Aprilia RSV4 Obscure Spe.Ed. Diperkenalkan, Terhad 500 Unit Seluruh Dunia
APRILIA memperkenalkan sebuah lagi jentera superbike edisi khas menerusi RSV4 Obscure Spe.Ed. yang dihasilkan sebanyak 500 unit sahaja di seluruh dunia, sekali gus memperkukuh kedudukan jenama Itali itu dalam segmen motosikal berprestasi tinggi.
Model yang membawa singkatan Special Edition itu dibangunkan berasaskan RSV4 Factory, namun menerima pelbagai penambahbaikan khususnya dari aspek aerodinamik, pengurangan berat dan komponen berprestasi tinggi yang diinspirasikan daripada jentera perlumbaan MotoGP.
Walaupun dibangunkan dengan memberi penekanan terhadap prestasi di litar, RSV4 Obscure Spe.Ed. masih diluluskan untuk kegunaan jalan raya serta dilengkapi tempat duduk dan pemijak kaki pembonceng sebagai kelengkapan standard.
Teknologi Aerodinamik MotoGP
Antara keistimewaan utama model berkenaan ialah penggunaan komponen aerodinamik jenis leg wings yang diperbuat daripada gentian karbon, sekali gus menjadikannya antara ciri paling menonjol pada superbike edisi khas ini.
Teknologi yang diadaptasi daripada jentera Aprilia RS-GP dalam saingan MotoGP itu dikatakan mampu meningkatkan daya tekanan ke bawah (downforce) pada bahagian belakang sehingga 20 peratus, sekali gus membantu meningkatkan cengkaman tayar belakang.
Komponen berkenaan dipasang pada kedudukan pemijak kaki pembonceng, dengan pendakap ekzos khas turut disediakan sebagai sebahagian daripada kit pemasangan.
Selain itu, RSV4 Obscure Spe.Ed. mengekalkan pakej aerodinamik yang dibangunkan menerusi ujian terowong angin seperti diperkenalkan pada RSV4 Factory 2025, yang didakwa mampu mengurangkan rintangan udara ketika bergerak lurus sehingga enam peratus.

Enjin V4 1,099cc, Kuasa Sehingga 220hp
Dari aspek mekanikal, RSV4 Obscure Spe.Ed. menggunakan enjin V4 bersesaran 1,099cc dengan konfigurasi sudut 65 darjah yang menghasilkan kuasa maksimum 217hp pada 13,000rpm serta tork 127Nm pada 10,800rpm.
Bagaimanapun, pemilik boleh meningkatkan prestasi jentera menerusi pemasangan sistem ekzos penuh Aprilia Racing Technology yang dilengkapi peredam bunyi gentian karbon SC-Project.
Penggunaan sistem ekzos pilihan itu membolehkan kuasa maksimum meningkat kepada 220hp, manakala tork bertambah kepada kira-kira 131.5Nm.
Aprilia turut menyifatkan model berkenaan sebagai antara superbike pengeluaran yang diluluskan untuk kegunaan jalan raya paling berkuasa di dunia.
Rim Gentian Karbon, Lebih Ringan
Bagi mengurangkan berat keseluruhan, Aprilia melengkapkan RSV4 Obscure Spe.Ed. dengan rim gentian karbon keluaran BST yang didakwa lebih ringan melebihi 2kg berbanding rim aluminium tempa pada RSV4 Factory.
Penggunaan material gentian karbon turut diperluaskan kepada beberapa komponen badan termasuk mud guard, panel sisi, pelindung pemijak kaki serta saluran penyejukan brek hadapan.
Hasilnya, jentera berkenaan mencatatkan berat 201kg dengan tangki bahan api diisi pada paras 90 peratus, iaitu lebih ringan 3kg berbanding RSV4 Factory.
Berat itu boleh dikurangkan lagi kepada 196kg sekiranya menggunakan sistem ekzos penuh Aprilia Racing Technology.

Suspensi Öhlins Boleh Laras Secara Mekanikal
Menariknya, Aprilia mengambil pendekatan berbeza dalam pemilihan sistem suspensi bagi model edisi khas ini.
Berbanding RSV4 Factory yang menggunakan suspensi separa aktif Öhlins, RSV4 Obscure Spe.Ed. dilengkapi fork Öhlins NIX bersaiz 43mm serta penyerap hentak belakang Öhlins TTX yang boleh dilaraskan sepenuhnya secara mekanikal.
Menurut Aprilia, konfigurasi tersebut lebih sesuai untuk penunggang yang mahu melakukan pelarasan suspensi secara terperinci mengikut karakter litar dan gaya tunggangan masing-masing.
Sementara itu, sistem pemberhentian menggunakan angkup brek monoblok Brembo Hypure bersama cakera hadapan bersaiz 330mm.
Kerangka model ini juga mengekalkan ciri pelarasan kedudukan kepala stereng, ketinggian enjin dan titik pangsi lengan ayun bagi membolehkan tetapan pengendalian disesuaikan mengikut keperluan.
Pakej Elektronik Lengkap
RSV4 Obscure Spe.Ed. turut dilengkapi sistem elektronik Aprilia Performance Ride Control (APRC) dengan enam mod tunggangan yang merangkumi tiga mod jalan raya dan tiga mod litar.
Antara kelengkapan elektronik standard yang disediakan termasuk:
-
Sistem ABS ketika mengambil selekoh (Cornering ABS)
-
Kawalan cengkaman boleh laras
-
Kawalan roda hadapan terangkat (Wheelie Control)
-
Kawalan brek enjin
-
Sistem penukaran gear pantas (Quickshifter)
-
Kawalan pelancaran (Launch Control)
-
Pengehad kelajuan di laluan pit
-
Sistem kawalan gelinciran (Slide Control)
Selain itu, pakej Race Pack membolehkan tetapan elektronik disesuaikan mengikut setiap selekoh di litar, manakala modul GPS bagi merekodkan masa pusingan turut disediakan.
Model ini juga dilengkapi sistem sambungan Aprilia MIA generasi keempat.

Penampilan Hitam Eksklusif, Setiap Unit Bernombor
Dari segi penampilan, RSV4 Obscure Spe.Ed. menggunakan kemasan serba hitam dengan gabungan permukaan berkilat dan matte serta komponen gentian karbon.
Tema warna sama turut diterapkan pada kerangka dan lengan ayun, menghasilkan penampilan lebih agresif serta menyerlahkan identiti jentera perlumbaan.
Sebagai pengesahan eksklusivitinya, setiap unit menerima ukiran laser yang memaparkan nama model dan nombor siri pada bahagian kepala kerangka.
Penghasilan yang dihadkan kepada 500 unit menjadikan RSV4 Obscure Spe.Ed. antara model istimewa dalam keluarga RSV4, khususnya untuk peminat superbike yang mahukan teknologi perlumbaan dalam sebuah jentera yang masih boleh digunakan di jalan raya.
Setakat ini, Aprilia masih belum mengumumkan harga rasmi serta jadual ketersediaan model berkenaan di pasaran United Kingdom. Maklumat mengenai kemungkinan penawarannya di Malaysia juga belum didedahkan.
Baca Juga : Honda Civic EJ1 Coupe, Model Yang Jarang Ditemui di Malaysia
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


