Wave Alpha 2025
Boon Siew Honda (BSH) sekali lagi mencuri perhatian peminat motosikal tempatan dengan memperkenalkan warna baharu untuk model popular mereka, Honda Wave Alpha 2025.
Moped 110cc ini kini tampil lebih segar dengan empat pilihan warna baharu iaitu Perak, Biru, Merah, dan Hitam, sesuai untuk pelbagai cita rasa.
Dari segi prestasi, Honda Wave Alpha 2025 terus mengekalkan keunggulannya dengan enjin 109.2cc yang dilengkapi teknologi Programmed Fuel Injection (PGM-FI).
Enjin ini bukan sahaja memberikan kuasa yang cekap tetapi juga memastikan penggunaan bahan api yang lebih ekonomi – menjadikannya pilihan ideal untuk kegunaan harian.
Kelebihan Lain
Tangki petrol berkapasiti 4.1 liter, cukup untuk perjalanan jauh tanpa perlu kerap mengisi minyak. Tidak ketinggalan, ruang utiliti seluas 7.3 liter yang praktikal untuk menyimpan barangan peribadi seperti jaket atau keperluan lain.
Bagi mereka yang sering berulang-alik atau membuat perjalanan jarak dekat, ciri ini pastinya sangat membantu.
Untuk pengalaman menunggang yang lebih selesa, Honda Wave Alpha menampilkan tempat duduk yang lebih luas, memberikan keselesaan maksimum kepada penunggang dan pembonceng, sama ada untuk perjalanan singkat atau jarak jauh.
Harga Mengikut Warna
Model ini ditawarkan pada dua julat harga yang berbeza bergantung kepada warna. Warna Perak, Biru, dan Merah dijual pada harga bermula RM5,309, manakala pilihan warna Hitam hadir dengan harga lebih rendah iaitu RM5,259.
Harga yang kompetitif ini, bersama reka bentuk menarik dan ciri praktikal, menjadikan Honda Wave Alpha pilihan utama di kalangan pengguna motosikal di Malaysia.
Pakej Waranti
Sebagai tambahan, setiap pembelian Honda Wave Alpha disertakan dengan pakej waranti selama dua tahun atau jarak perbatuan sehingga 20,000km. Bergantung kepada mana yang dicapai dahulu.
Ini memberikan ketenangan minda kepada pembeli kerana mengetahui pelaburan mereka dilindungi oleh jaminan pengeluar.
Dengan pelancaran warna baharu ini, Honda Wave Alpha 2025 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu moped paling digemari di pasaran.
Sama ada untuk pelajar, pekerja, atau pengguna yang mencari motosikal lasak dan menjimatkan. Model ini tetap relevan dengan keperluan masa kini.
Dari Careta
Baca Juga Honda dan Nissan Akan Bergabung Menjelang 2025
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.