Fungsi dan jangka hayat spark plug atau palam pencucuh dalam bahasa ibunda merupakan komponen penting dalam sistem pembakaran dalaman enjin. Ini kerana spark plug berfungsi untuk menghasilkan percikan api yang diperlukan bagi menyala campuran udara dan bahan api.
Sama seperti komponen lain dalam kereta seperti minyak hitam, penapis minyak, atau penapis udara, spark plug juga memerlukan penjagaan dan penyelenggaraan berkala bagi memastikan prestasinya sentiasa optimum. Umumnya, spark plug perlu digantikan setiap 30,000 atau 50,000 kilometer, bergantung kepada keadaan kereta.
Berikut adalah enam (6) petanda spark plug rosak/lemah yang perlu anda perhatikan:
- Kuasa Pecutan Berkurangan
Prestasi spark plug yang rosak atau haus boleh mengakibatkan kurangnya kuasa pecutan pada kereta. Ini kerana spark plug yang tidak berfungsi dengan baik tidak mampu mencetuskan percikan api yang mencukupi untuk pembakaran yang efisien.
- Penggunaan Minyak Yang Meningkat
Spark plug yang tidak berkesan dalam membakar campuran bahan api dan udara boleh menyebabkan peningkatan penggunaan minyak oleh enjin. Pembakaran yang tidak sempurna akan mengakibatkan pembaziran bahan api.
- Enjin Tersedu-sedu atau Semput
Masalah pada spark plug juga boleh menyebabkan enjin kereta mengalami masalah seperti tersedu-sedu atau semput. Ini berlaku apabila campuran udara dan bahan api tidak tercucuh dengan sempurna dalam silinder enjin.
- Kuasa Enjin Bertukar Secara Tiba-tiba
Jika anda mengalami perubahan mendadak dalam prestasi enjin, seperti kuasa enjin yang bertukar secara tiba-tiba semasa memecut, mungkin disebabkan oleh spark plug yang rosak. Ini kerana spark plug yang tidak berfungsi dengan baik boleh mengganggu proses pembakaran dalam enjin.
- Bunyi Enjin Kasar
Spark plug yang rosak juga boleh menyebabkan enjin mengeluarkan bunyi kasar atau knocking, terutamanya semasa enjin berada dalam keadaan pegun. Masalah ini turut boleh menyebabkan kereta bergegar semasa enjin dihidupkan.
- Kesukaran untuk Memulakan Enjin
Jika anda mengalami kesukaran untuk menghidupkan enjin, mungkin disebabkan oleh spark plug yang rosak. Spark plug yang tidak berfungsi dengan baik boleh menghalang proses pencucuhan enjin, terutamanya pada waktu pagi.
Jika anda menghadapi mana-mana petanda di atas, adalah penting untuk segera menghubungi mekanik untuk pemeriksaan lanjut. Penukaran spark plug yang rosak dengan yang baru adalah langkah yang penting untuk memastikan enjin kereta ber-fungsi dan jangka hayat spark plug sentiasa optimum.
Baca: Jaket “Airbag” Baharu Furygan Menggunakan Teknologi MotoGP
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.