GAC Malaysia kini semakin kukuh dengan kehadiran dua varian CKD (Completely Knocked Down) GAC GS3 EMZOOM yang baru iaitu Standard dan Exclusive.
Varian ini melengkapkan barisan GS3 EMZOOM yang turut disertai oleh model Premium R. Di samping itu, GAC juga mengumumkan selebriti terkenal Malaysia, Jack Lim, sebagai duta rasmi jenama mereka.
Dua varian baru ini ditawarkan dengan harga bermula dari RM103,800 untuk GS3 EMZOOM Standard. Manakala GS3 EMZOOM Exclusive dijual pada RM116,800. Varian Premium R, yang berada di puncak senarai, dijual pada harga RM126,800. Semua harga ini adalah harga atas jalan tanpa insurans untuk pasaran di Semenanjung Malaysia.
Prestasi dan Ciri Menarik
Ketiga-tiga varian GS3 EMZOOM dilengkapi dengan enjin 1.5-liter turbocharged empat silinder yang mampu menghasilkan 177PS pada 5,500rpm dan tork maksimum 270Nm. Kuasa ini disalurkan kepada roda hadapan melalui transmisi klac berkembar basah tujuh kelajuan (7WDCT).
Membolehkan pecutan dari 0 hingga 100km/h dalam masa hanya 8 saat. Di samping prestasi dinamik, penggunaan bahan api juga cekap dengan purata 5.9 liter per 100km. Memenuhi piawaian kenderaan cekap tenaga (EEV).
Dari segi reka bentuk, semua varian GS3 EMZOOM menampilkan gril Mecha Wing yang garang. Lampu depan LED Laser Eye dan pemegang pintu tersembunyi elektrik yang memberikan sentuhan futuristik. Di bahagian belakang, terdapat lampu ekor Light Dart dan spoiler sporty. Roda aloi 18-inci melengkapi penampilan bergaya semua varian.
Reka Bentuk Dalaman dan Teknologi Canggih
Di dalam kabin, skema warna biru-hitam moden memberikan suasana yang elegan dan selesa. Dengan jarak roda 2,650mm yang terpanjang dalam kelasnya. GS3 EMZOOM menawarkan ruang yang luas untuk penumpang. Semua varian dilengkapi dengan gear elektronik kristal dan stereng pelbagai fungsi yang boleh dilaraskan.
Ads
Dari segi teknologi, GS3 EMZOOM hadir dengan skrin sentuh infotainment 10.25-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
Serta ciri-ciri keselamatan seperti sistem brek elektronik dengan auto hold dan Blind Spot Vision (BSV).
Varian Premium R menambah lebih banyak ciri mewah seperti pengecas telefon tanpa wayar, bumbung suria panoramik, dan tailgate kuasa tanpa sentuhan.
Jack Lim Sebagai Duta Jenama GAC
Dalam usaha memperkukuh kehadiran jenama GAC di Malaysia, WTCA telah melantik personaliti serba boleh, Jack Lim, sebagai duta jenama rasmi.
Ads
Jack Lim, yang popular sebagai penyampai radio MYFM, pelakon, dan penerbit, dipilih berdasarkan pencapaiannya yang seiring dengan nilai jenama GAC – kreativiti, kualiti, dan kepercayaan.
“Saya amat berbesar hati menjadi duta jenama GAC Malaysia. GS3 EMZOOM merupakan kereta yang menarik dengan gaya berani dan ciri-ciri yang mewah. Saya percaya GAC mempunyai masa depan yang cerah di pasaran Malaysia,” kata Jack Lim.
Promosi Menarik Hingga Akhir Tahun
Untuk menyambut kejayaan projek CKD pertama GAC, WTCA melancarkan kempen “Rev-Up with EMZOOM” sehingga 31 Disember 2024.
Pelanggan berpeluang menikmati rebat tunai hingga RM7,000 dan harga promosi bermula dari RM111,800 untuk GS3 EMZOOM Exclusive serta RM119,800 untuk GS3 EMZOOM Premium R.
Ads
Selain itu, WTCA turut menawarkan pakej perkhidmatan penyelenggaraan percuma dan kunci jam pintar bernilai RM1,388 sebagai pilihan tambahan.
Jika anda berminat, layari laman web rasmi GAC Motor Malaysia untuk maklumat lanjut.
Boon Siew Honda baru sahaja memperkenalkan dua model terbaharu mereka untuk pasaran Malaysia, iaitu Honda CBR650R dan CB650R. Kedua-dua model ini hadir dengan teknologi canggih Honda E-Clutch, menjadikan pengalaman menunggang lebih mudah dan menyeronokkan.
Apa Itu Honda E-Clutch?
Honda E-Clutch adalah sistem klac elektronik yang membolehkan penunggang menukar gear tanpa perlu menarik tuil klac secara manual.
Teknologi ini direka untuk memudahkan pelbagai situasi menunggang, sama ada agresif atau santai. Bagi penunggang baru, teknologi ini sangat membantu kerana mengurangkan risiko enjin mati jika tuil klac tidak digunakan dengan betul. Bahkan, motosikal tetap berjalan lancar walaupun gear tidak berada di posisi neutral.
Menariknya, E-Clutch ini juga boleh dimatikan jika penunggang mahukan kawalan penuh klac secara manual, seperti ketika menunggang di litar untuk prestasi maksimum. Pihak Boon Siew Honda turut mengesahkan bahawa teknologi ini tidak memerlukan penyelenggaraan tambahan, jadi kos servis kekal sama seperti motosikal biasa.
Enjin dan Prestasi
Dari segi spesifikasi, kedua-dua model berkongsi enjin yang sama, iaitu enjin 649cc DOHC empat silinder sebaris. Ia mampu menghasilkan 93.8HP pada 12,000RPM dan tork maksimum 63Nm pada 9,500RPM. Enjin ini menawarkan keseimbangan sempurna antara kuasa dan responsif, sesuai untuk pelbagai gaya tunggangan.
Rekaan Berbeza untuk Dua Personaliti
Honda CBR650R dan CB650R direka untuk memenuhi citarasa berbeza. CBR650R tampil dengan gaya sporty yang dilengkapi fairing aerodinamik serta lampu hadapan LED yang agresif.
Sementara itu, CB650R hadir dengan gaya naked retro moden, menampilkan lampu hadapan LED berbentuk bulat yang ikonik.
Walaupun berbeza dari segi gaya, kedua-dua model menggunakan casis jenis steel diamond yang sama. Namun, terdapat sedikit perbezaan dimensi:
CBR650R: Jarak lega bumi 130mm, lebar 750mm, tinggi 1145mm, dan berat kerb 211kg.
CB650R: Jarak lega bumi 150mm, lebar 780mm, tinggi 1075mm, dan berat kerb 207kg.
Ciri-Ciri Tambahan
Kedua-dua model dilengkapi suspensi hadapan jenis upside down Showa Big Piston bersaiz 41mm, serta suspensi belakang monoshock boleh laras. Sistem brek ABS dua saluran disertakan pada roda bersaiz 17 inci, dengan dua cakera brek hadapan 310mm dan satu cakera brek belakang 240mm.
Sebagai motosikal terkini, model ini turut menampilkan paparan TFT berwarna penuh 5 inci, pencahayaan LED, port pengecasan USB Type-C, serta teknologi seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC) untuk kawalan cengkaman yang lebih lancar. Honda RoadSync Smartphone Connectivity pula membolehkan akses mudah kepada navigasi dan muzik.
Harga dan Pilihan Warna
Honda CBR650R ditawarkan dalam dua pilihan warna, Grand Prix Red dan Matte Gunpowder Black Metallic, dengan harga bermula RM49,999.
Sementara itu, CB650R hadir dalam tiga pilihan warna: Matte Gunpowder Black Metallic, Matte Laurel Green Metallic, dan Candy Chromosphere Red, dengan harga bermula RM47,999.
Setiap pembelian motosikal disertakan waranti selama dua tahun atau 20,000km, menjadikan kedua-dua model ini pilihan yang menarik untuk peminat motosikal di Malaysia. Dengan teknologi E-Clutch yang inovatif dan reka bentuk yang menawan, Honda sekali lagi membuktikan mereka berada di hadapan dalam dunia automotif dua roda.
Wap pada cermin kereta bukan sahaja mengganggu pandangan, tetapi juga boleh membahayakan keselamatan ketika pemanduan.
Di sini kami kongsikan beberapa cara efektif untuk menghilangkan wap pada cermin kereta setiap pagi.
1. Gunakan Pendingin Hawa (Air Conditioner)
Salah satu cara paling cepat dan mudah untuk menghilangkan wap pada cermin adalah dengan menggunakan pendingin hawa kereta.
Setkan penghawa dingin kepada mod defrost atau hembusan ke arah cermin depan.
Udara sejuk dari penghawa dingin akan membantu mengeringkan wap yang terperangkap pada cermin.
2. Buka Sedikit Tingkap Kereta
Sekiranya anda tidak ingin menggunakan penghawa dingin, buka sedikit tingkap kereta untuk membenarkan udara luar masuk.
Ini akan membantu menyeimbangkan suhu dalam dan luar kereta, sekali gus mengurangkan pembentukan wap pada cermin.
3. Lap Cermin dengan Kain Mikrofiber
Simpan kain mikrofiber di dalam kereta anda untuk mengelap cermin apabila diperlukan.
Kain mikrofiber lebih efektif berbanding tisu atau kain biasa kerana ia mampu menyerap kelembapan dengan lebih baik tanpa meninggalkan kesan kotoran pada cermin.
4. Gunakan Cecair Anti-Kabus
Terdapat banyak cecair anti-kabus di pasaran yang boleh membantu mengurangkan pembentukan wap pada cermin kereta.
Hanya sembur dan lap cermin dengan cecair ini sebelum memulakan perjalanan anda. Ia bukan sahaja membantu menghilangkan wap, tetapi juga mencegah wap daripada terbentuk semula.
5. Pastikan Kabin Kereta Kering
Kelembapan yang tinggi dalam kabin kereta boleh menyebabkan cermin berwap dengan lebih cepat.
Pastikan karpet dan tempat duduk kereta anda sentiasa kering. Jika perlu, gunakan penyahlembapan kecil untuk mengurangkan kelembapan dalam kereta.
6. Periksa Sistem Pengudaraan Kereta
Kadang-kadang, masalah cermin berwap mungkin berpunca daripada sistem pengudaraan kereta yang kurang berfungsi dengan baik.
Pastikan penapis udara dalam kereta anda sentiasa bersih dan bebas daripada halangan.
Ini akan memastikan udara dalam kereta beredar dengan baik dan mengurangkan kemungkinan cermin berwap.
Pada waktu pagi, ketika enjin kereta masih sejuk, wap cenderung untuk terbentuk lebih cepat.
Panaskan enjin kereta selama beberapa minit sebelum memulakan perjalanan. Ini akan membantu menstabilkan suhu dalam kereta dan mengurangkan pembentukan wap.
Kesimpulan
Cermin kereta yang berwap adalah masalah biasa, tetapi dengan beberapa langkah pencegahan yang mudah, anda boleh menghilangkan wap tersebut dengan cepat dan berkesan.
Pastikan anda sentiasa bersedia dengan alatan dan produk yang diperlukan agar perjalanan anda lebih selamat dan selesa setiap pagi.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Berita baik untuk peminat kereta sports klasik! Toyota telah mengesahkan bahawa mereka sedang membangunkan generasi kelapan model Celica.
Menurut laporan dari majalah Jepun, Best Car. Pengesahan ini diberikan oleh seorang eksekutif Toyota semasa acara Rally Japan 2024 baru-baru ini. Membangkitkan semula semangat peminat kereta ini selepas hampir dua dekad sejak model terakhirnya dihentikan pengeluaran.
Pengesahan di Acara Rally Japan 2024
Pendedahan mengejut ini berlaku apabila Best Car bertanyakan kepada Akio Toyoda, Pengerusi Toyota, mengenai kemungkinan kembalinya Celica. Namun, Toyoda yang juga dikenali sebagai penyokong tegar kereta sports, memberikan peluang kepada Naib Presiden Eksekutif Yuki Nakajima untuk menjawab.
Dengan yakin, Nakajima berkata, “Kami akan menghasilkan Celica.” Walaupun kenyataan itu mungkin tidak dirancang untuk diumumkan. Ia menguatkan khabar angin yang telah beredar selama beberapa tahun.
Nakajima turut menambah, “Saya tidak pasti jika ini boleh diumumkan di khalayak umum,” memberikan bayangan bahawa maklumat ini mungkin terlepas lebih awal daripada yang dirancang. Namun begitu, ini bukan kali pertama Toyota memberi petunjuk tentang kebangkitan Celica.
Lakaran pelukis bagi Toyota Celica terbaru
Petunjuk Sejak 2023
Khabar angin mengenai Celica kembali semakin kencang sejak akhir 2023. Apabila Akio Toyoda menyuarakan hasratnya untuk menghidupkan semula model ini. Presiden Toyota, Tsuneji Sato, juga menyatakan keinginan yang sama pada tahun lalu.
Tambahan pula, dalam siri anime dalaman Toyota bertajuk Grip, papan putih dalam satu babak memaparkan tulisan “Celica Mk8,” memberi bayangan jelas tentang projek ini.
Model terakhir Celica, generasi ketujuh, dihentikan pengeluaran pada 2005. Sejak itu, peminat kereta ini hanya mampu berharap namanya akan dihidupkan semula.
Pengumuman ini memberikan harapan segar kepada mereka, walaupun butiran mengenai tarikh pelancaran atau spesifikasi masih menjadi misteri.
Lakaran pelukis bagi Toyota Celica terbaru
Apa yang Kita Boleh Jangkakan?
Buat masa ini, Toyota masih berahsia mengenai reka bentuk, enjin, dan teknologi yang akan dibawakan pada generasi baharu Celica ini. Namun, berdasarkan trend terkini, ada kemungkinan ia akan dilengkapi teknologi elektrifikasi. Sama ada sebagai hibrid atau EV penuh.
Dengan fokus Toyota terhadap kelestarian, kita boleh menjangkakan sesuatu yang inovatif tetapi tetap mengekalkan jiwa sporty Celica.
Walaupun tarikh pelancarannya tidak diumumkan, pakar menjangkakan Celica generasi kelapan ini mungkin hanya akan muncul di pasaran pada 2027 atau lebih lewat.
Apa yang pasti, Toyota nampaknya bersungguh-sungguh untuk memastikan nama Celica kembali dengan gaya yang hebat dan relevan untuk era moden.
Peminat kereta sports klasik, bersiap sedialah. Celica bukan sahaja sekadar nostalgia, tetapi kini menjadi kenyataan yang ditunggu-tunggu. Kini, kita hanya perlu menunggu Toyota untuk mendedahkan lebih banyak maklumat tentang kereta lagenda ini!
Punca Utama Aircond Kereta Berbau Yang Ramai Tak Tahu
Ramai pemilik kereta pernah alami situasi yang agak mengganggu: sebaik sahaja aircond dihidupkan, muncul bau kurang...