.
Keputusan ini barangkali bagi mengurangkan kos perubahan dalaman, memandangkan Nautica dijual dalam volum rendah.
Selain itu, tiada perbezaan ketara dari aspek teknikal antara Nautica dan kembar Jepunnya – kedua-duanya menggunakan enjin 1.5L yang sama, transmisi 4AT dan sistem 4WD sepenuh masa dengan pusat diferensial.
Satu kelebihan Nautica berbanding Toyota Rush pasaran Malaysia ketika itu adalah Nautica hadir standard dengan 4WD, manakala Rush (yang diimport dari Indonesia dalam versi jarak roda panjang) hanya ditawarkan dengan pacuan 2WD dan tambahan barisan ketiga tempat duduk.
Namun, kelebihan 4WD Nautica ini datang bersama kelemahan kapasiti penumpang – Nautica hanya muat untuk 5 orang, sedangkan Toyota Rush mampu memuatkan 7 penumpang.
Dari segi pilihan transmisi, Nautica agak terbatas kerana tiada pilihan manual, sedangkan di pasaran luar (contohnya Indonesia) Daihatsu Terios/Toyota Rush ada menawarkan varian transmisi manual untuk pemandu yang mahukan lebih kawalan.
Secara keseluruhan, rekabentuk Nautica kemas dan berketerampilan sebagai SUV bandar.
Namun, tiada perbezaan signifikan secara visual yang benar-benar menonjolkannya berbanding Terios/Be-go kecuali logo.
Bagi pemerhati biasa, Nautica mungkin kelihatan seperti Toyota Rush versi pendek.
Perodua juga hanya menawarkan Nautica dalam dua warna sahaja (kelabu gelap dan hitam), berbanding Daihatsu yang mungkin mempunyai lebih banyak pilihan warna di Jepun.
Ini menjadikan Nautica agak eksklusif tetapi kurang menonjol di jalan raya.
Rekaan dalaman dan luaran yang hampir sama dengan model Jepun mencerminkan hakikat Nautica adalah hasil rebadge minimum sesuai dengan produksi terhad di mana Perodua tidak menanggung kos rekaan semula besar-besaran untuk model ini.
Usia pemasaran Perodua Nautica ternyata sangat singkat.
Kurang setahun selepas dilancarkan, sekitar pertengahan 2009, model ini dihentikan penjualannya secara senyap tanpa gembar-gembur.
Hanya sebanyak 489 unit Nautica berjaya dijual di seluruh Malaysia menjadikannya antara model Perodua paling rare pernah dihasilkan.
Perodua tidak memperkenalkan pengganti Nautica sehinggalah hampir 10 tahun kemudian (Perodua Aruz pada 2019, itupun dengan kerjasama model Toyota/Daihatsu tetapi dipasang dalam negara dan dijual pada harga jauh lebih rendah).
Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) semakin hampir menyusuri langkah terakhir pembinaannya dengan jajaran Seksyen 11 yang menghubungkan Beruas ke Taiping Selatan.
Dengan perkembangan terkini, jajaran bahagian ini dijangka akan dibuka pada bulan April, sebelum kita menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad, Lyndon Alfred Felix, pembinaan jajaran Seksyen 11 ini telah mencapai kemajuan sebanyak 98 peratus sehingga Disember tahun lalu.
Beliau menegaskan bahawa WCE akan bersedia untuk dibuka kepada pengguna pada suku pertama tahun 2024, sementara pihak berkuasa seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang menjalankan pemeriksaan dan pemantauan yang teliti.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LLM, Ir.Ts.Dr.Nadzrol Fadzilah Ahmad, turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha untuk membuka laluan ini lebih awal sekiranya projek ini siap sepenuhnya dan mendapat kelulusan.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa keselamatan adalah keutamaan utama, dan lebuh raya yang siap dibina akan dibuka kepada orang ramai hanya apabila dipastikan dalam keadaan selamat.
“Dalam usaha untuk membuka Laluan Seksyen 11 ini pada sambutan Tahun Baharu Cina, kita berharap dapat melakukannya, tetapi keselamatan tetap menjadi faktor utama. Kita berusaha untuk membukanya sebelum Tahun Baharu Cina atau paling tidak pada suku pertama 2024. Saya yakin bahawa ia tidak akan menunggu sehingga bulan April, kerana kami yakin ia akan dibuka sebelum Hari Raya Aidilfitri,” katanya dengan keyakinan.
Pengumuman ini dibuat sempena Lawatan Kerja Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, bersama Exco Kerajaan Negeri Perak ke Projek WCE Jajaran Seksyen 11, di Changkat Jering hari ini. Jajaran Seksyen 11 yang membentang sejauh 35.5 kilometer merupakan tambahan penting kepada Lebuhraya WCE di negeri Perak.
Dengan kerja-kerja pembinaan yang sedang giat dilaksanakan, kini jajaran Seksyen 11 memasuki fasa akhir pembinaan sebelum dibuka kepada trafik. Jadi, mari sambut dengan penuh kebanggaan bagi pembukaan bahagian terakhir ini untuk meningkatkan keselesaan dan kecekapan pengangkutan di wilayah Perak dan semenanjung Malaysia.
QJMOTOR Malaysia baru-baru ini melancarkan model terbaharu mereka dalam segmen skuter kompak – AX200S – dalam satu majlis yang berlangsung di Courtyard Kuala Lumpur.
Direka khas untuk kegunaan harian di bandar, AX200S hadir dengan tiga pilihan warna iaitu Kelabu, Moon Blue, dan Coklat Pasir. Ia direka untuk menjadi kenderaan bukan sahaja praktikal, malah mencuri tumpuan di jalanan.
Skuter ini ditawarkan pada harga permulaan RM7,988 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans). Menjadikannya antara skuter paling mampu milik dalam kelasnya. Ia kini sudah boleh didapati di semua pengedar sah MForce di seluruh negara.
Di bawah cover set, AX200S bernadikan enjin 175cc silinder tunggal SOHC 4-injap yang disejukkan cecair serta menggunakan sistem suntikan bahan api EFI.
Ia mampu menjana kuasa 17.3 HP pada 8,500rpm dan tork maksimum 15.2Nm pada 6,500rpm. Cukup responsif untuk memecut keluar dari lampu isyarat atau mendaki flyover bandar tanpa masalah.
Sistem transmisi automatik CVT dengan klac automatik menjadikan tunggangan lebih santai tanpa perlu sibuk tukar gear seperti model moped di pasaran. Selain itu, sistem pelinciran jenis tekanan dan percikan membantu memastikan enjin sentiasa dalam keadaan optimum.
AX200S tampil dengan rekabentuk aerodinamik yang kemas, diserikan dengan winglet di bahagian depan. Bukan sekadar gaya, tapi juga membantu kestabilan ketika memotong angin semasa tunggangan laju.
Skuter ini juga ringan dengan berat hanya 127kg. Menjadikannya mudah dikendalikan walaupun di kawasan sesak.
Dari segi dimensi, ia cukup selesa dengan tempat duduk setinggi 780mm dan jarak kelegaan tanah 145mm. Sesuai bagi kebanyakan penunggang lelaki mahupun perempuan. Tangki bahan apinya pula boleh memuatkan 10 liter. Sesuai untuk perjalanan harian beberapa hari tanpa perlu ke stesen minyak terlalu kerap.
Untuk keselesaan dan keselamatan, AX200S dilengkapi dengan fork teleskopik di depan dan penyerap hentakan jenis gegelung belakang yang menggunakan redaman minyak.
Tayar jenis tubeless CST berukuran 100/80-14 depan dan 120/70-14 belakang memberikan cengkaman dan ketahanan yang bagus.
Sistem brek cakera hadir pada kedua-dua roda – 230mm depan dan 220mm belakang. Lengkap dengan sistem ABS dwi-saluran, memastikan brek lebih selamat terutama dalam situasi kecemasan.
Antara ciri menarik lain termasuk:
Dengan kombinasi semua ini, AX200S bukan sahaja sebuah skuter biasa, tapi lengkap dengan ciri-ciri motosikal moden yang biasanya ditemui pada model lebih mahal.
Setiap pembelian AX200S datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (mana yang tiba dahulu). Pembeli juga akan menikmati kemudahan pembelian alat ganti tulen secara dalam talian melalui MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Untuk yang belum kenal, QJMOTOR ialah sebahagian daripada kumpulan besar Geely, ditubuhkan sejak 1985 dan juga pemilik jenama motosikal Itali Benelli. Produk mereka merangkumi pelbagai jenis motosikal dari skuter 110cc hingga motosikal berkuasa tinggi 1130cc. Kini, mereka sudah mengeksport ke lebih 130 negara, dan terus komited membawa teknologi terkini ke pasaran global.
Himpunan Honda Civic Type R FL5 Terbesar di Malaysia!
Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang bakal dibanjiri oleh ratusan Honda Civic Type R FL5 menerusi FL5 Track...