MATEC 2026 Kembali November Ini, Tumpu Teknologi Automotif, TVET dan Mobiliti Elektrik
Karnival MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026 kembali mewarnai kalendar automotif tempatan apabila dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dari 27 hingga 29 November ini.
Dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), penganjuran kali ini tampil dengan pendekatan lebih menyeluruh dalam memperkukuh ekosistem industri automotif Bumiputera, khususnya menerusi pembangunan keusahawanan, kemajuan teknologi dan mobiliti masa depan.
Mengangkat tema Drive the Future, MATEC 2026 memberi fokus kepada tiga aspirasi utama iaitu Future Automotive, TVET Excellence dan Electric Mobility, selaras dengan perkembangan industri automotif yang semakin beralih ke arah pendigitalan serta elektrifikasi.
Acara ini turut berperanan sebagai platform strategik yang menghubungkan usahawan, pemain industri, institusi kewangan dan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meneroka peluang perniagaan serta pembangunan kerjaya.
Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MATEC 2026 dirangka berasaskan lima teras utama bagi membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Bumiputera untuk meneroka segmen industri automotif yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Menurutnya, teras keusahawanan memberi penekanan kepada sesi padanan perniagaan, program pembangunan vendor serta peluang francais, manakala teras teknologi mengetengahkan pameran kenderaan elektrik (EV), mobiliti pintar dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor automotif.
Selain itu, MATEC 2026 turut menyediakan platform jaringan strategik antara agensi kerajaan dengan pemain industri, di samping program pembangunan bakat TVET menerusi sesi temu duga terbuka dan pertandingan kemahiran.
Aspek kelestarian industri juga diberi perhatian melalui pameran ekonomi kitaran serta penyediaan zon mobiliti hijau.
Pelbagai Aktiviti Automotif Menanti Pengunjung MATEC 2026
Bagi peminat automotif, MATEC 2026 turut menjanjikan pelbagai aktiviti menarik sepanjang tiga hari penganjurannya.
Antara tarikan di kawasan luar termasuk perhimpunan campervan dan motorhome, pameran kereta modifikasi serta pertunjukan drift.
Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai pilihan makanan menerusi Fantastic Food Festival by KakNab yang turut diadakan sepanjang acara berkenaan.
Sementara itu, ruang pameran dalaman bakal menampilkan koleksi model kereta mini diecast, perlumbaan Tamiya Mini 4WD, aktiviti kereta kawalan jauh (RC Play), cabaran simulator perlumbaan serta zon e-sukan.

Bagi graduan dan pencari kerja, sesi temu duga terbuka turut disediakan sebagai peluang meneroka kerjaya dalam sektor automotif dan industri berkaitan.
Penganjuran MATEC 2026 mendapat sokongan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) serta HRD Corp.
Selain itu, beberapa pemain industri dan rakan strategik seperti PETRONAS, MARii, Bateriku, Mannol, GGR Legacy, ZK Racing serta kelab permotoran tempatan turut memberikan sokongan terhadap acara berkenaan.

Masuk Percuma, Dibuka 10 Pagi Hingga 10 Malam
Orang ramai, khususnya peminat kereta dan motosikal, usahawan automotif serta graduan TVET, dijemput menghadiri MATEC 2026 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Karnival berkenaan akan dibuka mulai jam 10 pagi hingga 10 malam sepanjang 27 hingga 29 November 2026.
Kemasukan adalah percuma, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan perkembangan teknologi automotif, meneroka peluang kerjaya serta menyertai pelbagai aktiviti permotoran yang disediakan.
Baca Juga : Honda Civic EJ1 Coupe, Model Yang Jarang Ditemui di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


