
Kalau tengok kereta moden sekarang, boleh dikatakan hampir semuanya hadir dengan Daytime Running Light (DRL).
Ada yang sekadar menggunakan jalur LED ringkas, ada juga yang direka dengan bentuk tersendiri sehingga dari jauh pun kita sudah boleh teka model kereta tersebut.
Disebabkan rekaannya semakin menarik, tidak pelik kalau ada yang menganggap DRL sekadar aksesori untuk membuatkan bahagian hadapan kereta nampak lebih bergaya.
Sebenarnya ada fungsi lebih penting di sebaliknya.
DRL merupakan ciri keselamatan yang digunakan untuk membuatkan sesebuah kenderaan lebih mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain pada waktu siang.
Kebiasaannya ia akan menyala secara automatik apabila kereta dihidupkan, bergantung kepada sistem yang digunakan pada sesebuah model.
Maksudnya, DRL bukan dicipta untuk menerangi jalan di hadapan. Ia dicipta supaya orang lain lebih mudah nampak kereta kita.
Malaysia memang bukan negara yang kekurangan cahaya matahari. Tetapi itu tidak bermaksud keadaan di jalan raya sentiasa mempunyai pencahayaan yang baik.
Awal pagi, cuaca mendung, hujan atau ketika matahari mula terbenam merupakan antara keadaan yang boleh menyebabkan sesebuah kereta kurang jelas dari pandangan pengguna jalan raya lain.
Lebih-lebih lagi kalau warna kereta itu mudah ‘tenggelam’ dengan persekitaran.
DRL membantu dalam situasi seperti ini.
Cahaya pada bahagian hadapan membuatkan kehadiran kereta lebih cepat disedari, sama ada oleh pemandu dari arah bertentangan, penunggang motosikal atau pengguna jalan raya lain.
Kereta lama yang tidak mempunyai DRL pula bukanlah satu masalah.
Dalam keadaan kurang terang, kita masih boleh menghidupkan lampu utama untuk tujuan yang sama.
Ini bahagian yang masih ramai pemandu terlepas pandang.
Walaupun DRL pada sesetengah kereta moden memang terang, ia bukan lampu utama.
Pancaran headlamp direka untuk menerangi permukaan jalan dan memberikan penglihatan kepada pemandu pada waktu malam.
DRL pula lebih kepada memastikan kereta dapat dilihat dari luar.
Masalahnya, teknologi LED sekarang menyebabkan sesetengah DRL kelihatan cukup terang sehingga pemandu menyangka lampu utama sudah terpasang.
Tambahan pula kalau memandu di kawasan bandar yang penuh dengan lampu jalan. Dari dalam kabin semuanya nampak terang, meter menyala dan bahagian hadapan kereta pula mengeluarkan cahaya.
Pemandu pun terus memandu tanpa sedar sebenarnya hanya DRL yang sedang digunakan.
Sebab itulah sekali-sekala kita boleh terserempak kereta yang bergerak pada waktu malam dengan bahagian hadapan bercahaya tetapi belakangnya gelap.
Bergantung kepada sistem sesebuah kereta, lampu belakang tidak semestinya menyala apabila hanya DRL digunakan.
Ini yang bahaya. Pemandu sendiri mungkin tidak perasan, tetapi kenderaan di belakang pula lebih sukar mengesan keretanya terutama di kawasan gelap.
Baca Juga: Kenapa Cup holder Menjadi Aspek Penting Dalam Reka Bentuk Kereta Moden?
Daytime Running Light, lampu utama dan lampu kabus bukan benda yang sama walaupun semuanya menghasilkan cahaya.
Setiap satunya mempunyai kegunaan tersendiri.
ia digunakan untuk meningkatkan keterlihatan kereta pada waktu siang, lampu utama untuk pencahayaan ketika keadaan gelap, manakala lampu kabus digunakan mengikut keadaan penglihatan yang memerlukannya.
Jadi tak perlu juga sampai semua suis lampu dalam kereta hendak dipasang serentak setiap kali memandu.
Lebih banyak cahaya tidak semestinya lebih selamat. Kalau digunakan pada keadaan yang salah, lampu tertentu boleh mengganggu atau menyilaukan pengguna jalan raya lain.
Kalau tidak pasti, buka semula buku manual kereta. Pengeluar sudah menerangkan fungsi dan cara penggunaan setiap sistem pencahayaan yang dipasang.
Walaupun tujuan asalnya berkaitan keselamatan, hari ini memang sudah menjadi sebahagian penting dalam reka bentuk kereta.
Pengeluar semakin kreatif menggunakan bentuk DRL untuk memberikan identiti kepada model mereka.
Ada yang berbentuk garis menegak, ada yang mengelilingi lampu utama dan ada juga kereta moden yang menggunakan jalur cahaya hampir sepanjang bahagian hadapan.
Sampai satu tahap, waktu malam kita kadang-kadang boleh kenal kereta yang datang dari arah bertentangan hanya dengan melihat bentuk lampunya.
Tetapi tidak kira secanggih atau secantik mana lampu itu, fungsi asasnya tetap sama.
ia digunakan supaya kereta anda lebih mudah dilihat, bukannya untuk membantu anda melihat jalan pada waktu malam.
Jadi jangan kerana DRL kereta sudah terang, kita anggap tak perlu lagi memasang lampu utama. Bila hari sudah gelap, pasanglah lampu seperti sepatutnya.
Bukan sekadar supaya kita nampak jalan, tetapi supaya orang lain pun nampak kita.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.