Pengguna Lebuh Raya Nikmati Diskaun Tol 50 Peratus
Pengguna lebuh raya di seluruh negara bakal menikmati diskaun tol sebanyak 50 peratus selama dua hari bermula esok, 6 November hingga 7 November 2026, sempena sambutan Deepavali pada Ahad ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian diskaun berkenaan akan berkuat kuasa mulai jam 12 tengah malam Jumaat sehingga 11.59 malam Sabtu.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan meringankan beban kos perjalanan rakyat, khususnya mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman atau mengunjungi ahli keluarga sempena musim perayaan.
Diskaun berkenaan melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol seluruh negara, termasuk kenderaan Kelas 2 bagi Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, kemudahan itu tidak terpakai di dua plaza tol sempadan Malaysia-Singapura, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (TTK) di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, khususnya masyarakat beragama Hindu yang pulang ke kampung halaman atau menziarahi ahli keluarga bagi meraikan sambutan Deepavali, sekali gus memaknai semangat perayaan melalui hubungan kekeluargaan dan kebersamaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau menjelaskan, Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya bagi memastikan pelaksanaan diskaun berjalan lancar.

Dalam pada itu, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, terutama ketika peningkatan jumlah kenderaan sepanjang musim perayaan.
Pengguna juga diingatkan supaya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau eWallet mencukupi, mematuhi had laju dan mengekalkan jarak selamat antara kenderaan.
Selain itu, pemandu disarankan mendapatkan rehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan ketika memandu, di samping menyemak perkembangan trafik menerusi saluran rasmi LLM sebelum memulakan perjalanan.
Alexander turut menekankan kepentingan kerjasama semua pengguna jalan raya dalam mengamalkan pemanduan berhemah bagi memastikan perjalanan sepanjang musim perayaan lebih selamat dan lancar.
“Utamakan keselamatan dan semoga semua pengguna jalan raya selamat sampai ke destinasi,” katanya.
Sumber: Bernama, 5 November 2026.
Baca Juga : Pameran Kereta Modifikasi, Drift Antara Tarikan MATEC 2026
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!


