
Pasaran skuter tempatan kini bukan lagi hanya berkisar kepada model komuter biasa. Semakin ramai pengguna mahukan jentera yang masih mudah digunakan setiap hari, tetapi pada masa sama tampil dengan imej lebih berkarakter.
Di sinilah SYM Husky 200 cuba mengambil tempat, dengan gaya adventure scooter, kelengkapan keselamatan moden dan harga pelancaran RM10,998.
Dibawa masuk oleh MForce Bike Holdings, Husky 200 hadir sebagai pilihan untuk mereka yang mahukan skuter praktikal, tetapi tidak mahu rupa yang terlalu konvensional.
Dengan slogan “Desire Destination”, model ini jelas membawa pendekatan lebih aktif, seolah-olah mengajak penunggang keluar daripada rutin tunggangan bandar biasa.
Dari sudut reka bentuk, Husky 200 tampil dengan badan yang lebih tinggi, panel hadapan besar, windshield pelindung serta lampu utama LED yang memberi wajah lebih agresif.
Rekaannya tidak terlalu ekstrem seperti motosikal adventure sebenar, tetapi cukup untuk membuatkan ia kelihatan lebih lasak berbanding skuter bandar biasa.
Elemen seperti protected windshield dan rear carrier turut memberi sentuhan touring ringan kepada model ini.
Ia bukan sekadar aksesori gaya, kerana windshield membantu memberi perlindungan tambahan ketika menunggang, manakala carrier belakang pula memudahkan pengguna membawa barang tambahan untuk kegunaan harian atau perjalanan hujung minggu.
Walaupun menggunakan nama Husky 200, model ini sebenarnya dikuasakan enjin satu silinder, empat lejang, OHC bersesaran 175cc.
Enjin ini menggunakan sistem penyejukan cecair dan menghasilkan kuasa maksimum 12.0 kW pada 8,000 rpm serta tork maksimum 15.6 Nm pada 7,000 rpm.
Kuasa dihantar ke roda menerusi transmisi CVT dengan clutch jenis auto centrifugal. Seperti kebanyakan skuter moden, konfigurasi ini menjadikan tunggangan lebih mudah, terutama untuk kegunaan harian di kawasan bandar yang kerap berdepan trafik perlahan dan berhenti gerak.
Antara ciri paling menarik pada model ini ialah kehadiran dual channel ABS dan Traction Control System. Dalam segmen skuter bersesaran kecil hingga sederhana, dua ciri ini memberi nilai tambah yang agak penting, khususnya untuk penunggang yang mahukan lebih keyakinan di atas jalan.
Sistem brek pula menggunakan cakera 260 mm di depan dengan angkup dua piston, manakala di belakang menggunakan cakera 230 mm.
Gabungan brek cakera depan dan belakang bersama ABS membantu memberikan kawalan membrek lebih baik, terutama ketika permukaan jalan kurang mencengkam.
Kehadiran sistem kawalan cengkaman turut membantu mengurangkan risiko gelinciran roda ketika memecut di atas jalan yang basah atau berpasir. Ini merupakan satu ciri yang semakin dihargai pengguna moden yang mementingkan keselamatan.
Untuk bahagian suspensi, Husky 200 menggunakan fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Setup ini lebih kepada keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan, sesuai dengan peranan model ini sebagai skuter harian yang diberi gaya adventure.
Tayar depan bersaiz 120/70-R13, manakala tayar belakang 130/70-R13, kedua-duanya daripada Kenda. Dari segi dimensi, model ini mempunyai panjang 2,980 mm, lebar 780 mm dan tinggi 1,225 mm, dengan jarak roda 1,390 mm serta jarak lega bumi 112 mm.
Sebagai skuter kegunaan harian, model ini turut dilengkapkan dengan beberapa ciri praktikal. Antaranya smart key system, ruang simpanan hadapan sebelah kiri, ruang bawah tempat duduk, port pengecas USB Type-A 3.0 dan tangki bahan api berkapasiti 15 liter.
Paparan meter pula menggunakan panel TFT yang memaparkan maklumat tunggangan dengan lebih jelas. Lampu hadapan LED, lampu belakang LED dan lampu hazard LED dengan butang khas turut disediakan, menjadikan pakejnya lebih lengkap untuk kegunaan harian.
Untuk pasaran Malaysia, SYM Husky 200 ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Glossy Green, Silk Purple dan Pearl White. Berat kering model ini dicatatkan pada 152 kg, manakala ketinggian tempat duduk ialah 810 mm.
Secara keseluruhan, SYM Husky 200 bukanlah skuter yang cuba menjadi motosikal adventure penuh. Sebaliknya, ia lebih kepada skuter harian dengan rupa lasak, ciri keselamatan lebih lengkap dan aspek praktikal yang masih kuat.
Pada harga RM10,998, model ini boleh menjadi pilihan untuk pengguna yang mahukan skuter berbeza daripada kebiasaan.
Baca juga: CFMOTO 750SR-S Dilancar di Malaysia, Enjin 749cc 4 Silinder
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.