Isi Kandungan
ToggleKLIMS 2024: Terokai Masa Depan Mobiliti di Pameran Automotif Utama Malaysia
Pameran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) bakal kembali dengan edisi ke-10. Acara ini akan bermula daripada 5 hingga 11 Disember 2024 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
Pameran ini memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri inovasi terkini dalam dunia mobiliti serta pelancaran model-model kereta baharu di pasaran Malaysia.
Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai cabutan bertuah untuk memenangi Toyota Yaris 1.5G Limited dan Perodua AXIA.
Tema “Beyond Mobility”: Fokus Masa Depan Industri Automotif
KLIMS 2024 yang dianjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) membawa tema “Beyond Mobility” dengan mempamerkan trend terkini dalam industri automotif.
Tahun ini, hampir 70 pempamer akan menyertai acara ini, mempamerkan kenderaan terkini, solusi mobiliti mesra alam, serta teknologi canggih dari jenama automotif terkemuka.
Pameran yang meliputi hampir 30,000 meter persegi ini menawarkan pengalaman inovasi dan keterlibatan yang menyeluruh untuk peminat automotif.
Menurut Presiden MAA, Mohd Shamsor bin Mohd Zain, “KLIMS 2024 berfungsi sebagai platform utama untuk industri automotif mempamerkan kemajuan terkini, sejajar dengan komitmen kerajaan Malaysia terhadap mobiliti mesra alam dan inovatif. Tema ‘Beyond Mobility’ kali ini selari dengan usaha negara untuk menggalakkan kenderaan elektrik dan infrastruktur pintar, yang menempatkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri automotif di Asia Tenggara.”
Sokongan Kerajaan dan Industri yang Kukuh
KLIMS 2024 turut disokong oleh pelbagai badan kerajaan dan industri seperti Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Persekutuan Automotif Malaysia (AFM), Persatuan Pengedar dan Pengeluar Motosikal Malaysia (MASAAM), dan Persatuan Pengeluar Komponen Automotif Malaysia (MACPMA).
Dengan sokongan Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), KLIMS 2024 mengukuhkan peranannya sebagai platform unggul untuk memperkenalkan sektor automotif Malaysia ke pasaran antarabangsa.
Debut Eksklusif, Hadiah Menarik, dan Pengalaman yang Tidak Dilupakan
Pameran tahun ini juga menganjurkan pertandingan fotografi media sosial yang menawarkan kad Touch ‘n Go edisi terhad bersama dua tiket masuk kepada 100 pemenang kreatif.
Acara ini akan memperlihatkan pelancaran eksklusif dari jenama besar seperti Perodua, Nissan, Toyota, Great Wall Motor, Kia, MG, dan Mazda, serta kereta konsep canggih yang diperkenalkan semasa majlis pembukaan.
Penggemar kereta boleh menikmati paparan kereta yang unik, pameran kereta klasik, dan himpunan die-cast.
Selain itu, pameran ini menampilkan empat kereta Ferrari F1 ikonik yang menunjukkan evolusi dari era Schumacher ke era moden Charles Leclerc.
Pengunjung juga boleh membeli model miniatur die-cast Ferrari yang eksklusif.
Cabutan Bertuah dan Pelbagai Hadiah Menanti
KLIMS 2024 juga turut menawarkan pelbagai hadiah menarik seperti 10 hari penggunaan Smart #1 oleh AVIS Malaysia sebagai hadiah kedua.
Selain itu, sebuah unit skuter-luggage elektrik dari Lite Elala sebagai hadiah ketiga.
Lebih menarik, terdapat juga HILEY Maxspeed X8 e-bike dari Eforge sebagai hadiah keempat.
Hadiah lain termasuk dashcam dari 70mai, hadiah misteri eksklusif dari Ferrari, beg cenderahati dari Carage, dan kad TnG edisi khas KLIMS 2024.
Pengalaman Menarik Bersama Rakan Strategik KLIMS 2024
Sepanjang acara, pelbagai rakan kerjasama akan menawarkan pengalaman menarik. Antaranya ialah:
- AFFIN – Penaja rasmi yang menyokong komitmen KLIMS 2024.
- CARSOME – Rakan Trade-In Rasmi yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan dan trade-in kenderaan.
- Motonation – Rakan Sokongan yang menggalakkan pertumbuhan komuniti automotif.
- AVIS Malaysia – Penyedia perkhidmatan E-Mobility dengan pengalaman EV mewah.
- JPJ dan MIROS – Menyediakan perkhidmatan mudah alih untuk pembaharuan lesen, pembayaran cukai jalan, dan penyelesaian saman dengan diskaun.
- Carage – Memberi cenderahati kain lap kereta sebagai hadiah kepada pengunjung bertuah.
Tiket dijual dengan harga bermula RM20.00 untuk dewasa dan RM10.00 untuk kanak-kanak berumur 13 tahun sehingga 17 tahun. Kanak-kanak dibawah umur 12 tahun boleh masuk secara percuma.
Penuntut universiti juga dikenakan bayaran RM 10.00 tetapi anda perlu menunjukkan kad pelajar anda.
Tiket boleh dibeli melalui laman sesawang : https://reg.klims.com.my/
Proton Digital Xperience Lokasi Lawatan Pembelajaran Sesuai Untuk Pelajar

Inisiatif PROTON DX berhasrat mengilhamkan minda 200 anak muda Malaysia dengan pengetahuan dan minat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) menjelang akhir 2024. Fokus pada pendidikan STEM diakui sebagai kunci utama untuk membangun kapasiti individu dan memajukan negara.
Diperkenalkan pada pertengahan 2023 melalui kolaborasi antara ACO Tech, PROTON, dan China Construction Bank (CCB), PROTON DX telah berubah wajah menjadi pusat digital otomotif yang paling inovatif di Malaysia.
PROTON DX tidak hanya menjadi pusat teknologi, tetapi juga bertindak sebagai wadah bagi generasi muda untuk menyelami dan mengembangkan kefahaman mereka dalam STEM.
Sejak dilancarkan, PROTON DX telah melaksanakan pelbagai program, termasuk Bengkel Kereta Robotik untuk Pelajar, yang telah menarik minat lebih dari 50 pelajar dari pelbagai sekolah sekitar Lembah Klang.
Antara initiatif Proton DX adalah Bengkel Kereta Robotik Pelajar bulanan yang menyasarkan pelajar sekolah menengah. Di bengkel ini, pelajar mempelajari asas-asas pemasangan dan pengaturcaraan kenderaan autonomi mini mereka sendiri menggunakan platform Arduino. Kejayaan bengkel ini, yang turut dihadiri oleh pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail, menunjukkan keberhasilan PROTON DX dalam membina ketertarikan terhadap STEM.
Keberadaan PROTON DX sebagai pusat pembelajaran digital dan teknologi menegaskan komitmen ACO Tech terhadap pembangunan pendidikan STEM di Malaysia. Menurut Encik Li Pu, Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, pentingnya STEM untuk kemajuan sebuah negara tidak boleh dianggap enteng. Dengan memperkenalkan teknologi kepada generasi muda, PROTON DX berusaha untuk meningkatkan literasi teknologi dalam kalangan bakal tenaga kerja masa depan.
PROTON DX juga menyediakan platform untuk kerjasama dengan entiti lain yang berminat untuk menjalankan program pendidikan STEM. Dengan fasiliti yang luas dan canggih, seperti Kokpit Virtual dan simulator pemanduan maya, PROTON DX menyajikan pengalaman pembelajaran yang unik dan menarik untuk pengunjung dari semua peringkat umur.
Pusat ini dibuka setiap hari bermula dari 10:00 pagi hingga 10:00 malam dan terletak di Aras Bawah (Ground Floor), Quill City Mall, 1018, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Untuk program kolaborasi, sekolah, universiti, perniagaan tempatan, dan rakan kongsi yang berpotensi, boleh menghubungi melalui protondx@acotech.my atau halaman Facebook atau Instagram mereka.
Melalui inisiatif seperti PROTON DX, Malaysia sedang bergerak ke arah yang betul dalam mempersiapkan bakat dalam bidang STEM, yang akan membawa impak positif bagi masa depan teknologi dan inovasi di negara ini.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Pameran International Automodified (IAM) & Malaysia Motor Expo (MME) 2024

Isi Kandungan
TogglePusat Konvensyen Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan peminat kereta dengan penganjuran International Automodified (IAM) dan Malaysia Motor Expo (MME) 2024.
Acara yang dinanti-nantikan ini akan mempersembahkan koleksi kereta yang diubah suai serta teknologi automotif terkini.
Paling menarik, pengunjung berpeluang memenangi sebuah Honda N-Box yang telah diubah suai! Dengan hanya membeli tiket masuk atau membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 untuk barangan rasmi IAM-MME 2024.

Anda mungkin menjadi pemenang bertuah yang memandu pulang kereta bernilai RM80,000 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans).
Penganjuran Sejak Tahun 2001
IAM, yang dikenali sebagai pertunjukan dan pertandingan pengubahsuaian kereta terbesar, akan mempamerkan 300 kereta terbaik dari Malaysia. Sejak 2001, IAM telah menjelajah lebih 38 bandar di Indonesia dan kini berkembang ke Malaysia, Singapura, dan Thailand.
Ribuan peminat kereta akan menyaksikan anugerah yang diberikan kepada kereta-kereta yang paling baik diubah suai dalam 100 kategori individu, termasuk gelaran King of IAM KL. Menariknya, IAM juga akan mengadakan pertunjukan sulung di Amerika Syarikat pada Ogos tahun ini.

Anugerah Kereta Terbaik Malaysia (COTY) 2024
Pada masa yang sama, IAM-MME 2024 turut meraikan ulang tahun ke-20 Anugerah Kereta Terbaik Malaysia (COTY), yang menghargai kenderaan terbaik yang dilancarkan pada 2024.
Kenderaan-kenderaan yang memenangi COTY 2023 juga akan dipamerkan, termasuk pemenang keseluruhan, Honda e-HEV Civic RS, serta model dari Volvo, Ford, BYD, Perodua, dan Cherry.
Selain pameran kenderaan, pengunjung juga dapat melihat produk, inovasi, dan perkembangan terbaru dalam teknologi automotif. Pelbagai pengeluar peralatan asli (OEM) dan pengedar kereta akan mempamerkan produk mereka.

Baca Juga : Model Terbaharu Honda Civic Hybrid 2025
Tahun ini, tumpuan juga diberikan kepada latihan vokasional yang membawa kepada pensijilan antarabangsa dalam kenderaan elektrik. Terdapat juga kenderaan yang tidak terdapat di bilik pameran rasmi, dibawa masuk oleh pengimport kenderaan bebas.
Anugerah COTY yang ke-20 ini memberikan penghargaan kepada kereta-kereta baru yang terbaik di Malaysia, iaitu model-model yang diperkenalkan antara 1 Ogos 2023 dan 31 Julai 2024.
Panel penilai terdiri daripada wartawan automotif berpengalaman dan profesional yang akan menilai kereta berdasarkan reka bentuk, teknologi, keselamatan, dan nilai untuk wang.

Tahun ini, kategori baru diperkenalkan untuk mengiktiraf pencapaian dalam elektrifikasi kenderaan dan hartanah mesra EV yang bakal dilancarkan.
Harga Tiket
Tiket untuk IAM-MME 2024 dijual pada harga RM32 dan boleh dibeli secara dalam talian di https://www.ticket2u.com.my/event/34477?r=r124 atau di kaunter tiket di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut, layari www.internationalautomodified.com dan www.malaysiamotorexpo.com. Kemasukan adalah percuma untuk kanak-kanak di bawah umur 10 tahun, dengan syarat mereka ditemani oleh seorang dewasa.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
133,714 Saman JPJ Dikeluarkan dalam Ops Khas Kenderaan Perdagangan

Isi Kandungan
ToggleJabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menjalankan operasi besar-besaran sepanjang bulan Oktober dengan fokus pada kenderaan perdagangan. Dalam operasi yang diberi nama Ops Khas Kenderaan Perdagangan ini, sebanyak 133,714 saman telah dikeluarkan ke seluruh negara.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan, JPJ telah memeriksa sejumlah 526,215 kenderaan perdagangan sepanjang tempoh operasi sebulan ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 69,379 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. JPJ juga telah menyita sebanyak 551 kenderaan yang didapati melanggar peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Dalam sidang media di Kilometer 1, Jalan Sitiawan-Manjung, Muhammad Kifli mengingatkan bahawa operasi ini adalah untuk memastikan semua kenderaan perdagangan mematuhi undang-undang dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Turut hadir pada sidang media itu adalah Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.

79 Pemandu Positif Dadah, Lesan Boleh Digantung
Sebagai langkah keselamatan tambahan, JPJ bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk melakukan ujian urin terhadap 1,713 pemandu kenderaan perdagangan. Hasilnya, 79 orang pemandu berusia antara 22 hingga 55 tahun didapati positif dadah, terutamanya jenis methamphetamine.
Muhammad Kifli turut menyatakan bahawa saringan kedua akan dilakukan untuk mengesahkan keputusan ini. Sekiranya masih positif pada saringan kedua, tindakan penggantungan lesen memandu akan diambil oleh JPJ.
Langkah ini diambil untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta memastikan pemandu kenderaan perdagangan berada dalam keadaan sesuai untuk memandu.
Pelekat Agensi Penguatkuasa Disalahgunakan
Dalam operasi yang sama, JPJ telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Caldina yang disyaki membawa bungkusan dadah.
Lebih mengejutkan, kenderaan itu didapati mempunyai pelekat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ pada cermin hadapannya. Tindakan ini dipercayai dilakukan bagi mengelak kenderaan itu daripada ditahan oleh pihak penguat kuasa.
Namun, usaha itu sia-sia apabila kenderaan tersebut tetap diperiksa dan hasil saringan urin menunjukkan pemandu serta penumpangnya positif dadah.

Muhammad Kifli mengingatkan orang awam supaya tidak menyalahgunakan pelekat agensi penguatkuasa untuk mengaburi pihak berkuasa. Beliau menekankan bahawa tindakan akan tetap diambil walaupun kenderaan itu mempunyai pelekat agensi berkuasa.
“Pemandu yang positif dadah itu cuba mengundur kenderaan yang boleh mengundang kemalangan, tetapi berjaya ditahan oleh penguatkuasa JPJ. Kami minta orang ramai untuk tidak salah guna pelekat tersebut kerana tiada kompromi akan diberikan jika didapati bersalah,” katanya.
Usaha Berterusan JPJ Menjaga Keselamatan Jalan Raya
Keselamatan di jalan raya adalah keutamaan JPJ, dan tindakan tegas yang diambil sepanjang Ops Khas ini menunjukkan komitmen JPJ dalam membanteras salah laku di jalan raya. Terutamanya melibatkan kenderaan perdagangan. Langkah ini bukan hanya untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya, tetapi juga untuk memastikan pemandu kenderaan perdagangan mematuhi peraturan dan menghindari daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
JPJ berharap agar tindakan ini dapat memberi kesedaran kepada pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan untuk lebih berdisiplin dan menghormati peraturan yang ditetapkan.
Dari Harian Metro
Baca Juga JPJePlate – Rekaan Gaya Eropah, Berharga RM98
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.