Automotif

Luftwasser 2026 Himpunkan Porsche Era Klasik Hingga Cayenne Electric

Share

Luftwasser 2026 Satukan Legasi, Inovasi dan Dunia Permotoran Porsche di Malaysia

Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance menyertai komuniti pemilik serta peminat Porsche pada acara Luftwasser 2026: Icona Heritage, yang menghimpunkan ratusan jentera Porsche daripada pelbagai generasi di LYL International Karting Circuit.

Acara yang dianjurkan bukan sahaja menjadi lokasi pertemuan pemilik Porsche, malah menjadi satu acara yang menampilkan model klasik sehinggalah jentera moden Porsche.

Antara yang dipamerkan termasuk model air-cooled dan water-cooled klasik, model GT, edisi khas, kereta lumba serta barisan model Porsche semasa.

Cayenne Electric Jadi Tumpuan

Antara tarikan utama kali ini ialah Porsche Cayenne Electric, yang dipamerkan di paddock khas Porsche Malaysia selepas membuat penampilan sulung peringkat nasional di PETRONAS Sepang International Circuit.

Model itu dipamerkan bersama beberapa generasi terdahulu Cayenne, sekali gus memperlihatkan evolusi SUV berprestasi tinggi Porsche sepanjang lebih dua dekad.

SUV ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 1,156 PS, selain menawarkan jarak perjalanan sehingga 669 kilometer berdasarkan kitaran WLTP.

Sistem pengecasan DC sehingga 400 kW pula membolehkan bateri voltan tinggi dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam tempoh kurang 16 minit dalam keadaan optimum.

Model berkenaan turut menggunakan seni bina elektrik 800 volt serta mempunyai keupayaan pemulihan tenaga sehingga 600 kW.

Teknologi yang digunakan turut mendapat manfaat daripada pengalaman Porsche dalam Formula E, termasuk pembangunan berkaitan pengurusan haba, pemulihan tenaga serta prestasi pengecasan.

Cayenne Electric kini melengkapkan pilihan Cayenne berenjin pembakaran dalaman dan plug-in hybrid di Malaysia.

Harga bagi Cayenne Electric bermula daripada RM699,000 dan tempahan kini sudah dibuka.

Porsche 911 Challenge Dipertontonkan Kepada Umum di Luftwasser 2026

Luftwasser 2026 turut menjadi lokasi kepada pratonton awam Porsche 911 Challenge, iaitu model terbaharu dalam keluarga customer motorsport Porsche.

Model berkenaan dibangunkan sebagai salah satu titik permulaan bagi mereka yang mahu menyertai dunia perlumbaan pelanggan Porsche.

911 Challenge menggabungkan beberapa elemen daripada Porsche 911 GT3 versi jalan raya dengan komponen yang dibangunkan khusus untuk kegunaan perlumbaan.

Ia dikuasakan enjin boxer enam silinder aspirasi natural 4.0 liter yang menghasilkan 379 kW atau 515 PS.

Kuasa disalurkan menerusi transmisi klac berkembar PDK tujuh kelajuan yang berasaskan unit digunakan pada model produksi 911 GT3.

75 Tahun Legasi Porsche Motorsport

Acara berkenaan turut meraikan ulang tahun ke-75 Porsche Motorsport, yang mempunyai sejarah panjang bermula dengan kejayaan Porsche 356 SL memenangi kelasnya di Le Mans pada 1951.

Sejak itu, sukan permotoran terus menjadi sebahagian penting dalam identiti Porsche, termasuk sebagai medan pembangunan teknologi yang kemudiannya diterapkan pada model jalan raya.

Bagi menggambarkan perjalanan tersebut, beberapa jentera perlumbaan daripada era berbeza dipamerkan bersama model Porsche semasa.

Antaranya ialah beberapa generasi Porsche 911 GT3 Cup yang pernah digunakan dalam program customer motorsport Porsche Malaysia.

Ini termasuk 911 GT3 Cup generasi 997 yang berlumba pada musim 2012, diikuti model generasi 991 dan seterusnya Porsche 911 Cup generasi 992.2 yang digunakan Naquib Azlan bersama Team Porsche Malaysia dalam Porsche Carrera Cup Asia musim 2026.

Kesemua jentera berkenaan dipamerkan dalam livery perlumbaan asal masing-masing, sekali gus memperlihatkan perkembangan program perlumbaan Porsche Malaysia sejak lebih sedekad lalu.

Selain pameran kenderaan, Porsche Malaysia turut menyediakan ruang hospitaliti khas yang menghadap kawasan pameran serta litar karting.

Pengunjung turut berpeluang menyertai sesi pandu uji model Porsche semasa, mencuba simulator perlumbaan serta mengunjungi butik Porsche Lifestyle.

Secara keseluruhan, Luftwasser 2026 berjaya menghimpunkan komuniti Porsche daripada pelbagai generasi dalam satu acara yang meraikan warisan, inovasi dan dunia permotoran jenama itu.

Baca Juga : Porsche Cayenne CKD 2026 Dibuka Untuk Tempahan

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi