Koroyd: Inovasi Perlindungan Baharu untuk Penunggang Motosikal, Terinspirasi dari Nahas Udara
Dalam dunia permotoran yang semakin maju, pelbagai jenama berlumba-lumba memperkenalkan teknologi perlindungan terkini buat penunggang motosikal.
Namun, satu inovasi dari Monaco yang digelar Koroyd tampil berbeza.
Bukan sekadar bahan perlindungan biasa, tetapi satu sistem yang diinspirasikan daripada kajian tragedi pesawat Boeing pada tahun 1989.
Koroyd di dalam helmet Klim Kredit Foto : Website motorcyclenews
Latar Belakang: Inspirasi dari Tragedi Kegworth
Pada 8 Januari 1989, sebuah pesawat Boeing 737 terhempas di Leicestershire, England, mengorbankan 47 orang.
Tragedi itu mendorong kajian menyeluruh tentang cara mengurangkan kecederaan impak terhadap penumpang, dan hasilnya struktur tiub silinder dikenal pasti sebagai bentuk paling efisien untuk menyerap tenaga hentakan.
Koroyd kemudian mengambil ilham ini dan membangunkan sistem pelindung berasaskan tiub plastik termosambung yang mampu direka dalam pelbagai bentuk.
Ads
Kredit Foto : Website motorcyclenews
Keunggulan dalam Topi Keledar Sudah Digunakan oleh KLIM
Koroyd telah bekerjasama dengan jenama gear terkenal dari Amerika Syarikat, KLIM, untuk membangunkan topi keledar yang lebih selamat.
Teknologi tiub berongga Koroyd menggantikan sebahagian besar bahan EPS (Expanded Polystyrene) tradisional.
Apabila berlaku hentakan, tiub-tiub ini akan melengkung dan menyerap tenaga secara lebih efektif malah dikatakan 42% lebih efisien berbanding EPS biasa.
Tambahan pula, struktur terbuka Koroyd membenarkan udara keluar semasa impak berlaku, mengelakkan kesan “pemadatan” yang menyebabkan bahan menjadi keras seperti pada EPS biasa.
Ads
Kredit Foto : Website motorcyclenews
Kini Fokus pada Pelindung Anggota Badan
Bermula tahun 2024, Koroyd memperluaskan kepakaran mereka kepada pembangunan pelindung anggota badan seperti lutut, siku dan bahu.
Produk ini dijangka memenuhi piawaian EN1621 Level 1 dan 2, dan direka menggunakan struktur berbentuk sarang lebah (honeycomb) yang boleh mengikut bentuk dan pergerakan tubuh.
Ben Lzicar, Pengurus Aktivasi Pasaran Koroyd, menjelaskan:
“Kami mencipta struktur elastomer unik dengan pola geometri yang boleh berkembang dan berubah bentuk mengikut gerakan tubuh. Ia bukan sahaja anjal, malah benar-benar menyesuaikan diri dengan cara tubuh anda bergerak.”
Ads
Kredit Foto : Website motorcyclenews
Gabungan Sains dan Keselamatan
Daripada insiden tragis di langit England sehinggalah kepada perlindungan penunggang di jalan raya hari ini, Koroyd membuktikan bahawa sains dan teknologi mampu menyelamatkan nyawa dalam pelbagai bentuk.
Dengan gabungan kecekapan penyerapan tenaga, aliran udara yang lebih baik dan fleksibiliti luar biasa, teknologi ini dilihat sebagai langkah besar ke hadapan dalam keselamatan permotoran.
Perlumbaan motorsport adalah sangat mengujakan untuk ditonton, dengan pemandu mencabar diri dan kenderaan mereka ke tahap maksimum. Di era ini, langkah keselamatan merupakan sesuatu yang amat dititikberatkan. Sukan permotoran kini telah diatur untuk memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat.
Sebagai contoh, penggunaan halo pada kereta Formula 1 dan air-bag jacket bagi penunggang motosikal. Kedua-dua teknologi perlu untuk memastikan keselamatan pengguna.
Walau bagaimanapun, masih ada beberapa perlumbaan di luar sana yang menempah bahaya. Perlumbaan seperti Dakar Rally dan Isle of Man TT menjadi terkenal kerana bahayanya, tetapi ada lagi di luar sana yang suka bermain dengan api. Teruskan di bawah untuk run-down mengenai lapan perlumbaan motorsport paling berbahaya di dunia.
Dakar Rally menjadi salah satu perlumbaan motorsport paling terkenal sejak penubuhannya pada tahun 1978. Pada awalnya diadakan sebagai perlumbaan rally dari Paris ke Dakar, lokasi tersebut telah ditukar ke Amerika Selatan pada tahun 2008 kerana isu keselamatan.
Sejak tahun 2020, ia diadakan di Arab Saudi. Ia memfokuskan perlumbaan endurance off-road, di mana pemandu tidak hanya harus menghadapi pelbagai jenis landskap dan iklim, tetapi navigasi dan kekuatan mental mereka diuji ke tahap maksimum.
Para peserta Dakar Rally memang terkenal untuk hilang berhari-hari, yang paling kecoh berlaku apabila Mark Thatcher, anak lelaki bekas Perdana Menteri British Margaret Thatcher, hilang selama enam hari pada tahun 1982.
Isle of Man TT adalah salah satu perlumbaan motosikal tertua dan paling berbahaya di dunia. Pertama kali diadakan pada tahun 1907, peserta harus berlumba melalui jalan awam yang sempit dan berliku-liku, semuanya sambil memecut dengan kelajuan lebih dari +200km/j.
Perlumbaan tersebut dianggap sangat berbahaya sehingga ia digugurkan daripada status kejuaraan dunia pada tahun 1977. Ini bermakna penunggang yang ingin memenangi Isle Of Man TT tidak lagi dipaksa untuk bersaing; sesiapa sahaja yang cukup gila melakukannya perlu dengan rela hati!
Baja 1000 adalah perlumbaan motorsport off-road tahunan di Semenanjung Baja California, Mexico. Meliputi lebih dari 1,000 batu (1,610km) melalui padang pasir Mexico, Baja 1000 sama seperti Dakar Rally adalah untuk menguji kecekapan pemandu dan kenderaan mereka.
Satu perkara yang paling unik tentang perlumbaan ini adalah keterbukaan pelbagai jenis kenderaan untuk bersaing. Oh, dan satu budaya penonton Baja 1000, mereka sering mengganggu laluan dengan menggali lubang dan meletakkan perangkap bagi pemandu yang tidak tahu. Ya, anda membaca betul. Penganjur acara tersebut mendakwa bahawa ini menambah daya tarikan perlumbaan, tetapi kami tidak pasti pemandu mempunyai pendapat yang sama.
Perangkap-perangkap itu tidak bertujuan untuk melukakan pemandu, namun kerana kenderaan bergerak pada kelajuan yang tinggi, kecederaan kepada pemandu dan penonton adalah perkara biasa.
24 Hours of Le Mans atau Le Mans 24 Jam adalah perlumbaan endurance kereta tertua di dunia. Ia diadakan setiap tahun sejak tahun 1924. Tujuan perlumbaan ini adalah untuk seimbangkan kelajuan dengan keupayaan kereta untuk memandu selama 24 jam berturut-turut, dengan pemenang ditentukan oleh kereta yang meliputi jarak terjauh.
Risiko terbesar pada perlumbaan ini adalah ketika pemandu mula penat, namun perlu mengekalkan kelajuan mereka. Terdapat banyak kejadian yang direkodkan selama bertahun-tahun, tetapi yang terburuk berlaku pada tahun 1955 apabila 83 penonton dan pemandu Pierre Lavegh terbunuh selepas keretanya terbabas keluar litar.
Perlumbaan sukan permotoran sangat bahaya di mana sahaja, apatah lagi melalui jalan berliku-liku Gunung Rocky. Pikes Peak pasti akan membuat penonton tidak tenteram, ketika pemandu memecut pada kelajuan tinggi mendaki Rocky dengan sedikit atau tiada penghalang untuk menghentikan mereka dari terjatuh.
Selekoh berliku perlumbaan inilah yang membuatnya begitu terkenal; satu kesilapan boleh menghantar pemandu bergolek-golek ke bawah Rocky. Sehingga tahun 2011 perlumbaan itu mempunyai seksyen trek yang berturap dan berbatu, namun sejak itu, ia telah sepenuhnya diturapkan. Itu pastinya sesuatu yang baik kan? Cuba fikir lagi; litar yang sepenuhnya diturap bermakna pemandu boleh bergerak dalam kelajuan yang lebih tinggi untuk perlumbaan, menjadikan pendakian yang lebih mencabar. Dengan itu, Ini bukan untuk yang lemah semangat.
The Erzberg Rodeo adalah salah satu perlumbaan motosikal yang paling mencabar di dunia. Peserta harus mendaki sebuah lombong pada ketinggian Alpen Austria; lebih kurang 3750 meter dari paras laut.
Ia dikatakan begitu sukar sehingga daripada 500 peserta yang mengambil bahagian dalam edisi 2022, hanya lapan sahaja yang berjaya menamatkan perlumbaan. Oleh kerana kecerunannya yang ekstrem, penunggang harus mengawal motosikal mereka supaya tidak terbalik dan menghempap mereka. Ini lebih mudah kata dari buat. Lazimnya pada hari acara anda akan lihat banyak ambulans menuruni gunung untuk membawa peserta yang cedera.
Sama seperti Le Mans, Nürburgring 24 Hours adalah perlumbaan endurance yang menguji pemandu dan kereta ke tahap maksimum. 210 buah kereta menyertai perlumbaan setiap tahun, dan mereka dibenarkan memiliki dua pemandu yang boleh memandu selama 150 minit secara berterusan.
Ini kedengaran baik, bukan? Namun, status Nürburgring yang menjadi salah satu litar yang paling mencabar yang pernah direka. Ditambah dengan lekukan, belokan, dan pusingan yang berbahaya menjadikannya satu cabaran sebenar bagi pemandu; terutama pada waktu gelap.
The Rainforest Challenge dianggap sebagai salah satu perlumbaan off-road yang paling mencabar di dunia, dan tidak sukar untuk dilihat mengapa. Perlumbaan enam hari melalui hutan hujan Malaysia; selalunya di Borneo, peserta harus mengatasi vegetasi hutan yang padat, haiwan hutan, lumpur, dan sungai.
Untuk menambah kesukarannya, perlumbaan sentiasa dilakukan semasa musim monsun. Acara ini mungkin salah satu yang paling mencabar fizikal di dunia. Anda hanya dibenarkan mempunyai sepasukan dua orang sahaja. Jika kereta anda melekat di lumpur, anda akan diuji ke had maksimum untuk cuba mengeluarkannya.
Cabaran perlumbaan itu dibuat jelas oleh penganjur. Mereka memandatorikan sesi penerangan pra dan post-perlumbaan bagi gangguan tekanan psikologi atau post-traumatic stress disorder (PTSD).
Berita baik untuk peminat kereta sports klasik! Toyota telah mengesahkan bahawa mereka sedang membangunkan generasi kelapan model Celica.
Menurut laporan dari majalah Jepun, Best Car. Pengesahan ini diberikan oleh seorang eksekutif Toyota semasa acara Rally Japan 2024 baru-baru ini. Membangkitkan semula semangat peminat kereta ini selepas hampir dua dekad sejak model terakhirnya dihentikan pengeluaran.
Pendedahan mengejut ini berlaku apabila Best Car bertanyakan kepada Akio Toyoda, Pengerusi Toyota, mengenai kemungkinan kembalinya Celica. Namun, Toyoda yang juga dikenali sebagai penyokong tegar kereta sports, memberikan peluang kepada Naib Presiden Eksekutif Yuki Nakajima untuk menjawab.
Dengan yakin, Nakajima berkata, “Kami akan menghasilkan Celica.” Walaupun kenyataan itu mungkin tidak dirancang untuk diumumkan. Ia menguatkan khabar angin yang telah beredar selama beberapa tahun.
Nakajima turut menambah, “Saya tidak pasti jika ini boleh diumumkan di khalayak umum,” memberikan bayangan bahawa maklumat ini mungkin terlepas lebih awal daripada yang dirancang. Namun begitu, ini bukan kali pertama Toyota memberi petunjuk tentang kebangkitan Celica.
Khabar angin mengenai Celica kembali semakin kencang sejak akhir 2023. Apabila Akio Toyoda menyuarakan hasratnya untuk menghidupkan semula model ini. Presiden Toyota, Tsuneji Sato, juga menyatakan keinginan yang sama pada tahun lalu.
Tambahan pula, dalam siri anime dalaman Toyota bertajuk Grip, papan putih dalam satu babak memaparkan tulisan “Celica Mk8,” memberi bayangan jelas tentang projek ini.
Model terakhir Celica, generasi ketujuh, dihentikan pengeluaran pada 2005. Sejak itu, peminat kereta ini hanya mampu berharap namanya akan dihidupkan semula.
Pengumuman ini memberikan harapan segar kepada mereka, walaupun butiran mengenai tarikh pelancaran atau spesifikasi masih menjadi misteri.
Buat masa ini, Toyota masih berahsia mengenai reka bentuk, enjin, dan teknologi yang akan dibawakan pada generasi baharu Celica ini. Namun, berdasarkan trend terkini, ada kemungkinan ia akan dilengkapi teknologi elektrifikasi. Sama ada sebagai hibrid atau EV penuh.
Dengan fokus Toyota terhadap kelestarian, kita boleh menjangkakan sesuatu yang inovatif tetapi tetap mengekalkan jiwa sporty Celica.
Walaupun tarikh pelancarannya tidak diumumkan, pakar menjangkakan Celica generasi kelapan ini mungkin hanya akan muncul di pasaran pada 2027 atau lebih lewat.
Apa yang pasti, Toyota nampaknya bersungguh-sungguh untuk memastikan nama Celica kembali dengan gaya yang hebat dan relevan untuk era moden.
Peminat kereta sports klasik, bersiap sedialah. Celica bukan sahaja sekadar nostalgia, tetapi kini menjadi kenyataan yang ditunggu-tunggu. Kini, kita hanya perlu menunggu Toyota untuk mendedahkan lebih banyak maklumat tentang kereta lagenda ini!
Mercedes-Benz Malaysia minggu ini mengadakan acara Luxury Showcase yang mempamerkan enam model kenderaan terbaharu mereka terhadap inovasi dan kemewahan. Setiap model dalam pameran ini menggabungkan reka bentuk yang menawan dan teknologi terkini.
Antara bintang utama pameran ini ialah Mercedes-AMG G 63. Model yang menggabungkan prestasi luar jalan yang cemerlang dengan pengalaman memandu yang mengagumkan di jalan raya. Harga bagi model ini bermula dari RM1,948,888.
Dikuasakan oleh enjin V8 biturbo 4.0 liter, kenderaan ini menghasilkan 430 kW (585 hp) dan tork maksimum 850 Nm. Dengan teknologi 48-volt yang baru diperkenalkan. AMG G 63 dapat memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.4 saat. Reka bentuk luaran yang agresif dan dalaman yang mewah menjadikan pengalaman memandu semakin istimewa.
Sementara itu, Mercedes-AMG SL 63 4MATIC+ kembali ke akar tradisionalnya dengan atap lembut dan karakter sporty. Dikuasakan oleh enjin V8 biturbo dengan pemasangan secara tangan. Model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.6 saat. Reka bentuk luarannya menampilkan roda 21 inci dan pelbagai ciri teknologi tinggi seperti AMG ACTIVE RIDE CONTROL dan sistem bunyi Burmester®. Harga bermula dari RM1,898,888.
Mercedes-AMG GLE 63 S 4MATIC+ dan GLE 63 S 4MATIC+ Coupé adalah pilihan yang tepat. Dengan enjin V8 biturbo 4.0 liter yang menghasilkan 450 kW (612 hp). Kedua-dua model ini menawarkan pemanduan yang bertenaga dan responsif. Model GLE ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.9 saat. Menjadikannya pilihan ideal bagi penggemar pemanduan yang ekstrem.
Harga bagi GLE 63 S bermula dari RM1,191,888, manakala bagi model GLE 63 S Coupe, bermula daripada RM 1,229,888.
Satu lagi model menarik yang diperkenalkan adalah Mercedes-Benz GLC 350 e 4MATIC Coupé Plug-in Hybrid, yang menawarkan jarak elektrik melebihi 100 km (WLTP). Dengan pakej keselamatan tambahan Driving Assistance Package Plus, model ini menjadi pilihan yang bijak untuk mereka yang mementingkan keselamatan dan prestasi. Selain itu, Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé menggabungkan reka bentuk bergaya dengan dinamik sporty, mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.8 saat. Harga GLC 350 e bermula daripada RM425,888.
Akhir sekali, Mercedes-AMG GLC 43 4MATIC Coupé memadukan gaya elegan dan prestasi sporty dengan enjin 2.0-liter empat silinder yang berkuasa 421 hp. Mampu mencapai kelajuan 100 km/j dalam masa 4.8 saat. Model ini juga hadir dengan suspensi AMG dan sistem bunyi Burmester® surround untuk keselesaan maksimum. Bahagian dalamnya dilengkapi tempat duduk AMG yang berbalut kulit mikrofiber dengan grafik unik dan tali pinggang merah untuk sentuhan sporty. Harga bermula dari RM498,888.
Naib Presiden Pemasaran & Jualan Mercedes-Benz Malaysia, menyatakan, “Luxury Like No Other membawa kenderaan teratas kami ke hadapan. Di mana kualiti tiada tandingan, prestasi memukau, dan inovasi berpandangan ke hadapan bersatu.
Setiap model, sama ada Mercedes-AMG G-Class yang berkuasa atau GLC Coupé yang anggun. Mencerminkan pencarian tanpa henti kami terhadap inovasi dan ketukangan yang unggul.”
Acara pameran yang berlangsung dari 5 hingga 10 November 2024 di Autohaus Mercedes-Benz, Mutiara Damansara ini menawarkan peluang untuk anda mencuba kenderaan tersebut secara langsung.
Pameran ini memberikan pengalaman unik kepada peminat Mercedes-Benz, di mana mereka dapat menyaksikan sendiri keindahan dan kecanggihan kenderaan buatan Jerman ini. Untuk maklumat lanjut dan mendaftar minat, kunjungi laman web rasmi Mercedes-Benz.
Dengan pelancaran enam model canggih ini, Mercedes-Benz Malaysia terus menetapkan standard tinggi dalam dunia automotif, menawarkan kepada peminatnya pengalaman memandu yang tiada tandingan.
Cycle & Carriage Terus Bantu Bakat Automotif Muda, RM40,000 Untuk Empat Pelajar
Cycle & Carriage (C&C) meneruskan komitmen mereka untuk melahirkan bakat automotif masa depan...