Boon Siew Honda Sdn. Bhd. memperkenalkan dua warna baharu untuk model skuter kompak popular Honda BeAT, iaitu Hitam dan Putih. Sementara itu, dua warna sedia ada Matte Silver dan Hijau masih kekal ditawarkan di pasaran.
Harga mampu milik
Skuter baharu ini akan berada di pusat pameran Honda Impian X serta pengedar sah Honda di seluruh negara bermula 20 September 2025. Harga runcit yang disyorkan ialah RM6,090, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Ads
Ringkas, jimat minyak & mudah dikawal
Honda BeAT menggunakan enjin 110cc PGM-FI suntikan bahan api, yang terkenal dengan kecekapan minyak dan mampu mencapai lebih 59 km/l mengikut ujian ECE R40.
Sistem Idling Stop (ISS) turut disertakan, membolehkan enjin berhenti secara automatik ketika berhenti seketika untuk menjimatkan bahan api. BeAT juga menggunakan kerangka eSAF (enhanced Smart Architecture Frame) yang ringan tetapi kukuh, menjadikan pengendalian lebih mudah, terutama di jalan bandar yang sibuk.
Tangki minyak berkapasiti 4.2 liter, manakala ruang simpanan di bawah pelana mampu memuatkan keperluan asas harian. Dari segi keselamatan, ia dilengkapi sistem brek CBS (Combi Brake System) yang membantu mengagihkan kuasa brek dengan lebih seimbang.
Ads
Pilihan gaya untuk generasi muda
Dengan harga yang kompetitif, penggunaan minyak yang menjimatkan dan kini hadir dengan dua warna baharu, Honda BeAT terus menjadi pilihan utama penunggang muda yang mahukan skuter ringkas, bergaya dan praktikal untuk kegunaan harian.
Motosikal dan Enjin Nasional (MODENAS), anak syarikat DRB-Hicom Berhad (KLSE), telah melancarkan logo dan identiti jenama baharu semalam.
Syarikat motosikal nasional ini telah memperkenalkan logo baharu yang diinspirasikan oleh simbol ikonik “M” MODENAS dalam gaya moden dan menarik.
Logo baharu ini, dalam bentuk bulatan yang melambangkan ketepatan, mengekalkan warna biru dan putih sambil menambahkan elemen kelabu dan platinum yang lebih segar.
Logo ini juga memperkenalkan elemen “Road Star” baharu, mencerminkan arah dan identiti baharu jenama, serta menekankan kepimpinan industri, keupayaan menyesuaikan diri, dan komitmen terhadap pertumbuhan.
Pelancaran jenama baharu ini dirasmikan oleh Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengerusi Kumpulan MODENAS dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad.
Majlis itu turut dihadiri oleh beberapa tokoh penting, termasuk Faizal Mohd Yusof, Pengarah Kanan Industri dan Pembangunan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), serta Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.
Dalam ucapannya, Roslan berkata, “MODENAS mewakili legasi yang dibina oleh rakyat Malaysia. Kami telah membina asas yang kukuh di Malaysia, tetapi kini kami berhasrat untuk meluaskan cita-cita ini untuk merentasi sempadan negara.
Industri mobiliti kini sedang berkembang pesat, didorong oleh keperluan mendesak untuk peralihan tenaga dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kelestarian alam sekitar.
Dengan ini, visi baharu kami akan membawa keseronokan yang menghubungkan orang dan komuniti, dengan menyediakan nilai, teknologi, dan produk lestari di peringkat global.”
Syarikat ini juga turut memperkenalkan varian baharu MODENAS KRISS 110 yang mesra alam.
Model ini menjadi motosikal pertama MODENAS yang mematuhi piawaian pelepasan Euro 4 yang ketat.
Ini menunjukkan komitmen syarikat terhadap kelestarian dan pematuhan terhadap peraturan alam sekitar global.
Ini juga membuka jalan jenama ini untuk memperkenalkan lebih banyak varian mesra alam pada masa hadapan.
Kerjasama strategik MODENAS dengan pengeluar global seperti Kawasaki Motors Ltd (KMC), Kwang Yang Motor Co., Ltd (Kymco) dari Taiwan, dan Bajaj Auto Limited (BAL) dari India telah membolehkan jenama ini memperluas kehadirannya di pasaran antarabangsa termasuk Greece, Amerika Selatan, Rusia, Thailand, dan China.
Pada tahun 2024, MODENAS mula mengeksport Kawasaki ZX-6R yang dipasang dalam negara ke pasaran China.
Selaras dengan komitmen baharu untuk menghasilkan motosikal berteknologi mesra alam, jenama ini juga membentuk masa depan yang lebih lestari.
Ini terbukti dengan pembekalan motosikal elektrik MEV-1 kepada Pos Malaysia sejak 2023, menyokong misi net zero kurier negara tersebut.
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) ialah sebuah syarikat Malaysia yang mereka bentuk, membangun, dan mengeluarkan motosikal.
Ditubuhkan pada tahun 1995, syarikat ini melancarkan motosikal pertama mereka, KRISS 110, pada November 1996.
Model ini telah dipertontonkan kepada orang ramai semasa perarakan Hari Kebangsaan Malaysia pada tahun yang sama.
Sime Darby Auto ConneXion-Ford (Auto ConneXion), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia, mencipta sejarah tersendiri apabila tersenarai sebagai salah satu daripada hanya enam pengedar Ford di dunia yang menerima anugerah berprestij ‘Salute to Dealers’ 2025 daripada Ford Motor Company.
Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan atas kecemerlangan dalam jualan dan perkhidmatan, tetapi lebih penting, ia menzahirkan komitmen luar biasa Auto ConneXion dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat dan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) selama lebih sedekad.
Menurut Turse Zuhair, Pengarah Urusan Auto ConneXion, kejayaan ini bukan sekadar simbol kejayaan korporat, tetapi satu manifestasi usaha jitu syarikat dalam menyantuni komuniti.
“Kami benar-benar berbangga dapat membawa pulang anugerah ‘Salute to Dealers’. Pengiktirafan ini menunjukkan usaha berterusan kami untuk mendorong perubahan sosial yang positif berteraskan pendidikan, kesihatan awam, kesejahteraan dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap inisiatif yang dijalankan berpaksikan budaya keprihatinan Sime Darby untuk mewujudkan komuniti yang lestari dan berkembang maju.
Antara usaha paling signifikan Auto ConneXion ialah Projek Air Bersih yang dilaksanakan dengan kerjasama NGO tempatan, MyFundAction.
Projek ini menyasarkan masyarakat Orang Asli di Gerik, Perak dengan pemasangan sistem tangki air lestari melalui teknik penggerudian canggih.
Hasilnya, lebih 70 keluarga berpendapatan rendah memperoleh akses kepada bekalan air bersih.
Seramai 30 sukarelawan dari Auto ConneXion turun padang mencurahkan keringat demi menjayakan misi ini.
Ia juga merupakan satu langkah kecil yang membawa impak besar terhadap kesejahteraan harian penduduk.
Dalam usaha menangani isu keterjaminan makanan pula, Auto ConneXion bekerjasama dengan The Lost Food Project.
Bersama Ford Philanthropy, sumbangan bernilai USD45,000 (sekitar RM200,000) telah disalurkan bagi menyokong misi menyelamatkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada masyarakat yang memerlukan.
Hasilnya, kira-kira 855,000 sajian makanan berkhasiat berjaya diagihkan.
Tidak cukup dengan sumbangan kewangan, 25 sukarelawan Auto ConneXion turut serta dalam aktiviti penyisihan makanan di gudang The Lost Food Project di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Di sini, sebanyak 3,820 kilogram makanan berjaya diselamatkan, bersamaan 10,914 sajian.
Inisiatif penjagaan kesihatan turut diberi penekanan menerusi pelancaran Ford Mobile Clinic, hasil kerjasama antara Auto ConneXion, Yayasan Sime Darby dan Ford Philanthropy.
Klinik bergerak ini disumbangkan kepada MyFundAction, lengkap dengan peralatan perubatan seperti monitor tanda hayat, alat bantuan pernafasan serta kelengkapan diagnostik.
Sebuah Ford Ranger telah disumbangkan untuk tujuan mobiliti.
Selain itu dana tambahan sebanyak USD55,000 (sekitar RM250,000) disalurkan untuk proses pembinaan dan pengubahsuaian klinik tersebut.
Sehingga kini, lebih 2,200 individu daripada golongan terpinggir dan mangsa banjir menerima manfaat terus daripada inisiatif ini.
Ketua Pegawai Pembangunan MyFundAction, Isma Fildza Hazry, menyifatkan kerjasama dengan Auto ConneXion sebagai satu sinergi yang membawa perubahan besar.
“Berbekalkan sokongan mereka, kami berjaya menyantuni komuniti terpinggir dengan menyediakan sumber keperluan dan memupuk harapan,” katanya.
Dengan sokongan padu daripada Ford Philanthropy, Auto ConneXion terus komited dalam memperkasakan masyarakat melalui pendekatan holistik yang merangkumi kebajikan, makanan, pendidikan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Pengiktirafan antarabangsa menerusi anugerah ‘Salute to Dealers’ membuktikan bahawa pengedar automotif juga mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sosial yang menyeluruh.
Auto ConneXion bukan sekadar sebuah pengedar kenderaan.
Ia kini diiktiraf sebagai pemacu utama dalam membina masa depan yang lebih lestari untuk rakyat Malaysia.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Sebuah era yang ikonik dalam dunia perlumbaan motosikal kini tiba di penghujungnya. Syarikat minyak Sepanyol, Repsol, secara rasmi akan menamatkan penajaan mereka terhadap pasukan Honda MotoGP selepas musim ini berakhir. Menamatkan satu kerjasama yang telah berlangsung selama tiga dekad.
Pengumuman ini datang dari Honda, pengeluar motosikal Jepun, pada Ahad lepas, yang menandakan berakhirnya satu era keemasan dalam sejarah MotoGP.
Kerjasama antara Repsol dan Honda bermula pada tahun 1995 ketika mereka mula menceburkan diri dalam perlumbaan Grand Prix.
Sejak itu, Repsol telah menjadi nama yang sinonim dengan kejayaan Honda di arena perlumbaan.
Sepanjang tempoh tersebut, Honda telah meraih banyak kejayaan, termasuk pelbagai gelaran pembina dan kejuaraan pelumba bersama nama-nama besar seperti Mick Doohan, Valentino Rossi, dan Marc Marquez.
Di bawah naungan Repsol sebagai penaja utama, Honda telah mencapai 15 kejuaraan dunia kelas premier, 10 kejuaraan pasukan kelas premier, 183 kemenangan kelas premier, dan 455 podium kelas premier.
Ini bukan sahaja menunjukkan dominasi Honda di trek perlumbaan tetapi juga mencerminkan betapa pentingnya kerjasama antara Repsol dan Honda dalam membawa kedua-dua syarikat ke puncak kejayaan dalam dunia MotoGP.
Walaupun hubungan ini lebih daripada sekadar penajaan, ia merupakan satu kolaborasi yang benar-benar tulus antara kedua-dua syarikat. Mereka bersama-sama mengharungi cabaran dan sentiasa berusaha untuk menjadi rujukan utama dalam perlumbaan Grand Prix.
Honda Racing Corporation (HRC) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa kerjasama ini telah mencapai kemuncaknya, dan tiba masanya untuk kedua-dua pihak bergerak ke arah yang berbeza.
Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Honda menghadapi cabaran besar selepas Marc Marquez memenangi kejuaraan MotoGP terakhirnya pada tahun 2019. Kecederaan yang dialami Marquez dalam perlumbaan pembukaan musim 2020 menyebabkan beliau terpaksa berehat sepanjang musim.
Honda mula ketinggalan berbanding pengeluar Itali seperti Ducati dan Aprilia. Pada akhir musim 2023, Marquez juga mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan dan menyertai Gresini Racing yang menggunakan jentera Ducati.
Kehilangan Marquez adalah satu tamparan hebat buat Honda, yang turut mengakibatkan Red Bull, satu lagi penaja utama, memutuskan hubungan mereka dengan Honda.
Prestasi Honda juga semakin merudum dengan tiada pelumba mereka, sama ada Joan Mir atau Luca Marini, berjaya mencapai kedudukan 10 teratas dalam MotoGP musim ini.
Dengan berakhirnya kerjasama antara Repsol dan Honda, ia menandakan satu titik perubahan dalam sejarah MotoGP.
Hubungan yang terjalin selama 30 tahun ini pastinya akan diingati sebagai salah satu kolaborasi paling berjaya dan ikonik dalam dunia sukan permotoran. Namun, seperti yang sering berlaku dalam dunia sukan. Setiap era pasti akan berakhir. Kini tiba masanya bagi kedua-dua pihak untuk mencari laluan baru dan menghadapi cabaran yang mendatang.
Bagi para peminat MotoGP, penamatan kerjasama ini pastinya membawa perasaan nostalgia dan kehilangan. Namun ia juga membuka pintu kepada peluang dan kisah kejayaan yang baru di masa hadapan.
Yamaha Turut Pamer Model Exciter 155 Special Edition Carbon
Selain memperkenalkan barisan Yamaha Exciter 155 generasi baharu untuk pasaran Vietnam, Yamaha turut mempamerkan sebuah unit...