Honda Passport Baja Spec, Raksasa 1,300hp Bakal Gegarkan Perlumbaan Baja
Honda Racing Corporation USA (HRC US) bakal memperkenalkan jentera perlumbaan lasak terbaharunya, Honda Passport Baja Spec, yang dibangunkan khusus untuk bersaing dalam kategori tertinggi Trophy Truck pada Kejuaraan SCORE World Desert Championship 2027.
Jentera dengan kuasa mencecah 1,300hp itu dijadualkan membuat penampilan sulung pada 29 Oktober 2026 menerusi satu acara tertutup di Downtown Los Angeles, Amerika Syarikat.
Majlis pengenalan tersebut akan dianjurkan oleh Menzies Motorsports bersama Race Service sebelum Honda Passport Baja Spec dipamerkan kepada umum buat kali pertama di reruai HRC sempena SEMA Show 2026 di Las Vegas, dari 3 hingga 6 November depan.
Dibangunkan Dengan Teknologi Perlumbaan Honda
Honda Passport Baja Spec dibangunkan dengan menggabungkan kepakaran teknologi permotoran Honda daripada pelbagai kejuaraan bertaraf dunia.
Antaranya termasuk Formula 1, IndyCar dan IMSA yang menjadi antara platform penting Honda dalam pembangunan teknologi serta kejuruteraan perlumbaan berprestasi tinggi.
Teknologi dan pengalaman tersebut kini dimanfaatkan dalam pembangunan jentera Trophy Truck yang bakal mengharungi cabaran perlumbaan padang pasir di Baja.
Bagi mengendalikan jentera berkuasa tinggi itu, Honda mempertaruhkan pelumba berpengalaman, Bryce Menzies, yang pernah menjuarai perlumbaan Baja 1000 sebanyak dua kali.
Menzies turut dikenali sebagai pemegang rekod dunia lompatan paling jauh menggunakan trak, iaitu sejauh 115.64 meter.
Honda Passport Baja Spec dijadualkan membuat penampilan sulung dalam perlumbaan sebenar pada SCORE Baja 500 edisi 2027.

Apa Itu Perlumbaan Baja?
Bagi yang kurang mengenali perlumbaan Baja, ia merupakan antara acara sukan permotoran off-road paling mencabar di dunia yang berlangsung di Semenanjung Baja California, Mexico.
Perlumbaan seperti Baja 1000 dan Baja 500 menguji ketahanan jentera serta kemahiran pemandu merentasi laluan padang pasir, kawasan berbatu, bukit pasir dan pelbagai permukaan tidak rata.
Berbeza dengan perlumbaan di litar biasa, peserta perlu mengharungi laluan jarak jauh dalam keadaan muka bumi yang sukar dijangka, sekali gus menuntut ketahanan mekanikal serta kemampuan pengendalian jentera pada tahap tertinggi.
Antara kategori paling berprestij ialah Trophy Truck yang menampilkan trak perlumbaan berkuasa tinggi dengan sistem suspensi khas untuk menghadapi permukaan lasak pada kelajuan tinggi.
Sejarah Panjang Honda Dalam Perlumbaan Baja
Penglibatan Honda dalam perlumbaan padang pasir Baja sebenarnya bermula lebih awal daripada penganjuran rasmi Baja 1000.
Pada 1962, dua perintis perlumbaan padang pasir yang juga pengedar Honda di Los Angeles, Dave Ekins dan Bill Robertson Jr., berjaya menunggang dua motosikal Honda CL72 dari Tijuana ke La Paz dalam tempoh hanya 39 jam 56 minit.
Pencapaian bersejarah itu menjadi antara inspirasi kepada perkembangan perlumbaan luar jalan di Semenanjung Baja, sekali gus menyumbang kepada kelahiran perlumbaan rasmi Baja 1000 pada 1967.
Sejak itu, Honda mencatatkan pelbagai kejayaan, termasuk 22 kemenangan keseluruhan dalam kategori motosikal, menjadikannya pengeluar motosikal paling berjaya dalam sejarah perlumbaan Baja.
Bagi kategori empat roda pula, program perlumbaan luar jalan Honda telah mengumpul 17 kemenangan kelas sejak 2015, termasuk empat kemenangan dalam Baja 1000 dan lima kejayaan di Baja 500.
HRC Terus Perkukuh Penglibatan Dalam Sukan Permotoran
Pembangunan Honda Passport Baja Spec turut memperlihatkan usaha HRC US memperluaskan kepakaran teknikalnya dalam pelbagai disiplin perlumbaan.
Organisasi yang mengendalikan program perlumbaan Honda dan Acura di Amerika Utara itu mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan enjin, casis, sistem elektronik serta komponen prestasi.
Sehingga kini, HRC US telah merekodkan lebih 500 kemenangan perlumbaan dan 60 kejuaraan siri menerusi pelbagai program sukan permotoran.
Dengan kemasukan Honda Passport Baja Spec ke kategori tertinggi Trophy Truck, Honda kini bersedia membuka lembaran baharu dalam sejarah penyertaannya di Baja, kali ini dengan jentera berkuasa 1,300hp yang bakal diuji dalam antara perlumbaan luar jalan paling mencabar di dunia.
Baca Juga : Honda Perkenal Komponen Prestasi HRC untuk Empat Model Terpilih
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


