Mengapa Kereta Dilengkapi Lampu Brek Ketiga?
Jika diperhatikan, hampir semua kereta moden hari ini dilengkapi dua lampu brek utama di bahagian kiri dan kanan, selain satu lagi lampu brek yang dipasang lebih tinggi di bahagian tengah belakang kenderaan.
Bergantung pada reka bentuk kenderaan, lampu brek ketiga ada yang ditempatkan di belakang cermin, dipasang pada spoiler atau dijadikan sebahagian daripada reka bentuk tailgate.
Walaupun kelihatan seperti komponen biasa, lampu ini sebenarnya memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap keselamatan ketika membrek.
Ciri ini bukan sekadar elemen tambahan, sebaliknya diperkenalkan sebagai salah satu langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko pelanggaran dari belakang.

Lampu Brek Sebagai Isyarat Keselamatan Antara Kenderaan
Lampu brek boleh dianggap sebagai salah satu bentuk komunikasi paling asas antara pengguna jalan raya.
Setiap kali pedal brek ditekan, lampu merah di belakang kenderaan akan menyala bagi memberitahu pemandu di belakang bahawa kenderaan tersebut sedang memperlahankan kelajuan atau bersedia untuk berhenti.
Ia juga memberikan masa kepada pemandu di belakang untuk bertindak, sama ada dengan memperlahankan kenderaan, menjaga jarak ataupun membrek.
Baca Juga: Penggunaan “Dummy Buckle” dan Kesannya Terhadap Keselamatan Pengguna Kenderaan
Bila Lampu Belakang Dan Lampu Brek Nampak Hampir Sama
Pada waktu malam, lampu belakang akan sentiasa menyala supaya kenderaan mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain. Apabila pemandu membrek, cahaya tersebut hanya menjadi lebih terang.
Bagi sesetengah pemandu, terutama ketika trafik sesak atau jarak pandangan kurang baik, perubahan daripada lampu belakang biasa kepada lampu brek mungkin tidak begitu cepat disedari.
Situasi sebegini meningkatkan risiko pelanggaran dari belakang atau rear-end collision kerana pemandu lambat menyedari kenderaan di hadapan sedang membrek.
Disebabkan itulah timbul idea untuk memperkenalkan satu lagi lampu brek ke-3 yang mempunyai kedudukan berbeza daripada lampu belakang biasa.
Kenapa Lampu Brek Ketiga Dipasang Lebih Tinggi?
Daripada hanya bergantung kepada dua lampu di bahagian bawah kiri dan kanan, satu lagi lampu brek diletakkan lebih tinggi dan hampir dengan garisan pandangan pemandu di belakang.
Dengan kedudukan tersebut, pemandu lebih mudah menyedari bahawa kereta di hadapan sedang membrek.
Lampu ini turut dikenali sebagai Center High-Mounted Stop Lamp (CHMSL).
Kalau dahulu lampu brek ketiga biasanya kelihatan seperti sebuah kotak kecil di belakang cermin belakang, rekaannya hari ini jauh lebih kemas.
Ada pengeluar memasangnya pada spoiler, bahagian atas tailgate ataupun menggunakan jalur LED panjang bagi menyesuaikannya dengan reka bentuk kereta.
Walaupun bentuk dan teknologi pencahayaannya berubah, fungsinya masih sama.
Kita mungkin jarang memikirkan tentang lampu brek ketiga kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada reka bentuk kereta sejak sekian lama.
Namun, seperti kebanyakan ciri keselamatan lain pada kereta, ia diwujudkan selepas pengeluar dan penyelidik melihat masalah sebenar yang berlaku di jalan raya.
Sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya, pastikan lampu brek ketiga pada kenderaan anda sentiasa berada dalam keadaan baik dan berfungsi dengan sempurna.
Walaupun kelihatan kecil, komponen ini memainkan peranan penting dalam memberi amaran kepada pemandu di belakang dan membantu mengurangkan risiko kemalangan.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Anda Juga Mungkin Berminat Dengan Artikel Ini: Suzuki Dan CARSOME Jalin Kerjasama, Mudahkan Pelanggan Tukar Kereta Baharu
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!




