Automotif

MINI Cooper S Oxford Edition Dilancar di Malaysia, Terhad Enam Unit

Share

MINI Cooper S Oxford Edition Tiba di Malaysia, Hanya Enam Unit Ditawarkan

MINI Malaysia memperkenalkan MINI Cooper S Oxford Edition Baharu, sebuah edisi khas yang dibangunkan bagi meraikan ulang tahun ke-25 pengeluaran MINI moden di Plant Oxford, United Kingdom.

Terhad kepada hanya enam unit untuk pasaran Malaysia, model ini memberi penghormatan kepada Oxford sebagai lokasi bermulanya era baharu MINI apabila MINI moden pertama keluar daripada barisan pengeluaran kilang berkenaan 25 tahun lalu.

Bahagian luaran MINI Cooper S Oxford Edition dihiasi grafik Union Jack pada bumbung dan bonet, sekali gus memberikan identiti yang lebih tersendiri berbanding Cooper S biasa.

Ia turut dilengkapi penutup hab khas Oxford Edition bersama penutup injap, manakala bahagian belakang menerima kemasan dengan elemen Union Jack bagi melengkapkan tema keseluruhan model ini.

Tema British berkenaan diteruskan ke dalam kabin menerusi logo Oxford Edition pada stereng, kemasan ambang pintu serta karpet lantai dengan perincian Union Jack.

Malah, penutup kunci juga menerima kemasan khas Oxford Edition sebagai sebahagian daripada pakej eksklusif model berkenaan.

MINI Cooper S Oxford Edition ditawarkan dalam Tiga Pilihan Warna

Untuk pasaran Malaysia, MINI Cooper S Oxford Edition ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu:

  • Chili Red
  • Indigo Sunset Blue
  • Blazing Blue

Setiap warna hanya diperuntukkan sebanyak dua unit, menjadikan keseluruhan pengeluaran untuk pasaran tempatan terhad kepada enam unit sahaja.

Walaupun tampil dengan beberapa elemen kosmetik khas, Oxford Edition masih mengekalkan karakter pemanduan Go-Kart Feeling

yang menjadi antara identiti utama MINI Cooper S.

MINI Cooper S Oxford Edition, Harga Bermula RM289,888

MINI Cooper S Oxford Edition ditawarkan pada harga jualan disyorkan RM289,888 atas jalan tanpa insurans.

Dengan tambahan Pakej MINI Repair & Service Inclusive, harganya meningkat kepada RM300,288.

Menerusi pelan Easy Drive Financing Plan daripada BMW Group Financial Services Malaysia, model ini boleh dimiliki dengan ansuran bulanan bermula RM2,773, berdasarkan anggaran pinjaman 75 peratus untuk tempoh lima tahun.

Bagi pelan pembiayaan Straight-Line, bayaran bulanan pula bermula sekitar RM3,219, berdasarkan pinjaman 75 peratus untuk tempoh tujuh tahun.

MINI Roadside Assistance Lima Tahun

Setiap MINI Cooper S Oxford Edition turut dilindungi program MINI Roadside Assistance selama lima tahun, termasuk bantuan kecemasan 24 jam sepanjang tahun, bantuan di lokasi serta perkhidmatan tunda.

Selain jaminan standard dua tahun, pelanggan juga boleh memilih pakej pembaikan dan servis lanjutan menerusi MINI Service & Repair Inclusive.

Dengan jumlah hanya enam unit ditawarkan, MINI Cooper S Oxford Edition bukan sahaja meraikan sejarah 25 tahun MINI moden di Oxford, malah menjadi salah satu varian Cooper S yang lebih eksklusif untuk pengumpul dan peminat MINI di Malaysia.

Baca Juga : MINI Perkenal Oxford Capsule, Koleksi Pakaian dan Aksesori

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di YoutubeInstagram &  TikTok.

Related Post
Published by
Syafiq Syazuan Ruzaidi