Suzuki Cars Malaysia dan CARSOME Jalin Kerjasama Strategik Bagi Perkhidmatan Trade-In
Suzuki Cars Malaysia mengumumkan pelantikan CARSOME Malaysia sebagai rakan trade-in rasmi eksklusifnya, sekali gus menawarkan proses pertukaran kenderaan lama kepada model Suzuki baharu dengan lebih mudah.
Menerusi kerjasama ini, perkhidmatan pemeriksaan, penilaian serta trade-in CARSOME akan diperluaskan ke dalam rangkaian pengedar sah Suzuki di seluruh negara.
Ini bermakna pelanggan boleh trade in kenderaan daripada apa sahaja jenama atau model ketika membeli Suzuki baharu tanpa perlu melalui proses berasingan untuk menjual kereta sedia ada terlebih dahulu.
Program trade-in rasmi ini akan diperkenalkan di semua pengedar Suzuki di seluruh negara.

Rebat Sehingga RM19,000 Sempena Merdeka Mega Bonanza
Bersempena pengenalan kerjasama tersebut, Suzuki Cars Malaysia turut melancarkan Merdeka Mega Bonanza Campaign yang berlangsung sepanjang Ogos hingga September 2026.
Dalam tempoh promosi itu, pelanggan yang membeli model Suzuki terpilih boleh menikmati rebat sehingga RM19,000, selain bantuan trade-in sehingga RM6,900 bagi kenderaan yang ditukar beli menerusi CARSOME.
Antara model yang terlibat ialah:
- Suzuki Swift Sport
- Suzuki Fronx
- Suzuki Fronx Sport
- Suzuki Jimny AllGrip Pro
- Suzuki Jimny 5-Door
- Suzuki e VITARA
Pelanggan yang layak turut berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan enam hadiah utama iaitu 2 unit iPhone 17, 2 Google Pixel 10 dan 2 Samsung Galaxy S26.
Selain itu, sembilan hadiah saguhati berupa kredit Touch ‘n Go eWallet bernilai RM200 setiap satu turut ditawarkan.

Program Trade-In Dipamerkan Di Naza Automania Carnival
Orang ramai juga berpeluang merasai sendiri pengalaman program trade-in baharu tersebut menerusi Naza Automania Carnival – Merdeka Edition yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 Ogos 2026.
Sepanjang acara itu, pengunjung boleh melihat rangkaian model terkini Suzuki, mendapatkan penilaian trade-in daripada CARSOME serta menikmati promosi khas yang ditawarkan sepanjang karnival.
Acara berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga serta Jimny Community Gathering, yang akan diserikan dengan pertandingan Best Looking Jimny pada 15 Ogos.
Program trade-in rasmi Suzuki-CARSOME serta kempen Merdeka Mega Bonanza kini ditawarkan menerusi pengedar sah Suzuki di seluruh negara sepanjang Ogos dan September 2026.
Baca Juga : Suzuki Fronx dan Jimny Kini Ditawarkan Melalui Langganan FLUX
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






