Menjelang musim perayaan Aidilfitri sudah pasti ramai yang akan memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman. Berita baik untuk pengguna lebuh raya, kerajaan telah mengumumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari bagi meringankan kos perjalanan rakyat yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut hari raya aidilfitri tahun ini.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, dengan kerajaan menanggung implikasi kewangan berjumlah RM21.03 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.
Kredit Foto : www.mkn.gov.my
Tempoh Diskaun Tol & Kenderaan Terlibat
Diskaun ini akan mula berkuat kuasa tepat jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) dan berakhir pada 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis).
Ia melibatkan semua kenderaan persendirian Kelas 1 di seluruh lebuh raya di Malaysia, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
Ads
Langkah ini dijangka memberi kelegaan kepada jutaan pengguna lebuh raya yang bakal bergerak serentak pulang ke kampung halaman, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos perjalanan terutama dalam keadaan harga bahan api dan kos sara hidup yang meningkat.
Lebih Jimat, Lebih Lancar Balik Raya
Dengan diskaun tol ini, perjalanan jauh menggunakan lebuh raya bukan sahaja lebih menjimatkan, malah memberi peluang kepada pengguna merancang perjalanan dengan lebih efisien terutamanya bagi mereka yang memandu jarak jauh merentas negeri.
Ads
Bagi pengguna jalan raya, inilah masa terbaik untuk merancang perjalanan awal, memastikan kenderaan berada dalam kondisi optimum, dan menikmati perjalanan pulang ke kampung dengan lebih lancar dan selamat.
Ads
Dikesempatan ini Roda Panas ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin. Semoga anda selamat sampai ke kampung halaman dan berhati-hati ketika memandu.
Petunjuk baharu mengenai model akan datang Proton, dikenali sebagai Proton AMA02, mula muncul apabila Feytech Holdings Berhad mengumumkan penerimaan kontrak bernilai RM96.83 juta untuk membekalkan sarung tempat duduk bagi model tersebut.
Pengumuman itu dibuat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Gosford Leather Industries Sdn Bhd, yang akan menjadi pembekal OEM rasmi untuk projek berkenaan. Kontrak itu mempunyai tempoh selama 84 bulan atau kira-kira tujuh tahun, dengan pengeluaran dijangka bermula pada suku keempat 2026.
Walaupun Proton masih belum mendedahkan identiti sebenar Proton AMA02, perkembangan terbaru ini memberi bayangan bahawa model tersebut kini semakin hampir memasuki fasa produksi besar-besaran.
Nama AMA02 bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan pemerhati industri automotif tempatan. Sejak beberapa tahun lalu, Proton sudah beberapa kali memberi bayangan mengenai pembangunan platform Advanced Modular Architecture atau AMA yang akan digunakan untuk beberapa model generasi baharu mereka.
AMA02 dipercayai menjadi model pertama daripada keluarga platform itu yang bakal memasuki pasaran. Berdasarkan laporan industri dan maklumat vendor sebelum ini, model tersebut dijangka hadir sebagai SUV kompak segmen A yang akan bersaing dalam kategori sama seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V.
Untuk Feytech, kontrak terbaru ini mengukuhkan lagi kedudukan syarikat tersebut sebagai antara pemain utama dalam industri pembuatan komponen dalaman automotif tempatan. Feytech sebelum ini memang mempunyai hubungan rapat dengan Proton dan sudah menjadi pembekal untuk beberapa model syarikat nasional itu sejak 2012.
Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Connie Go berkata kontrak tersebut menjadi satu lagi langkah penting dalam kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak. Selain membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran, ia juga memberi kestabilan pendapatan jangka panjang kepada syarikat.
Kontrak bernilai hampir RM97 juta itu dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan sepanjang tempoh perjanjian berlangsung.
Maklumat mengenai jadual pengeluaran Proton AMA02 sebenarnya sudah mula tersebar sebelum ini menerusi beberapa pengumuman vendor automotif lain. Namun pengesahan daripada Feytech memberikan gambaran lebih jelas bahawa projek tersebut kini sudah memasuki peringkat akhir sebelum pelancaran rasmi dilakukan.
Berdasarkan dokumen berkaitan kontrak, pengeluaran model itu dijangka bermula sekitar Oktober 2026. Ini secara tidak langsung memberi bayangan bahawa Proton mungkin memperkenalkan model tersebut sama ada penghujung tahun depan atau awal 2027.
Sekiranya AMA02 benar-benar dipasarkan sebagai Saga Cross, model tersebut berpotensi menjadi SUV paling murah dalam barisan Proton. Ketika ini, model SUV paling mampu milik jenama itu ialah X50 yang bermula sekitar RM86,000.
AMA02 pula dikatakan akan diposisikan di bawah X50 dengan sasaran harga sekitar bawah RM80,000. Strategi itu dilihat penting untuk membolehkan Proton bersaing secara terus dengan Perodua Ativa yang masih menjadi antara model crossover paling laris di Malaysia.
Selain itu, Proton juga dilihat mahu menarik pembeli sedan kompak yang kini semakin beralih kepada SUV dan crossover kerana faktor praktikaliti serta rekaan lebih moden.
Walaupun spesifikasi rasmi masih belum diumumkan, beberapa laporan sebelum ini menyebut Proton AMA02 mungkin menggunakan enjin 1.5 liter naturally aspirated yang sama seperti Proton Saga semasa.
Namun apa yang lebih menarik ialah kemungkinan model itu menerima sistem hibrid ringan atau teknologi elektrifikasi daripada Geely. Langkah tersebut selari dengan hala tuju Proton yang kini mula memberi perhatian terhadap teknologi lebih cekap tenaga dan rendah emisi.
Dalam masa sama, perkembangan ini juga menunjukkan industri vendor automotif tempatan masih memainkan peranan penting dalam pembangunan model baharu Proton. Selain Feytech, beberapa syarikat tempatan lain turut menerima kontrak berkaitan AMA02 termasuk pembekal sistem elektronik dan komponen mekatronik.
Bagi Feytech sendiri, syarikat itu kini bukan sekadar bergantung kepada Proton. Mereka juga sedang memperluaskan operasi bersama beberapa pengeluar automotif China termasuk Chery, Jaecoo dan Jetour menerusi program pemasangan tempatan di Malaysia.
Dengan semakin banyak petunjuk muncul daripada vendor dan rantaian bekalan automotif, Proton AMA02 kini dilihat semakin hampir menjadi realiti. Persoalannya sekarang cuma satu, bilakah Proton akan mula menunjukkan teaser rasmi untuk model crossover baharu mereka ini?
Yamaha Malaysia memperkenalkan tiga warna baharu bagi model kapcai popular, Yamaha EZ115, yang kini tampil lebih segar dan moden untuk tahun 2025.
Pilihan warna Biru, Kelabu dan Hijau itu memberi sentuhan baharu kepada model mampu milik ini, sekali gus menyasarkan penunggang muda yang mahukan motosikal ringkas tetapi bergaya.
Model berkenaan mula dijual di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara bermula 15 Disember 2025, dengan harga RM5,698 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.
Pembeli turut menerima kunci cakera keselamatan Yamaha bernilai RM100 sebagai hadiah tambahan.
Yamaha EZ115 dikuasakan enjin 114cc silinder tunggal SOHC dengan penyejukan udara, menghasilkan 6.4 kW pada 7,000 rpm serta tork 9.5 Nm pada 5,500 rpm.
Walaupun berkapasiti kecil, kuasa yang ditawarkan memadai untuk kegunaan harian seperti ulang-alik kerja, penghantaran ringan dan perjalanan dalam bandar.
Model ini terkenal dengan penyelenggaraan yang mudah serta penggunaan bahan api yang menjimatkan, menjadikannya pilihan sesuai untuk golongan muda, pekerja baharu dan mereka yang ingin motosikal kos rendah.
Satu kelebihan Yamaha EZ115 ialah ruang simpanan bawah tempat duduk yang luas. Pengguna boleh menyimpan peralatan asas seperti baju hujan, sarung tangan atau botol air tanpa masalah. Tempat duduk motosikal ini tersebut boleh dibuka dengan kunci utama, memudahkan akses tanpa perlu kunci tambahan.
Saiznya yang kompak dan ringan turut menjadikan EZ115 mudah dikawal, terutama untuk penunggang baharu yang memerlukan motosikal stabil dan tidak berat.
Dengan gabungan harga mampu milik, kos penjagaan rendah serta penggunaan petrol yang cekap, Yamaha EZ115 dilihat sebagai pilihan ideal untuk:
Penunggang muda lepasan SPM
Pekerja baharu yang mahukan motosikal harian
Pengguna yang memerlukan kapcai ringan dan mudah dikendalikan
Mereka yang inginkan motosikal praktikal tanpa ciri rumit
Secara keseluruhan, Yamaha EZ115 2025 tampil lebih menarik menerusi tiga warna baharu, sambil mengekalkan kelebihan yang membuatkan model ini diterima ramai: jimat, mudah jaga dan tahan lasak.
Dengan harga RM5,698 dan nilai tambah seperti kunci keselamatan percuma, EZ115 kekal sebagai kapcai pilihan untuk golongan muda yang mencari motosikal pertama, atau sesiapa sahaja yang mahukan kenderaan harian yang mudah dijaga dan diselenggara.
Musim 2024 MotoGP™ mencatat sejarah apabila Jorge Martin (Prima Pramac Racing) dinobatkan sebagai Juara Dunia MotoGP™ pertama daripada pasukan bebas atau ‘pasukan bukan pengeluar’.
Dengan kelebihan 24 mata menjelang perlumbaan penentu di Grand Prix Solidarity Barcelona. Martin menamatkan musim dengan tenang, mengungguli gelaran juara dunia dengan kelebihan 10 mata mengatasi Francesco Bagnaia.
Pencapaian ini menjadikan Martin pelumba bebas pertama yang menjuarai kelas premier sejak era 500cc. Kemenangan tersebut menjadi bukti ketabahan, konsistensi, dan kecemerlangan sepanjang musim bersama pasukan Pramac Ducati.
Martin mula mencipta nama di pentas dunia pada 2015 bersama Mapfre Mahindra selepas menjuarai Red Bull MotoGP Rookies Cup. Dalam musim sulungnya, beliau meraih mata pertamanya di Qatar dan menamatkan musim di kedudukan ke-17 keseluruhan.
Peningkatan berterusan membawa Martin ke Del Conca Gresini Moto3 pada 2017. Di mana beliau mengumpul sembilan kedudukan pole dan lapan podium. Namun, kemenangan pertama hanya tiba di perlumbaan penutup musim di Valencia.
Momentum itu diteruskan pada 2018, apabila Martin memenangi tujuh perlumbaan dan merangkul gelaran Juara Dunia Moto3™. Sebelum berpindah ke Moto2™ bersama Red Bull KTM Ajo.
Di Moto2™, Martin menunjukkan potensi besar dengan kemenangan sulung di Austria pada 2020. Walau bagaimanapun, pandemik Covid-19 menyebabkan beliau terlepas beberapa perlumbaan. Menggagalkan peluangnya untuk merebut gelaran dunia dalam kategori pertengahan.
Martin melangkah ke kelas premier bersama Prima Pramac Racing pada 2021. Dalam penampilan kedua, beliau mencipta kejutan dengan merebut posisi pole dan podium ketiga di GP Doha. Kemenangan MotoGP™ pertamanya hadir di GP Styria, menandakan debut luar biasa di kelas tertinggi meskipun berdepan kecederaan serius.
Musim 2023 menjadi titik tolak karier Martin apabila beliau muncul sebagai pencabar serius kepada juara bertahan, Francesco Bagnaia. Memperoleh gelaran “Sprint King” dengan tujuh kemenangan perlumbaan sprint, Martin mendekati gelaran dunia tetapi terlepas peluang akibat DNF di Valencia.
Martin memulakan 2024 dengan cemerlang, meraih kemenangan pertama di Portugal dan mengekalkan konsistensi luar biasa. Dalam 14 perlumbaan terakhir, beliau hanya terlepas podium sebanyak dua kali, menunjukkan ketabahan yang menjadi kunci kejuaraannya.
Di perlumbaan penutup di Barcelona, Martin hanya perlu menamatkan perlumbaan dalam kedudukan kesembilan untuk mengesahkan gelaran. Walaupun Bagnaia memenangi perlumbaan dengan sempurna, Martin menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, sekali gus memastikan dirinya sebagai Juara Dunia MotoGP™ 2024.
Petunjuk baharu mengenai model akan datang Proton, dikenali sebagai Proton AMA02, mula muncul apabila Feytech Holdings Berhad mengumumkan penerimaan kontrak bernilai RM96.83 juta untuk...