Rapid KL Sedia 95 Bas Percuma Ke SIC Sempena GP Bahrain 2026
Pengunjung yang merancang untuk menyaksikan Formula 1 Grand Prix Bahrain Gulf Air 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober ini mempunyai pilihan pengangkutan lebih mudah apabila Rapid KL menyediakan 95 bas perantara khas secara percuma sepanjang acara berlangsung.
Perkhidmatan itu disediakan dengan kerjasama SIC bagi memudahkan pergerakan penonton ke kawasan litar, selain membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian ketika acara berlangsung.
Tiga Lokasi Rapid KL Ke SIC
Rapid KL menyediakan perkhidmatan bas perantara ke SIC dari tiga lokasi utama:
- KLIA Terminal 2 – Hub Bas Aras 1, Bay B1, B2 dan B3
- Mitsui Outlet Park – Hub Bas Mitsui Outlet Park
- Bandar Baru Enstek – De-Village, Persiaran Millenia 2
Waktu Operasi Dan Kekerapan Bas Rapid KL
Perkhidmatan bas percuma ini akan beroperasi sepanjang tiga hari acara dengan butiran berikut:
- Tarikh: 2 hingga 4 Oktober 2026
- Hari operasi: Jumaat, Sabtu dan Ahad
- Waktu operasi: 7.00 pagi hingga 12.00 tengah malam
- Kekerapan: Setiap 10 hingga 15 minit
- Tambang: Percuma
- Destinasi: Litar Antarabangsa Sepang
Kekerapan perjalanan adalah tertakluk kepada keadaan trafik semasa.
Bas Perantara Turut Disediakan dalam Kawasan SIC
Selain perkhidmatan dari tiga lokasi utama ke SIC, Rapid KL turut menyediakan bas perantara di dalam kawasan litar bagi memudahkan pengunjung bergerak ke lokasi-lokasi utama sepanjang acara berlangsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata penyediaan perkhidmatan itu mencerminkan komitmen Rapid KL dalam menyokong penganjuran acara bertaraf antarabangsa, selain menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

GP Bahrain 2026 Berlangsung Di Sepang
GP Bahrain Gulf Air 2026 dijadualkan berlangsung di SIC dari 2 hingga 4 Oktober 2026 menerusi kerjasama antara Malaysia dan Bahrain.
Perlumbaan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Bahrain pada April lalu sebelum ditangguhkan ke Oktober susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Baca Juga : 8 Tahun “Warranty” & “Unlimited Mileage”, Honda City Baharu Dilancarkan di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


