Bagi penggemar skuter bergaya lasak, ini berita baik buat anda! Boon Siew Honda Sdn. Bhd. mengumumkan pilihan warna baharu untuk Honda ADV160. Kali ini tampil lebih segar dan bergaya.
Dua warna baharu iaitu Matte Black dan Merah kini ditawarkan bersama pilihan sedia ada Putih. Menjadikan penampilan skuter ini lebih garang dan menyerlah di jalanan.
Untuk mereka yang lebih sukakan gaya eksklusif dan elegan, edisi khas Honda ADV160 juga tidak ketinggalan. Ia hadir dengan warna baharu Kelabu (Gray) dan mengekalkan Matte Green.
Sesuai untuk anda yang mahu tampil lebih matang tetapi masih mengekalkan aura pengembaraan. Harga disyorkan bermula RM13,249.00 untuk warna standard dan RM13,549.00 bagi edisi khas. (Semua harga tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.)
Model dengan warna baharu ini akan mula memasuki semua bilik pameran Honda Impian X dan pengedar sah Honda di seluruh negara mulai 8 Mei 2025. Jadi, kalau anda sedang mencari tunggangan bergaya yang praktikal, boleh mula intai-intai model ini di bilik pameran berhampiran.
Ads
Kenapa Honda ADV160?
ADV160 bukan sekadar cantik, tapi sarat dengan teknologi terkini dan ciri keselamatan moden. Ia dikuasakan oleh enjin 157cc eSP+ (Enhanced Smart Power Plus) yang bukan saja menjimatkan minyak. Malah memberikan prestasi lebih lancar serta mesra alam melalui sistem suntikan bahan api PGM-FI.
Aspek keselamatan turut diperkukuhkan dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC), Anti-lock Braking System (ABS) dan Emergency Stop Signal (ESS). Semuanya demi memastikan tunggangan stabil, yakin dan terkawal dalam pelbagai keadaan jalan.
Ads
Keselesaan harian juga jadi keutamaan. ADV160 dilengkapi kunci pintar Honda Smart Key dengan sistem anti-kecurian dan fungsi ‘answer-back’. Port USB, kotak simpanan bawah tempat duduk bersaiz 30L, serta paparan meter LCD pelbagai fungsi yang memaparkan info tunggangan penting.
Ciri tambahan lain termasuk cermin penghadang angin boleh laras dua tahap, rekaan lebih rendah untuk mudah jejak kaki, dan tangki petrol 8.1 liter. Turut disertakan ialah sistem Idling Stop (ISS) dan pencahayaan LED sepenuhnya, menjadikan skuter ini bukan sahaja canggih, malah sedia untuk apa jua cabaran.
Dengan waranti dua tahun atau 20,000km (mana-mana yang terdahulu), Honda ADV160 dengan warna baharu ini bukan sekadar pilihan bergaya. Ia juga satu pelaburan bijak untuk mereka yang inginkan gabungan gaya, prestasi dan praktikaliti dalam satu pakej.
Segmen ‘Performance’ atau prestasi dalam dunia automotif adalah tempat di mana kuasa, kejuruteraan, dan reka bentuk bertemu untuk mencipta pengalaman pemanduan yang luar biasa.
Setiap jenama kereta terkenal mempunyai model tersendiri yang menonjol dalam kategori ini, menggabungkan teknologi terkini dengan sejarah dan warisan perlumbaan. Berikut adalah segmen prestasi bagi beberapa jenama kereta terkenal dunia, lengkap dengan contoh model terlaris dan ikonik mereka.
Segmen Prestasi Benua Eropah
Audi (RS Series)
– Model Terlaris: Audi RS3
– Model Ikonik: Audi R8
Audi dikenali dengan sistem pacuan semua roda Quattro yang cemerlang dan enjin berprestasi tinggi. RS3 merupakan pilihan popular bagi mereka yang inginkan hatchback dengan kuasa yang menakjubkan, manakala Audi R8, sebuah supercar yang memanfaatkan teknologi dari Audi dan Lamborghini, menjadi lambang prestasi jenama ini.
Mercedes-Benz (AMG Series)
– Model Terlaris: Mercedes-AMG C63
– Model Ikonik: Mercedes-AMG GT
Divisi AMG Mercedes-Benz telah lama menjadi simbol prestasi mewah. C63 AMG sering menjadi pilihan bagi peminat sedan berprestasi tinggi, manakala AMG GT adalah kereta sport yang sepenuhnya dibina oleh AMG. Ia menonjolkan kekuatan enjin V8 dan pengendalian yang tajam.
BMW (M Series)
– Model Terlaris: BMW M3
– Model Ikonik: BMW M5
BMW M Series adalah pilihan utama bagi penggemar kereta performance. M3, dengan sejarah panjang dalam dunia perlumbaan dan pengendalian yang mantap, menjadi model terlaris. Dalam pada itu, M5, sebuah sedan yang mampu menawarkan prestasi supercar dalam bentuk yang elegan, adalah model ikonik yang menggabungkan kekuatan dan kemewahan.
Volkswagen (R Series)
– Model Terlaris: Volkswagen Golf R
– Model Ikonik: Volkswagen GTI
Volkswagen Golf R adalah hatchback berprestasi tinggi yang terkenal dengan kuasa dan pengendalian yang seimbang, manakala Golf GTI, model ikonik yang menjadi perintis bagi hot hatch sejak tahun 1970-an, terus menjadi kegemaran ramai.
MINI (John Cooper Works)
– Model Terlaris: MINI Cooper S
– Model Ikonik: MINI John Cooper Works (JCW)
MINI Cooper S menawarkan pengalaman pemanduan yang sporty dalam pakej kompak, menjadikannya model terlaris di segmen ini. JCW adalah versi yang lebih ekstrem, dengan enjin yang lebih kuat dan pengendalian yang di-tuned untuk prestasi maksimum, menjadikannya model ikonik bagi peminat MINI.
Renault (RS)
– Model Terlaris: Renault Megane RS
– Model Ikonik: Renault Clio V6
Renault Megane RS adalah hot hatch yang terkenal dengan prestasi dan pengendalian yang tajam. Manakala Clio V6, dengan enjin di tengah dan pengendalian yang luar biasa, menjadi model ikonik yang sangat dihargai oleh peminat kereta laju.
Volvo (Polestar)
– Model Terlaris: Volvo S60 Polestar
– Model Ikonik: Volvo 850 T-5R
Volvo S60 Polestar adalah model berprestasi tinggi yang menawarkan kuasa enjin hibrid dan pengendalian yang cemerlang. Volvo 850 T-5R, dengan enjin turbo dan sejarah dalam perlumbaan BTCC, adalah model ikonik yang menonjolkan sisi sporty Volvo.
Lotus
Model Terlaris: Lotus Elise
Model Ikonik: Lotus Esprit
Lotus Elise adalah model terlaris dan simbol falsafah kejuruteraan ringan Lotus. Dengan berat kurang daripada 1,000 kg. Elise terkenal dengan reka bentuknya yang kompak dan aerodinamik. Lotus Esprit dikenali dengan reka bentuk wedge yang futuristik dan prestasi yang mengagumkan. Esprit juga terkenal kerana kemunculannya dalam beberapa filem James Bond, menambah status kultusnya dalam dunia automotif.
Segmen Prestasi Benua Amerika
Ford (Performance)
– Model Terlaris: Ford Mustang
– Model Ikonik: Ford GT
Ford Mustang adalah ikon budaya pop dan kereta performance terlaris di dunia. Ford GT, sebuah supercar yang dibina untuk menghormati kemenangan Ford di Le Mans pada tahun 1960-an, adalah model ikonik yang dikenali dalam sejarah automotif.
Tesla
Model Terlaris: Model 3 Performance
Model Ikonik: Model S Plaid
Model 3 Performance adalah model terlaris dalam barisan kenderaan berprestasi tinggi Tesla. Tesla Model S Plaid, dengan lebih daripada 1,000 kuasa kuda dan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dalam masa kurang dari 2 saat. Model S Plaid adalah salah satu kereta terpantas di dunia.
Segmen Prestasi Benua Asia
Honda (Type R)
– Model Terlaris: Honda Civic Type R
– Model Ikonik: Honda NSX
Civic Type R adalah hatchback berprestasi tinggi yang menawarkan kuasa dan pengendalian yang luar biasa. Honda NSX, dengan enjin di tengah dan teknologi canggih, adalah supercar ikonik yang menunjukkan keupayaan Honda dalam segmen prestasi.
Toyota (GR Series)
– Model Terlaris: Toyota GR Yaris
– Model Ikonik: Toyota Supra
Toyota GR Yaris adalah hatchback yang dibangunkan dengan teknologi perlumbaan dan menjadi model terlaris di kalangan penggemar kereta laju. Toyota Supra, yang terkenal dengan enjin turbocharged dan status lagenda dari masa lampau yang mengagumkan, adalah model ikonik yang terus dihargai.
Subaru (WRX/STI)
– Model Terlaris: Subaru WRX STI
– Model Ikonik: Subaru Impreza 22B
Subaru WRX STI adalah sedan berprestasi tinggi dengan sistem pacuan semua roda yang terkenal. Subaru Impreza 22B, model edisi khas yang dibangunkan untuk meraikan kejayaan dalam WRC, adalah model ikonik yang sangat dihargai.
Mitsubishi (Evolution Series)
– Model Terlaris: Mitsubishi Lancer Evolution X
– Model Ikonik: Mitsubishi Lancer Evolution VI
Lancer Evolution X adalah model terakhir dalam siri Evo yang terkenal, menawarkan kuasa turbo dan sistem pacuan semua roda. Lancer Evolution VI, dengan prestasi cemerlang dalam WRC, adalah model ikonik yang dikenang oleh penggemar prestasi.
Nissan (Nismo Series)
– Model Terlaris: Nissan GT-R
– Model Ikonik: Nissan Skyline GT-R (R34)
Nissan GT-R, juga dikenali sebagai “Godzilla,” adalah supercar yang menawarkan prestasi luar biasa dan menjadi model terlaris. Skyline GT-R R34, dengan status kultusnya dan teknologi canggih, adalah model ikonik yang tetap menjadi kegemaran di kalangan penggemar kereta.
Mazda (MazdaSpeed)
– Model Terlaris: Mazda MX-5
– Model Ikonik: Mazda RX-7
Mazda MX-5 adalah roadster terlaris yang menawarkan pemanduan yang menyeronokkan dan ringan. Mazda RX-7, dengan enjin rotary dan reka bentuk yang menawan, adalah model ikonik yang dikenali di seluruh dunia.
Proton (R3)
– Model Terlaris: Proton Satria Neo R3
– Model Ikonik: Proton Wira Rally Car
Proton Satria Neo R3 adalah hatchback berprestasi tinggi yang terkenal di kalangan peminat kereta tempatan. Proton Wira, yang berjaya dalam perlumbaan rali, adalah model ikonik yang menonjolkan kemampuan Proton dalam segmen prestasi.
Kesimpulan
Setiap jenama dalam senarai ini mempunyai warisan dan kekuatan tersendiri dalam segmen prestasi. Dari supercar yang menakjubkan hingga hatchback berprestasi tinggi, pilihan yang tersedia mencerminkan pelbagai pendekatan dalam menggabungkan kuasa, pengendalian, dan reka bentuk yang luar biasa. Model-model ini bukan sahaja terlaris, tetapi juga ikonik, membawa pengaruh yang besar dalam dunia automotif.
Jenama motosikal elektrik terkemuka, YADEA, mengukuhkan lagi kehadirannya dalam pasaran Malaysia dengan pelancaran rasmi model GT20.
Model ini adalah sebuah skuter EV berkonsepkan urban dan minimalis.
Dilancarkan menerusi pengedar rasmi, Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd., YADEA GT20 ditawarkan pada harga asas RM4,998 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).
Secara tidak langsung model ini menjadikannya antara pilihan paling mampu milik dalam segmen skuter elektrik berprestasi tinggi.
Rekaan Kompak, Pilihan Warna Menarik
GT20 tampil dengan gaya moden yang ringkas dan praktikal, sesuai untuk penunggang di kawasan bandar.
Model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik — Metal Grey, Dark/Orange, dan Green/Gold.
Dari segi dimensi, GT20 berukuran 1,857mm panjang, 690mm lebar dan 1,120mm tinggi, dengan ketinggian tempat duduk hanya 768mm.
Ruang simpanan bawah tempat duduk sebesar 28 liter turut menambah nilai praktikaliti harian.
Prestasi Motor Cukup Bertenaga
Meskipun bersaiz kompak, GT20 hadir dengan kuasa motor wheel hub berkapasiti nominal 2,000W dan puncak sehingga 3,200W, membolehkan tork maksimum 160Nm.
Ia cukup untuk menampung perjalanan harian termasuk laluan berbukit dengan kecondongan sehingga 15 darjah.
Sistem brek cakera pada kedua-dua roda turut digabungkan dengan teknologi CBS (Combined Braking System).
Bateri Graphene & Jarak Operasi Efisien
Skuter ini menggunakan bateri graphene 72V38Ah, yang mampu memberikan jarak sekitar 105 kilometer bagi satu cas penuh.
Masa pengecasan dianggarkan antara 6 hingga 8 jam menggunakan pengecas 72V6A.
Jangka hayat bateri pula mencapai 500 kitaran cas, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian dalam jangka panjang.
Lebih menarik, YADEA turut melengkapkan GT20 dengan sistem penjanaan semula tenaga ketika membrek atau menuruni cerun.
Sistem ini dapat membantu mengekalkan tahap kuasa dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.
Ciri Moden & Mesra Pengguna
Dari aspek teknologi, YADEA GT20 dilengkapi paparan digital moden dengan paparan meter mesra pengguna, dua mod tunggangan serta sistem pemantauan kerosakan pintar (smart monitor faultless).
Lampu LED hadapan dan belakang menghasilkan pencahayaan cerah 4,000CD untuk low beam dan 22,000CD untuk high beam penting untuk keselamatan pada waktu malam.
Model ini juga dilengkapi dengan beberapa ciri praktikal seperti port USB Type-A, cangkuk tersembunyi, ruang simpanan hadapan dan ciri keselamatan seperti side stand cut-off, serta ‘Secure Ride’ yang merangkumi tempat duduk ergonomik dan penyandar pembonceng.
Komitmen YADEA terhadap Pasaran Malaysia
Pelancaran GT20 menjadi langkah penting YADEA dalam memperkukuh kedudukan jenamanya di Malaysia, khususnya dalam segmen EV dua roda yang semakin berkembang.
Dengan reputasi global di lebih 100 negara dan rekod sebagai pengeluar skuter elektrik terbesar di dunia, YADEA terus berinovasi dengan fokus terhadap teknologi hijau dan gaya hidup bandar.
Setiap pembelian YADEA GT20 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km.
Selain itu pengeluar memberikan akses kepada pembelian alat ganti tulen melalui platform dalam talian yang dikendalikan oleh Mforce Bike Holdings.
Baru-baru ini, Didi Group mengumumkan harga jualan rasmi untuk model motosikal klasik dari jenama Royal Enfield iaitu Super Meteor 650 untuk pasaran tempatan. Ditawarkan pada harga bermula dari RM37,900 ia tampil dengan tiga varian yang boleh dipilih mengikut kesesuaian tunggangan anda.
Motosikal ini kali dipertontonkan kepada umum ketika berlangsungnya acara Art Of Speed 2023 di mana ia mendapat pelbagai reaksi orang ramai dari segi rekaan, prestasi dan harga.
Super Meteor menggunakan enjin parallel-twin 648 cc yang mampu menghamburkan kuasa 47 PS(HP) @ 7,250 rpm dan daya kilas 52.3 Nm @ 5,650 rpm turut dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.
Kredit Foto: Careta.my
Mengekalkan ciri motosikal cruiser, roda hadapannya berukuran 19 inci, manakala 16 inci untuk bahagian belakang dengan saiz tayar masing-masing 100/90 dan 150/80. Ia juga turut dilengkapi dengan sistem ABS secara standard dengan berat kasar motor sebanyak 241 kg.
Walaupun mempunyai enjin yang sama dengan Continental GT 650 dan Interceptor INT 650, Super Meteor merupakan model pertama dari Royal Enfield yang mempunyai sistem pencahayaan LED diikuti dengan fork hadapan jenis terbalik (upside down) bersaiz 43 mm.
Di bahagian belakang pula dipasangkan penyerap hentak berkembar secara standard dengan pelarasan pra-muatan lima tahap. Untuk kapasiti tangki bahan api, ia mampu menampung sehingga 15.7 liter, dengan ketinggian pelana sekitar 740mm.
Kredit Foto: Careta.my
Cruiser Super Meteor 650 boleh didapati dalam tiga varian iaitu, Super Meteor Single (Astral) dengan tanda harga bermula dari RM37,900. Varian kedua iaitu Super Meteor Dual (Interstellar) berharga RM38,300, manakala varian teratas iaitu Super Meteor Tourer (Celestial) bermula dari RM39,300.
Mereka yang ingin tahu lebih lanjut mengenai model ini atau barisan Royal Enfield yang lain boleh layari laman sesawang rasmi www.royalenfield.com/my atau kunjungi pengedar sah yang terletak di The Gasket Alley, Petaling Jaya.
1 of 18
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
BYD Tech Discovery Himpun Teknologi EV Terkini
BYD Malaysia bersama DENZA dan BYD Sime Motors melancarkan BYD Tech Discovery, sebuah jelajah teknologi EV pertama di...