Servis Kereta Sebelum Balik Kampung: Tukar Yang Perlu, Elak Pembaziran
Menjelang musim perayaan, ramai pemilik kenderaan mula membuat persediaan untuk pulang ke kampung halaman.
Antara yang paling utama tentunya memastikan keadaan kereta berada dalam keadaan baik dan selamat untuk perjalanan jauh.
Namun, tidak dinafikan bahawa kos servis kereta boleh menjadi beban, terutamanya apabila bajet kewangan agak terhad.
Walau bagaimanapun, kekangan bajet tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan aspek keselamatan kenderaan.
Dengan sedikit perancangan dan keutamaan yang jelas, anda masih boleh memastikan kereta berada dalam kondisi optimum tanpa perlu menukar kesemua komponen sekaligus.
Prinsipnya mudah — tukar yang perlu sahaja.
1. Minyak Enjin dan Penapis
Penukaran minyak enjin mengikut jadual adalah perkara paling asas dalam penyelenggaraan kenderaan. Minyak yang sudah kotor atau terlalu lama digunakan boleh menjejaskan prestasi enjin dan mengundang kerosakan jangka panjang. Bersama-sama dengan itu, penapis minyak juga perlu ditukar bagi memastikan sistem pelinciran berjalan lancar.
Ads
2. Sistem Brek
Sistem brek merupakan aspek keselamatan yang paling kritikal. Sekiranya anda mendapati brek berbunyi, terasa lembut atau tidak mencengkam seperti biasa, segera periksa dan tukar pad brek jika perlu. Minyak brek juga perlu diperiksa bagi memastikan sistem berfungsi dengan baik.
3. Tayar
Tayar yang botak atau merekah bukan sahaja membahayakan nyawa anda dan penumpang, malah boleh menjadi punca kemalangan serius, terutamanya di lebuh raya. Jika tidak mampu menukar keempat-empat sekaligus, sekurang-kurangnya tukar sepasang tayar hadapan atau yang paling teruk keadaannya.
4. Bateri Kenderaan
Tanda-tanda seperti enjin sukar dihidupkan atau lampu menjadi malap mungkin menunjukkan bateri mula lemah. Jika usia bateri melebihi satu tahun setengah, pertimbangkan untuk menukarnya sebagai langkah pencegahan. Anda tentu tidak mahu berdepan masalah kereta tidak dapat dihidupkan ketika dalam perjalanan.
5. Sistem Penyaman Udara dan Penapis Kabin
Walaupun tidak berkait secara langsung dengan keselamatan, keselesaan semasa memandu juga penting, khususnya apabila membawa ahli keluarga dalam perjalanan jauh. Pastikan sistem penyaman udara berfungsi dengan baik dan penapis kabin bersih daripada habuk dan kotoran.
Rancang Dengan Bijak, Pandu Dengan Tenang
Sebagai pengguna yang bijak, anda perlu menyenaraikan keperluan penyelenggaraan dan berbincang dengan mekanik yang dipercayai.
Ads
Nyatakan bajet anda dan minta nasihat tentang komponen yang paling perlu diganti terlebih dahulu.
Dalam banyak kes, mekanik yang jujur akan membantu mencari penyelesaian paling sesuai mengikut kemampuan anda.
Pulang beraya sepatutnya menjadi detik yang menggembirakan.
Jangan biarkan masalah teknikal yang boleh dielakkan merosakkan percutian anda.
Ads
Tukar yang perlu, periksa yang penting, dan pandulah dengan penuh tanggungjawab. Keselamatan anda dan keluarga adalah keutamaan.
Selamat memandu dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Jangan lupa Servis Kereta anda!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Kerajaan telah mengumumkan bahawa tempoh konsesi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang tamat pada 31 Ogos 2024 tidak akan disambung.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, keputusan ini membuka peluang kepada syarikat-syarikat lain yang berkelayakan untuk terlibat dalam pemeriksaan kenderaan bermotor di Malaysia.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada dasar baharu yang memberi peluang kepada lebih banyak pemain industri untuk bersaing dalam menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.
Walaupun konsesi eksklusif Puspakom tidak disambung, syarikat tersebut masih dibenarkan beroperasi seperti biasa tetapi perlu bersaing dengan syarikat-syarikat lain yang bakal dilantik.
Menurut Loke
“Puspakom akan terus beroperasi, tetapi tanpa hak eksklusif yang mereka nikmati sebelum ini. Mereka kini perlu bersaing dengan pemain industri lain yang akan turut serta dalam pemeriksaan kenderaan bermotor,” kata Anthony Loke dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya pada Isnin.
Beliau menambah bahawa sambutan daripada industri untuk terlibat dalam penyediaan perkhidmatan ini amat positif.
Setakat ini, sebanyak 50 syarikat telah menunjukkan minat dengan menyertai taklimat berkaitan isu tersebut, dan dua permohonan rasmi telah diterima.
Permohonan masih dibuka di laman web rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan sehingga 31 Oktober 2024.
“Mana-mana pihak yang berkelayakan adalah dialu-alukan untuk memohon dan mendapat kuasa bagi melaksanakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di negara ini,” jelas Anthony Loke.
Beliau juga memberi jaminan bahawa JPJ akan terus memantau perkhidmatan yang disediakan oleh pemain industri. Ini untuk memastikan ia patuh kepada standard yang ditetapkan dan memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan.
Meskipun Puspakom tidak lagi memegang monopoli dalam industri ini, Anthony Loke menyatakan keyakinan bahawa syarikat tersebut mampu untuk bersaing.
“Puspakom sudah mempunyai pengalaman luas dalam industri ini dan mereka juga mempunyai rangkaian yang besar. Jadi, saya yakin mereka dapat terus beroperasi dengan baik walaupun tanpa hak eksklusif,” ujarnya.
Inisiatif Baharu Kerajaan
Langkah ini dilihat sebagai satu inisiatif untuk memperkukuh persaingan dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia. Akhirnya dijangka akan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.
Dengan lebih banyak pemain industri yang terlibat, pengguna mungkin akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang lebih cekap, pantas, dan berkualiti tinggi.
Kerajaan kini sedang dalam proses menilai semua permohonan yang diterima. Di samping itu akan mengumumkan syarikat-syarikat baru yang akan diberi kuasa dalam masa terdekat.
Dengan penamatan konsesi eksklusif ini, landskap pemeriksaan kenderaan di Malaysia dijangka akan berubah. Diharapkan lebih banyak syarikat yang bersaing untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
Mercedes-Benz G-Class, yang diperkenalkan pada tahun 1979, tetap setia kepada bentuk asalnya hingga kini. Popular sebagai sebuah 4×4 yang mewah, Geländewagen ini terkenal dengan varian berprestasi, Mercedes-AMG G 63, yang dilengkapi dengan enjin V8.
Versi terbaru Mercedes-Benz G-Class telah diperkenalkan dengan semua varian menggunakan teknologi mild hybrid. Perubahan lain termasuk pengubahsuaian semula unit kawalan off-road dan penambahan OFFROAD COCKPIT yang menyediakan pelbagai data untuk pemanduan di luar jalan raya. Selain itu, perincian baharu seperti bonet lutsinar memaparkan pandangan maya bahagian bawah depan kereta.
Di dalam, semua varian dilengkapi dengan sistem maklumat hiburan MBUX dengan skrin 12.3 inci dan kawalan sentuh, sebuah inovasi yang pertama kali dalam model ini.
Kredit: Careta
Mercedes-AMG G 63, dengan enjin AMG 4.0 liter V8 biturbo, menghasilkan 585 kuasa kuda dan tork 850Nm. Penggunaan teknologi 48 volt dan penjana-penghidup bersepadu (ISG) memberikan tambahan 20 hp dan 200Nm kepada pemandu untuk tempoh seketika. Kelajuan maksimum yang dapat dicapai adalah 220 km/jam dengan pecutan 0 hingga 100 km/jam hanya dalam masa 4.4 saat.
Enjin V8 dipadankan dengan kotak gear AMG SPEEDSHIFT TCT 9G dan pacuan semua roda tetap AMG Performance 4MATIC. Sembilan gear membolehkan enjin beroperasi pada kelajuan optimum dengan kerap, sementara mod AMG DYNAMIC SELECT membolehkan pemandu memilih di antara lima mod berbeza.
Dalam hal kawalan off-road, G 63 dilengkapi dengan mod Sand, Trail, dan Rock, sementara pelanggan yang mengambil AMG Offroad Package PRO mendapat dua mod tambahan, iaitu AMG Traction PRO yang meningkatkan cengkaman dalam mod Rock dan Sand. Tambahan lain termasuk sistem AMG Active Balance Control yang memperbaiki olengan bergantung kepada keadaan jalan dan pemanduan.
Kredit: Careta
Sistem AMG RIDE CONTROL dengan larasan redaman suai menyumbang kepada keselesaan pemanduan dan keselamatan. Dari segi penampilan, G 63 mempunyai pelbagai pilihan peningkatan, termasuk warna MANUFAKTUR hyper blue magno dan pelbagai kelengkapan luaran dan dalaman yang menonjolkan prestasi dan gaya.
Dengan pelbagai inovasi dan penambahbaikan, Mercedes-Benz G-Class terus menjadi pilihan utama bagi peminat kenderaan off-road yang mencari prestasi dan keselesaan yang tinggi.
Geely Holding Group, pemilik syarikat Volvo, Zeekr, dan Polestar, telah menjadikan pasaran kereta elektrik (EV) di China sebagai medan perjuangan utama. Dengan data carta jualan, kita dapat melihat dominasi anak syarikat Geely di dalam dan luar China.
Baru-baru ini, Geely telah melancarkan EV pertama di bawah jenama sendiri, iaitu Geely Galaxy E8. Ia bukan hanya merupakan EV pertama yang dijual oleh Geely, tetapi juga menjadi perkenalan platform SEA bagi Geely, yang turut digunakan oleh Zeekr 001 dan Polestar 4.
Berbeza dengan Volvo, Zeekr, dan Polestar yang menyasar pasaran premium, Geely dengan jelas tidak mengejar segmen itu. Dengan menggunakan platform SEA, Galaxy E8 bertujuan untuk menarik pelbagai lapisan pembeli dengan harga yang lebih berpatutan.
Kredit Foto: Car News China
Melangkah ke hadapan dengan kehadiran Galaxy E8, Geely membuktikan kemampuannya dalam menghasilkan EV yang tidak hanya moden tetapi juga berpatutan. Dengan lima varian yang ditawarkan, harga bermula dari RM115,000 hingga RM150,000.
Galaxy E8 menawarkan pilihan bateri 62 kWh, 75.6 kWh, dan 76 kWh, dengan jarak tempuh antara 550 hingga 665 kilometer. Ini memastikan bahawa pembeli dapat memilih prestasi dan jarak mengikut keperluan mereka.
Menurut CNevpost, Geely mendakwa bahawa Galaxy E8 adalah EV yang sebenar dengan nilai tinggi, bersaing dalam kategori B-segmen China atau saiz sederhana yang umum. Dengan kebanyakan kereta dalam segmen ini dikuasakan oleh enjin petrol, Galaxy E8 menyediakan alternatif EV yang besar dengan harga munasabah.
Kredit Foto: Car News China
Varian teratas Galaxy E8 dengan platform voltan tinggi (800 V) menawarkan jarak 180 kilometer dengan pengecasan selama lima minit. Terdapat juga versi berpatutan dengan pengecasan 400 V dan kuasa yang lebih rendah.
Digerakkan oleh sistem pemacu elektrik silikon karbida berprestasi tinggi dengan dwi-motor 475 kW, Galaxy E8 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.49 saat, menawarkan pengalaman pemanduan yang mengujakan.
Reka bentuk luaran Galaxy E8 bercirikan sedan dan coupe crossover, sesuai dengan tren reka bentuk EV terkini. Skrin 45 inci dengan resolusi 8K pada papan utama menjadikannya yang terbesar dan tercanggih di pasaran EV China, dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8295.
Menurut Geely, Galaxy E8 adalah EV pertama dalam siri Galaxynya, dan rancangannya termasuk pelancaran tiga EV lain dan beberapa model hibrid dalam masa terdekat. Dengan inovasi ini, Geely memberikan alternatif menarik bagi peminat EV yang menghargai kombinasi prestasi dan nilai.
Twilight Blue Jadi Identiti Baharu Vanguard 250 SE
Aveta Malaysia meneruskan rentak agresifnya dalam segmen skuter tempatan apabila memperkenalkan warna baharu Twilight Blue untuk rangkaian...