Sejamas World Perkenal Bateri Madani
Syarikat penyelesaian automotif milik Bumiputera, Sejamas World Sdn Bhd, telah melancarkan Bateri Madani iaitu jenama bateri kereta bebas penyelenggaraan premium pada harga mampu milik di negara ini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sempena Karnival Mega 3 Damansara, sebagai simbol usaha berterusan kerajaan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.

Bateri Madani : Harga Serendah RM130
Bateri Madani ditawarkan pada harga bermula RM130, termasuk pemasangan profesional, diagnostik dan kalibrasi sistem kenderaan.
Menariknya, dianggarkan harga bateri ini 50 peratus lebih rendah berbanding jenama setanding lain di pasaran, namun tetap mengekalkan kualiti gred premium hasil kerjasama dengan pengeluar global.
Setiap unit turut hadir dengan jaminan selama setahun atau 20,000 kilometer untuk kenderaan persendirian. Bateri Madani kini boleh didapati di seluruh rangkaian pengedar sah dan pusat servis Sejamas World di Malaysia.

Menurut jurucakap Sejamas World, Alfred Kenneth Jingulam Jr, pengenalan Bateri Madani bukan sekadar langkah komersial, tetapi sebahagian daripada misi sosial syarikat.
“Misi kami adalah memastikan setiap rakyat Malaysia mampu memiliki bateri kenderaan berkualiti tinggi. Dengan lebih 38.7 juta kenderaan berada di jalan raya, pengangkutan persendirian kini menjadi keperluan asas. Apabila kos sara hidup meningkat, kami mahu tampil dengan penyelesaian sebenar yang membantu meringankan beban rakyat,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa Bateri Madani merupakan “inovasi berteraskan sosial” yang bukan sekadar menjual produk, tetapi memperkukuh pergerakan nasional untuk memperkasakan rakyat Malaysia melalui penyelesaian automotif yang mampu milik dan berkualiti.
Sokongan Perdana Menteri terhadap pelancaran ini turut menandakan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan Bateri Madani sebagai sebahagian daripada ekosistem “Gerak Madani”, yang menyokong daya tahan ekonomi negara serta kelestarian jangka panjang.

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyifatkan inisiatif seperti ini sejajar dengan usaha kerajaan memperkasa komuniti B40 dan M40, serta memupuk semangat kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
Bagi Sejamas World, pelancaran ini menjadi bukti bahawa inovasi automotif dan tanggungjawab sosial boleh bergerak seiring. Inisiatif Bateri Madani bukan sahaja menandakan komitmen terhadap kualiti produk, malah menunjukkan usaha syarikat mengimbangi pertumbuhan perniagaan dengan kesejahteraan rakyat.
Untuk maklumat lanjut atau pembelian, pengguna boleh melayari laman sesawang rasmi Sejamas World Sdn Bhd.
Tentang Sejamas World Sdn Bhd
Berpusat di Subang Jaya, Selangor, Sejamas World Sdn Bhd ialah syarikat penyelesaian automotif milik penuh Bumiputera di bawah Sejamas Group. Syarikat ini mengkhusus dalam pengedaran bateri automotif, inovasi produk, serta perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.
Melalui inisiatif seperti Bateri Madani dan kerjasama strategik bersama koperasi tempatan dan rakan industri, Sejamas World berhasrat untuk terus memacu kemajuan sektor automotif tempatan berteraskan nilai dan tanggungjawab sosial untuk rakyat, oleh rakyat.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
LS2 Perkenal Tiga Topi Keledar Full Face Baharu & Jaket

Mforce Perkenal Koleksi LS2 2025
Jenama peralatan keselamatan motosikal global yang semakin kukuh di Malaysia LS2, memperkenalkan barisan produk baharu yang merangkumi tiga model topi keledar full face serta satu jaket ringan untuk kegunaan harian.
Pelancaran ini berlangsung sempena program Mforce TOP 68 Dealers’ Educational Tour Sales Campaign di Taizhou, China, menandakan komitmen LS2 dalam meningkatkan keselamatan dan keselesaan penunggang di Malaysia. Model yang diperkenalkan terdiri daripada LS2 FF817 CHALLENGER II, LS2 FF818 STORM III, LS2 FF820 RAPID III, dan jaket LS2 BREEZE.

LS2 FF817 CHALLENGER II
Model paling premium dalam barisan ini ialah LS2 FF817 CHALLENGER II, sebuah topi keledar yang direka khusus untuk penunggang notosikal touring dan motosikal berkuasa tinggi.
Topi keledar ini menggunakan material HPFC (High Performance Fiberglass Composite) yang merupakan gabungan gentian kaca berketahanan tinggi namun kekal ringan.

Ciri keselamatan turut diberi perhatian melalui Emergency Release System, Reinforced Chin Strap, Metal Security Plate serta pensijilan ECE 22.06. Seperti model flagship lain, topi keledar ini hadir dengan Pinlock 120 XLT MaxVision, sun-visor terbina di bahagian dalam serta pelapik COOLMAX yang menawarkan pengurusan kelembapan optimum. Bagi penunggang jarak jauh, ini adalah antara model paling lengkap di pasaran.
LS2 FF818 STORM III
Bagi penunggang yang inginkan keselesaan dan ciri praktikal untuk kegunaan dalam bandar atau lebuh raya, LS2 FF818 STORM III merupakan pilihan pertengahan dengan harga yang lebih mesra poket. Ia dibina menggunakan material KPA (Kinetic Polymer Alloy).

Model ini dilengkapi visor tahan calar, sun-visor boleh laras serta Pinlock 70 MaxVision. Sistem pengudaraan turut dipertingkat melalui bukaan udara atas dan dagu bersaiz lebih besar. Dengan harga bermula RM788, ia menawarkan harga yang berpatutan namun dengan kombinasi keselamatan dan keselesaan yang terbaik.
LS2 FF820 RAPID III
Model FF820 RAPID III pula hadir sebagai pilihan urban-touring yang lebih ringkas. Menggunakan bahan HPTT (High Pressure Thermoplastic Technology), ia mempunyai berat lebih ringan iaitu 1,350 ±50g dan disasarkan untuk penunggang harian yang mahukan topi keledar full face asas tetapi tetap patuh piawaian ECE 22.06.

Walaupun berada dalam segmen harga lebih rendah dengan harga permulaan RM422, model ini masih menawarkan ciri penting seperti Channelled EPS, Breath Deflector, visor tahan UV dan tahan calar serta Quick Release System.
LS2 BREEZE
Selain topi keledar, LS2 turut memperkenalkan jaket LS2 BREEZE, pilihan ideal untuk penunggang di negara yang mempunyai iklim tropika. Jaket ini menggunakan fabrik 600D Oxford dan panel jaring besar, ia menawarkan aliran udara maksimum ketika tunggangan cuaca panas.

Jaket ini dilengkapi pelindung bahu dan siku yang boleh tanggal (EN1621-1 Tahap 1), serta serasi dengan pelindung dada LS2 CE dan pelindung belakang tahap 2. Dengan harga RM369, ia menjadi pilihan ideal untuk penunggang lelaki dan wanita yang mengutamakan keselamatan ketika menunggang.
Ketersediaan di Malaysia
Kesemua model ini bakal memasuki pasaran Malaysia dalam masa terdekat melalui rangkaian pengedar sah Mforce dan CFMOTO di seluruh negara. Dengan pilihan warna solid dan bercorak, LS2 menyasarkan penunggang urban, touring, harian serta mereka yang mencari perlindungan premium pada harga kompetitif.
Tentang LS2
Ditubuhkan pada 2007 oleh Jiangmen Pengcheng Helmet Ltd., LS2 berkembang pesat sebagai salah satu jenama topi keledar global paling dikenali. Pematuhi piawaian antarabangsa seperti ECE 22.06, DOT dan FIM, LS2 dikenali kerana inovasi material seperti HPFC dan KPA, penggunaan visor anti-kabus, pelapik antibakteria serta reka bentuk aerodinamik yang sesuai untuk tunggangan harian mahupun profesional.
Di Malaysia, LS2 terus mencatat pertumbuhan kukuh dalam kalangan komuniti motosikal daripada penunggang kapcai, skuter maxi, hingga pemilik jentera berkapasiti besar yang mementingkan perlindungan keselematan tetapi masih kekal keselesaan.
Baca Juga : Tips Memilih Topi Keledar Mengikut Gaya Tunggangan Anda
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Inovasi Teknologi Untuk Topi Keledar Anda

Topi keledar merupakan suatu alat yang digunakan untuk melindungi kepala daripada sebarang bentuk kecederaan. Ketika zaman penjajah, topi keledar digunakan oleh hulubalang untuk menjaga bahagian kepala mereka daripada pukulan senjata sewaktu berperang. Namun pada masa kini, penggunaan topi keledar merupakan suatu kewajipan sekiranya anda menunggang motosikal.
Kemajuan teknologi pada masa kini telah menghasilkan pelbagai jenis reka bentuk topi kelendar dengan teknologi yang menarik. Hari ini penulis ingin berkongsi dengan pembaca jenis-jenis inovasi teknologi topi calendar yang mempunyai ciri-ciri unik dan moden untuk penggguna motosikal.
Topi keledar dilengkapi pembesar suara
Syarikat pengeluar topi keledar Sena, mengeluarkan sebuah topi keledar lengkap dengan teknologi Mesh Intercom dan Bluetooth Intercom serta pembesar suara dan mikrofon premium oleh pakar audio Harman Kardon. Topi keledar ini lengkap dengan pembesar suara dan mikrofon bersepadu yang membawa tahap ketepatan dan kejelasan terhadap audio dalam topi keledar.

Topi keledar dilengkapi kamera
Sena juga menghasilkan topi keledar yang lengkap dengan fungsi kamera. Reka bentuk kamera yang kecil membolehkan penunggang merakam tunggangan mereka dengan mudah menerusi satu sentuhan butang kamera di bahagian atas topi keledar. Kamera pada motosikal ini mampu untuk merakam visual berdurasi 2 jam. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan WiFi supaya anda boleh melihat dan memuat turun rakaman pada telefon pintar anda dengan serta-merta.

Topi keledar yang mempunyai intercom
Topi keledar juga mempunyai satu ciri tambahan yang dijual berasingan iaitu intercom. Intercom merupakan satu alat di mana anda boleh berbual dengan pembonceng yang berada di belakang anda semasa menunggang motosikal. Jadi tidak perlu lagi anda untuk menjerit jika hendak berbual dengan pembonceng di belakang anda. Terdapat banyak produk intercom di pasaran dan yang membezakan produk tersebut adalah daripada segi kualiti dan harga.

Pengelap cermin (wiper) untuk topi keledar
Menunggang motosikal Ketika hujan sudah pasti akan mempengaruhi jarak penglihatan anda kerana pelitup topi keledar anda telah dibasahi air. Namun, terdapat pengeluar telah menghasilkan pengelap cermin (wiper) untuk dipasang di topi keledar anda. Produk ini amat kecil dan menggunakan bateri yang perlu di cas sebelum menggunakannya.

Topi keledar yang mempunyai pendingin hawa
Penyelidik Amerika Steve Feher telah melancarkan topi keledar lengkap dengan pendingin hawa pertama di dunia yang didakwa dapat menurunkan suhu sebanyak 10-15º Fahrenheit (6-8ºC). Topi keledar yang diberi nama ACH-1 setakat ini hanya tersedia untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja dan dijual pada harga $US599 (kira-kira RM2,800).

++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!
Sistem Brek Kereta – Sejarah Awal Hingga Kini

Sistem brek moden hari ini begitu mengagumkan, dengan pelbagai teknologi seperti brek bantuan yang semakin canggih. Tetapi, perjalanan untuk mencapai tahap kejuruteraan kini adalah satu proses panjang yang penuh inovasi.
Permulaan Sistem Brek
Kepentingan sistem brek dalam kenderaan moden tidak dapat disangkal. Namun, pada zaman awal industri automotif, tumpuan lebih diberikan kepada mencipta cara untuk menggerakkan kenderaan berbanding menghentikannya.
Pada awalnya, kereta menggunakan tuil yang menekan pad kayu ke rim roda, sama seperti kenderaan beroda tradisional. Rekaan ini cepat didapati tidak efisien kerana pad kayu cepat haus dan gagal memberikan daya henti yang mencukupi di jalan berbukit.
Untuk menyelesaikan masalah ini, pelapik yang lebih berkesan diperkenalkan, seperti tembaga, tetapi ia menghasilkan bunyi bising. Akhirnya, bahan seperti asbestos, getah, dan kapas digunakan untuk melembutkan geseran. Walaupun primitif, ini mencukupi untuk kelajuan kereta yang rendah pada masa itu.

Cabaran Baru dengan Penggunaan Tayar Pneumatik
Kemajuan tayar pneumatik membuka jalan kepada pemanduan lebih selesa dan laju, tetapi ia mencipta cabaran baru untuk sistem brek. Menekan pad terus ke tayar mungkin berkesan untuk basikal, tetapi tidak untuk kereta yang lebih berat. Ini membawa kepada penciptaan brek drum dan brek cakera pada awal 1902.
Louis Renault mematenkan brek drum yang menggunakan kasut brek menekan ke dinding dalaman drum. Sementara Frederic Wilhelm Lanchester mencipta brek cakera pertama. Brek drum Renault lebih popular kerana rekaannya lebih praktikal dan bertahan sehingga hari ini, walaupun dengan pelbagai pengubahsuaian.
Era Brek Hidraulik
Pada awalnya, brek hanya dikawal secara mekanikal menggunakan kuasa otot pemandu. Sistem ini sering bermasalah kerana sukar menyelaraskan daya pada semua roda. Pada tahun 1917, Malcolm Loughead (kemudian dikenali sebagai Lockheed) memperkenalkan brek hidraulik.
Dengan menggunakan cecair hidraulik, daya brek meningkat dan masalah kabel yang mudah rosak dapat diatasi. Penambahan bantuan brek pada tahun 1928 menjadikan sistem ini lebih mesra pengguna, di mana pemandu boleh mengawal daya brek dengan lebih mudah.

Kemerosotan Brek Drum dan Kemunculan Brek Cakera
Brek drum dominan selama beberapa dekad kerana rekaannya yang tahan lasak. Namun, kekurangan sistem ini ialah keupayaan rendah untuk menghilangkan haba. Panas yang terperangkap boleh menyebabkan brek terlalu panas dan gagal berfungsi.
Brek cakera mula menjadi pilihan kerana ia lebih efisien. Pada tahun 1950-an, brek cakera moden debut di acara sukan seperti Le Mans, menunjukkan kehebatannya dalam situasi ekstrem.
Brek cakera mampu menghilangkan haba dengan lebih baik melalui lubang ventilasi dan reka bentuk terbuka, menjadikannya ideal untuk pemanduan lasak atau kecemasan. Tambahan pula, ia serasi dengan sistem bantuan seperti ABS dan ESP.

Masa Depan Sistem Brek
Masa depan sistem brek kelihatan menjanjikan dengan tumpuan pada bahan baru dan reka bentuk lebih baik. Teknologi seperti pemanasan jangka pendek permukaan pad brek untuk meningkatkan ketahanan kepada suhu tinggi semakin popular. Selain itu, sistem pemulihan tenaga pada kereta elektrik dan hibrid kini menjadi alternatif menarik. Sistem ini bukan sahaja mengurangkan haus pada cakera dan pad brek, tetapi juga menjana tenaga elektrik semasa membrek.
Walaupun teknologi ini mungkin tidak menggantikan sepenuhnya brek konvensional, ia mampu mengurangkan beban pada sistem brek dalam pemanduan harian. Masa depan pasti menarik untuk sistem brek kenderaan.
Dari Abe Brakes
Baca Juga Tip Penggunaan dan Penjagaan Brek Tangan
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Bro suka kereta tak? Baca RODA PANAS seeNI
Download
sekarang!



