Selepas kejayaan model 990 Duke dalam pasaran, KTM kini memperkenalkan versi lebih bertenaga dan agresif iaitu 990 Duke R. Versi ini hadir dengan pelbagai naik taraf yang bukan sahaja meningkatkan kuasa, tetapi juga aspek suspensi, brek, dan sistem paparan. Inilah motor yang direka khas untuk penggemar kelajuan dan mereka yang mencari pengalaman tunggangan lebih ekstrem.
Reka Bentuk Lebih Sporty dan Agresif
KTM 990 Duke R tampil dengan reka bentuk yang lebih sporty berbanding model asal. Ia menampilkan panel badan plastik berwarna putih dengan kerangka utama dan belakang dicat oren yang menjadi tanda ikonik KTM.
Motor ini secara standard hadir dengan tetapan tempat duduk tunggal, tetapi boleh ditukar kepada tempat duduk penumpang. Reka bentuk ini memberikan aura agresif dan kemas untuk model naked berprestasi tinggi.
KTM DUKE 990 R
Enjin Dua Silinder dengan Peningkatan Kuasa
Kuasa enjin KTM 990 Duke R didorong oleh unit dua silinder selari 947 cc LC8c yang kini menghasilkan 130 PS – meningkat 7 PS berbanding model 990 Duke biasa. Tork kekal pada 103 Nm pada 10,500 rpm. Memberikan prestasi yang lebih padu dan responsif.
Model ini juga menyediakan empat mod tunggangan: Street, Rain, Sport, dan tambahan baharu iaitu mod Custom yang boleh diubah suai mengikut keperluan penunggang. Bagi yang inginkan lebih, mod Performance dan Track boleh dipilih sebagai opsyen tambahan.
Suspensi WP Apex yang Lebih Mantap
Bagi menyesuaikan peningkatan kuasa, KTM turut menaik taraf sistem suspensi. Fork depan WP Apex kini berdiameter 48 mm. Lebih besar dari 43 mm pada model asal, dan tetapan lebih keras sebanyak 34% dengan jarak gerak 143 mm.
Ads
Di belakang pula, monoshock WP Apex yang dilengkapi sistem linkage memberikan kestabilan dan kawalan lebih baik, dengan jarak gerak kini 140 mm. Sedikit berkurangan dari model asal tetapi tetap berkesan untuk kawalan. Dengan peningkatan ini, tempat duduk kini lebih tinggi pada 840 mm. Meningkatkan jarak condong motor hingga tiga darjah lagi, menjadikannya lebih stabil di selekoh tajam.
Sistem Brek Monoblock Brembo Stylema untuk Hentian Mantap
Sistem brek juga tidak ketinggalan dalam peningkatan ini. KTM telah menambah baik angkup empat piston pada model asal kepada angkup monoblock Brembo Stylema.
Dipadankan dengan pam atas Brembo MCS dan cakera berkembar lebih besar berukuran 320 mm di bahagian depan. Sistem brek ini menjanjikan kawalan hentian yang lebih cekap dan selamat. Di bahagian belakang, terdapat cakera dengan angkup satu piston yang mampu memberikan respons brek yang memadai.
KTM DUKE 990 R
Paparan Skrin TFT 8.8 Inci Berteknologi Tinggi
KTM 990 Duke R kini dilengkapi dengan skrin TFT yang dinaik taraf kepada 8.8 inci. Jauh lebih besar dari 5 inci pada 990 Duke. Skrin ini diletakkan secara mendatar dan menyokong pelbagai paparan serta sambungan. Memudahkan penunggang untuk memantau status motor dan menukar tetapan dengan lebih mudah.
Ads
Ciri-Ciri Tambahan untuk Pengalaman Tunggangan Lebih Mantap
Tidak dilupakan, KTM 990 Duke R hadir dengan rim 17 inci yang dilengkapi tayar Michelin Power Cup 2 bersaiz 120/17 di depan dan 180/55 di belakang. Menjamin cengkaman maksimum pada permukaan jalan. Walaupun mempunyai pelbagai peningkatan, berat motor ini kekal pada 190 kg.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan tangki bahan api 14.8 liter, lampu LED, sistem anti-wheelie lima tahap, kawalan cengkaman, ABS dengan mod Sport dan Supermoto+. Serta launch control untuk pelancaran lebih padu.
Harga bagi pasaran tempatan belum diketahui lagi, namun, ia akan sedikit mahal berbanding KTM Duke 990 yang berada di pasaran sekarang dengan harga RM99,800.
Secara keseluruhannya, KTM 990 Duke R adalah motor naked yang penuh dengan ciri-ciri canggih dan keupayaan prestasi tinggi, sesuai untuk peminat yang mencari pengalaman tunggangan lebih agresif dan penuh gaya.
MV Agusta melancarkan satu lagi permata dalam dunia motosikal sport – F3 Competizione. Berasaskan model F3 RR, motosikal ini tampil dengan reka bentuk dan teknologi yang mengagumkan. Lebih istimewa, hanya 300 unit akan dihasilkan sepanjang tahun 2025, menjadikannya koleksi eksklusif yang pasti memikat peminat motosikal.
Reka Bentuk Memukau dan Inspirasi F4 Claudio
F3 Competizione memikat hati dengan sentuhan warna Satin Metallic Carbon Black, Satin Intense Silver, dan emas yang dipadankan dengan gentian karbon terdedah.
Reka bentuknya mengambil inspirasi daripada F4 Claudio, dengan garisan emas yang menaikkan seri motosikal ini. Pelana dibalut dengan Alcantara, memberikan sentuhan mewah, manakala plak bernombor pada pemegang hendal menjadikannya seolah-olah karya seni yang bergerak.
Kredit – Website MV Agusta
Kuasa Enjin dan Pengurangan Berat
Enjin 798 cc tiga silinder menghasilkan 160 kuasa kuda pada 13,500 rpm. Tidak seperti sebelum ini dimana pengeluar menggunakan ekzos titanium Akrapovic khas, yang hanya menghasilkan kuasa sekitar 155 hp.
Dengan pengurangan berat sebanyak 14 kilogram berbanding F3 RR, motosikal ini lebih ringan dan lincah, menjadikannya pilihan ideal untuk litar atau jalan raya.
Penggunaan material titanium dan karbon bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan berat tetapi juga meningkatkan kecekapan aerodinamik. Dapra depan gentian karbon direka untuk menghasilkan daya mendap sehingga 8 kg pada kelajuan 240 km/j. Membantu kestabilan motosikal pada kelajuan tinggi.
Kredit – Website MV Agusta
Teknologi Canggih untuk Pengalaman Pemanduan Maksimum
F3 Competizione dilengkapi ECU pintar dengan IMU enam paksi, membolehkan penunggang memilih empat mod pemanduan: Rain, Sport, Race, dan Custom. Terdapat juga lapan tahap kawalan cengkaman, sesuai untuk pelbagai keadaan jalan. Sistem brek anti-kunci (ABS) mempunyai dua mod – Sport dan Race – dan boleh dipadamkan jika diperlukan.
Ciri tambahan seperti Front Lift Control (FLC) dan Rear Wheel Lift-Up Mitigation (RLM) memberikan kawalan penuh semasa pecutan mendadak. Dengan teknologi ini, motosikal mampu mencapai kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa kurang daripada 3 saat.
Kredit – Careta
Komponen Casis Premium
Suspensi motosikal ini menggunakan Öhlins NIX30 di depan dan Öhlins TTX 36 di belakang. Memberikan kestabilan dan kawalan yang lebih baik. Peredam hendal mempunyai 19 larasan kedudukan, sementara rim karbon khas mengurangkan berat keseluruhan sebanyak 3 kilogram berbanding rim aluminium F3 RR.
Sistem brek Brembo Stylema dengan cakera 320 mm di depan dan 220 mm di belakang melengkapkan pakej ini untuk prestasi pemanduan yang hebat.
Kredit – Careta
Pakej Eksklusif untuk Kolektor
Setiap pembelian F3 Competizione hadir dengan kit khas, termasuk:
Set ekzos penuh Akrapovic
Pelindung gentian karbon untuk ekzos
Penutup tangki CNC
Penutup pelana gentian kaca
Selimut motosikal khas
Sijil ketulenan
Dengan ciri-ciri hebat ini, MV Agusta F3 Competizione bukan sekadar motosikal – ia adalah simbol kejuruteraan canggih dan seni reka bentuk. Bagi peminat motosikal yang mahukan gabungan kuasa, gaya, dan eksklusiviti, edisi terhad ini adalah pilihan sempurna.
Dalam pembangunan yang mengambil masa hampir tiga tahun, litar lumba Horizon Beranang akhirnya melihat cahaya mata pada tahun 2023. Idea yang dicanangkan pada tahun 2022, akhirnya membuahkan pusat latihan dan perlumbaan sukan permotoran yang diimpikan ramai.
Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Selangor, dengan penuh semangat menjelaskan bahawa litar ini akan menjadi titik tumpuan utama bagi peminat sukan permotoran.
“Inisiatif ini direalisasikan melalui usaha Horizon Motorsport dengan sokongan padu kerajaan Selangor melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Ia menjadi wadah yang sempurna bagi pelumba tempatan untuk berkembang dan memperjuangkan impian mereka dalam arena perlumbaan.”
Kredit: mediatwohweels.com
Beliau menekankan bahawa litar ini bukan sekadar tempat untuk berlumba, tetapi juga menjadi tempat latihan yang cemerlang untuk bakat-bakat baru.
“Kami berharap agar pengurusan litar ini diserahkan kepada mereka yang berpengalaman dan profesional dalam bidang sukan permotoran. Ini adalah langkah penting untuk memastikan kesinambungan sukan ini dan juga untuk mendorong penemuan bakat-bakat baru yang berpotensi.”
Dengan jarak trek lumba sejauh 1 kilometer dan 12 variasi litar yang berbeza, Horizon Beranang menjanjikan pengalaman perlumbaan yang menarik bagi semua peringkat pelumba.
“Ketika litar ini siap sepenuhnya, kami yakin bahawa ia akan menjadi mercu tanda penting dalam dunia sukan permotoran di Selangor. Penggemar sukan ini boleh menghubungi Horizon Motorsport untuk maklumat lanjut mengenai penggunaan litar ini,” tambahnya dengan penuh keyakinan.
Isle of Man Tourist Trophy (TT) merupakan perlumbaan motosikal jalan raya paling berbahaya dan berprestij di dunia. Acara ini pertama kali diadakan pada tahun 1907 di Isle of Man, sebuah pulau kecil di antara England dan Ireland.
Pada asalnya, perlumbaan ini diwujudkan sebagai alternatif kepada perlumbaan di tanah besar Britain yang mempunyai banyak sekatan terhadap perlumbaan jalan raya.
Litar perlumbaan ini dikenali sebagai Snaefell Mountain Course, dengan panjang sekitar 60.7 km. Ia melalui kawasan bandar, kampung, jalan berliku, dan kawasan pergunungan.
Menjadikannya antara laluan paling mencabar dalam dunia perlumbaan motosikal. Sepanjang lebih 100 tahun penganjurannya, Isle of Man TT telah menjadi acara legenda dalam kalendar sukan permotoran.
Kemalangan dan Kematian
Perlumbaan ini terkenal dengan tahap bahayanya yang ekstrem. Sejak edisi pertama pada 1907, lebih daripada 270 pelumba telah terkorban. Menjadikannya perlumbaan motosikal paling berbahaya di dunia. Kelajuan tinggi, jalan sempit, dan perubahan cuaca yang tidak menentu sering menjadi punca utama kemalangan.
Antara kemalangan paling tragis berlaku pada tahun 1970 apabila Santiago Herrero, pelumba Sepanyol, terkorban selepas terjatuh di selekoh Westwood. Pada tahun 2016 pula, tiga pelumba maut dalam tempoh seminggu perlumbaan.
Statistik ini menggambarkan betapa bahayanya Isle of Man TT, tetapi ia tetap menjadi tarikan utama bagi pelumba yang ingin menguji keberanian dan kemahiran mereka.
Pemenang Terkenal
Walaupun perlumbaan ini amat mencabar, ramai pelumba legenda telah mencipta nama di sini. Joey Dunlop merupakan pelumba paling berjaya dalam sejarah TT dengan 26 kemenangan, diikuti oleh John McGuinness dengan 23 kemenangan. Michael Dunlop, anak saudara Joey, juga merupakan salah seorang pelumba moden yang paling berjaya dengan lebih daripada 20 kemenangan.
Tarikh dan Lokasi Acara
Isle of Man TT diadakan setiap tahun pada penghujung bulan Mei hingga awal Jun. Perlumbaan ini berlangsung di litar jalan raya Snaefell Mountain Course. Ia meliputi jalan raya awam yang ditutup khas semasa acara. Perlumbaan berlangsung selama dua minggu – minggu pertama digunakan untuk sesi latihan dan minggu kedua untuk perlumbaan sebenar.
Siapa yang Boleh Sertai?
Perlumbaan ini terbuka kepada pelumba profesional yang mempunyai lesen perlumbaan sah dan pengalaman dalam perlumbaan motosikal berkelajuan tinggi. Peserta perlu melalui proses kelayakan yang ketat untuk memastikan mereka mampu mengendalikan motosikal pada kelajuan tinggi dalam laluan yang mencabar.
Kesimpulan
Isle of Man TT bukan sekadar perlumbaan motosikal biasa – ia adalah ujian keberanian, ketahanan, dan kemahiran tahap tertinggi. Dengan sejarah yang panjang, pemenang legenda, serta cabaran ekstrem yang ditawarkan. TT Isle of Man terus menarik perhatian peminat sukan permotoran dari seluruh dunia. Namun, risiko kematian yang tinggi menjadikan acara ini sebagai salah satu perlumbaan paling kontroversi dan berbahaya dalam dunia perlumbaan motosikal.
Kempen Volvo Secret Sales Tawar Rebat dan Hadiah Istimewa Untuk Pelanggan Baharu
Volvo Car Malaysia bersedia menutup tirai tahun ini menerusi acara jualan istimewa yang...