Royal Enfield Himalayan 750 Baharu Diperkenalkan, Kini Dengan Enjin Dua Silinder Lebih Berkuasa
Royal Enfield terus memperluaskan rangkaian motosikal adventure (ADV) menerusi pengenalan Himalayan 750 baharu yang membuat penampilan sulung di peringkat global sempena pameran EICMA 2026 di Milan, Itali.
Model terbaharu ini merupakan motosikal pertama Royal Enfield yang dibangunkan menggunakan platform enjin dua silinder 750cc, sekali gus menandakan perkembangan penting dalam barisan produk pengeluar motosikal dari India itu.
Berbanding Himalayan 450, model baharu ini menawarkan peningkatan dari segi kapasiti enjin, prestasi, teknologi dan keselesaan, khususnya untuk penunggang yang gemar ride pada jarak jauh.

Enjin Dua Silinder 750cc, Hasilkan 55PS
Antara pembaharuan utama Himalayan 750 ialah penggunaan enjin dua silinder sebaris (parallel-twin) berkapasiti sekitar 750cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 55PS dan tork 63Nm.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, menawarkan penghantaran kuasa lebih lancar serta prestasi yang bersesuaian untuk kegunaan harian dan perjalanan di lebuh raya.
Dengan peningkatan kapasiti enjin berbanding Himalayan 450, model ini turut menawarkan kelebihan ketika mengekalkan kelajuan tinggi serta melakukan pecutan untuk memotong kenderaan.
Pada masa sama, karakter penghantaran tork pada putaran enjin rendah membolehkan motosikal dikendalikan dengan lebih mudah, terutama ketika melalui kesesakan lalu lintas.

Rekaan Lebih Besar, Fokus Keselesaan Jarak Jauh
Dari sudut penampilan, Himalayan 750 masih mengekalkan identiti motosikal adventure Royal Enfield, namun hadir dengan dimensi lebih besar dan rekaan yang lebih tegap.
Ruang kokpit yang luas, kedudukan hendal serta tempat duduk berkusyen tebal memberikan posisi tunggangan lebih selesa, khususnya untuk perjalanan dalam tempoh lama.
Ketinggian tempat duduk standard ialah 815mm, manakala Royal Enfield turut menyediakan pilihan tempat duduk lebih rendah atau tinggi sebanyak 20mm.
Ini membolehkan penunggang memilih ketinggian tempat duduk antara 795mm hingga 835mm mengikut kesesuaian fizikal masing-masing.
Walaupun kelihatan besar, Himalayan 750 dilaporkan menawarkan pengendalian yang baik ketika menukar arah, selain memberikan kestabilan ketika bergerak pada kelajuan tinggi.
Bagaimanapun, dengan berat sekitar 224kg, penunggang mungkin perlu memberikan lebih perhatian ketika mengendalikan motosikal pada kelajuan rendah atau menolaknya di kawasan parkir.

Dilengkapi Teknologi Tunggangan Moden
Selain prestasi, Himalayan 750 turut menerima peningkatan dari segi kelengkapan teknologi dan sistem bantuan penunggang.
Antara ciri yang ditawarkan termasuk lima mod tunggangan iaitu Road, Road Sport, Rain, Trail dan Custom, membolehkan karakter motosikal disesuaikan mengikut keadaan jalan.
Model ini turut dilengkapi sistem brek ABS ketika mengambil selekoh, kawalan cengkaman dan Unit Pengukuran Inersia (IMU) enam paksi.
Bagi meningkatkan keselesaan ketika perjalanan jauh, Royal Enfield turut menawarkan sistem kawalan jelajah (cruise control), selain paparan meter TFT empat inci dengan sambungan Bluetooth dan fungsi navigasi.
Sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) juga menjadi sebahagian daripada kelengkapan yang ditawarkan.
Namun, Himalayan 750 tidak dilengkapi sistem quickshifter, sekali gus memerlukan penunggang menggunakan klac ketika melakukan pertukaran gear.

Pelancaran Di India Dijangka Dalam Masa Terdekat
Selepas penampilan sulungnya di EICMA 2026, Royal Enfield Himalayan 750 dijangka diperkenalkan dengan lebih lanjut di India sempena acara Motoverse yang berlangsung di Goa pada 27 hingga 29 November 2026.
Kehadiran model ini dilihat sebagai langkah Royal Enfield memperkukuh kedudukannya dalam segmen motosikal adventure berkapasiti pertengahan, khususnya bagi pengguna yang mahukan prestasi lebih tinggi berbanding Himalayan 450.
Setakat ini, harga rasmi serta tarikh kemasukan Himalayan 750 ke pasaran Malaysia masih belum diumumkan.
Baca Juga : JETOUR G700 Ark Edition Buktikan Keupayaan Bergerak di Darat dan Air
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


