
Ducati memperkenalkan Panigale V2 FB63, sebuah model edisi khas lengkap dengan nombor siri yang dibangunkan bagi meraikan pelumba Ducati Lenovo Team, Francesco “Pecco” Bagnaia.
Pembangunan model ini mengambil inspirasi secara langsung daripada Panigale V2 yang digunakan Bagnaia sebagai motosikal latihan ketika mengharungi musim MotoGP.
Atas sebab itu, Ducati melengkapkannya dengan beberapa komponen yang lebih berorientasikan penggunaan di litar, termasuk kedudukan hendal lebih agresif, rim tempa serta beberapa perincian yang membawa karakter sebuah jentera perlumbaan.
Elemen yang paling mudah membezakan FB63 daripada Panigale V2 biasa sudah tentu liverinya.
Rekaan grafik motosikal ini diinspirasikan daripada corak penyamaran atau camouflage yang digunakan pada helmet, sarung tangan dan but Bagnaia bagi musim perlumbaan 2025.
Hasilnya, FB63 tampil dengan identiti yang cukup tersendiri dan mudah dikenal pasti sebagai sebuah model yang mempunyai hubungan rapat dengan juara dunia Itali berkenaan.
Kod FB63 pula merujuk kepada Francesco Bagnaia dan nombor perlumbaan rasminya, 63, yang turut digunakan sebagai kod pengenalan pelumba Ducati Lenovo Team sepanjang kejohanan.
Selain itu, model ini turut menggenuakan forged rim dengan reka bentuk lima jejari tangensial.
Ini juga merupakan kali pertama forged rim digunakan pada generasi baharu Panigale V2.
Berbanding rim jenis standard, set rim berkenaan berjaya mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 1.5kg.
Lebih penting, pengurangan berat itu membantu menurunkan momen inersia sebanyak 27 peratus pada roda hadapan dan 21 peratus di belakang.
Dalam konteks tunggangan, perubahan tersebut membantu motosikal bertukar arah dengan lebih pantas, meningkatkan tindak balas ketika memecut dan memberikan karakter pengendalian lebih tangkas.
Ducati turut memasang clip-on lebih rendah bagi menghasilkan kedudukan tunggangan yang lebih hampir kepada jentera perlumbaan.
Posisi ini memberikan penunggang rasa kawalan lebih baik ketika mengambil selekoh serta meningkatkan tindak balas daripada bahagian hadapan motosikal ketika digunakan di litar.
FB63 turut menerima Öhlins steering damper, satu lagi komponen premium yang membantu meningkatkan kestabilan dan ketepatan kawalan, khususnya ketika motosikal ditunggang pada kelajuan tinggi.
Setiap unit dihasilkan sebagai versi bernombor, lengkap dengan nombor perlumbaan rasmi Bagnaia bagi menambahkan lagi nilai eksklusifnya.
Sentuhan perlumbaan diteruskan menerusi penggunaan sport handgrip berinspirasikan MotoGP.
Grip berkenaan direka dengan permukaan yang memberikan cengkaman lebih kukuh dan maklum balas lebih jelas kepada penunggang, terutama ketika melakukan tunggangan agresif.
Rekaan ergonomiknya juga membantu mengurangkan getaran serta keletihan tangan, sekali gus memberikan hubungan yang lebih terus antara penunggang dengan jentera.
Bahagian hadapan pula menerima Racing Plexy, atau penghadang angin yang mempunyai profil lebih aerodinamik.
Komponen ini direka untuk mengurangkan rintangan angin serta membantu meningkatkan kestabilan penunggang ketika berada pada kelajuan tinggi di litar.
Untuk versi FB63, Ducati turut memasukkan tulisan “Go Free”, motto yang menjadi sebahagian daripada identiti Bagnaia.
Baca Juga : Ducati Panigale V2 MM93, Edisi Khas Marc Márquez
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.