Fiat Panda Selebar 49.8 cm, Mekanik Itali Cipta “world’s narrowest car”
Fiat Panda generasi pertama sememangnya terkenal sebagai sebuah kereta yang kompak dengan panjang sekitar 3.38 meter dan lebar hanya 1.46 meter dan saiznya cukup praktikal untuk bergerak melalui jalan-jalan sempit di bandar lama Itali.
Namun bagi seorang mekanik dari Itali, Andrea Marazzi, Fiat Panda standard masih dianggap terlalu lebar.
Daripada sebuah Fiat Panda keluaran 1993 yang hampir berakhir di pusat pelupusan kenderaan keluarganya, Andrea menghasilkan sebuah jentera luar biasa yang kini diiktiraf Guinness World Records sebagai (world’s narrowest car) kereta boleh dipandu paling sempit di dunia.
Kereta berkenaan diberi nama Panda per Uno, yang membawa maksud “Panda untuk seorang”.
Lebarnya?
Hanya sekitar 49.8 sentimeter atau 1 kaki 7.6 inci.
Sebagai perbandingan, ia lebih sempit daripada kebanyakan motosikal besar jika diukur bersama hendal. Malah, sijil Guinness World Records yang dipegang Andrea dikatakan lebih lebar daripada bahagian bumbung kereta berkenaan.
Bermula Daripada Fiat Panda 1993
Projek unik ini bermula apabila sebuah Fiat Panda keluaran 1993 tiba di pusat pelupusan kenderaan milik keluarga Marazzi, Autodemolizione Marazzi di Bagnolo Cremasco, pada 2024.
Sebagai peminat tegar Fiat Panda, Andrea tidak mahu kereta tersebut sekadar dileraikan untuk alat ganti.
Sebaliknya, beliau mahu memberikannya kehidupan kedua dengan sasaran menghasilkan Fiat Panda paling sempit yang masih boleh dipandu.
Untuk merealisasikan projek berkenaan, sebahagian besar badan asal kereta dipotong sebelum bahagian tengahnya dikimpal semula. Pintu serta panel sisi asal turut dibuang, sementara beberapa komponen badan termasuk bumbung, cermin dan bahagian belakang perlu dihasilkan semula mengikut saiz baharu.
Sistem stereng juga terpaksa dikecilkan bagi memastikan semuanya boleh dimuatkan dalam ruang yang sangat terhad.
Menariknya, sekitar 90 peratus komponen Panda per Uno masih berasal daripada Fiat Panda asal.

World’s Narrowest Car Hanya Muat Seorang
Dengan badan selebar kurang daripada setengah meter, tidak mengejutkan apabila ruang kabinnya hanya mampu memuatkan seorang pemandu.
Rekaan keseluruhannya kelihatan seolah-olah sebuah Fiat Panda standard ditekan dari kedua-dua belah sisi sehingga menjadi sangat nipis.
Namun jangan tertipu dengan rupanya.
Panda per Uno bukan sekadar model pameran atau prop untuk acara. Kereta ini masih boleh dipandu sepenuhnya, sekali gus memenuhi antara syarat utama Guinness World Records untuk kategori tersebut.
Ia mungkin bukan Fiat Panda yang sesuai untuk mengejar kelajuan, tetapi jika bercakap mengenai mencari ruang parkir sempit, mungkin sukar untuk mencari kereta lain yang mampu menandinginya.
Fiat Panda Memang Dekat Dengan Andrea
Andrea sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan model berkenaan.
Beliau merupakan antara peserta tetap Panda a Pandino, sebuah perhimpunan tahunan berskala besar yang menghimpunkan pemilik dan peminat Fiat Panda di bandar Pandino, kira-kira 35 kilometer dari Milan.
Panda per Uno turut dibawa ke acara tersebut pada Jun lalu dan menjadi antara jentera yang paling mencuri perhatian.
Fiat Panda sendiri mempunyai kedudukan istimewa dalam sejarah automotif Itali.
Model generasi pertamanya diperkenalkan pada 1980 sebagai hatchback tiga pintu hasil rekaan Giorgetto Giugiaro dan Aldo Mantovani dari Italdesign.
Rekaannya ringkas, praktikal dan mudah diselenggara menjadikan Panda salah sebuah kereta bandar paling dikenali di Itali.
Generasi pertama itu terus dihasilkan sehingga 2003 sebelum digantikan dengan Fiat Panda generasi kedua.
Bakal Masuk Buku Guinness World Records 2027
Hasil kerja Andrea kini bukan sahaja mendapat perhatian komuniti Fiat Panda, malah world’s narrowest car Panda per Uno akan turut dimuatkan dalam buku Guinness World Records 2027.
Bagi Andrea, pengiktirafan tersebut dianggap satu penghormatan besar terhadap projek yang pada asalnya bermula daripada sebuah kereta lama yang hampir dilupuskan.

Lebih menarik, beliau dilaporkan masih mencari idea baharu dan tidak menolak kemungkinan untuk cuba memecahkan rekod dunia lain pada masa hadapan.
Daripada sebuah Fiat Panda 1993 yang menunggu giliran untuk dileraikan, kini ia berubah menjadi sebuah kereta selebar hanya 49.8 sentimeter dan memegang gelaran dunia.
Baca Juga : Kereta Pacuan Roda Hadapan Pakai GT Wing Spoiler? Ini Penjelasan Dari Sudut Aerodinamik
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


