Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) kini sedang giat mengadakan kerjasama dengan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) bagi membenarkan pesawat domestik mereka beroperasi di luar negara.
Penerbangan sulung C919, pesawat penumpang buatan China, dilakukan pada bulan Mei tahun lalu, namun pengiktirafan hanya diterima daripada Pengawal Selia China.
China sedang menjurus untuk mempromosikan pensijilan pesawat C919 di Eropah tahun ini, sebahagian daripada usaha mereka untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi bersaing dengan ‘gergasi’ dalam industri penerbangan seperti Boeing dan Airbus. Pesawat C919 ini dikeluarkan oleh Perbadanan Pesawat Komersial China (Comac) dan direka untuk menandingi pesawat-pesawat seperti Boeing 737 dan Airbus A320.
Foto Ihsan: South China Morning Post
CAAC telah menjalin perjanjian dua hala tentang keselamatan penerbangan dengan EASA dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat untuk membolehkan produk aeroangkasa buatan China dieksport ke AS dan Kesatuan Eropah.
Ads
Zhou Xinmin, Pengurus Besar Comac, dengan jelas menyatakan keperluan meningkatkan pensijilan kelayakan udara pesawat China agar dapat terbang ke luar negara.
Pada tahun ini, CAAC mengutamakan semakan ke atas enjin CJ-1000, di mana ia dibangunkan untuk C919, dan AG600, pesawat amfibia terbesar di dunia. Tumpuan mereka adalah menyelesaikan masalah teknikal, proses pengeluaran, dan sistem operasi utama bagi mengurangkan risiko dalam pembangunan industri ini dalam jangka masa panjang.
Ads
Pembuatan penerbangan awam di China telah dianggap sebagai industri strategik yang mendapat sokongan dan galakan besar dari kerajaan, kerana memberi sumbangan penting kepada pertumbuhan ekonomi negara. Ini menunjukkan komitmen kuat untuk memajukan dan memperluaskan bidang ini ke skala global.
Aksi Toyota Vios Gold Championship musim kesembilan bakal memasuki fasa penting apabila Pusingan 3 berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, hujung minggu ini.
Pusingan kedua terakhir musim ini dijangka berlangsung sengit kerana dua perlumbaan selama satu jam menawarkan mata kejuaraan berganda.
Perlumbaan ini bakal membuka peluang kepada pendahulu untuk mengukuhkan kedudukan, manakala pencabar lain perlu meraih keputusan terbaik bagi memastikan peluang merebut gelaran terus terbuka.
Berbeza dengan dua pusingan terdahulu yang menggunakan konfigurasi separuh litar, Pusingan 3 bakal berlangsung di keseluruhan litar Sepang sepanjang 5.543 kilometer.
Pelumba akan berentap dalam dua perlumbaan selama satu jam yang dijadualkan pada Sabtu dan Ahad. Perlumbaan pada hujung minggu ini turut diadakan bersempena Pusingan 3 Malaysian Touring Car Championship.
Format perlumbaan lebih panjang dijangka menguji tahap kecergasan pemandu, pengurusan tayar, konsistensi serta kemampuan pasukan menyesuaikan strategi mengikut keadaan cuaca.
Selepas dua pusingan, tiga bekas pelumba Program Pembangunan Bakat Muda Toyota GAZOO Racing Malaysia berada dalam kelompok pencabar kejuaraan keseluruhan.
Mereka bersaing dalam kelas Super Sporting yang menghimpunkan pelumba profesional dan elit, serta kelas Sporting bagi pelumba amatur.
Dalam kelas Super Sporting, juara Rookie 2022 dan juara Sporting 2023, Nabil Azlan, kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 58 mata.
Rakan sepasukannya di Laser Motor Racing, Ady Rahimy, berada sembilan mata di belakang, manakala juara bertahan Freddie Ang daripada Telagamas Toyota berada di kedudukan ketiga dengan 32 mata.
Nabil berkata perlumbaan selama satu jam di litar penuh akan memberikan cabaran yang lebih besar berbanding dua pusingan sebelumnya.
Menurutnya, keputusan perlumbaan banyak bergantung kepada konsistensi pemandu, keupayaan menguruskan kehausan tayar, tahap kecergasan dan keadaan cuaca.
Nabil sedang memburu gelaran Super Sporting pertamanya selepas menamatkan musim lalu di kedudukan keempat keseluruhan. Dalam dua pusingan musim ini, beliau telah mencatatkan tiga keputusan tempat kedua dan satu tempat ketiga.
Ady Rahimy juga dilihat sebagai antara pencabar utama selepas menamatkan musim lalu di kedudukan ketiga keseluruhan.
Strategi perlumbaannya sepanjang dua pusingan pertama membuahkan satu kemenangan dan dua keputusan tempat ketiga.
Menurut Ady, pasukannya menggunakan pendekatan taktikal pada Pusingan 2 dengan mengumpul sebanyak mungkin mata tanpa terlalu terkesan dengan penalti berat atau ballast menjelang Pusingan 3.
Dengan mata berganda ditawarkan kali ini, mengurangkan beban tambahan pada jentera dianggap penting supaya mereka tidak memulakan perlumbaan dalam keadaan kurang menguntungkan.
Walaupun berada di kedudukan ketiga, Freddie Ang masih belum boleh diketepikan daripada perebutan kejuaraan.
Pelumba yang dikenali sebagai “Mr Consistent” itu mempunyai rekod kukuh sepanjang sembilan musim penyertaannya. Beliau muncul juara kelas pada 2025, selain beberapa kali menamatkan musim dalam kelompok teratas sejak 2020.
Pengalaman serta konsistensinya dijangka menjadi kelebihan penting dalam perlumbaan jarak lebih panjang di Sepang.
Saingan dalam kelas Sporting pula kekal terbuka dengan tiga pelumba teratas hanya dipisahkan lima mata.
Justin Toh daripada BAE Racing by ES Yang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 49 mata.
Bekas pelumba Rookie, Elson Lew daripada Hong Huat X Armada KK Racing, berada di kedudukan kedua dengan 46 mata, manakala Adam Mikail daripada G-Mart Best Autosport menghuni tempat ketiga dengan 44 mata.
Pada musim lalu, Elson menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan, diikuti Adam di tempat kelima dan Justin di kedudukan keenam.
Dalam kelas Rookie, pelumba berusia 17 tahun, Imran Iskandar, kini berada di kedudukan teratas dengan 63 mata.
Bagaimanapun, kedudukannya masih belum selamat kerana Ervin Lim hanya ketinggalan dua mata.
Imran yang mempunyai latar belakang perlumbaan simulator dan kereta saloon berkata beliau belum mahu terlalu memikirkan gelaran keseluruhan dan lebih selesa memberikan tumpuan kepada setiap pusingan.
Selepas dua pusingan, Imran telah mencatatkan satu kemenangan, dua tempat kedua dan satu tempat ketiga.
Ervin yang turut aktif dalam perlumbaan simulator dan karting pula mempunyai satu kemenangan, satu tempat kedua serta satu tempat ketiga.
Kedudukan ketiga kelas Rookie kini dihuni pelumba berusia 20 tahun, Ngo Yong Jian, yang aktif dalam perlumbaan simulator dan acara track day.
Toyota Vios Gold Championship yang sebelum ini dikenali sebagai Vios Challenge mula diperkenalkan pada 2017.
Musim kesembilan kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM876,000 bagi empat pusingan perlumbaan.
Ia turut kekal sebagai siri perlumbaan kereta saloon produksi satu model anjuran pengeluar yang paling lama dipertandingkan di Malaysia.
Yamaha sekali lagi memberikan pembaharuan kepada skuter popular mereka, Yamaha Ego Gear, untuk tahun ini. Kali ini, ia tampil dengan tiga pilihan warna baharu iaitu Grey, Cyan, dan Navy Blue.
Pastinya memberikan penampilan lebih segar dan bergaya kepada peminat skuter di Malaysia. Apa yang menarik, walaupun tampil dengan warna baharu, harga skuter ini masih kekal pada RM5,998 (tidak termasuk insurans). Sama seperti tahun sebelumnya.
Yamaha tidak melakukan sebarang perubahan pada bahagian mekanikal skuter ini. Masih mengekalkan enjin satu silinder SOHC 125 cc dengan sistem suntikan bahan api. Ego Gear mampu menghasilkan kuasa 9.4 hp pada 8,000 rpm dan tork 9.6 Nm pada 5,500 rpm.
Transmisi automatik menjadikan skuter ini sangat mudah dikendalikan, terutamanya untuk pemanduan di dalam bandar yang memerlukan kelincahan dan kemudahan.
Salah satu ciri yang membuatkan Ego Gear lebih mesra pengguna adalah sistem Start and Stop. Ia membantu meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api.
Dengan adanya Smart Motor Generator, enjin akan mati seketika apabila berhenti sejenak, seperti di lampu isyarat, dan hidup semula dengan lancar apabila throttle dipulas. Ini menjadikan penggunaan bahan api lebih efisien, sekaligus mengurangkan pembaziran.
Walaupun saiznya kecil, Yamaha Ego Gear tidak mengabaikan ciri-ciri moden. Skuter ini dilengkapi dengan lampu hadapan jenis LED, yang lebih terang dan menjimatkan tenaga.
Selain itu, terdapat juga soket pengecas USB yang memudahkan pengguna untuk mengecas peranti mudah alih mereka semasa perjalanan.
Lampu kecemasan juga disertakan untuk membantu dalam situasi kecemasan, manakala panel meternya masih menggunakan unit analog yang mudah dibaca.
Yamaha Ego Gear dilengkapi dengan sistem brek cakera di bahagian hadapan dan brek dram di belakang, memberikan kombinasi cengkaman yang baik untuk memberhentikan skuter dengan cekap.
Suspensinya pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak tunggal di belakang, memastikan perjalanan yang selesa walaupun di atas jalan yang kurang rata.
Rim bersaiz 14 inci dan tayar bersaiz 70/90 di hadapan dan 90/80 di belakang memastikan cengkaman yang stabil dan pemanduan yang lancar.
Dengan tangki bahan api 4.2 liter dan berat hanya 95 kg, Yamaha Ego Gear sesuai untuk kegunaan harian di bandar.
Tinggi tempat duduknya yang 750 mm juga menjadikannya mudah dikendalikan oleh pelbagai lapisan pengguna, tidak kira tinggi atau rendah. Setiap pembelian Ego Gear turut hadir dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km. Serta kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma sebagai tambahan.
Secara keseluruhan, Yamaha Ego Gear kekal sebagai pilihan skuter yang berbaloi, terutama bagi mereka yang mencari skuter kecil yang efisien dan mudah diselenggara, kini dengan penampilan lebih segar berkat pilihan warna baharu.
Toyota telah menggegarkan pasaran automotif dengan pelancaran rasmi hot hatch terbaru mereka, GR Yaris 2024, sempena acara Tokyo Auto Salon yang berlangsung pada masa ini. Model ini telah mengalami beberapa peningkatan untuk membuatnya lebih sesuai untuk pelbagai golongan pengguna.
Satu perubahan yang ketara adalah ketersediaan pilihan transmisi automatik “Direct Automatic Transmission” (DAT) klac tunggal dengan lapan nisbah kelajuan, sementara mereka tetap mengekalkan pilihan kotak gear manual enam nisbah kelajuan. Toyota menjanjikan pemanduan yang lebih sporti dengan perisian transmisi DAT yang dioptimasikan untuk menghadirkan pengalaman pemanduan yang lebih baik.
Enjin tiga silinder G16E-GTS telah ditala semula untuk menghasilkan kuasa setinggi 304 PS dan daya kilas 400 Nm, menambahkan sifat agresif pada prestasi GR Yaris. Penambahbaikan struktur casis, termasuk peningkatan titik kimpalan dan perekat struktur, memberikan peningkatan kestabilan pengendalian dan keselesaan pemanduan.
Di sisi luaran, rekaan GR Yaris 2024 telah dikemaskini dengan bampar hadapan baharu, bukaan liang udara yang diperbaharui, dan peningkatan pada sistem penyejukan. Unit lampu belakang yang dikemas kini dan lampu brek ketiga yang ditempatkan secara berasingan pada spoiler belakang meningkatkan tahap keselamatan dan penglihatan.
Toyota turut memperkenalkan elemen dari sukan perlumbaan rali dan Super Taikyu Series ke dalam kabin GR Yaris. Panel kawalan dan skrin paparan yang diposisikan pada sudut 15 darjah memudahkan akses pemandu kepada fungsi penting. Peningkatan posisi pemanduan dan penyesuaian pada cermin pandang belakang dan tuil penukaran gear meningkatkan keselesaan pemanduan.
GR Yaris 2024 menampilkan skrin kluster digital 12.3 inci dengan dua paparan berbeza bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih. Tiga mod pemanduan – Sport, Normal, dan Eco – memberikan pengalaman pemanduan yang serba boleh, manakala Circuit Mode yang diubahsuai memberikan pemilik kemampuan untuk menikmati potensi penuh GR Yaris di litar lumba.
Pelbagai perubahan untuk mengurangkan turbo lag, memperkenalkan pengehad kelajuan, peningkatan sistem penyejukan, dan visual indikasi penukaran gear menambah daya tarikan kepada pemilik GR Yaris. Bagi pemilik model RC yang digunakan untuk perlumbaan, Toyota juga menawarkan pilihan brek parkir menegak yang boleh dipasang secara terus dari kilang.
Dengan pelbagai peningkatan ini, GR Yaris 2024 dari Toyota memberikan kombinasi yang menarik antara prestasi lumba dan keselesaan harian. Ia tidak hanya sebuah kereta, tetapi sebuah pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.
Thunder Motorcycles Rasmi Masuk Malaysia, Tampilkan LS250-S di AOS 2026
Thunder Motorcycles secara rasmi memasuki pasaran Malaysia menerusi penampilan sulungnya di Art of Speed 2026...