smart #5 BRABUS Laser Red Edition Tiba di Malaysia
smart Malaysia memperkenalkan smart #5 BRABUS Laser Red Edition, varian warna edisi terhad bagi SUV elektrik berprestasi tinggi itu untuk pasaran Malaysia.
Warna baharu Laser Red memberikan penampilan lebih menyerlah tanpa mengubah aspek prestasi, teknologi dan kelengkapan premium yang ditawarkan pada smart #5 BRABUS sedia ada.
Penampilan Lebih Garang smart #5 BRABUS
Warna Laser Red dipilih bagi menonjolkan lagi karakter sporty dan agresif smart #5 BRABUS. Warna merah terang itu turut menyerlahkan bentuk badan, garisan rekaan tajam serta elemen luaran berinspirasikan BRABUS.
Menurut smart Malaysia, varian ini ditawarkan kepada pelanggan yang mahukan sebuah SUV elektrik berprestasi tinggi dengan penampilan lebih eksklusif dan berbeza di jalan raya.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, smart #5 BRABUS telah mengubah persepsi terhadap SUV elektrik dengan menggabungkan prestasi tinggi, keselesaan premium dan teknologi terkini.
Katanya, pengenalan Laser Red Edition memberi pilihan lebih ekspresif kepada pelanggan, selain menjadikan varian tersebut lebih istimewa kerana ditawarkan dalam jumlah terhad.

Kuasa 646 PS dan 710 Nm
Walaupun menerima warna baharu, aspek mekanikal smart #5 BRABUS Laser Red Edition kekal sama seperti varian BRABUS yang telah diperkenalkan sebelum ini.
SUV elektrik ini menggunakan sistem dua motor dengan pacuan semua roda yang menghasilkan kuasa keseluruhan 475 kW, bersamaan 646 PS dan tork maksimum 710 Nm.
Gabungan tersebut membolehkan smart #5 BRABUS memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat.
Model ini turut dilengkapi mod pemanduan khas BRABUS yang memberikan respons prestasi lebih agresif kepada pemandu.
Kabin Premium dan Teknologi AMD
Bahagian kabin menerima kemasan Alcantara dan Dinamica yang memberikan suasana lebih premium serta sporty.
Antara kelengkapan lain termasuk elemen rekaan khas BRABUS, sistem digital yang dikuasakan cip AMD V2000 serta rangkaian teknologi keselamatan dan bantuan pemanduan pintar.
Kemasan Laser Red pula direka untuk memberikan kedalaman visual lebih jelas, terutama apabila dilihat dari sudut pencahayaan berbeza.
Ia sekali gus memperkukuh karakter smart #5 BRABUS sebagai sebuah SUV elektrik yang menggabungkan prestasi, kemewahan dan rekaan berani.

Ditawarkan Dalam Jumlah Terhad
smart #5 BRABUS Laser Red Edition akan ditawarkan dalam jumlah terhad di Malaysia. Bagaimanapun, smart Malaysia tidak mendedahkan jumlah unit yang diperuntukkan untuk pasaran tempatan.
Harga smart #5 bagi tahun 2026 adalah seperti berikut:
- smart #5 Premium – RM209,800
- smart #5 BRABUS – RM259,800
Pelanggan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut atau melihat model berkenaan di bilik pameran smart berdekatan.
Baca Juga : smart #5 Hadir Dengan Outdoor Pack, Sasar Peminat Aktiviti Lasak
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!






