Honda WR-V Dikemas Kini, RS Terima Kamera 360 Darjah dan Warna Dua Tona
Honda Malaysia melancarkan Honda WR-V versi dipertingkat untuk pasaran tempatan dengan beberapa pembaharuan pada aspek rekaan luaran, kemasan kabin dan kelengkapan.
Antara tarikan utama ialah pengenalan warna baharu Two-Tone Blazing Red Pearl yang ditawarkan eksklusif untuk varian RS, sekali gus memberikan penampilan lebih sporty dan menyerlah kepada SUV kompak berkenaan.
WR-V kekal menjadi model SUV paling mampu milik dalam barisan produk Honda Malaysia dan kini ditawarkan dalam tiga varian iaitu E, V dan RS.

Sejak diperkenalkan di pasaran tempatan pada 2023, lebih 24,000 unit Honda WR-V sudah berada di jalan raya Malaysia.
Honda WR-V Tampil Lebih Sporty
Dari sudut luaran, WR-V masih mengekalkan bentuk asalnya tetapi menerima beberapa sentuhan baharu untuk memberikan imej lebih segar.
Varian RS kini dilengkapi gril hadapan berwarna hitam, manakala pilihan Two-Tone Blazing Red Pearl menggabungkan warna badan merah dengan bumbung kontras.
Kesemua tiga varian turut menerima rim aloi hitam bersaiz 17 inci sebagai kelengkapan standard.
Varian WR-V RS Terima Kamera 360 Darjah
Bahagian kabin turut menerima beberapa peningkatan, khususnya untuk varian RS.
Antara kelengkapan baharu yang ditawarkan ialah lampu ambien merah, pengecas tanpa wayar dan kamera pandangan 360 darjah.
WR-V turut menerima tempat duduk kulit kombinasi yang dipertingkatkan, dengan jahitan merah tersedia pada varian tertentu.
Bahagian papan pemuka pula menggunakan kemasan Dark Steel bagi memberikan suasana kabin yang lebih moden.
Varian V dan RS dilengkapi sistem Display Audio bersaiz 10 inci yang menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar.

Walaupun bersaiz kompak, Honda WR-V menawarkan ruang bagasi berkapasiti 380 liter, selain tempat duduk belakang boleh dilipat dalam konfigurasi 60:40.
Ia turut menyediakan beberapa konfigurasi ruang seperti Utility Mode, Long Mode dan Tall Mode, sekali gus memudahkan pengguna membawa barangan dalam pelbagai bentuk dan saiz.
Enjin 1.5 Liter, 121 PS
Tiada perubahan dibuat pada bahagian rangkaian kuasa.
Honda WR-V terus menggunakan enjin petrol aspirasi natural 1.5 liter DOHC i-VTEC yang menghasilkan kuasa maksimum 121 PS dan tork 145 Nm.
Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik Continuously Variable Transmission (CVT).

Honda SENSING Standard Semua Varian
Daripada aspek keselamatan, Honda SENSING terus diberikan sebagai kelengkapan standard untuk semua varian WR-V.
Model ini turut dilengkapi sistem telematik pintar Honda CONNECT, selain pelbagai ciri keselamatan standard bagi meningkatkan keyakinan pengguna ketika memandu.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi Honda WR-V versi dipertingkat adalah seperti berikut:
- WR-V E – RM94,900
- WR-V V – RM98,900
- WR-V RS – RM104,900
Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Two-Tone Blazing Red Pearl, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Stellar Diamond Pearl dan Blazing Red Pearl.

Pilihan Two-Tone Blazing Red Pearl hanya tersedia untuk varian RS, manakala beberapa warna dan kelengkapan lain bergantung kepada varian.
Baca Juga : Tempah Tanpa Pandu Uji! Kisah Menarik Pemilik Honda Prelude Baharu
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



