Kove 450R dan 800X GT Kini Ditawarkan dari RM33,888
Pasaran motosikal tempatan terus berkembang dengan kehadiran satu lagi pemain baharu dari China, apabila Kove Moto secara rasmi membuat kemunculan sulung di Malaysia menerusi acara Kove Brand and New Model Launch 2025 yang berlangsung di KEV Advenduro, Rawang. Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan jenama baharu, tetapi turut menandakan permulaan era baharu bagi motosikal berprestasi tinggi yang ditawarkan pada harga mampu milik.
Walaupun baru ditubuhkan pada tahun 2017, Kove Moto bukan nama asing dalam dunia dua roda global. Diasaskan oleh seorang peminat perlumbaan tegar di China, jenama ini tampil dengan falsafah “Focus on Performance” membina motosikal yang ringan, berkuasa dan dibangunkan untuk prestasi.
Dengan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D), rekabentuk serta pembuatan di bawah satu bumbung, Kove menonjol sebagai antara jenama baru yang agresif. Sejak penubuhannya, Kove sudah membina reputasi kukuh di pentas antarabangsa dengan penyertaan dalam perlumbaan besar seperti Dakar Rally dan World Supersport Championship, sekali gus membuktikan kemampuan teknologi serta kejuruteraan mereka setanding pengeluar global lain.
Kini, kehadirannya di Malaysia membuka peluang baharu untuk penunggang tempatan merasai kejuruteraan China yang dibangunkan khusus untuk pasaran antarabangsa dan bukan sekadar jenama ‘murah’, tetapi sebuah pengeluar yang fokus pada prestasi dan daya tahan.
MDua Motor Dilantik Sebagai Pengedar Eksklusif
Untuk pasaran tempatan, Kove Moto akan dikendalikan oleh MDua Motor Sdn Bhd, subsidiari kepada AFY Mobility Industries (AMI). Syarikat ini dilantik sebagai pengedar tunggal dan eksklusif bagi semua model Kove di Malaysia.
Kerjasama strategik ini bukan sahaja melibatkan urusan pengedaran, tetapi turut memastikan pelanggan mendapat jaminan perkhidmatan selepas jualan menyeluruh, termasuk penyediaan alat ganti asli, waranti rasmi dan khidmat teknikal bertauliah.
Walaupun kesemua model Kove yang diperkenalkan ketika ini adalah import sepenuhnya (CBU), pihak AMI memaklumkan bahawa rancangan untuk pemasangan tempatan (CKD) sedang dirangka bagi masa hadapan. Langkah ini dijangka dapat menurunkan harga jualan dan memperkukuh sokongan perkhidmatan di seluruh negara, seiring piawaian global jenama Kove.
Ads
Kove 450R – Naked Bike 4-Silinder yang Mengancam
Model pertama yang mencuri tumpuan ialah Kove 450R, jentera naked empat silinder yang menjadi bualan di serata dunia sejak diperkenalkan. Dikuasakan oleh enjin 443cc, empat silinder sebaris, model ini mampu menghasilkan 65.3hp dan tork 40Nm, dengan berat hanya 164kg menjadikannya antara motosikal paling ringan dan berkuasa dalam kelasnya.
Gabungan itu membolehkan Kove 450R mencapai kelajuan maksimum 205km/j, memberikan pengalaman tunggangan agresif dan lincah, sesuai untuk penunggang yang mencari adrenalin tulen di jalan raya mahupun di litar.
Selain reka bentuk sporty dengan lampu depan LED yang tampak moden, 450R turut dilengkapi paparan digital penuh, sistem brek cakera berkembar serta suspensi hadapan terbalik (USD fork). Dengan harga RM33,888 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans), model ini jelas menawarkan pakej prestasi tinggi pada nilai luar biasa.
Kove 800X GT – Motosikal Adventure Premium dengan Kuasa 97hp
Turut diperkenalkan ialah Kove 800X GT, model pengembaraan (adventure) yang dibina untuk ketahanan dan keselesaan jarak jauh. Ia dikuasakan oleh enjin dwi-silinder sebaris 799cc, menghasilkan 97hp dan tork 80Nm, dipadankan dengan sistem throttle elektronik (ride-by-wire) serta pilihan multi riding mode.
Ads
Untuk keselesaan optimum, Kove 800X GT menggunakan suspensi KYB berkualiti tinggi, tangki bahan api besar untuk perjalanan jauh, dan sistem brek ABS dwi-saluran. Berat kering sekitar 195kg memastikan pengendalian kekal stabil walaupun ketika membawa beban tambahan.
Model ini juga direka dengan ergonomik pengembaraan tempat duduk dua lapis, pelindung angin tinggi serta tayar dwi-guna untuk pelbagai jenis permukaan jalan.
Harga jualan rasmi ditetapkan pada RM48,888, dan sebagai penghargaan kepada pelanggan awal, 20 pembeli pertama akan menerima set kotak sisi (pannier box) eksklusif secara percuma.
Kini Dipamer di Petaling Jaya
Bagi peminat yang ingin melihat sendiri kehebatan Kove, semua model termasuk 450 Rally, 450R dan 800X GT kini boleh didapati di AMI Bumirai Showroom, PJ222 Petaling Jaya.
Ads
Kehadiran Kove Moto di Malaysia menjadi simbol permulaan baharu dalam landskap dua roda negara. Ia bukan sekadar memperkenalkan jenama baharu, tetapi menawarkan alternatif sebenar kepada penunggang yang mencari motosikal berprestasi tinggi tanpa perlu membayar harga premium.
Dengan strategi jangka panjang AMI dan reputasi global Kove yang semakin kukuh, jenama ini dilihat berpotensi besar untuk menjadi antara pemain utama dalam segmen sport naked dan adventure di rantau Asia Tenggara.
BMW G 310 RR Limited Edition Dilancar di India Hanya 310 Unit Sahaja
BMW Motorrad meraikan kejayaan jualan lebih 10,000 unit model sportbike G 310 RR dengan memperkenalkan BMW G 310 RR Limited Edition. Hanya 310 unit sahaja akan dihasilkan, menjadikan ia edisi sangat eksklusif dengan nombor pengenalan unik 1/310 pada badan motosikal. Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Cosmic Black dan Polar White, digabungkan dengan grafik istimewa yang diinspirasikan daripada jentera prestasi tinggi BMW.
Fokus Pasaran India Sahaja
Model ini dilancarkan khusus untuk pasaran India bermula 26 September 2025, pada harga ₹299,000. Walaupun pasaran global, BMW buat masa ini hanya memasarkan model naked G 310 R di Malaysia.
BMW G 310 RR Hadir Dengan Enjin 312cc
BMW G 310 RR Limited Edition mengekalkan asas teknikal daripada model standard. Ia dikuasakan oleh enjin 312cc, satu silinder, sejukan cecair, suntikan bahan api elektronik, menghasilkan kuasa sekitar 33 hp pada 9,700 rpm dan tork 20 Nm pada 7,700 rpm. Dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan serta slipper clutch anti-hopping, enjin ini direka untuk prestasi yang lancar, sama ada di jalan raya mahupun di litar.
Teknologi dan Ciri Premium
Walaupun bersaiz kecil, G 310 RR dibangunkan dengan elemen daripada jentera supersport ikonik S 1000 RR. Ia dilengkapi:
Sistem ride-by-wire untuk respons pendikit lebih tepat
ABS dua saluran untuk keselamatan membrek optimum
Paparan TFT 5-inci dengan pelbagai informasi tunggangan
Mod tunggangan – Track, Urban, Rain, Sport
Suspensi hadapan fork terbalik dan swingarm aluminium dengan penyerap hentak terus
Tayar Michelin Pilot Street radial sebagai kelengkapan standard
Kesemua ini memberi pengalaman tunggangan yang jauh lebih matang daripada sekadar motosikal permulaan.
BMW G 310 RR Limited Edition merupakan pengiktirafan terhadap pasaran India yang telah memainkan peranan besar dalam kejayaan model ini. Dengan gabungan rekaan ikonik, ciri teknologi moden dan eksklusiviti tinggi, ia menonjol sebagai motosikal sport kecil yang penuh aspirasi.
Namun adakah model ini bakal masuk ke pasaran Malaysia?
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan keputusan penting kerajaan mengenai masa depan penggunaan bahan api gas asli mampat (NGV) bagi kenderaan di Malaysia.
Bermula 1 Julai 2025, mana-mana kenderaan NGV tidak lagi dibenarkan untuk didaftar atau dilesenkan di jalan raya Malaysia. Langkah ini bertujuan bagi meningkatkan keselamatan pengguna dan masyarakat amnya.
Selain itu, kerajaan memutuskan bahawa PETRONAS akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat hingga penamatan penuh mulai tarikh tersebut. Keputusan ini dibuat berdasarkan beberapa faktor utama. Terutamanya keselamatan pengguna kenderaan NGV.
NGV Bakal ditamatkan pada Julai 2025 – Foto Careta
Jangka Hayat Tangki NGV
Sejarah penggunaan NGV menunjukkan kemuncak pemasangan kit kenderaan NGV berlaku antara tahun 1995 hingga 2014. Kebanyakan kenderaan NGV kini menghampiri fasa akhir hayat tangki mereka, iaitu sekitar 15 tahun. Jika tangki ini tidak diganti, risiko kegagalan fungsi dan kemalangan maut akan meningkat.
Di samping itu, terdapat pengguna yang melakukan ubah suai berbahaya dengan menggunakan silinder gas LPG, yang tidak sesuai dan boleh menyebabkan letupan. LPG hanya mampu menahan tekanan rendah berbanding tangki NGV yang direka khas untuk tekanan tinggi.
Selain kos penggantian komponen NGV yang tinggi, alat ganti tulen NGV semakin sukar diperoleh di pasaran. Situasi ini mendorong segelintir pengguna menggunakan tangki terpakai atau ubah suai tidak diiktiraf. Ini boleh mengancam nyawa mereka dan orang sekeliling.
Anthony Loke memerhati terminal NGV di Stesen minyak PETRONAS – The Malaysian Reserve
Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV
Sehubungan dengan ini, kerajaan memperkenalkan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV untuk membantu pemilik kenderaan NGV beralih kepada bahan api lain. Program ini merangkumi tiga pakej:
Pakej Bantuan One-Off untuk Pemandu Teksi NGV Pemandu teksi NGV yang layak akan menerima bantuan e-baucar bernilai RM3,000 melalui aplikasi Setel. Bantuan ini hanya terbuka kepada pemandu berdaftar yang aktif antara 1 Januari 2024 hingga 30 September 2024. Pemandu yang mendaftar selepas 30 September 2024 tidak layak memohon. Pembayaran akan dilakukan dalam masa 15 hingga 30 hari bekerja selepas permohonan berjaya.
Pakej Menanggalkan Kit NGV Pemilik kenderaan dwi-bahan api NGV yang berdaftar dengan JPJ layak mendapat pakej ini. Semua kos penanggalan akan ditanggung sepenuhnya, dan proses ini hanya boleh dilakukan di bengkel berdaftar. Pakej ini terbuka kepada kenderaan aktif yang didaftarkan antara 1 Oktober 2021 hingga 30 September 2024.
Pakej Bantuan Peralihan bagi Kenderaan Bahan Api Tunggal NGV Pakej ini menyediakan pembayaran one-off berdasarkan nilai semasa kenderaan NGV tunggal. Pemilik perlu menyerahkan kenderaan mereka untuk dilupuskan di fasiliti berlesen AATF dan membatalkan pendaftaran di JPJ. Proses ini bertujuan mengelakkan salah guna dan ubah suai haram.
Permohonan untuk pakej bantuan ini boleh dibuat melalui laman sesawang rasmi, www.peralihanngv.com, dengan tarikh tutup seperti berikut:
Bantuan Pemandu Teksi NGV: 31 Disember 2024
Bantuan Kenderaan Dwi-bahan Api: 30 April 2025
Bantuan Kenderaan Bahan Api Tunggal: 31 Disember 2024
Selepas 1 Julai 2025, bekalan runcit NGV akan dihentikan sepenuhnya di Malaysia. Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang tersebut atau hubungi khidmat pelanggan di Mesralink, 1 800 88 8181.
Dalam usaha memastikan ketelusan dan integriti semasa menjalankan tugas, anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal dilengkapi dengan kamera badan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan langkah ini bertujuan memperkukuhkan keberkesanan penguatkuasaan, terutamanya dalam kes-kes melibatkan kenderaan berat.
Menurut laporan Bernama
Penggunaan kamera badan ini adalah inisiatif yang telah disarankan oleh Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli. Langkah ini bukan sahaja untuk meningkatkan keselamatan dan integriti pegawai bertugas tetapi juga untuk melindungi imej JPJ di mata masyarakat.
“Penggunaan kamera badan ini penting untuk memastikan imej dan integriti JPJ sentiasa terpelihara. Pada masa yang sama, ia juga melindungi anggota kita sendiri.
Kadangkala pegawai JPJ menjadi sasaran kritikan, penghinaan, dan tuduhan yang tidak berasas. Dengan adanya kamera badan, segala tindakan penguatkuasaan dapat dirakam sebagai bukti sekiranya diperlukan,” ujar Loke.
Operasi JPJ Di Malaysia
Sokongan Pelbagai Pihak
Langkah ini juga mendapat sokongan Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Operasi JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi. Beliau menyatakan bahawa penggunaan alat tersebut mampu meningkatkan tahap integriti dalam kalangan pegawai.
Ia turut membantu meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap JPJ selain mengurangkan salah faham yang sering berlaku semasa proses penguatkuasaan.
Perlaksanaan Segera
Anthony Loke turut menjelaskan bahawa pihaknya telah meminta Kementerian Pengangkutan untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi memastikan perolehan alat ini dapat dilaksanakan segera.
Beliau berharap agar langkah ini dapat direalisasikan secepat mungkin. Dengan sasaran melengkapkan anggota JPJ dengan peralatan tersebut sebelum penghujung tahun ini.
“Kami sedang berusaha mendapatkan peruntukan yang diperlukan agar kamera badan ini dapat diperoleh dalam tempoh terdekat. Saya berharap semua anggota JPJ akan dilengkapi dengan kamera badan pada tahun ini juga,” katanya.
Contoh Kamera Badan
Dengan pengenalan teknologi ini, JPJ dijangka dapat menjalankan tugas penguatkuasaan dengan lebih efisien dan profesional. Langkah ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada anggota bertugas tetapi juga memastikan setiap tindakan yang diambil dapat dipantau dan dipertanggungjawabkan.
Dalam masa yang sama, kepercayaan orang ramai terhadap jabatan ini dijangka akan meningkat. Menjadikan JPJ lebih dihormati sebagai badan penguatkuasa yang telus dan berintegriti.
Kawasaki Ninja 1100SX Dilancar di Malaysia, Sport-Touring Flagship Bermula RM71,400
Kawasaki Ninja 1100SX kini rasmi diperkenalkan di Malaysia, meneruskan legasi sport-touring moden dalam kelasnya.Evolusi ini...