Toyota Yaris 2027 Kini Lebih Sporty, Terima Rekaan Baharu
UMW Toyota Motor (UMWT) memperkenalkan Toyota Yaris 2027 yang menerima beberapa pembaharuan dari segi rekaan luaran, kelengkapan dalaman, teknologi serta ciri keselamatan bagi memastikan model hatchback segmen-B itu terus kekal kompetitif dalam pasaran Malaysia.
Model yang cukup dikenali dalam kalangan pengguna tempatan itu kini tampil dengan imej lebih sporty dan moden, selain menawarkan pelbagai kemudahan yang memenuhi keperluan pemanduan harian, khususnya golongan muda serta pembeli kereta pertama.

Toyota Yaris 2027 ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E AT pada harga bermula RM90,400, manakala 1.5G AT pula berharga RM96,400.
Kedua-dua varian berkongsi asas prestasi, teknologi dan ciri keselamatan yang sama, namun varian 1.5G AT menerima beberapa kelengkapan tambahan untuk meningkatkan keselesaan serta penampilan ruang kabin.
Rekaan Hammerhead Beri Penampilan Lebih Agresif
Antara perubahan paling ketara pada Toyota Yaris 2027 ialah penggunaan rekaan hadapan Hammerhead, iaitu bahasa rekaan Toyota yang turut digunakan pada model Camry.
Rekaan baharu itu memberikan penampilan lebih tajam dan sporty, dilengkapi lampu utama LED jenis projector bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED bersepadu.

Bahagian belakang pula menerima kemasan ala “diffuder” pada bahagian bawah bampar dengan penampilan seakan gentian karbon matte, selain penggunaan LED light bar yang menyerlahkan imej lebih moden.

Melengkapkan perubahan luaran ialah rim aloi baharu bersaiz 16 inci dengan rekaan baharu.

Skrin Infotainmen 9 Inci, Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto Tanpa Wayar
Masuk ke ruang kabin, Toyota Yaris 2027 turut menerima beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan keselesaan pemandu dan penumpang.
Kedua-dua varian dilengkapi paparan TFT bersaiz 4.2 inci, selain sistem infotainmen Display Audio baharu berukuran 9 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar.

Antara kemudahan lain yang ditawarkan termasuk pengecas telefon pintar tanpa wayar, port USB Type-C, Smart Entry serta Push Start.
Toyota turut menambah ruang penyimpanan barangan di dalam kabin dan lampu untuk penumpang belakang bagi meningkatkan kepraktisan penggunaan harian.

Bagi varian 1.5G AT, ruang kabinnya tampil lebih premium menerusi tempat duduk dengan kemasan leatherette dan struktur tempat duduk bercirikan sporty, selain stereng yang dibalut kulit.
Dari segi ruang penyimpanan, Yaris 2027 menawarkan kapasiti but sebanyak 390 liter bersama tempat duduk belakang boleh dilipat dalam konfigurasi 60:40.
Turut disediakan ialah dua cangkuk beg, penutup ruang bagasi boleh tanggal serta tayar simpanan yang sama dengan 4 unit tayar sedia ada.

Enjin 1.5 Liter Dual VVT-i Dikekalkan
Walaupun menerima perubahan dari segi penampilan dan kelengkapan, Toyota masih mengekalkan konfigurasi enjin 1.5 liter DOHC Dual VVT-i pada Yaris 2027.
Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi Continuously Variable Transmission (CVT) yang turut dilengkapi fungsi 7-speed CVT Sport Sequential Shiftmatic.

Kedua-dua varian juga menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Normal, ECO dan Sport yang membolehkan pemandu memilih karakter pemanduan mengikut keadaan jalan raya serta keperluan masing-masing.
Konfigurasi ini mengekalkan pendekatan Toyota yang memberi penekanan terhadap kepraktisan dan keselesaan untuk kegunaan harian.
Toyota Safety Sense, Tujuh Beg Udara dan Kamera 3D
Aspek keselamatan turut menjadi antara tumpuan utama penambahbaikan Toyota Yaris 2027.
Model berkenaan dilengkapi pakej Toyota Safety Sense yang merangkumi Pre-Collision System (PCS) dan Lane Departure Alert (LDA).

Selain itu, pelbagai ciri keselamatan dan bantuan pemanduan turut disediakan termasuk:
-
Vehicle Stability Control (VSC)
-
Traction Control (TRC)
-
Blind Spot Monitor (BSM)
-
Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
-
3D Panoramic View Monitor (PVM)
-
Tujuh beg udara SRS
Menariknya, varian 1.5E AT kini turut menerima sensor parkir hadapan bersama empat sensor parkir belakang bagi memudahkan urusan parkir.
Toyota juga memperkenalkan perakam video digital hadapan (dashcam) dengan resolusi 4K, selain Vehicle Telematics System yang membolehkan pemilik mendapatkan maklumat perjalanan serta amaran berkaitan kenderaan.
Harga Toyota Yaris 2027 di Malaysia
| Varian | Harga bermula |
|---|---|
| Toyota Yaris 1.5E AT | RM90,400 |
| Toyota Yaris 1.5G AT | RM96,400 |
Selain penambahbaikan produk, pemilik Toyota Yaris turut mendapat sokongan menerusi program Toyota Extra Mile Ownership Experience yang merangkumi pelbagai perkhidmatan serta manfaat pemilikan sepanjang tempoh penggunaan kenderaan.
Pengenalan Yaris 2027 memperlihatkan usaha Toyota untuk terus mengekalkan daya tarikan hatchback segmen-B itu menerusi gabungan rekaan lebih segar, kelengkapan moden dan ciri keselamatan yang dipertingkat.
Maklumat lanjut mengenai Toyota Yaris 2027 boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Toyota Malaysia atau mana-mana pusat pengedar Toyota yang sah di seluruh negara.
Baca Juga : UMW Toyota Tawar Kempen Servis Untuk Model Import Terpakai
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


