Porsche sekali lagi membuktikan keunggulannya dalam dunia automotif dengan pelancaran Macan elektrik baharu. Dengan rekaan sporty dan teknologi terkini, SUV elektrik ini membawa pengalaman pemanduan ke tahap lebih tinggi, sama ada di jalan bandar yang sibuk atau lebuh raya terbuka di Malaysia.
Menawan di Jalan Raya Kuala Lumpur
Baru-baru ini, Porsche Malaysia di bawah Sime Darby Auto Performance telah menganjurkan sesi pemanduan eksklusif untuk memperkenalkan kehebatan Macan elektrik kepada peminat automotif tempatan.
Konvoi Macan elektrik ini merentasi jalan-jalan utama Kuala Lumpur sebelum menuju ke Driving Experience Centre di Litar Antarabangsa Sepang. Di mana keupayaan sebenar SUV ini diuji.
Dengan reka bentuk aerodinamik yang agresif, lampu hadapan empat titik LED ikonik, dan garis bumbung coupé yang elegan. Macan elektrik tampil dengan gaya yang memukau dari setiap sudut.
Ruang dalaman pula direka dengan tumpuan kepada pemandu. Dilengkapi pencahayaan ambien pintar, skrin paparan melengkung 12.6 inci, serta sistem hiburan canggih dengan skrin sentuh 10.9 inci untuk penumpang.
Kehebatan Pemanduan di Sepang
Di Sepang, para peserta diberi peluang untuk menguji dinamik pemanduan Macan elektrik menerusi pelbagai ujian, termasuk latihan kawalan kestabilan dan ujian slalom.
Sistem Porsche Traction Management (ePTM) SUV ini beraksi cemerlang dalam ujian kick-plate, yang mensimulasikan kehilangan cengkaman roda belakang.
Ads
Dengan tindak balas sepantas 10 milisaat, sistem ini memastikan kestabilan kenderaan dikekalkan dengan menghantar kuasa ke roda yang sesuai.
Selain itu, sistem Porsche Torque Vectoring Plus (PTV) membolehkan pengagihan kuasa secara pintar mengikut keadaan pemanduan. Memberikan kestabilan optimum dalam selekoh tajam.
Keupayaan ini ditambah baik dengan suspensi udara adaptif dan Porsche Active Suspension Management (PASM). Menjadikan Macan elektrik bukan sahaja pantas tetapi juga sangat selesa.
Prestasi Elektrik yang Luar Biasa
Dikuasakan oleh rangkaian kuasa sehingga 470 kW (639 PS), Macan elektrik menawarkan pecutan mengagumkan sambil mengekalkan praktikaliti untuk pemanduan harian.
Ads
Dengan jarak pemanduan sehingga 648 km* dalam satu cas penuh, SUV ini membuktikan kecekapan baterinya. Walaupun selepas seharian diuji dalam kondisi pemanduan ekstrem.
Sistem pengecasan pantas membolehkan bateri dicas dari 10% ke 80% dalam hanya 21 minit. Memastikan masa menunggu dikurangkan dan lebih banyak masa dapat dihabiskan di jalan raya.
Porsche Malaysia turut menawarkan jaminan bateri selama lapan tahun atau 160,000 km, serta pakej penyelenggaraan eksklusif untuk dua tahun pertama.
Ads
Harga dan Ketersediaan
Porsche Macan elektrik kini boleh ditempah dengan harga bermula dari RM435,000. Dengan gabungan prestasi dinamik, teknologi canggih dan reka bentuk yang memukau.
Leapmotor mungkin jenama yang agak baharu dalam pasaran Malaysia, namun sebenarnya Leapmotor merupakan antara pengeluar kenderaan elektrik (EV) di China yang berkembang dengan sangat pesat, dengan penghantaran global mencecah hampir 600,000 unit pada tahun 2025.
Di Malaysia, Leapmotor dibawa masuk oleh pengedar rasmi Stellantis, kumpulan yang turut menaungi jenama seperti Peugeot, Citroën, Jeep dan Alfa Romeo. Model yang kami pandu uji kali ini ialah Leapmotor B10, antara model pertama yang dipasarkan di rantau ASEAN. Lebih menarik, B10 menerima sambutan luar biasa di China apabila mencatat lebih 15,000 tempahan dalam tempoh hanya satu jam selepas pra-tempahan dibuka.
Cukup dengan pengenalan, perjalanan kami kali ini bermula di GE Carriage Sdn Bhd yang terletak di Kota Damansara sekitar jam 9.30 pagi. Untuk sesi pandu uji ini, kami ditemani wakil daripada Leapmotor iaitu Cik Adreena dan Encik Keegan Dorai.
Sebelum memulakan perjalanan, Encik Keegan mengendalikan sesi taklimat ringkas mengenai laluan yang akan dilalui serta tentatif program sepanjang hari. Menariknya, hanya dua organisasi media terlibat dalam sesi ini, iaitu Roda Panas yang diwakili oleh penulis bersama jurukamera, Ali, serta wakil daripada Maskulin, Syahir.
Selesai sesi taklimat, kami menuju ke kenderaan yang disediakan. Impresi pertama? Warna yang sangat menarik.
Bagi sesi ini, Leapmotor menyediakan unit berwarna Starry Night Blue dan Dawn Purple. Kedua-dua warna ini jarang ditemui pada model lain dan memberikan penampilan yang cukup premium. Hanya melalui pilihan warna sahaja, SUV keluarga ini sudah berjaya menonjolkan imej mewah sebelum kami meneroka lebih jauh ciri-ciri yang ditawarkannya.
Satu lagi elemen yang menyerlahkan aura premium model ini ialah penggunaan kad NFC untuk membuka kunci dan menghidupkan kenderaan. Penulis pernah memandu uji model Leapmotor yang lain sebelum ini, jadi sistem ini penulis pernah gunakan. Namun, terdapat satu persoalan yang sering ditanya selepas sesi pandu uji terdahulu bagaimana jika hari hujan? kerana kad NFC ini perlu disentuh di bahagian sebelah kanan cermin sisi kereta ini. Jawapannya akan kami kongsikan kemudian dalam artikel ini.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam kabin, perkataan pertama yang terkeluar daripada mulut penulis ialah, “Wow!”
Mengapa? Rekaan dalaman berwarna putih memberikan suasana yang sangat premium. Walaupun harga kenderaan ini berada dalam lingkungan RM100,000, ruang dalaman yang ditawarkan terasa seperti sebuah kenderaan yang berada dalam segmen harga lebih tinggi.
Seperti biasa, perkara pertama yang dilakukan ialah melaraskan kedudukan tempat duduk mengikut keselesaan. Ketika itulah muncul satu lagi faktor yang membuatkan penulis kagum buat kali kedua, kerusi hadapan hadir dengan fungsi pengudaraan tempat duduk (ventilated seat).
Ciri ini sememangnya sesuai untuk cuaca Malaysia yang panas dan lembap. Kebetulan penulis tiba di lokasi dengan menunggang motosikal, jadi badan masih terasa panas dan berpeluh. Kehadiran fungsi ini benar-benar membantu menyejukkan badan sebelum perjalanan bermula.
Namun begitu, ada satu perkara yang memerlukan sedikit penyesuaian. Sebelum memulakan perjalanan, pengguna disarankan menetapkan suhu pendingin hawa terlebih dahulu.
Ini kerana kebanyakan kenderaan hari ini masih menggunakan tombol fizikal untuk melaraskan suhu, tetapi bagi B10, hampir semua fungsi tersebut dikendalikan melalui skrin sentuh bersaiz 14.6 inci. Ketika memandu, ia memerlukan sedikit perhatian tambahan untuk membuat pelarasan.
Bercakap mengenai sistem infotainmen, ia dikuasakan oleh cip Snapdragon 8155 bersama sistem operasi Leap OS yang menawarkan respons yang pantas dan lancar. Ia turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, membolehkan kami menikmati perjalanan dengan senarai lagu pilihan sendiri melalui Spotify.
Dari aspek keselamatan, model ini turut dilengkapi kamera 360 darjah yang memudahkan pemandu memastikan keadaan sekeliling sebelum keluar dari kawasan parkir.
Perjalanan bermula dari Kota Damansara menuju ke China-Malaysia Friendship Garden di Putrajaya untuk sesi fotografi dan rakaman video.
Sepanjang perjalanan, kabin B10 terasa sangat senyap. Hanya sedikit bunyi tayar kedengaran, namun ia masih cukup selesa untuk berbual tanpa gangguan bunyi luar. Dalam masa sama, kami turut menikmati pemandangan luar dengan membuka penutup bumbung panoramik (panoramic sunroof) yang menjadi salah satu tarikan utama model ini.
Sudah tentu, ciri ini pasti menjadi kegemaran kanak-kanak. Namun, dengan cuaca Malaysia yang agak panas, kami tidak menggalakkan pengguna membukanya pada waktu tengah hari.
Sampai di Putrajaya, kami mengambil sedikit masa untuk merakam gambar dan video bagi tujuan penghasilan artikel ini.
Ketika sesi fotografi berlangsung, penulis teringat kembali persoalan yang dibangkitkan pada awal artikel mengenai penggunaan kad NFC sebagai kunci kenderaan. Bagaimana jika hujan dan pengguna tidak mahu mengeluarkan kad NFC untuk membuka kunci kereta?
Jawapannya mudah. Leapmotor turut menyediakan aplikasi mudah alih (mobile app) yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai fungsi kenderaan terus melalui telefon pintar. Melalui aplikasi tersebut, pengguna boleh membuka dan mengunci kenderaan dari jarak jauh tanpa perlu menggunakan kad NFC.
Lebih menarik, aplikasi ini turut membolehkan pengguna membuka but belakang serta menurunkan sedikit cermin tingkap bagi membantu mengurangkan haba yang terperangkap di dalam kabin ketika kenderaan diparkir di bawah cuaca panas. Fungsi seperti ini mungkin kelihatan ringkas, namun ia cukup praktikal untuk kegunaan harian terutama dalam iklim panas dan lembap seperti di Malaysia.
Leapmotor B10 Life
Leapmotor B10 Design
Selepas sesi fotografi, kami berehat seketika di sebuah kafe berhampiran sebelum meneruskan perjalanan ke Putrajaya RC Park bagi menyambung sesi rakaman.
Di sinilah kami menemui satu lagi kelebihan menarik B10. Model ini sangat sesuai untuk aktiviti perkhemahan (camping).
Pertama, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) membolehkan tenaga daripada bateri kenderaan digunakan untuk menghidupkan pelbagai peralatan elektrik seperti kipas, lampu, komputer riba dan banyak lagi.
Selain itu, tempat duduk hadapan boleh direbahkan hampir rata untuk dijadikan ruang rehat. Malah, mod perkhemahan (Camping Mode) membolehkan pendingin hawa serta beberapa sistem elektronik terus beroperasi ketika kenderaan berhenti.
Dari segi praktikaliti, B10 menawarkan ruang yang cukup mengagumkan.
But belakang mempunyai kapasiti 430 liter dan boleh diperluaskan sehingga 1,700 liter apabila kerusi belakang dilipat. Di bahagian hadapan pula terdapat ruang simpanan tambahan atau frunk berkapasiti 25 liter.
Selain itu, terdapat lebih 22 ruang simpanan di seluruh kabin. Bagi sebuah SUV keluarga, ruang yang ditawarkan sememangnya luas dan praktikal untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.
Dalam masa sama, kami turut mencuba mod pemanduan yang tersedia.
Terdapat empat pilihan mod pemanduan iaitu:
Mod Sport ternyata memberikan respons yang sangat pantas. Kuasa dan tork disalurkan dengan lebih agresif, menjadikannya sesuai untuk memotong kenderaan dengan lebih yakin.
Model ini juga dilengkapi sistem regenerative braking yang boleh dilaraskan kepada tiga tahap iaitu Low, Medium dan High. Fungsi ini membantu menukarkan tenaga ketika membrek kepada tenaga elektrik untuk dicas semula ke dalam bateri, sekali gus meningkatkan kecekapan tenaga.
Selesai sesi rakaman, kami menuju ke destinasi terakhir iaitu Bistro Cascata di Cyberview Resort & Spa untuk makan tengah hari dan menamatkan sesi media drive kali ini.
Di sinilah kami merumuskan pengalaman sepanjang hari bersama Leapmotor B10 sambil menikmati hidangan Itali yang cukup menyelerakan.
Sebelum memulakan perjalanan pulang ke Kota Damansara, kami sempat merakam beberapa keping gambar kenang-kenangan di Cyberview Resort & Spa sebagai simbolik berakhirnya program ini. Kami tiba semula di Kota Damansara sekitar jam 4 petang.
Secara keseluruhan, kami benar-benar menikmati sesi pandu uji kali ini. Walaupun jarak perjalanan agak jauh, Leapmotor B10 berjaya memberikan tahap keselesaan yang sangat baik sehingga langsung tidak terasa meletihkan.
Dengan kabin yang luas, teknologi moden, ciri keselamatan lengkap serta pengalaman pemanduan yang selesa, B10 membuktikan bahawa ia mampu menjadi pilihan menarik dalam segmen SUV elektrik keluarga.
Kami di Roda Panas ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Cik Adreena dan Encik Keegan atas jemputan serta peluang untuk memandu uji Leapmotor B10.
Semoga kita berjumpa lagi pada sesi pandu uji akan datang.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
“Handsome wei kereta ni!”, “Lawa dohh!”, “Uish, cantik warna dia!” dan “Perghh, GR Corolla kan?!”
Itulah antara reaksi spontan yang keluar daripada mulut sahabat-sahabat penulis ketika pertama kali melihat Toyota GR Corolla ini secara langsung. Belum sempat kereta ini dipandu, imejnya yang dimuat naik di laman media sosial Roda Panas sudah menerima pelbagai pujian. Malah, ada juga yang mahu menetapkan appointment dengan penulis semata-mata untuk melihatnya dari dekat.
Dalam satu ayat, pengalaman pertama melihat Toyota GR Corolla ini boleh digambarkan sebagai jatuh cinta pandang pertama.
Hampir semua yang melihat kereta ini memberikan reaksi positif. Ada yang berpendapat Toyota GR Corolla sudah tampil cukup lengkap dan tidak perlu dimodifikasi lagi. Ada juga yang mengatakan ia sesuai untuk golongan ‘abah-abah’ yang memerlukan sebuah kereta untuk keluarga, tetapi pada masa sama masih mahu menikmati prestasi sebuah kereta sukan.
Tidak kurang juga sahabat penulis yang berkemampuan dan menyatakan hasrat untuk menjadikannya sebagai kereta harian. Persoalannya, adakah sebuah jentera berprestasi seperti Toyota GR Corolla benar-benar sesuai digunakan setiap hari?
Itulah yang ingin penulis rasai sendiri sepanjang sesi pandu uji kali ini.
Seawal jam 10 pagi, penulis tiba di ibu pejabat UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. di Seksyen 15, Shah Alam untuk mengambil Toyota GR Corolla ini.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Zoe Seng daripada Rantau PR dan Cik Hanis daripada Toyota yang membantu menguruskan proses sesi pandu uji ini.
Pada awalnya, penulis agak risau mengenai tahap keselesaan kabin disebabkan saiz fizikal penulis yang agak besar. Melihat rekaan tempat duduknya yang seakan-akan kerusi bucket dari luar membuatkan penulis terfikir sama ada ruangnya terlalu sempit atau kurang selesa untuk perjalanan jauh.
Namun, tanggapan itu berubah sebaik sahaja penulis duduk di dalamnya. Posisi pemanduan masih boleh disesuaikan dengan baik dan kerusi semi-bucket Brin Naub yang digunakan memberikan sokongan badan yang cukup selesa.
Bagi individu berbadan besar seperti penulis, perkara itu sememangnya memberikan sedikit kelegaan.
Keterujaan mula bertambah sebaik sahaja enjin dihidupkan. Bunyi deruman yang terhasil cukup untuk memberikan gambaran bahawa ini bukan Corolla biasa.
Toyota GR Corolla ini dikuasakan oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang menghasilkan kuasa 300 PS pada 6,500 rpm serta tork maksimum 400 Nm antara 3,000 hingga 5,550 rpm.
Kuasa tersebut disalurkan kepada keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-FOUR. Pembeli diberikan pilihan antara transmisi manual pintar enam kelajuan iMT atau transmisi automatik lapan kelajuan GR-DAT.
Kedua-dua varian mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 230 km/j. Bagi memastikan prestasi enjin berada pada tahap terbaik, penggunaan petrol minimum RON97 disyorkan.
Sebelum memulakan perjalanan, seperti biasa penulis mengambil sedikit masa untuk menelaah paparan meter dan sistem infotainmen yang disediakan.
Toyota GR Corolla hadir dengan meter digital bersaiz 12.3 inci, paparan head-up, skrin audio 10 inci serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Susun atur paparan cukup mudah difahami dan tidak mengambil masa lama untuk dibiasakan. Maklumat penting berkaitan pemanduan juga dapat dilihat dengan jelas tanpa terlalu mengganggu fokus pemandu.
Keluar sahaja dari ibu pejabat UMW Toyota Motor di Seksyen 15, penulis terus memasuki Lebuhraya Persekutuan untuk merasai sendiri pengalaman mengharungi kesesakan menggunakan kereta berprestasi dengan transmisi manual ini.
Secara jujurnya, pengalaman memandu GR Corolla dalam trafik tidaklah seteruk yang dibayangkan. Pergerakan klacnya agak lembut, penukaran gear lancar dan posisi pemanduan juga selesa.
Walaupun ia sebuah kereta berprestasi tinggi, Toyota masih mengekalkan tahap keselesaan yang munasabah untuk kegunaan harian. Bagi individu berbadan besar seperti penulis, ruang dan posisi pemanduannya masih boleh diterima dengan baik.
Bagi varian automatik GR-DAT pula, GR Corolla 2026 menawarkan mod manual dengan susunan tuil gaya sequential. Tuil perlu ditolak ke hadapan untuk menurunkan gear dan ditarik ke belakang untuk menaikkan gear, sama seperti susunan yang sering digunakan dalam jentera perlumbaan.
Salah satu komponen penting yang membentuk karakter GR Corolla ialah sistem pacuan semua roda GR-FOUR.
Sistem tersebut hadir dengan tiga tetapan utama. Mod Normal menggunakan agihan kuasa 60:40 untuk pemanduan harian, manakala mod Gravel menawarkan agihan 50:50 bagi permukaan yang mempunyai tahap cengkaman lebih rendah.
Mod Track pula mampu mengubah agihan tork secara aktif antara 60:40 hingga 30:70, bergantung kepada input pemandu serta keadaan semasa kenderaan.
Keupayaan pengendaliannya turut diperkukuh menerusi penggunaan Torsen LSD pada gandar hadapan dan belakang. Sistem suspensinya pula menggunakan topang MacPherson di hadapan serta konfigurasi double wishbone di belakang yang menerima talaan khusus daripada bahagian GR.
Gabungan tersebut membantu meningkatkan kestabilan, kawalan serta keyakinan ketika kereta melalui selekoh.
Berbanding model 2023, Toyota GR Corolla 2026 bukan sahaja menerima pilihan transmisi automatik, malah turut hadir dengan beberapa peningkatan penting.
Tork enjinnya meningkat daripada 370 Nm kepada 400 Nm, manakala kuasa maksimum kekal pada 300 PS.
Bahagian hadapan turut direka semula dengan penggunaan gril Matrix v2 bagi membantu meningkatkan aspek aerodinamik dan penyejukan. Ia turut disokong oleh penambahbaikan pada sub-radiator, sistem aliran udara serta kipas penyejuk.
Seiring peningkatan tersebut, harga varian manual turut meningkat daripada RM355,000 kepada RM368,950.
Destinasi penulis pada hari tersebut ialah Banting, Selangor menerusi laluan yang biasa digunakan setiap hari untuk ke tempat kerja.
Bagaimanapun, laluan perjalanan dilencongkan sedikit melalui Lebuhraya Persekutuan kerana Lebuhraya KESAS tidak begitu sesak ketika sesi pandu uji berlangsung.
Sebaik tiba di plaza tol, penulis mengambil peluang untuk merasai sendiri tindak balas dan penghantaran tork yang ditawarkan oleh enjin tiga silinder turbo ini.
Memang mengujakan.
Kuasa disampaikan dengan pantas, pertukaran gear terasa lancar dan setiap tekanan pada pedal pendikit membuatkan kereta ini terasa cukup hidup. Walaupun hanya dinikmati dalam tempoh singkat, karakter prestasinya mudah membuatkan pemandu mahu terus berada di belakang stereng.
Sepanjang perjalanan, ruang kabin GR Corolla boleh dianggap agak senyap. Namun, terdapat sedikit bunyi daripada tayar yang masuk ke dalam kabin.
Perkara itu masih boleh diterima kerana tayar yang digunakan lebih menjurus kepada pemanduan berprestasi tinggi.
GR Corolla dipadankan dengan rim Enkei bersaiz 18 inci dan tayar Yokohama Advan Apex V601 berukuran 235/40R18.
Sistem breknya pula menggunakan cakera berliang dan beralur bersama angkup monoblok empat piston di hadapan serta dua piston di belakang. Gabungan tersebut memberikan tahap keyakinan yang lebih baik, terutama ketika mengawal sebuah jentera dengan prestasi seperti ini.
Setibanya di Banting, penulis singgah sebentar di sebuah masjid sekitar Kampung Bandar untuk menunaikan solat Jumaat.
Pada awalnya, timbul juga sedikit kebimbangan untuk meletakkan kereta ini di ruang parkir biasa. Dari sudut fizikal, GR Corolla kelihatan agak lebar, terutama dengan rekaan badan lebar pada bahagian belakang.
Namun, selepas mencubanya sendiri, saiz tersebut tidak terlalu menyukarkan proses parkir. Ruang parkir biasa masih praktikal untuk digunakan dan dimensi kereta ini mudah dijangka dari tempat duduk pemandu.
Selesai menunaikan solat, perjalanan diteruskan melalui beberapa jalan kampung sekitar Banting untuk merasai sendiri tindak balas sistem suspensinya di atas permukaan jalan yang kurang rata.
Tidak dinafikan, talaan suspensinya terasa sedikit keras. Namun, perlu difahami bahawa GR Corolla merupakan sebuah kereta berprestasi yang memerlukan talaan suspensi sesuai untuk kestabilan dan kawalan pada kelajuan tinggi.
Bagi penulis, tahap kekerasan tersebut bukanlah masalah besar. Unsur keselesaan masih wujud dan kereta ini masih selesa digunakan di atas jalan biasa.
Selepas selesai melalui laluan kampung, penulis meneruskan perjalanan kembali ke pejabat untuk merekodkan semua maklumat yang diperoleh sepanjang sesi pandu uji.
Dalam perjalanan pulang, penulis sempat merasai sendiri penghantaran kuasa GR Corolla pada kelajuan yang sedikit lebih tinggi, namun masih dalam lingkungan had kelajuan kebangsaan.
Tekanan pada pedal pendikit terus disambut dengan kuasa yang pantas. Daya G yang terhasil dapat dirasai dengan jelas, manakala kawalan badan kekal stabil dan meyakinkan.
Suspensi talaan GR dengan topang MacPherson di hadapan, double wishbone di belakang serta Torsen LSD pada kedua-dua gandar memainkan peranan penting dalam memastikan kereta kekal seimbang, khususnya ketika melalui selekoh.
Selain prestasi enjin dan pengendalian, sistem penyejukan GR Corolla turut menerima beberapa peningkatan.
Kipas penyejuk berprestasi tinggi digunakan untuk mengoptimumkan aliran udara dan memastikan suhu enjin kekal terkawal, termasuk ketika kereta dipandu secara agresif.
Varian automatik turut dilengkapi penyejuk minyak transmisi ATF yang menggunakan gabungan sistem berasaskan air dan udara untuk mengekalkan suhu transmisi pada tahap optimum.
Rekaan fender hadapan yang lebih lebar bukan sahaja memberikan penampilan lebih berotot, malah membantu menguruskan aliran udara bagi meningkatkan kestabilan serta kawalan.
Pada bahagian hadapan, gril Matrix v2 bersama sub-radiator yang ditambah baik membantu mengurangkan rintangan udara. Udara turut disalurkan dengan lebih terus bagi meningkatkan kecekapan penyejukan dan memastikan suhu enjin kekal optimum.
Satu lagi elemen yang mudah menarik perhatian ialah sistem ekzos tiga muncung yang menjadi identiti utama GR Corolla.
Konfigurasi tersebut bukan sekadar untuk penampilan. Ia membantu menyokong output enjin yang lebih tinggi, selain menghasilkan bunyi ekzos yang lebih garang.
Sistem ini dilengkapi injap dan aktuator ekzos yang akan terbuka bagi mengurangkan tekanan balik ketika enjin menghasilkan kuasa tinggi. Pada putaran enjin lebih rendah, sistem tersebut turut membantu menghasilkan karakter bunyi yang lebih jelas dan mengujakan.
Begitulah pengalaman sehari bersama Toyota GR Corolla. Rasa keterujaannya masih kekal walaupun selepas kereta dipulangkan.
Ia mempunyai rupa yang menarik perhatian, prestasi yang mengujakan serta karakter pemanduan yang membuatkan pemandu mahu terus berada di belakang stereng. Pada masa sama, Toyota GR Corolla masih menawarkan keselesaan dan praktikaliti yang membolehkannya digunakan sebagai sebuah kereta harian.
Untuk pasaran Malaysia, Toyota GR Corolla 1.6 M/T ditawarkan pada harga RM368,950, manakala varian 1.6 A/T pula berharga RM378,950.
Perbezaan harga antara kedua-dua varian ialah RM10,000. Pembeli boleh memilih sama ada mahu mengekalkan pengalaman pemanduan manual sepenuhnya atau mendapatkan kemudahan transmisi automatik lapan kelajuan GR-DAT.
Walaupun berada dalam segmen 250cc, Honda CBR250RR tampil sebagai salah satu model paling lengkap dan berprestasi dalam kelasnya.
Dibangunkan dengan fokus terhadap prestasi, ketangkasan dan teknologi, jentera dua silinder ini bukan sekadar motosikal untuk “beginner” ia juga sebuah motosikal yang sesuai untuk penunggang berpengalaman yang mencari pakej sportbike berskala kecil.
Ujian kali ini melibatkan laluan Shah Alam – Banting – Morib – Sepang – KLIA- Saujana Putra – Banting, merentasi lebuh raya KESAS, WCE,ELITE, SKVE dan jalan pesisir yang beralun.
Pemilihan laluan ini bertujuan menilai kestabilan, respon suspensi, karakter enjin, serta keselesaan tunggangan dalam pelbagai kondisi — dari kelajuan tinggi dan jalan beralun
Walaupun menawarkan ergonomik sportbike, riding triangle CBR250RR cukup ergonomik untuk penunggang berbadan besar.
Dengan berat penunggang sekitar 125kg, posisi menunggang kekal neutral – tidak terlalu menunduk, tetapi cukup agresif untuk kawalan optimum.
Ketinggian tempat duduk 790mm dan tangki yang direka dengan rekaan ergonomik memberi sokongan baik untuk jarak jauh.
CBR250RR dijana oleh enjin 249.7cc DOHC Parallel-Twin, penyejukan cecair, dengan teknologi Throttle-by-Wire yang membolehkan tiga mod tunggangan: Comfort, Sport, dan Sport+.
Dalam mod Comfort, penyaluran kuasa lembut dan progresif.
Mod Sport memberi sedikit lebih punch di RPM pertengahan, manakala Sport+ mengaktifkan sepenuhnya kuasa dan respon enjin, menghasilkan pengalaman tunggangan paling agresif.
Apa yang ketara, transisi antara mod adalah pantas dan terasa, bukan sekadar gimmick.
Dalam mod Sport+, penunggang dapat menikmati respons throttle yang tajam dan RPM yang naik dengan lebih pantas.
Dengan berat penunggang 128kg, top speed yang berjaya dicapai ialah 170 km/j dalam keadaan angin neutral dan jalan rata.
Ini menunjukkan kecekapan enjin dua silinder yang mampu memberikan kuasa konsisten walaupun di RPM tinggi.
Penunggang dengan berat lebih ringan berpotensi mencecah angka lebih tinggi membuktikan CBR250RR bukan sekadar gaya, tetapi hadir dengan prestasi yang padu.
Sistem suspensi depan USD Showa SFF-BP dan lengan ayun aluminium belakang digabungkan dengan kerangka keluli diamond-type yang ringan dan rigid.
Tindak balas suspensi sangat responsif, terutama ketika mengambil selekoh di kawasan beralun antara laluan Morib sehingga ke Bagan Lalang melalui jalan pesisir pantai, membuktikan set up dari kilang sudah cukup sempurna.
Dengan pakej lengkap dari segi enjin, casis, aerodinamik dan teknologi, CBR250RR adalah benchmark dalam kategori sportbike dua silinder 250cc.
Ia memberikan pengalaman menunggang hampir setanding dengan model middleweight, menjadikannya pilihan ideal untuk penunggang yang inginkan pakej lengkap di antara keselesaan dan kuasa.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Yamaha Kini Miliki 300 Pusat YQS, Rangkaian Servis Motosikal Terbesar di Malaysia
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) terus memperkukuh pengalaman pemilikan motosikal Yamaha menerusi pengembangan...