LEXIN Malaysia Perkenal Tiga Produk, Harga Bermula RM98
LEXIN Malaysia memperkenalkan tiga model baharu peranti Bluetooth untuk penunggang motosikal, iaitu LEXIN Zen One, G2 EVO dan MTX Trico, menerusi acara LEXIN Mega Launch x Soon Heng Bikers Gathering yang berlangsung di Laman To’ki, Bentong, Pahang.
Ketiga-tiga model berkenaan ditawarkan pada harga bermula RM98 hingga RM498, dengan ciri dan teknologi komunikasi berbeza bagi memenuhi keperluan setiap lapisan penunggang motosikal, tidak kira penghantar makanan, mereka yang menunggang ke tempat kerja atau untuk konvoi berkumpulan pada hujung minggu.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LEXIN, Jacky Hong bersama Pengurus Jualan, Mohamad Zam Roji dan Pengurus Pemasaran, Aizat Shaha, dengan kehadiran wakil media, pencipta kandungan, pengedar serta komuniti motosikal dari seluruh negara.

Menurut LEXIN, pengenalan rangkaian produk baharu itu bertujuan menjadikan penggunaan peranti Bluetooth ini sebagai sebahagian daripada keperluan tunggangan harian dan bukan hanya sekadar aksesori tambahan.
Penggunaan peranti ini membolehkan penunggang menerima panggilan telefon, mengikuti arahan navigasi GPS, berkomunikasi dengan penunggang lain serta mendengar muzik tanpa perlu mengendalikan telefon secara langsung ketika menunggang.
LEXIN Zen One – Pilihan Mampu Milik Pada Harga RM98
Model paling mampu milik dalam rangkaian baharu ini ialah LEXIN Zen One yang dibangunkan khusus untuk kegunaan harian, sesuai untuk mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan dan barangan.
Ditawarkan pada harga RM98, Zen One dilengkapi teknologi Digital Signal Processing (DSP) noise cancellation dan Clear Voice Capture (CVC).

Ia turut menggunakan pembesar suara bersaiz 40mm yang menurut pengeluar mampu meberikan kualiti audio yang jelas walaupun pada kelajuan sehingga 150km/j.
Dari segi ketahanan penggunaan, Zen One menawarkan masa operasi sehingga 25 jam, selain menyokong pembantu suara Siri dan S-Voice.
Peranti ini juga Water-Resistant dan ditawarkan dalam lima pilihan warna, iaitu hitam, jingga, biru, hijau dan merah jambu.
LEXIN G2 EVO – Bluetooth 5.4 Dengan Jarak Komunikasi 1,200 Meter
Bagi penunggang yang mahukan lebih banyak fungsi, LEXIN memperkenalkan G2 EVO dengan teknologi Bluetooth 5.4 serta sokongan dual Bluetooth multi-audio.
Model ini menggunakan pembesar suara HD bersaiz 40mm bersama teknologi noise cancellation untuk membantu menghasilkan audio yang lebih jelas.
Antara ciri utamanya ialah kemampuan komunikasi interkom pada jarak sehingga 1,200 meter, bergantung pada keadaan persekitaran.
G2 EVO menggunakan bateri berkapasiti 1,000mAh yang menawarkan sehingga 30 jam penggunaan muzik atau panggilan telefon.

Sekiranya fungsi muzik dan interkom digunakan secara serentak, tempoh operasi yang dinyatakan adalah sehingga 15 jam.
Selain itu, model berkenaan dilengkapi pengecasan pantas USB-C, Water-Resistant serta kerangka luaran yang boleh ditukar mengikut pilihan pengguna.
Empat pilihan warna disediakan, iaitu hitam, hijau, merah dan biru.
Dari segi harga, LEXIN G2 EVO ditawarkan pada harga RM258 untuk pek tunggal dan RM498 bagi pek berkembar.
LEXIN MTX Trico – Teknologi Mesh 3.0, Sokong Komunikasi Sehingga 24 Penunggang
Sementara itu, LEXIN MTX Trico merupakan model yang memberi tumpuan kepada komunikasi ketika tunggangan berkumpulan.
Dijual pada harga RM498, MTX Trico dilengkapi teknologi Mesh 3.0 dengan 10 saluran komunikasi serta keupayaan komunikasi interkom melibatkan sehingga 24 penunggang.
Model ini turut menyokong komunikasi Bluetooth antara dua penunggang dengan jarak komunikasi maksimum sehingga 2,000 meter.

Bagi sistem audio, MTX Trico menggunakan pembesar suara LEXIN Pulse bersaiz 43mm, selain dilengkapi fungsi perkongsian muzik dan teknologi noise cancellation.
Ciri lain termasuk pengecasan pantas USB-C serta Water-Resistant untuk kegunaan dalam pelbagai keadaan tunggangan.
Keupayaan komunikasi berkumpulan yang lebih besar menjadikan MTX Trico sesuai untuk penunggang yang sering menyertai konvoi motosikal atau perjalanan jarak jauh.
Jaminan Dua Tahun, Bateri Dilindungi Selama Tiga Tahun
Selain memperkenalkan tiga model baharu, LEXIN Malaysia turut memberikan penekanan terhadap perkhidmatan selepas jualan.
Kesemua peranti LEXIN hadir dengan jaminan selama dua tahun, manakala bateri menerima perlindungan jaminan selama tiga tahun.
Syarikat itu turut menawarkan penggantian unit secara satu dengan satu (1-to-1 replacement) sekiranya berlaku kerosakan akibat kecacatan daripada kilang.
Tuntutan boleh dibuat di mana-mana pengedar sah LEXIN dengan mengemukakan resit pembelian, tertakluk kepada terma dan syarat.

Lebih Tiga Juta Unit LEXIN Terjual Di Seluruh Dunia
LEXIN mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang teknologi audio dan komunikasi Bluetooth, dengan lebih 10 pakar penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman serta lebih 100 paten antarabangsa.
Sejarah jenama berkenaan bermula pada 2006 menerusi Lexin Electronics yang menghasilkan sistem audio OEM untuk kereta, sebelum mengembangkan perniagaan kepada produk audio dan aksesori motosikal pada 2008.
Jenama interkom motosikal LEXIN kemudiannya diperkenalkan pada 2011, manakala tanda dagangannya didaftarkan di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun pada 2015.

Sehingga kini, produk LEXIN dipasarkan di 11 negara dengan jualan terkumpul melebihi tiga juta unit di seluruh dunia.
Menurut syarikat itu, produk interkom keluarannya turut menjalani ujian serta pensijilan mengikut piawaian CE, FCC, IC, KC dan MCMC.
Ketiga-tiga model baharu, LEXIN Zen One, G2 EVO dan MTX Trico kini boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah LEXIN di seluruh Malaysia.
Baca Juga : Mengapa Masih Terdapat Pengeluar Menggunakan Rim Jejari Pada Motosikal?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


