Boon Siew Honda telah mengumumkan berita menggembirakan untuk peminat motosikal moped di pasaran Malaysia dengan pengenalan warna baharu bagi model terlaris mereka, Honda RS-X 2024. Warna-warna yang dipaparkan merangkumi Mat Charcoal Grey Metallic/Gold, Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic/Red, dan Force Silver Metallic/Blue.
Menurut Boon Siew Honda, varian Mat Charcoal Grey Metallic/Gold akan tersedia lebih awal, dijangka dapat diperoleh di semua pengedar sah pada 4 Januari 2024 dengan harga permulaan serendah RM9,848.
Warna-warna lain, seperti Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic/Red, dan Force Silver Metallic/Blue, dijangka akan tersedia pada 18 Januari 2024, dengan harga jualan bermula dari RM9,798, tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran.
Ads
Kredit Foto: Careta.my
Meskipun pelbagai pilihan warna baharu, spesifikasi asas Honda RS-X tetap tidak berubah. Ia masih dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 15.8 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas sebanyak 13.6 Nm @ 7,000 rpm. Beberapa perincian seperti unit pencahayaan LED penuh, skrin paparan digital yang intuitif, dan sistem brek anti-kunci (ABS) saluran tunggal turut dikekalkan.
Honda RS-X terus menjadi pilihan popular di kalangan peminat motosikal, dan kini dengan pelbagai pilihan warna baharu, ia menawarkan lebih banyak lagi pilihan untuk menyesuaikan corak personaliti pengguna.
Ads
Kemunculan warna-warna menarik ini dijangka memberi corak baru kepada landskap motosikal di pasaran, sambil mengekalkan kecekapan dan daya tarikan yang telah dikenali ramai. Para peminat motosikal di seluruh negara dijangka tidak sabar untuk melihat kehadiran warna-warna yang segar ini di jalan raya.
Ads
1 of 30
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Toyota Gazoo Racing (TGR) secara rasmi memperkenalkan edisi khas GR Yaris MORIZO RR. Model prototaip ini dipertontonkan kepada umum di Tokyo Auto Salon 2026.
GR Yaris MORIZO RR dihasilkan menerusi kolaborasi langsung bersama Pengerusi Toyota Motor Corporation dan pemandu ujian utama, Akio Toyoda, yang lebih dikenali dengan nama samaran Morizo.
Tidak seperti edisi khas konvensional, penglibatan Morizo dalam projek ini merangkumi pemanduan sebenar di litar, penyampaian maklum balas teknikal serta penglibatan langsung dalam hala tuju pembangunan kenderaan.
Inspirasi utama MORIZO RR datang daripada penyertaan pasukan TOYOTA GAZOO ROOKIE Racing (TGRR) dalam perlumbaan Nürburgring 24 Hours 2025.
Dalam perlumbaan ketahanan tersebut, Morizo sendiri memandu GR Yaris bernombor 109 yang dilengkapi transmisi automatik lapan kelajuan GAZOO Racing Direct Automatic Transmission, dan berjaya mencatat jarak pemanduan melebihi sasaran asal dalam keadaan litar yang ekstrem dan tidak menentu.
Antara penemuan paling signifikan daripada perlumbaan itu ialah keupayaan transmisi automatik lapan kelajuan yang digunakan. Morizo menyifatkan sistem tersebut sebagai faktor utama yang membolehkannya mengekalkan konsistensi sehingga 15 pusingan, sekali gus mencabar persepsi bahawa transmisi automatik tidak sesuai untuk pemanduan prestasi tinggi. Dapatan inilah yang kemudiannya diaplikasikan secara terus pada pembangunan MORIZO RR.
Sejajar dengan DNA GR, GR Yaris MORIZO RR dibangunkan dengan penekanan terhadap hubungan intuitif antara pemandu dan jentera. Keutamaan diberikan kepada kebolehpercayaan, tahap keyakinan pemanduan dan respons kenderaan, agar kereta ini bukan sahaja berprestasi tinggi di litar, tetapi juga menyeronokkan serta selamat untuk dipandu dalam penggunaan harian.
Aspek teknikal utama MORIZO RR terletak pada sistem suspensi yang ditala khusus berdasarkan karakter permukaan Nürburgring yang kasar dan tidak sekata. Dengan sokongan daya turun tinggi daripada sayap belakang gentian karbon eksklusif, tetapan redaman dioptimumkan bagi memastikan tayar sentiasa mengekalkan sentuhan maksimum dengan permukaan jalan. Sistem stereng kuasa elektrik (EPS) turut menerima talaan semula untuk meningkatkan ketepatan dan maklum balas stereng.
MORIZO RR turut memperkenalkan mod pacuan semua roda (4WD) eksklusif yang dinamakan “MORIZO”, menggantikan mod GRAVEL pada GR Yaris standard. Mod ini menetapkan agihan tork awal hadapan dan belakang pada nisbah 50:50, memberikan keseimbangan kawalan yang lebih neutral serta kestabilan optimum ketika pecutan keluar selekoh.
Dari segi visual, GR Yaris MORIZO RR tampil dengan warna eksklusif “Gravel Khaki”, warna kegemaran Morizo yang unik namun masih sesuai untuk kegunaan harian. Elemen aerodinamik seperti spoiler hadapan, side skirt, bonet gentian karbon dan sayap belakang gentian karbon dibangunkan terus daripada pengalaman perlumbaan, disempurnakan dengan gril Piano Black, rim Matte Bronze dan angkup brek berwarna kuning.
Bahagian dalaman pula mengekalkan pendekatan berfokuskan pemandu dengan stereng bersalut suede, jahitan kuning serta paddle shifter dan suis yang diubah suai berdasarkan pengalaman daripada jentera GR Yaris Rally2. Tempat duduk eksklusif, paparan meter TFT khas mod “MORIZO” serta plat nombor siri “MORIZO RR” mengukuhkan statusnya sebagai edisi terhad sebenar.
Untuk pasaran Jepun, GR Yaris MORIZO RR akan ditawarkan dalam jumlah terhad 100 unit bermula musim bunga 2026 melalui sistem undian aplikasi GR, dengan tambahan 100 unit lagi untuk pasaran Eropah terpilih.
Dengan latar belakang pembangunan berasaskan Nürburgring dan penglibatan terus Morizo, MORIZO RR bukan sekadar GR Yaris paling ekstrem, malah berpotensi menjadi model ikonik dalam sejarah Toyota Gazoo Racing.
Biasanya, apabila kita menyebut tentang Ducati Scrambler, imej warna-warna terang seperti kuning atau merah pasti terlintas di fikiran.
Namun, bagi model 2025, Ducati memperkenalkan sesuatu yang lebih misteri dan elegan dengan dua model baharu, Scrambler Full Throttle dan Scrambler Icon Dark.
Kedua-dua model ini hadir dengan sentuhan warna gelap yang membuatkan mereka tampak lebih berkarisma dan menarik.
Seperti generasi sebelumnya, kedua-dua model baharu ini masih dikuasakan oleh enjin 803cc Desmodue L-Twin yang ikonik. Enjin dua silinder ini mampu menghasilkan 73 kuasa kuda pada 8,250 rpm dan 65.2Nm tork pada 7,000 rpm, memberikan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan yang ideal untuk sebuah Scrambler. Enjin ini memastikan kedua-dua model menawarkan pengalaman tunggangan yang responsif dan bertenaga. Sama ada untuk perjalanan harian atau pengembaraan jarak jauh.
Model Full Throttle merupakan varian paling sporty dalam keluarga Scrambler. Diilhamkan oleh gaya jentera lumba Flat Track Amerika Syarikat pada tahun 70-an. Full Throttle menonjolkan sisi agresif yang membezakannya dengan model lain. Nombor 62 yang terpampang di sisi merujuk kepada tahun 1962, iaitu tahun pertama Ducati Scrambler diperkenalkan.
Reka bentuk Full Throttle dilengkapi dengan panel sisi yang besar, pelana unik, dan pelindung bawah enjin yang memberikannya penampilan yang lebih lasak. Rim dengan sentuhan warna gangsa. Serta hendal rendah dan madgad depan yang pendek menambahkan lagi ciri-ciri lumba pada motosikal ini.
Peredam bunyi Termignoni, yang sah digunakan di atas jalan raya. Turut disertakan sebagai ciri standard, memberikan bunyi enjin yang garang dan memuaskan. Lampu isyarat LED Ducati Performance dan Penukar Cepat Ducati Quick untuk penukaran gear atas dan bawah melengkapkan pakej ini, memastikan pengalaman tunggangan yang lancar dan bertenaga.
Harga untuk Scrambler Full Throttle di pasaran United Kingdom adalah sekitar £11,195 (kira-kira RM62,788).
Bagi mereka yang mahukan penampilan yang lebih ringkas dan minimalis, Scrambler Icon Dark adalah pilihan yang tepat. Model ini hadir dengan warna gelap yang menonjolkan sisi yang lebih ‘raw’. Tanpa panel sisi besar dan pelindung bawah enjin seperti Full Throttle. Icon Dark kelihatan lebih bersahaja namun tetap mengekalkan aura Scrambler yang lasak.
Pelindung lumpur depan yang lebih panjang dan peralatan seperti sistem Ride-by-Wire, ABS pembelokan dari Bosch, serta skrin TFT 4.3 inci memberikan model ini sentuhan teknologi moden yang meningkatkan keselamatan dan keselesaan ketika menunggang.
Penunggang juga boleh menikmati pelbagai pilihan Mod Tunggangan, Mod Kuasa, dan Kawalan Cengkaman Ducati yang boleh disesuaikan mengikut keperluan dan gaya tunggangan.
Kedua-dua model menggunakan fork depan terbalik Kayaba 41mm dan penyerap hentak belakang boleh laras daripada jenama yang sama. Memastikan tunggangan yang selesa dan stabil walaupun di atas permukaan jalan yang mencabar.
Rim aloi depan bersaiz 3×18 inci dan rim belakang 5.5×17 inci, dipadankan dengan tayar Pirelli MT 60 RS untuk cengkaman maksimum.
Sistem brek juga tidak kurang hebatnya, dengan cakera depan 330mm dan angkup empat omboh Brembo, memberikan daya membrek yang mantap.
Untuk model Icon Dark, harga yang ditawarkan adalah lebih rendah, sekitar £9,495 (kira-kira RM53,274).
Dengan gabungan ciri teknologi moden, prestasi enjin mantap, dan reka bentuk yang menawan, kedua-dua model Ducati Scrambler 2025 ini menawarkan pilihan yang sesuai untuk pelbagai jenis penunggang. Sama ada anda mahukan motosikal yang sporty seperti Full Throttle atau penampilan yang minimalis seperti Icon Dark, kedua-dua model ini pasti memenuhi keperluan dan gaya hidup anda.
Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, telah menerima pesawat A330neo pertama mereka.
Penerimaan pesawat ini menandakan langkah penting dalam usaha memperbaharui kumpulan pesawatnya.
Menurut kenyataan Airbus pada Jumaat, pesawat model A330-900 ini adalah yang pertama daripada 20 unit yang disewa daripada Avolon.
Sekali gus menetapkan piawaian baharu bagi kecekapan bahan api dan meningkatkan pengalaman penumpang.
Malaysia Airlines merancang untuk menggunakan pesawat A330neo ini bagi laluan di seluruh Asia dan Pasifik serta laluan terpilih ke Asia Barat.
Pesawat ini dikonfigurasikan dalam susun atur premium dua kelas.
Ianya menawarkan 297 tempat duduk yang merangkumi 28 suite kelas perniagaan yang boleh dibaringkan sepenuhnya dan kabin kelas ekonomi baharu yang mampu memuatkan 269 penumpang.
Menurut Airbus, MAG merupakan syarikat penerbangan ke-20 yang menyertai kumpulan operator global pesawat A330neo yang moden dan cekap bahan api.
Setakat ini, Airbus telah menyerahkan lebih daripada 140 pesawat A330neo kepada pelbagai syarikat penerbangan di seluruh dunia.
MAG memilih pesawat A330neo sebagai sebahagian daripada inisiatif pembaharuan kumpulan pesawat pada tahun 2022 kerana badan pesawat yang lebar serta keupayaan bahan api yang lebih efisien.
Namun, penyerahan pertama pesawat ini yang pada awalnya dijadualkan pada September 2024.
Penyerahan ini tertangguh akibat penemuan teknikal yang dikesan oleh Airbus ketika peringkat barisan penerbangan.
Dalam kenyataan berasingan, MAG memaklumkan bahawa pesawat yang bernombor pendaftaran 9M-MNG telah berlepas dari Pusat Penyerahan Airbus di Toulouse, Perancis pada 28 November jam 8.52 malam waktu tempatan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.52 petang keesokan harinya.
Sebelum tiba di KLIA, pesawat tersebut telah melakukan lintas hormat di ruang udara Kuala Lumpur.
Lintas hormat ini disertai oleh jet pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), memberikan pemandangan yang mengagumkan kepada orang ramai.
Setibanya di KLIA, pesawat ini disambut dengan sambutan tradisi semburan air sebagai simbolik penerimaan rasmi.
Penerbangan MH5039 itu dikendalikan oleh Kapten Khairul Syukri Khalid, Kapten Azim Sham Che Din, Kapten Zainuddin Hussein, dan Kapten Najwan Reshan Nahdan Rengganathan, dengan tempoh perjalanan selama 13 jam.
Pesawat ini dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000 yang terbaru.
Ia juga akan menyertai barisan tujuh pesawat pengangkut A350 jarak jauh yang sedia ada, menggantikan 21 pesawat A330ceo secara berperingkat.
Pada Ogos 2022, MAG telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Airbus, Rolls-Royce, dan Avolon untuk pemerolehan 20 pesawat A330neo yang dijadualkan untuk penyerahan sehingga tahun 2028.
Penyerahan pesawat ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MAG untuk memperkukuhkan armadanya.
Hal ini juga bagi memastikan pengalaman penumpang yang lebih baik serta kecekapan operasi yang lebih tinggi.
Sumber Artikel : Sinar Harian
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Mid-engine supercar menjadi sebab utama kenapa model seperti Ferrari, Lamborghini dan McLaren mampu memberikan prestasi yang sangat tinggi. Susunan ini meletakkan enjin di bahagian...