PROTON telah mengumumkan pembukaan rasmi Pusat Pemasangan Cermin Gelap PROTON di Tanjung Malim, menandakan usaha firma tersebut dalam meningkatkan kemampuan pemasangan cermin gelap sendiri. Fasiliti baru ini memiliki kapasiti untuk memasang hingga 5,000 unit kenderaan sebulan.
Pemasangan cermin gelap keselamatan telah diperkenalkan sebagai aksesori standard untuk varian Flagship dan Premium Proton X90 sejak pelancarannya pada 7 Mei 2023.
Ini juga berlaku untuk varian Flagship Proton S70 dan Flagship X, di mana cermin gelap keselamatan menjadi sebahagian daripada pakej aksesori standard.
Ads
PROTON berhasrat untuk menawarkan pilihan ini kepada model lain dalam masa terdekat, dengan tujuan memberikan nilai tambah kepada pelanggan. Kelebihan pemasangan cermin gelap oleh OEM termasuk ketepatan dan kemasan yang lebih baik dengan menggunakan cetakan pra-potong, serta mematuhi peraturan JPJ dan mengurangkan risiko kerosakan sekunder yang biasa berlaku dengan pemasangan selepas pasaran.
Pelanggan juga akan mendapat manfaat dari waranti tanpa had selama 5 tahun untuk semua perkhidmatan pemasangan cermin gelap.
Ads
Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, menyatakan bahawa pembukaan pusat pemasangan cermin gelap di Tanjung Malim merupakan langkah penting dalam komitmen PROTON untuk menyampaikan produk berkualiti dan nilai tambah kepada pelanggan. Dengan kapasiti yang besar, pusat ini dapat menangani peningkatan volum yang mendadak dengan cekap.
Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. terus mengembangkan perniagaannya di Asia Tenggara dengan membuka cawangan baharu di Ho Chi Minh Vietnam, selepas kejayaan mereka di Indonesia.
Pada majlis perasmian ini, Mforce turut melancarkan tiga motosikal baharu untuk pasaran Vietnam:
VOGE DS900X
QJMOTOR SRV600V
QJMOTOR SRV400
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Encik Asri Ahmad, Ketua Pegawai Operasi Mforce Malaysia. Dalam majlis sama, beliau telah menyerahkan sijil pelantikan kepada Jacky Chen, Pengarah Urusan Mforce Vietnam. Turut hadir ialah Dato’ Sri Tan Lean Heah, Jeff Lee, dan Arthur Teng.
Mforce Vietnam juga mengumumkan bahawa dua model Brixton Cromwell 1200 dan Storr 500 bakal memasuki pasaran Vietnam dalam masa terdekat. Ini akan menambah pilihan motosikal berkapasiti lebih besar untuk pengguna di negara tersebut.
Dalam majlis tersebut, Jacky Chen menerangkan bahawa Mforce Malaysia dan Mforce Vietnam akan bekerjasama rapat dalam pemasaran, strategi jenama dan pengurusan operasi. Fokus utama mereka ialah:
mengembangkan rangkaian pengedar,
meningkatkan pengalaman pemilik motosikal, dan
memperkukuh jenama Mforce di pasaran Vietnam.
Mforce Malaysia yakin cawangan Vietnam mampu berkembang pesat dengan pengalaman serta kepimpinan pasukan pengurusannya.
Mforce turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pelanggan, pihak kredit, rakan perniagaan, media dan peminat motosikal yang terus memberi sokongan sejak awal. Pembukaan Mforce Vietnam menunjukkan komitmen syarikat untuk terus memajukan industri motosikal di Malaysia dan negara jiran.
Mforce Bike Holdings ditubuhkan pada tahun 2008 oleh Dato’ Sri Tan Lean Heah dan syarikat ini merupakan salah satu pengedar motosikal terbesar di Pulau Pinang dan terkenal dengan pelbagai jenama antarabangsa seperti:
Benelli, Keeway, Morbidelli, Benda, QJMOTOR, SYM, Brixton, Moto Morini, Cyclone, Voge, ARIIC dan Yadea, serta dua jenama tempatan SM Sport dan WMOTO.
Mforce juga mengeksport motosikal ke negara Asia seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Taiwan.
Dengan rangkaian produk yang luas dan sokongan pemasangan tempatan, Mforce terus komited untuk memberikan motosikal yang berkualiti, bergaya dan mampu milik kepada para peminat dua roda di Malaysia.
Ducati Malaysia sekali lagi mencuri perhatian dengan pelancaran motosikal touring terbaru mereka. Ducati Multistrada V4 RS.
Model yang kini rasmi untuk pasaran Malaysia ini pertama kali diperkenalkan di peringkat global tahun lalu. Kini, telah memulakan langkahnya di Malaysia dengan membawa keunikan dan kuasa yang luar biasa dalam kategori motosikal touring.
Apa yang membuatkan Multistrada V4 RS begitu istimewa ialah ia merupakan satu-satunya model dalam siri Multistrada yang menggunakan enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale.
Enjin ini sama seperti yang digunakan pada model superbike terkenal Ducati, Panigale dan Streetfighter. Menjadikan Multistrada V4 RS sebuah jentera touring yang memiliki karakteristik motosikal litar.
Enjin Desmosedici Stradale ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 180 HP pada 12,250 rpm dan 118 Nm tork pada 9,500 rpm.
Dengan gabungan prestasi hebat ini, Multistrada V4 RS mampu memberikan pengalaman tunggangan yang penuh adrenalin, walaupun dalam perjalanan jarak jauh.
Multistrada V4 RS juga dilengkapi dengan teknologi yang berasal daripada motosikal Ducati berprestasi tinggi seperti Panigale V4 SP2.
Antaranya ialah klac kering STM-EVO SBK yang diperbuat daripada aluminium bilet. Terkenal dengan keupayaan prestasi terbaik Ducati. Teknologi ini memastikan setiap anjakan gear lebih lancar dan tepat. Sesuai untuk penunggang yang inginkan prestasi maksimum.
Untuk meningkatkan prestasi aerodinamik dan mengurangkan berat motosikal, Multistrada V4 RS hadir dengan beberapa komponen gentian karbon seperti fender hadapan. Pelindung tangan. Perisai haba dan paruh hadapan yang eksklusif untuk model ini.
Tambahan lagi, bahagian ekor teknopolimer dan subframe titanium menjadikan jentera ini lebih ringan dengan pengurangan berat sebanyak 2.5 kg. Sekaligus memberikan kawalan lebih baik dan responsif di jalan raya.
Dari segi penampilan, Multistrada V4 RS tampil garang dengan liveri Iceberg White yang digabungkan dengan warna merah serta grafik yang diinspirasikan daripada jentera MotoGP Ducati.
Penampilan sporty ini bukan sahaja menyerlahkan estetika motosikal, tetapi juga memperkuatkan lagi imej prestasi tinggi yang dimilikinya.
Tidak hanya menawarkan kuasa dan penampilan yang menawan, Ducati Multistrada V4 RS juga dilengkapi dengan pelbagai sistem elektronik canggih untuk meningkatkan pengalaman tunggangan.
Antaranya termasuk Adaptive Cruise Control (ACC) dan Blind Spot Detection (BSD). Perincian ini membantu penunggang mengekalkan kawalan lebih baik dalam pelbagai situasi tunggangan.
Multistrada V4 RS juga menawarkan empat mod tunggangan iaitu Full, High, Medium, dan Low. Sesuai untuk keperluan tunggangan yang berbeza. Selain itu, ia dilengkapi dengan ciri seperti Ducati Traction Control (DTC). Ducati Wheelie Control (DWC). Engine Braking Control dan Ducati Quick Shift (DQS). Menjadikan jentera ini serba boleh untuk pelbagai jenis permukaan jalan.
Model ini adalah yang pertama dalam siri Multistrada yang dilengkapi dengan mod Full Power. Membolehkan motosikal ini memberikan kuasa maksimum pada semua gear, dengan tindak balas segera dari pendikit.
Bagi pasaran Malaysia, Ducati Multistrada V4 RS ditawarkan pada harga RM285,900. Kini tersedia di semua pengedar rasmi Ducati di seluruh negara, motosikal ini pastinya menjadi pilihan utama bagi mereka yang mahukan gabungan sempurna antara prestasi superbike dan keselesaan touring. Dengan pelbagai ciri canggih dan rekaan yang mengagumkan, Multistrada V4 RS dijangka akan menarik minat penggemar motosikal premium di Malaysia.
Honda secara rasmi telah memperkenalkan logo Honda baharu yang akan mula digunakan secara meluas pada model-model akan datang, termasuk kenderaan elektrik (EV) dan hibrid, bermula tahun 2027. Pengenalan logo ini menandakan satu transformasi besar dalam strategi reka bentuk serta identiti jenama Honda ketika syarikat itu melangkah ke era mobiliti masa depan dan elektrifikasi penuh.
Langkah ini memperlihatkan kesungguhan Honda dalam menyesuaikan diri dengan perubahan landskap automotif global yang kini semakin didominasi oleh teknologi elektrik dan hibrid. Logo baharu ini bukan sekadar perubahan visual, tetapi menjadi simbol kepada hala tuju jangka panjang syarikat.
Berbeza dengan logo terdahulu yang berada dalam bingkai trapezoid ikonik, rekaan terbaharu ini tampil lebih minimalis dan moden. Bentuk huruf “H” kini kelihatan lebih tebal, ringkas, dan memanjang di bahagian atas, menjadikannya kelihatan lebih futuristik serta sesuai dengan identiti kenderaan elektrik.
Menariknya, sesetengah pemerhati industri automotif menyatakan bahawa reka bentuk ini mengingatkan kembali kepada logo Honda era awal 1960-an. Namun, kali ini ia diberi sentuhan kontemporari yang sejajar dengan trend reka bentuk global masa kini.
Menurut Honda, falsafah di sebalik logo Honda baharu ini melambangkan dua tangan yang terbentang. Simbol ini membawa maksud komitmen syarikat untuk memperluaskan potensi mobiliti dan berkhidmat kepada pengguna dengan lebih jujur serta berorientasikan masa depan.
Perubahan ini bukan sekadar pertukaran simbol pada bahagian hadapan kenderaan. Ia merupakan langkah strategik yang mencerminkan arah baharu Honda sebagai jenama global.
Logo ini bakal diperkenalkan buat pertama kali pada barisan EV Honda 0 Series yang dijangka muncul di pasaran global bermula tahun 2026. Setahun kemudian, ia akan digunakan secara meluas pada semua model EV serta HEV Honda di seluruh dunia.
Selain pada kenderaan, identiti baharu ini turut akan diterapkan di saluran jualan, rangkaian pengedar, serta aktiviti motorsport Honda. Langkah ini bertujuan untuk memperkukuhkan keseragaman imej jenama di peringkat global.
Pengenalan logo Honda baharu ini menerima reaksi bercampur daripada komuniti automotif dan peminat setia jenama tersebut. Ada yang menyambut baik perubahan ini sebagai simbol kemajuan dan kesediaan Honda untuk bergerak seiring dengan teknologi masa depan.
Namun begitu, tidak kurang juga peminat yang berpendapat reka bentuk baharu ini terlalu ringkas dan kehilangan elemen karakter klasik yang telah menjadi identiti Honda selama beberapa dekad.
Walau apa pun pandangan, Honda kekal dengan pendirian bahawa perubahan ini amat penting bagi mencerminkan fokus mereka terhadap teknologi tinggi, inovasi elektrik, dan sistem hibrid moden yang semakin mendapat tempat dalam pasaran global.
Logo “H” yang dikenali ramai hari ini sebenarnya mula diperkenalkan pada tahun 1981 dan digunakan selama hampir 40 tahun tanpa perubahan besar. Ia menjadi simbol kestabilan, kebolehpercayaan, dan kualiti produk Honda di mata pengguna.
Menariknya, logo terbaharu ini mengambil inspirasi daripada rekaan awal Honda pada era 1960-an, tetapi ditafsir semula dalam bentuk yang lebih ringkas dan moden. Gabungan elemen sejarah dan inovasi ini mencerminkan falsafah Honda yang menghargai legasi sambil terus bergerak ke hadapan.
Kesimpulannya, pengenalan logo Honda baharu bukan sekadar perubahan kosmetik. Ia melambangkan evolusi jenama Honda dalam menghadapi era elektrifikasi dan mobiliti masa depan. Bermula dengan EV generasi baharu pada 2026 dan penggunaan penuh pada 2027, logo ini akan menjadi wajah baharu Honda di pentas automotif global.
Volvo Car Malaysia memperkenalkan Volvo Selamat Calculator, satu platform interaktif yang dibangunkan bersama Mr Money TV bagi mengajak pengguna jalan raya menilai semula kepentingan...