PROTON S70 Lite dan Prime Diperkenal, Harga Dianggarkan Bawah RM60,000
PROTON memperluaskan rangkaian S70 di Malaysia menerusi pengenalan dua varian baharu, S70 Lite dan S70 Prime, yang bakal ditawarkan dengan anggaran harga di bawah RM60,000.
Berbeza dengan varian S70 sedia ada, kedua-dua model baharu ini menggunakan enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi boleh ubah berterusan (CVT).
Tempahan untuk S70 Lite dan Prime dibuka mulai 7 September 2026 di semua cawangan sah PROTON di seluruh negara, manakala harga rasmi akan diumumkan ketika pelancaran kelak.
Menurut PROTON, pengenalan dua varian tersebut bertujuan membuka akses kepada lebih ramai pembeli yang mahukan sebuah sedan dengan ruang kabin luas, tahap keselesaan baik serta kelengkapan praktikal untuk kegunaan harian.
Langkah itu juga hadir ketika S70 terus mencatatkan prestasi jualan kukuh, dengan purata jualan bulanan melebihi 2,500 unit sepanjang 2026.
Enjin 1.5 Liter NA Dipadankan Dengan CVT
S70 Lite dan Prime menggunakan enjin i-GT 1.5 liter aspirasi semula jadi bersama transmisi CVT, dengan sistem pacuan itu lebih menjurus kepada karakter pemanduan lancar dan santai.
PROTON bagaimanapun belum mendedahkan angka kuasa dan tork bagi enjin tersebut dalam pengumuman awal ini.
Kedua-dua varian masih mengekalkan karakter pemanduan PROTON menerusi talaan Ride and Handling, selain menawarkan tiga mod pemanduan yang boleh dipilih oleh pemandu.

10 Ciri Terunggul Dalam Kelasnya
Menurut PROTON, S70 Lite dan Prime menawarkan 10 ciri yang didakwa terunggul dalam kelasnya, meliputi aspek ruang, keselesaan, teknologi dan keselamatan.
Antara kelengkapan yang diketengahkan ialah ruang kabin serta ruang bahu penumpang belakang yang luas, panel instrumen kemasan lembut dan semua tingkap dengan fungsi Auto Up/Down serta Anti Trap.
Turut ditawarkan ialah brek parkir elektronik (EPB) dengan Auto Brake Hold, Remote Engine Start serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay secara tanpa wayar.
Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, kedua-dua varian turut dilengkapi Rear Side Radar System, kamera undur dan Rear Seat Reminder.

Ruang Kabin Lebih Luas
Dari segi praktikaliti, PROTON menekankan dimensi badan dan jarak roda S70 yang memberikan ruang lebih luas kepada penumpang hadapan serta belakang.
Badan kereta yang lebih lebar membantu memberikan ruang bahu tambahan kepada penumpang belakang, sementara lantai belakang yang hampir rata membolehkan tiga penumpang duduk bersebelahan dengan lebih selesa.
Rekaan ini menjadikan S70 Lite dan Prime lebih sesuai untuk kegunaan keluarga serta perjalanan jarak jauh.
Ruang penyimpanan praktikal di seluruh kabin turut disediakan bagi memenuhi keperluan penggunaan harian dan perjalanan ulang-alik.

S70 Fokus Kepada Keselesaan dan NVH
S70 Lite dan Prime turut diberikan penekanan terhadap aspek bunyi, getaran dan kekasaran atau NVH bagi menghasilkan suasana kabin yang lebih senyap.
Keselesaan turut dipertingkatkan menerusi tempat duduk dengan kemasan kulit, sementara panel instrumen kemasan lembut membantu memberikan suasana kabin yang lebih premium.
Gabungan ini menjadikan kedua-dua varian lebih menjurus kepada pengalaman pemanduan santai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.

Android Auto dan Apple CarPlay Tanpa Wayar
Dari sudut teknologi, kedua-dua varian baharu menawarkan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.
Antara kelengkapan lain termasuk EPB dengan Auto Brake Hold, Remote Engine Start, fungsi Auto Up/Down dan Anti Trap untuk semua tingkap serta sehingga lima port USB, bergantung kepada varian.

Enam Beg Udara dan Rear Side Radar System
Dari aspek keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi enam beg udara serta sensor parkir hadapan dan belakang.
Sistem Rear Side Radar System pula merangkumi Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning dan Rear Collision Warning.
Kamera undur dan Rear Seat Reminder turut diberikan sebagai kelengkapan standard.

Tempahan S70 Baharu Dibuka Mulai 7 September
Tempahan bagi PROTON S70 Lite dan Prime kini dibuka di semua cawangan sah PROTON di seluruh negara dengan anggaran harga di bawah RM60,000.
Harga jualan rasmi serta spesifikasi penuh setiap varian akan diumumkan ketika pelancaran rasmi kelak.
Pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan S70 Lite atau Prime sebelum 31 Disember 2026 turut layak menerima ganjaran tempahan awal, dengan butiran lanjut akan diumumkan kemudian.
Kehadiran S70 Lite dan Prime kini memberikan PROTON pilihan lebih luas untuk menarik pembeli sedan yang mengutamakan harga mampu milik, ruang kabin, keselesaan serta kelengkapan harian.
Baca Juga : 2026 Proton S70 Dengan Enjin Baharu, Bermula RM 68,800
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



