Honda Civic EJ1 Coupe Curi Perhatian di Honda Madness Klang
Di sebalik deretan jentera Honda yang memeriahkan acara Honda Madness di AEON Mall Bukit Tinggi, Klang, baru-baru ini, kelibat sebuah Honda Civic EJ1 Coupe berwarna merah berjaya mencuri perhatian penulis.
Bukan kerana pengubahsuaian ekstrem atau penampilan yang terlalu menonjol, sebaliknya jentera keluaran 1993 itu mempunyai beberapa keistimewaan yang menjadikannya agak berbeza daripada kebanyakan Honda Civic generasi kelima yang biasa dilihat di Malaysia.

Paling menarik ialah reka bentuk coupe dua pintu serta konfigurasi stereng sebelah kiri atau left-hand drive (LHD), sekali gus memberikan gambaran bahawa ia bukan model yang biasa ditemui di pasaran tempatan.
Bagi peminat Honda, Civic generasi kelima atau lebih dikenali dengan kod EG dan EJ sememangnya cukup popular, khususnya versi sedan empat pintu serta hatchback tiga pintu.
Bagaimanapun, versi coupe seperti ini boleh dianggap antara varian yang jarang dilihat di negara ini, apatah lagi dengan spesifikasi pasaran Amerika Syarikat.

Civic EX Coupe Untuk Pasaran Amerika Syarikat
Pemerhatian lebih dekat mendapati jentera berkenaan merupakan Honda Civic EX Coupe tahun 1993 yang menggunakan kod casis EJ1.
Perkara itu turut disokong oleh risalah spesifikasi Honda yang dipamerkan pada papan pemuka, selain plat pengenalan pada ruang enjin yang memaparkan nama Honda of America Mfg., Inc. serta tulisan ‘Made in U.S.A.’.
Mengikut spesifikasi asal, Civic EX Coupe ini hadir dengan enjin D16Z6 bersesaran 1.6 liter SOHC VTEC empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa 125 hp, dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan.

Lebih menarik, risalah berkenaan turut menunjukkan harga jualan model itu ketika baharu pada 1993 iaitu AS$13,550.
Antara kelengkapan yang ditawarkan ketika itu termasuk sunroof, power window, cermin sisi elektronik, cruise control dan beg udara pada bahagian pemandu.
Malah, penggunaan nombor pendaftaran California pada bahagian belakang turut menyerlahkan lagi identiti Amerika Syarikat yang dibawa jentera berkenaan.

Penampilan Asal Masih Menjadi Tarikan
Apa yang membuatkan Civic Coupe ini lebih menarik ialah keadaan keseluruhannya yang dilihat masih mengekalkan banyak ciri asal walaupun usianya sudah melebihi tiga dekad.
Daripada rekaan bampar, lampu hadapan dan belakang, kemasan sisi sehinggalah rim aloi lima jejari berlogo Honda, semuanya masih memperlihatkan identiti Civic era 1990-an.
Begitu juga bahagian kabin yang menampilkan susun atur papan pemuka yang masih standard, termasuk kedudukan stereng di sebelah kiri yang menjadi antara keistimewaan utama kereta ini.

Ruang enjinnya juga kelihatan kemas dengan beberapa komponen yang masih mengekalkan penampilan asal.
Menariknya, pemilik kereta ini turut mempamerkan risalah spesifikasi Honda yang membolehkan pengunjung mengetahui serba sedikit mengenai kelengkapan serta harga asal kereta berkenaan.

Dalam keadaan kebanyakan Civic generasi ini sering dikaitkan dengan budaya modifikasi, kehadiran sebuah unit yang masih mengekalkan penampilan hampir standard sememangnya memberikan tarikan tersendiri.
Walaupun Honda Civic EG dan EJ bukanlah model asing dalam kalangan peminat automotif tempatan, peluang melihat sebuah EJ1 Coupe dua pintu dengan konfigurasi stereng kiri bukan sesuatu yang mudah untuk kita lihat.

Kehadiran jentera ini pada acara Honda Madness sekali gus membuktikan bahawa model Honda ini masih mempunyai daya tarikan tersendiri, terutama apabila membabitkan varian yang jarang ditemui di Malaysia.
Baca Juga : Honda Bakal Perkenal Jentera Trophy Truck Berkuasa 1300hp
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


