Dalam dunia automotif yang semakin didominasi oleh kenderaan elektrik (EV), dua gergasi Jepun, Honda dan Nissan, mengambil langkah besar dengan merancang untuk bergabung menjelang 2025.
Gabungan ini dijangka menjadikan mereka pengeluar kereta ketiga terbesar di dunia, di belakang Toyota dan Volkswagen. Langkah strategik ini bertujuan untuk mencabar dominasi Tesla dan menghadapi saingan sengit daripada pengeluar kenderaan elektrik China yang semakin berkembang.
Bergabung untuk Bertahan – Honda dan Nissan Perkukuh Kedudukan
Keputusan ini tidak datang tanpa alasan kukuh. Bagi Nissan, gabungan ini adalah peluang untuk keluar dari krisis kewangan dan cabaran ketidakstabilan keuntungan.
Selepas kerjasama strategiknya dengan Renault gagal, syarikat itu menghadapi penurunan operasi sehingga 94% pada separuh pertama tahun 2024. Ini memaksa Nissan mengurangkan pengeluaran sebanyak satu perlima dan memberhentikan 9,000 pekerja.
Honda pula berada dalam kedudukan yang lebih kukuh, tetapi tetap menyedari keperluan untuk mempercepatkan inovasi bagi kekal relevan dalam pasaran EV global.
Penggabungan ini membolehkan kedua-dua syarikat mengoptimumkan kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta mempercepatkan peralihan kepada teknologi elektrik dengan memanfaatkan kepakaran masing-masing.
Ads
Gabungan Kepakaran: Honda dan Nissan Siap Tawan Pasaran EV
Kekuatan Honda dan Nissan saling melengkapi. Honda terkenal dengan kejuruteraan hibrid yang cemerlang, manakala Nissan memiliki pengalaman luas dalam menghasilkan EV secara besar-besaran seperti Nissan Leaf.
Dengan menggabungkan kelebihan ini, kedua-dua syarikat dapat mencipta model EV baharu yang mampu menarik pelbagai segmen pengguna. Dari yang mencari teknologi premium hingga pengguna yang mahukan kenderaan mampu milik.
Selain itu, Mitsubishi, yang sudah menjadi sebahagian daripada pakatan sedia ada Nissan, turut menyertai penggabungan ini. Dengan sokongan Mitsubishi, kerjasama ini menjadi lebih kukuh, menawarkan pesaing serius kepada Tesla.
Visi Honda dan Nissan bukan sekadar untuk menghasilkan EV, tetapi untuk menyediakan kenderaan yang lebih mampu milik. Satu aspek di mana Tesla masih bergelut. Gabungan ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan dalam pengeluaran dan menyampaikan EV berkualiti tinggi pada harga yang lebih berpatutan.
Ads
Cabaran Penggabungan – Mampukah Honda dan Nissan Berjaya?
Namun, gabungan ini bukan tanpa risiko. Sejarah penggabungan dalam industri automotif menunjukkan kejayaan dan kegagalan. Seperti kegagalan gabungan Daimler-Benz dengan Chrysler pada 1998, serta keretakan hubungan strategik Nissan-Renault.
Untuk memastikan kejayaan, Honda dan Nissan perlu menyelaraskan budaya korporat mereka yang berbeza dan menyatukan strategi dengan harmoni. Fokus tambahan juga akan diberikan kepada pembangunan teknologi bateri canggih dan pemanduan autonomi. Dua bidang yang memerlukan pelaburan besar.
Di samping itu, gabungan ini membuka peluang baru dalam aplikasi perisian dan tenaga boleh diperbaharui. Membantu kedua-dua syarikat untuk kekal kompetitif dalam pasaran yang semakin berkembang.
Ads
Menjadi Saingan Utama Tesla
Gabungan Honda dan Nissan ini berpotensi mengubah landskap industri automotif. Dengan memanfaatkan kelebihan masing-masing, mereka berpeluang untuk tidak hanya menyaingi Tesla tetapi juga menangani persaingan dari pengeluar kenderaan China. Jika strategi ini berjaya, penggabungan ini mungkin menjadi titik perubahan besar dalam sejarah industri automotif.
Bugatti memperkenalkan Brouillard, sebuah one-off hypercar yang dinamakan sempena kuda kesayangan Ettore Bugatti.
Nama ini merupakan simbol minat pengasas jenama mewah Perancis ini terhadap dunia ekuestrian.
Brouillard menjadi model pertama yang lahir dari divisi baharu Bugatti, iaitu Solitaire.
Berbeza dengan program Sur Mesure, Solitaire menawarkan tahap personalisasi lebih ekstrem, dengan pengeluaran hanya dua unit setahun.
Setiap kenderaan dibina berasaskan casis dan trenkuasa Bugatti sedia ada, tetapi diolah dengan sentuhan seni yang benar-benar unik.
Di balik rekaan dramatik ini, tersimpan enjin W16 8.0 liter quad-turbo yang menghasilkan 1,578hp.
Kuasa luar biasa ini disejukkan melalui sepasang salur udara besar pada bumbung kaca.
Struktur aluminium dan gentian karbon memastikan ketegaran optimum, manakala “tulang belakang” tengah yang menyerupai Bugatti Chiron memberikan identiti visual tersendiri.
Brouillard mengekalkan DNA Bugatti seperti gril berbentuk tapal kuda dan elemen C-shape pada sisi badan yang diinspirasi daripada tandatangan Ettore Bugatti.
Lampu hadapan mirip model Mistral, diffuser belakang gentian karbon, serta ekzos berkembar bertingkat di bawah lampu belakang berbentuk V mendatar holografik melengkapkan rupa agresifnya.
Menurut Frank Heyl, Pengarah Rekaan Bugatti:
“Brouillard tidak menekankan garisan tajam, sebaliknya menampilkan permukaan reflektif yang menyerupai otot seekor kuda terlatih.”
Tema kuda diterjemahkan ke dalam kabin dengan siluet Brouillard pada panel pintu dan tempat duduk.
Jahitan corak plaid turut digunakan pada stereng.
Gabungan carbon fiber berwarna hijau, fabrik tenunan khas dari Paris, serta tombol gear aluminium dengan ukiran kuda miniatur di dalam kaca menjadikan kabin ini bak galeri seni bergerak.
Harga rasmi tidak diumumkan, namun Bugatti memberi isyarat ia berada dalam julat tujuh digit ke atas.
Hakikatnya, sebagai sebuah one-off rolling sculpture, nilainya lebih kepada eksklusiviti dan status, bukan sekadar angka.
Bugatti Brouillard akan membuat debut umum di Monterey Car Week, California, minggu hadapan.
Frank Heyl sendiri akan hadir untuk menjelaskan falsafah di sebalik karya one-off ini.
Volvo Car Malaysia mengumumkan jualan eksklusif sebanyak 100 unit kenderaan terpakai premium menerusi program Volvo Selekt Malaysia dengan harga bermula serendah RM153,000.
Tawaran istimewa ini melibatkan unit daripada flit korporat serta kenderaan demo rasmi pengedar Volvo di seluruh negara yang berada dalam keadaan sangat baik dan dijaga mengikut piawaian ketat pengeluar.
Program ini memberi peluang kepada pelanggan untuk memiliki kenderaan premium Volvo pada harga lebih kompetitif tanpa perlu menunggu tempoh penghantaran yang panjang seperti pembelian model baharu.
Semua unit kini tersedia di bilik pameran Volvo terpilih di Malaysia untuk dilihat dan dipandu uji oleh pelanggan yang berminat.
Berbeza dengan pasaran kereta terpakai biasa setiap unit di bawah program Volvo Selekt Malaysia menjalani pemeriksaan teknikal ketat melibatkan 125 titik pemeriksaan oleh juruteknik bertauliah Volvo.
Pemeriksaan ini memastikan semua komponen utama termasuk sistem keselamatan enjin brek dan elektronik berada dalam keadaan terbaik sebelum diserahkan kepada pelanggan.
Selain pemeriksaan menyeluruh setiap kenderaan juga menerima kemas kini perisian terkini bagi memastikan prestasi serta ciri keselamatan berada pada tahap optimum.
Volvo turut memastikan penggunaan alat ganti tulen bagi mengekalkan standard kualiti serta ketahanan jangka panjang setiap model yang ditawarkan.
Langkah ini memberi keyakinan tambahan kepada pembeli terutama mereka yang mahukan pengalaman pemilikan kereta premium tanpa perlu membayar harga penuh sebuah model baharu.
Salah satu tarikan utama dalam kempen ini ialah tahap perbatuan yang sangat rendah bagi kebanyakan unit yang ditawarkan.
Terdapat model yang hanya mencatatkan sekitar 7,000 kilometer manakala keseluruhan unit dalam flit ini tidak melebihi 16,000 kilometer.
Keadaan tersebut menjadikan kebanyakan kenderaan masih berada dalam kondisi hampir baharu sekali gus memberikan nilai pembelian yang lebih tinggi kepada pelanggan.
Setiap unit juga disertakan dengan baki waranti lima tahun tanpa had perbatuan daripada Volvo serta bantuan kecemasan jalan raya selama 24 jam.
Pelanggan turut menikmati sambungan perkhidmatan digital Volvo yang membolehkan beberapa fungsi pintar digunakan dengan lebih mudah termasuk akses maklumat kenderaan dan ciri keselamatan moden.
Program Volvo Selekt Malaysia turut menawarkan beberapa model elektrik penuh dan SUV premium paling popular keluaran Volvo.
Model SUV kompak elektrik Volvo EX30 ditawarkan pada harga bermula RM153,000 menjadikannya antara model EV premium paling menarik dalam pasaran ketika ini.
Bagi pelanggan yang mahukan gaya crossover moden model Volvo EC40 pula boleh dimiliki pada harga bermula RM183,000.
Kedua-dua model ini sesuai untuk pengguna urban yang mengutamakan teknologi keselamatan canggih serta pengalaman pemanduan mesra alam.
Selain itu Volvo XC60 yang merupakan antara SUV paling laris jenama tersebut ditawarkan pada harga bermula RM249,000.
Model ini terkenal dengan gabungan keselesaan prestasi dan reka bentuk premium yang sesuai digunakan sebagai kenderaan keluarga mahupun kegunaan harian.
Bagi mereka yang memerlukan ruang lebih luas Volvo XC90 tujuh tempat duduk turut tersedia pada harga bermula RM283,000.
Volvo juga menawarkan model EV flagship mereka iaitu EX90 dengan harga bermula RM339,000 untuk pelanggan yang mahukan teknologi keselamatan serta elektrifikasi paling moden daripada jenama Sweden itu.
Volvo mempunyai sejarah panjang dalam industri automotif tempatan sejak awal tahun 1960-an dan kini memiliki rangkaian 14 pengedar di seluruh negara.
Volvo Car Manufacturing Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1967 juga merupakan antara kilang pemasangan automotif paling lama beroperasi di Malaysia.
Pada tahun 2016 Malaysia menjadi pasaran pertama di luar Sweden yang melakukan pemasangan tempatan bagi model XC90 PHEV.
Pengalaman luas dalam pemasangan tempatan ini memastikan standard kualiti Volvo sentiasa berada pada tahap global.
Bagi membantu pelanggan membuat keputusan mengenai penggunaan EV Volvo turut menyediakan alat pengiraan kos petrol dan elektrik menerusi laman web rasmi mereka.
Alat ini membolehkan pengguna membandingkan kos penggunaan harian kenderaan semasa dengan model elektrik Volvo.
Memandangkan tawaran ini hanya melibatkan 100 unit sahaja pelanggan yang berminat disarankan supaya segera mengunjungi bilik pameran Volvo berhampiran untuk melakukan pandu uji dan tempahan.
Program Volvo Selekt Malaysia ini dijangka mendapat sambutan tinggi kerana menawarkan peluang memiliki kereta premium dengan harga lebih berpatutan serta perlindungan waranti lengkap daripada pengeluar rasmi.
GAZOO Racing (GR) secara rasmi memperkenalkan GRMN Corolla, sebuah model edisi terhad yang dibangunkan sebagai versi paling ekstrem dalam keluarga GR Corolla.
Model ini bukan sekadar menerima peningkatan kosmetik, sebaliknya melalui proses pembangunan menyeluruh menerusi penyertaan dalam perlumbaan Super Taikyu Series serta sesi ujian intensif di litar Nürburgring, Jerman.
GRMN Corolla dibangunkan bagi menghasilkan keserasian antara pemandu dan jentera yang lebih tinggi, terutama ketika kereta dipandu sehingga ke had maksimum.
Pembangunan GRMN Corolla tercetus daripada pendirian Pengerusi Toyota Motor Corporation merangkap Toyota Master Driver, Akio Toyoda atau lebih dikenali sebagai Morizo.
Menurut beliau, sesebuah model yang menggunakan nama GRMN perlu mempunyai kemampuan sebenar untuk dipandu secara agresif di Nürburgring.
Litar tersebut terkenal dengan permukaan yang tidak sekata, perubahan ketinggian, selekoh berkelajuan tinggi dan keadaan jalan yang memberikan tekanan besar kepada casis, suspensi serta sistem pacuan.
Melalui ujian berulang kali di Nürburgring, pasukan pembangunan berjaya menghasilkan sebuah kereta yang lebih mudah dikawal pada pelbagai kelajuan, termasuk ketika melalui permukaan kasar dan selekoh berdaya-G tinggi.
Selain ujian di Jerman, GRMN Corolla turut diuji menerusi perlumbaan Super Taikyu Series di Jepun serta dinilai menggunakan simulator pemanduan berteknologi tinggi.
Maklumat dan pengalaman yang diperoleh sepanjang pembangunan GRMN Corolla turut digunakan untuk menambah baik GR Corolla versi produksi.
Sebagai contoh, GR Corolla model tahun 2026 menerima penggunaan pelekat struktur sepanjang 32.7 meter, meningkat sebanyak 13.9 meter berbanding sebelumnya bagi mengukuhkan struktur badan.
Toyota turut memasang saluran udara sejuk tambahan untuk mengurangkan peningkatan suhu udara kemasukan ketika kereta dipandu dalam keadaan beban tinggi.
Kedua-dua penambahbaikan tersebut merupakan hasil langsung daripada proses pembangunan dan ujian di Nürburgring.
Bagi memastikan keempat-empat tayar kekal mencengkam permukaan jalan ketika dipandu pada kelajuan tinggi, GRMN Corolla dilengkapi beberapa komponen aerodinamik eksklusif.
Antaranya ialah hud enjin dengan saluran udara, saluran udara pada bahagian fender, spoiler sisi hadapan serta sayap belakang boleh laras.
Komponen tersebut dibangunkan berdasarkan pengalaman Toyota mengendalikan GR Corolla berenjin hidrogen dalam perlumbaan Super Taikyu Series.
Sayap belakang GRMN Corolla mempunyai mekanisme pelarasan lima peringkat. Sudut sayap tersebut diuji dengan pelarasan sekecil satu darjah oleh pemandu profesional bagi mendapatkan tahap kestabilan dan daya mendap yang optimum.
Hud enjin, fender hadapan, spoiler sisi hadapan dan sayap belakang model ini turut dihasilkan menggunakan gentian karbon bagi membantu mengurangkan berat keseluruhan kenderaan.
GRMN Corolla menggunakan penyerap hentak monotube eksklusif pada bahagian hadapan dan belakang yang dilengkapi internal rebound spring.
Penyerap hentak hadapan menggunakan konfigurasi terbalik, manakala unit belakang dipasang secara menegak.
Sistem ini direka untuk meningkatkan cengkaman tayar bahagian dalam ketika mengambil selekoh, selain memberikan kestabilan lebih baik ketika melalui selekoh berkelajuan tinggi.
Memandangkan permukaan Nürburgring menghasilkan pergerakan suspensi menegak yang lebih besar berbanding kebanyakan litar biasa, pasukan pembangunan turut memberikan perhatian terhadap karakter bump stop.
Malah, jarak pergerakan penyerap hentak hadapan dan belakang dilaraskan sehingga ke tahap satu milimeter bagi mendapatkan keseimbangan terbaik.
GRMN Corolla dipadankan dengan tayar berprestasi tinggi Michelin Pilot Sport Cup 2 bersaiz 245/40ZR18.
Tayar tersebut adalah 10mm lebih lebar berbanding tayar 235/40R18 yang digunakan pada GR Corolla RZ model tahun 2026 untuk pasaran Jepun.
Ia dipasang pada rim forged berwarna Matte Bronze yang turut menerima logo GR.
Sistem stereng kuasa elektrik atau EPS juga diberikan talaan khusus supaya mampu menghasilkan bantuan stereng yang sesuai ketika kereta mengambil selekoh dalam keadaan daya-G tinggi.
Pada masa sama, sistem pacuan semua roda GR-FOUR menerima program kawalan eksklusif untuk mengoptimumkan agihan tork ke gandar belakang ketika bergerak lurus serta meningkatkan kestabilan semasa pemandu mula memusingkan stereng pada kelajuan sangat tinggi.
GRMN Corolla masih menggunakan enjin G16E-GTS bersesaran 1,618cc, tiga silinder sebaris dengan pengecas turbo dan intercooler.
Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 224 kW, manakala tork meningkat kepada 415 Nm, iaitu 15 Nm lebih tinggi berbanding GR Corolla biasa yang menghasilkan 400 Nm.
Pasukan pembangunan memberikan tumpuan terhadap peningkatan tork pada julat 3,600 hingga 4,800rpm kerana julat tersebut penting untuk pecutan keluar dari selekoh.
Toyota turut menggunakan pengalaman daripada program perlumbaan GR Corolla berenjin hidrogen untuk meningkatkan ketahanan dan prestasi komponen asas enjin pembakaran dalaman.
Bagi memastikan prestasi enjin kekal stabil ketika dipandu menggunakan pendikit penuh secara berterusan, GRMN Corolla dilengkapi sistem semburan intercooler selain saluran udara sejuk yang diperkenalkan pada GR Corolla 2026.
Model GRMN Corolla dua tempat duduk dipadankan dengan transmisi manual pintar iMT enam kelajuan jenis close-ratio.
Transmisi tersebut menawarkan nisbah gear yang lebih rapat untuk membantu enjin kekal berada dalam julat kuasa optimum, terutama ketika digunakan di litar.
Kuasa dihantar kepada keempat-empat roda menerusi sistem GR-FOUR active torque-split 4WD.
Sebagai sebahagian daripada usaha pengurangan berat secara menyeluruh, GRMN Corolla tidak dilengkapi tempat duduk belakang.
Langkah tersebut membantu mengurangkan berat sebanyak 30kg berbanding GR Corolla RZ manual, menjadikan berat keseluruhan GRMN Corolla sekitar 1,450kg.
Sebagai perbandingan, GR Corolla RZ manual mempunyai berat sekitar 1,480kg, manakala versi GAZOO Racing Direct Automatic Transmission mencatatkan berat sekitar 1,500kg.
Pengurangan berat ini memberikan GRMN Corolla nisbah kuasa kepada berat yang lebih baik, sekali gus meningkatkan tindak balas pecutan, pengendalian dan prestasi membrek.
Bahagian kabin turut menerima perubahan besar bagi membantu pemandu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan.
GRMN Corolla dilengkapi tempat duduk bucket penuh eksklusif yang dibangunkan berdasarkan posisi pemanduan kereta lumba dalam Super Taikyu Series.
Tempat duduk tersebut direka untuk menahan daya lateral yang tinggi, selain mempunyai panjang kusyen yang disesuaikan bagi memudahkan operasi pedal klac.
Strukturnya menggunakan bahan polimer diperkuat gentian kaca atau GFRP bagi membantu mengurangkan berat.
Toyota turut menguji tempat duduk berkenaan pada kereta lumba sebenar dan mendapatkan maklum balas daripada beberapa pemandu profesional, termasuk ketika mereka memakai topi keledar.
Papan pemuka dan tiang hadapan GRMN Corolla menerima kemasan flocked bagi mengurangkan pantulan cahaya serta mewujudkan suasana kokpit yang lebih fokus.
Bahagian papan pemuka penumpang pula dihiasi kemasan gentian karbon yang dibangunkan oleh Carbon Section di kilang Motomachi milik Toyota.
Antara perincian eksklusif lain ialah pelapik papan pemuka dengan tandatangan Morizo, kemasan Alumite Red pada panel pintu dan tombol gear serta plak nombor siri khas GRMN.
Model ini turut dilengkapi palang pengukuh belakang yang direka khusus untuk konfigurasi dua tempat duduk.
Pada bahagian luar, GRMN Corolla menggunakan lambang Toyota berwarna gelap, emblem GRMN khas serta warna badan Black Gravite.
Warna Gravel turut dirancang untuk ditawarkan di pasaran Amerika Utara dan Australia.
GRMN Corolla akan ditawarkan dalam jumlah terhad, dengan pasaran utama merangkumi Jepun, Amerika Utara dan Australia.
Untuk pasaran Jepun, Toyota merancang membuka permohonan rundingan pembelian menerusi aplikasi telefon pintar GR sekitar musim luruh 2026.
Jualan model tersebut dijadualkan bermula pada tahun 2027. Bagaimanapun, jumlah pengeluaran, harga rasmi dan perincian penuh bagi setiap pasaran masih belum diumumkan.
Selain GRMN Corolla dua tempat duduk, GAZOO Racing turut mengesahkan pembangunan GR Corolla MORIZO RR.
Model konsep tersebut dibangunkan sebagai versi prestasi tinggi lima tempat duduk dan akan menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan GAZOO Racing Direct Automatic Transmission.
Tarikh pelancaran serta spesifikasi penuh GR Corolla MORIZO RR masih belum diumumkan.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...