Volvo EX30 Cross Country Kini Di Malaysia, 428hp Dengan Jarak Sehingga 437km
Volvo Car Malaysia secara rasmi memperkenalkan Volvo EX30 Cross Country, sekali gus menjadi model Cross Country elektrik sepenuhnya pertama daripada jenama Sweden itu.
Dibangunkan berasaskan EX30, varian Cross Country ini membawa pendekatan yang lebih lasak menerusi talaan casis tersendiri, jarak lega tanah lebih tinggi serta beberapa perubahan pada bahagian luaran. Ia kini ditawarkan pada harga bermula RM218,888 tanpa insurans.
Lebih Tinggi, Lebih Sesuai Untuk Laluan Mencabar
Berbanding EX30 standard, EX30 Cross Country mempunyai jarak lega tanah tambahan sebanyak 19mm. Volvo turut memasangkannya dengan rim 19 inci lima jejari selain talaan casis yang direka untuk memberikan keselesaan dan kestabilan lebih baik ketika melalui permukaan jalan kurang sempurna.
Perisian stereng turut menerima talaan khusus bagi mengoptimumkan steering torque, active return dan damping, sekali gus memberikan kawalan lebih konsisten khususnya ketika melalui selekoh atau laluan yang lebih mencabar.
Dari sudut penampilan, identiti Cross Country dapat dilihat menerusi penggunaan kemasan Matt black dan Vapour Grey, skid plate, bampar bawah matte black serta sambungan pada bahagian wheel arch.
Lencana Cross Country pada tiang C dan logo CC timbul di bahagian belakang pula membezakan model ini daripada EX30 biasa tanpa mengubah karakter minimalis Scandinavia yang menjadi identiti Volvo.
428hp, 543Nm dan 0-100km/j Dalam 3.7 Saat
Walaupun membawa imej lebih lasak, prestasi EX30 Cross Country bukan sekadar sederhana.
SUV kompak elektrik ini menggunakan konfigurasi dual electric motor yang menghasilkan 428hp dan tork 543Nm. Kuasa tersebut membolehkannya memecut dari 0 hingga 100km/j dalam hanya 3.7 saat.
Bekalan tenaga datang daripada bateri NMC berkapasiti 69kWh, menawarkan jarak pemanduan sehingga 437km berdasarkan kitaran WLTP.
Menggunakan pengecas pantas DC sehingga 175kW, tahap bateri boleh dinaikkan daripada 10 hingga 80 peratus dalam masa sekitar 27 minit, bergantung kepada keadaan bateri, suhu persekitaran dan penggunaan sistem elektrik kenderaan ketika pengecasan.
Baca Juga: Ayrburn Classic, Festival Automotif Di Tengah Keindahan New Zealand
Keselamatan Kekal Jadi Fokus Utama Volvo
EX30 Cross Country turut menerima sistem Safe Space Technology, merangkumi beberapa teknologi bantuan pemanduan dan keselamatan aktif Volvo.
Antaranya termasuk sokongan brek dan stereng untuk membantu mengelakkan pelanggaran, Driver Understanding System, Pilot Assist serta Park Pilot Assist generasi baharu.
Sistem radar pada setiap bucu kenderaan bersama beberapa penderia lain turut memberikan pemantauan keadaan sekeliling secara 360 darjah.
Kabin Minimalis Dengan Material Kitar Semula
Rekaan dalaman masih membawa identiti minimalis EX30, namun dengan kombinasi warna dan material yang lebih dekat dengan imej pengembaraan.
Antaranya ialah tekstil tenunan berwarna charcoal, kemasan Nordico, panel hiasan denim serta corong pendingin hawa berwarna biru. Volvo turut menggunakan bahan kitar semula dan material berasaskan bio dalam beberapa bahagian kabin.
Sebuah panoramic roof bersama sunshade turut ditawarkan. Bahagian tengah papan pemuka menempatkan skrin 12.3 inci dengan Google built-in, termasuk Google Assistant, Google Maps dan aplikasi melalui Google Play Store.
Ia turut dilengkapi sistem audio Harman Kardon Premium Sound, Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar.
Ruang But Sehingga 718 Liter
Dari sudut praktikaliti, ruang but belakang menawarkan kapasiti 318 liter dalam konfigurasi biasa.
Apabila tempat duduk belakang dilipat, ruang tersebut meningkat sehingga 718 liter, memberikan ruang yang mencukupi untuk membawa bagasi atau peralatan aktiviti luar.
Volvo turut menawarkan beberapa aksesori pilihan termasuk mud flap, load carrier, rak basikal dan roof basket untuk pemilik yang mahu menggunakan EX30 Cross Country bagi aktiviti rekreasi.
Harga Bermula RM218,888
Volvo EX30 Cross Country dipasang secara tempatan dan kini tersedia di semua pengedar sah Volvo di Malaysia dengan harga bermula RM218,888 tanpa insurans.
Tiga warna luaran ditawarkan iaitu Crystal White, Vapour Grey dan Cloud Blue.
Untuk 100 tempahan terawal, Volvo Car Malaysia turut menawarkan pakej pelancaran yang merangkumi rebat tunai RM12,000, Volvo Wallbox bernilai RM3,990, Load Carrier bernilai RM2,098 serta Roof Basket bernilai RM3,680.
Dalam masa sama, Volvo Car Malaysia turut mengumumkan kemas kini harga bagi EX30 Ultra MY27, yang kini ditawarkan bermula RM198,888 tanpa insurans.
Pelancaran EX30 Cross Country turut menyaksikan pengenalan platform Digital Service Booking (DSB), membolehkan pelanggan membuat tempahan servis menerusi laman web Volvo Car Malaysia atau aplikasi Volvo Cars. Buat masa ini, perkhidmatan tersebut tersedia di pengedar sekitar Lembah Klang sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!






