Garisan Putih di Jalan Raya: Dari Idea ke Inovasi, Demi Keselamatan Pengguna
Tidak ramai tahu bahawa garisan putih di tengah jalan yang kita anggap biasa hari ini sebenarnya lahir daripada idea seorang pesuruhjaya jalan raya di Amerika Syarikat pada tahun 1911.
Beliau ialah Edward N. Hines, yang mencetuskan ilham untuk melukis garisan putih di tengah jalan River Road, Michigan, selepas melihat cat bocor dari sebuah lori arang batu. Langkah mudah ini terbukti menyelamatkan nyawa kerana membantu kenderaan kekal di laluan masing-masing.
Beberapa tahun kemudian, pada 1917, seorang doktor wanita bernama June McCarroll pula melukis sendiri garisan putih di jalan berhampiran rumahnya di California selepas hampir berlanggar dengan sebuah trak. Usahanya membuka mata pihak berkuasa sehingga garis panduan rasmi diperkenalkan di seluruh negeri. Dari situ, garisan jalan mula merebak ke seluruh dunia, termasuk United Kingdom pada 1920-an dan seterusnya ke negara-negara lain.
Tujuan Garisan Jalan Raya
Garisan putih bukan sekadar hiasan di atas tar. Ia juga membawa fungsi :
Panduan Pemandu/Penunggang – Membantu pemandu mengekalkan kedudukan di lorong, terutama ketika hujan lebat, kabus, atau jalan berliku.
Pengasing Laluan – Garisan tengah mengelakkan pertembungan kenderaan daripada arah bertentangan, manakala garisan di bahu jalan untuk pastikan kenderaan kekal dalam laluan masing-masing.
Peraturan & Undang-undang – Garisan putus menandakan anda dibenarkan memotong jika selamat, manakala garisan berkembar adalah dilarang memotong.
Keselamatan Memandu Pada Waktu Malam – Cat reflektif dengan manik kaca membuatkan garisan kelihatan jelas apabila terkena cahaya lampu kereta.
Kos Yang Efektif – Dengan kos yang rendah berbanding bina jalan baharu, garisan terbukti langkah pencegahan kemalangan yang sangat berbaloi.
Kajian antarabangsa menunjukkan garisan jalan mengurangkan kadar kemalangan di jalan kampung dan lebuh raya secara signifikan.
Teknologi di Sebalik Cat Jalan
Cat jalan datang dalam pelbagai bentuk, daripada cat berasaskan air, cat termoplastik yang tahan lama, hinggalah kepada penggunaan manik kaca mikroskopik untuk pantulan.
Di Malaysia yang beriklim tropika, cabarannya ialah hujan lebat yang menenggelamkan garisan, sinaran matahari yang melunturkan warna, serta trafik berat yang cepat mengikis lapisan cat. Justeru, kontraktor lazimnya menggunakan cat termoplastik atau reflektor tambahan seperti “cat’s eye” untuk meningkatkan ketahanan.
Inovasi di Malaysia: Garisan Bercahaya
Baru-baru ini, Malaysia melangkah setapak ke hadapan dengan memperkenalkan garisan bercahaya (glow-in-the-dark). Cat fotoluminesen ini menyerap cahaya siang dan memantulkannya pada waktu malam, menjadikan jalan lebih selamat di kawasan yang kurang lampu jalan. Projek perintis telah dijalankan di beberapa lokasi sekali gus menunjukkan potensi teknologi ini untuk digunakan lebih meluas.
Cabaran Penyelenggaraan
Walaupun penting, garisan jalan kerap berdepan isu:
Pudar & Hilang – Kurang penyelenggaraan menyebabkan garisan kabur, menambah risiko kemalangan.
Kotoran & Lumpur – Jalan luar bandar mudah ditutupi tanah atau minyak yang menutup garisan.
Oleh itu, penyelenggaraan berkala sangat penting untuk memastikan fungsi garisan tersebut boleh digunakan sepenuhnya.
Secara Kesimpulan, garisan putih di jalan raya mungkin kelihatan seakan garis biasa. Namun, sejarahnya membuktikan bahawa ia lahir daripada kreativiti dan keprihatinan, berfungsi sebagai “pengawal lalu lintas” tanpa suara, dan kini berkembang menjadi inovasi moden.
Bagi pemandu di Malaysia, setiap garisan adalah peringatan bahawa keselamatan bermula daripada disiplin kita sendiri. Tanpa garisan yang jelas dan dipatuhi, jalan raya hanya tinggal sekadar hamparan hitam yang berisiko.
Baca Juga : ‘Common Sense’ Ketika Kemalangan Kecil di Jalan Raya
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.