Automotif

Ducati Panigale V2 MM93, Edisi Khas Marc Márquez

Share

Ducati Panigale V2 MM93, Inspirasi “Todo Rojo” Marc Márquez

Ducati memperkenalkan Panigale V2 MM93 Special Edition, sebuah model edisi khas yang dibangunkan bagi meraikan pelumba Ducati Lenovo Team, Marc Márquez, juara dunia sembilan kali yang cukup sinonim dengan nombor perlumbaan 93.

Namun, Panigale V2 MM93 bukan hanya sekadar Panigale V2 dengan rekaan grafik istimewa dan nombor Márquez pada badannya. Jentera ini dibangunkan berdasarkan peranan Panigale V2 sebagai antara motosikal latihan yang digunakan Márquez untuk mengekalkan tahap kecergasan dan ketajaman ketika musim perlumbaan MotoGP berlangsung.

Atas sebab itu, Ducati memberikan MM93 beberapa penambahbaikkan yang lebih tertumpu kepada fungsi sebenar motosikal ini di litar, termasuk kedudukan tunggangan lebih agresif, rim forged lebih ringan dan beberapa komponen perlumbaan lain yang eksklusif.

Panigale V2 MM93 Inspirasi Daripada Ujian Pertama Márquez Bersama Ducati

Antara perkara yang paling mudah membezakan Panigale V2 MM93 ialah liveri khasnya.

Rekaan tersebut mengambil inspirasi daripada warna yang digunakan Márquez ketika ujian pasca perlumbaan musim Barcelona 2024

, yang menjadi penampilan pertamanya di atas jentera sebagai pelumba rasmi Ducati.

Penampilan serba merah itu dikenali sebagai “Todo Rojo”, sekali gus menjadi asas kepada identiti visual Panigale V2 MM93.

Kod MM93 pula merujuk kepada Marc Márquez dan nombor perlumbaan ikoniknya, sama seperti FB63 yang digunakan pada sebuah lagi versi khas Panigale V2 untuk rakan sepasukan, Francesco Bagnaia.

Bagnaia turut menggunakan Panigale V2 sebagai motosikal latihan ketika musim MotoGP berlangsung, menyebabkan Ducati menghasilkan Panigale V2 FB63 dengan konsep yang hampir sama.

Setiap Unit Hadir dengan Nombor Siri Edisi Khas

Panigale V2 MM93 dibina sebagai sebuah model edisi khas yang mempunyai no siri tersendiri, selain menampilkan nombor perlumbaan rasmi 93 sebagai sebahagian daripada identitinya.

Ia diasaskan daripada Panigale V2 S, tetapi Ducati menambah beberapa komponen eksklusif untuk menjadikannya versi paling istimewa dalam keluarga Panigale V2.

Antaranya ialah Öhlins steering damper yang membantu meningkatkan kestabilan bahagian hadapan serta memberikan kawalan lebih tepat ketika motosikal ditunggang secara agresif, khususnya di litar.

Salah satu ciri teknikal yang ditambah baik pada MM93 ialah penggunaan rim forged dengan reka bentuk lima jejari tangensial.

Jika dibandingkan dengan rim cast konvensional, set rim tersebut berjaya mengurangkan berat sebanyak 1.56 kilogram.

Pengurangan jisim berputar ini turut menurunkan momen inersia sebanyak 27 peratus di bahagian hadapan dan 21 peratus di belakang

.

Secara praktikal, ia membantu motosikal menukar arah dengan lebih pantas, meningkatkan respons ketika memecut serta memberikan pengendalian yang lebih tajam ketika memasuki selekoh.

Kedudukan Tunggangan Lebih Agresif

Ducati turut memasang clip-on lebih rendah bagi menghasilkan kedudukan tunggangan yang lebih agresif.

Konfigurasi ini meletakkan penunggang dalam posisi lebih sesuai untuk tunggangan dalam litar perlumbaan dan pada masa yang sama memberikan rasa kawalan lebih baik ketika membrek, membelok dan melakukan pertukaran arah pada kelajuan tinggi.

Turut dipasang ialah handgrip gaya MotoGP, direka untuk memberikan cengkaman dan maklum balas yang lebih jelas kepada penunggang.

Permukaannya menghasilkan rasa lebih grip pada tangan, selain membantu mengurangkan getaran dan keletihan ketika motosikal ditunggang secara agresif.

Penghadang Angin Perlumbaan Dengan Logo MM93

Bahagian hadapan turut menerima penghadang angin atau Racing Plexy yang mempunyai profil aerodinamik yang khusus.

Rekaan tersebut bertujuan mengurangkan rintangan angin serta membantu memberikan kestabilan kepada penunggang ketika berada pada kelajuan tinggi di litar.

Khusus untuk versi ini, Ducati meletakkan grafik MM93 pada penghadang angin berkenaan sebagai satu ciri eksklusif.

Dari aspek mekanikal, Panigale V2 MM93 menggunakan enjin dua silinder berkapasiti 890cc yang menghasilkan kuasa maksimum 120hp pada 10,750rpm.

Tork maksimum pula ialah 93.3Nm pada 8,250rpm.

Walaupun angka tersebut tidak sebesar Panigale V4, fokus utama Panigale V2 ialah menawarkan jentera supersport yang lebih ringan, mudah dikawal dan mempunyai keseimbangan lebih baik antara prestasi enjin serta pengendalian.

Malah, Ducati menyifatkan generasi Panigale V2 ini sebagai Panigale paling ringan pernah dihasilkan.

Bagi MM93, berat basah tanpa bahan api dicatatkan pada hanya 175.5kg, menjadikannya lebih ringan berbanding Panigale V2 S standard.

Spesifikasi Ducati Panigale V2 MM93

  • Enjin: 890cc, dua silinder
  • Kuasa maksimum: 120hp @ 10,750rpm
  • Tork maksimum: 93.3Nm @ 8,250rpm
  • Berat basah tanpa bahan api: 175.5kg
  • Ketinggian tempat duduk: 837mm
  • Pemeriksaan kelegaan injap: setiap 45,000km
  • Rim: Forged lima jejari tangensial
  • Steering damper: Öhlins
  • Handlebar: Racing lower clip-ons
  • Penghadang angin: Racing Plexy dengan grafik MM93
  • Liveri: Inspirasi ujian Barcelona 2024 “Todo Rojo”

Baca Juga : Ducati Panigale V4 S 100 Edisi Ikonik Hidupkan Semula Legenda Imola 1972

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi