Tiga Pelumba Terbaik Negara Galas Cabaran Malaysia Dalam TGR Asia Esport GT Championship 2026
Malaysia bakal mempertaruhkan tiga pelumba simulator berpengalaman dan berbakat dalam Kejohanan TGR Asia Esport GT Championship 2026 yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 15 November ini di Jiospace, Petaling Jaya.
Beraksi di laman sendiri, pasukan negara dilihat antara pencabar utama untuk merebut gelaran individu dan berpasukan dalam kejohanan perlumbaan simulator peringkat Asia itu.
Dianjurkan Toyota Motor Asia (TMA), pertandingan berkenaan bakal menghimpunkan pelumba terbaik dari lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Kesemua peserta akan bersaing menggunakan permainan simulasi perlumbaan Gran Turismo 7 menerusi platform Sony PlayStation.

Cabaran negara akan diketuai Taj Izrin Aiman Taj Madira, Nabil Azlan dan Ethen Low yang masing-masing memiliki pencapaian membanggakan dalam arena e-sukan permotoran.
Taj Izrin Aiman, 27, hadir dengan reputasi sebagai pemenang pingat emas Sukan Asia, juara TGR Asia 2024 serta empat kali merangkul kejuaraan TGR Malaysia eRacing.
Penyertaan kali ini juga menandakan penampilan ketujuhnya bersama pasukan Malaysia dalam kejohanan serantau berkenaan.
Menurut Taj Izrin Aiman, kejayaan meraih pingat emas Sukan Asia memberikan suntikan keyakinan untuk kembali bersaing di pentas antarabangsa.

“Memenangi pingat emas Sukan Asia sememangnya memberikan saya keyakinan tambahan menjelang TGR Asia Esport GT Championship 2026, selain peluang sekali lagi mewakili Malaysia.
“Bagaimanapun, saya tetap menganggap setiap pertandingan sebagai cabaran berbeza kerana sedar bakal berdepan antara pelumba simulator terbaik Asia Tenggara.
“Sasaran saya adalah memberikan persembahan terbaik, merampas kembali gelaran individu yang dimenangi pada 2024 serta membantu Malaysia muncul juara keseluruhan berpasukan,” katanya.
Nabil Mahu Tambah Koleksi Kejuaraan
Seorang lagi wakil negara, Nabil Azlan, 24, turut hadir dengan momentum positif selepas meraih pingat emas pada Asia Pacific Motorsports Championship.
Nabil yang juga juara TGR Malaysia eRacing Pro 2025 serta penerima anugerah E-Motorsport Competitor of the Year kini menyasarkan gelaran pertamanya dalam kejohanan TGR Asia.
Menariknya, Nabil merupakan antara pelumba simulator yang berjaya melakukan peralihan kepada perlumbaan sebenar menerusi peluang diberikan UMW Toyota Motor.

Beliau sebelum ini turut mencipta kejayaan dalam Toyota Vios Challenge apabila merangkul kejuaraan bagi kategori Rookie dan Sporting.
“Sebagai pelumba simulator yang diberikan peluang oleh UMW Toyota Motor untuk beralih kepada perlumbaan sebenar sehingga berjaya memenangi gelaran Rookie dan Sporting dalam Vios Challenge, sasaran peribadi saya kini adalah kembali ke perlumbaan simulator dan memenangi kejuaraan bagi pihak Toyota,” katanya.
Ethen Low, 16 Tahun Jadi Harapan Muda
Melengkapkan barisan Malaysia ialah Ethen Low yang baru berusia 16 tahun.
Juara TGR Malaysia eRacing Junior 2025 itu bakal membuat penampilan antarabangsa keduanya selepas menyertai Asia Pacific Motorsports Championship baru-baru ini, sebelum tersingkir pada peringkat separuh akhir.
Walaupun masih muda, Ethen mempunyai pengalaman perlumbaan sebenar menerusi penyertaannya dalam Vios Challenge 2026 di bawah Program Pembangunan Bakat Muda GAZOO Racing-UMW Toyota Motor.
Malah, beliau kini berkongsi kedudukan pertama dalam kategori Rookie dengan berbaki dua perlumbaan musim ini.
“Menjadi satu penghormatan besar apabila dapat mewakili Malaysia dan UMW Toyota Motor dalam kejohanan berprestij ini.
“Saya sedar akan bersaing dengan pelumba simulator yang lebih berpengalaman, namun yakin mampu memberikan saingan dan berpeluang untuk menang sekiranya dapat mengawal tekanan dengan baik,” katanya.
Dua Perlumbaan Tentukan Kejuaraan
Bagi edisi 2026, peserta bakal berdepan dua cabaran utama yang menguji kemahiran, konsistensi serta strategi perlumbaan.
Perlumbaan individu akan berlangsung selama 25 minit di litar Fuji Speedway menggunakan jentera Super Formula.
Sementara itu, perlumbaan berpasukan akan menyaksikan peserta mengendalikan jentera GR Supra Racing Concept dalam perlumbaan selama 20 minit di litar Grand Valley Highway-1.
Kedua-dua perlumbaan dijangka berlangsung sengit memandangkan setiap negara mempertaruhkan pelumba simulator terbaik masing-masing.
Kejohanan TGR Asia Esport GT Championship Memasuki Tahun Kesembilan
Kejohanan perlumbaan simulator anjuran Toyota ini mula diperkenalkan pada 2018 dengan nama GR Velocity Esports Championship.
Ia kemudian dikenali sebagai Toyota GR Supra GT Cup dari 2019 hingga 2020, sebelum dijenamakan semula sebagai GR GT Cup Asia Championship pada 2021.
Memasuki penganjuran tahun kesembilan berturut-turut, pertandingan itu kini membawa identiti baharu sebagai TGR Asia Esport GT Championship.
Selain menjadi platform persaingan, kejohanan ini turut berperanan mengenal pasti serta membangunkan bakat pelumba simulator terbaik di rantau Asia.
Pemenang kejohanan serantau itu juga berpeluang membawa cabaran Asia ke pentas World Final.
Baca Juga : GROW Design Kini Masuki Pasaran Indonesia!
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


