VOGE AS25 Racing Team kini bersedia mewarnai arena Asia Road Racing Championship (ARRC) 2025. Dengan misi untuk membawa jentera VOGE FR150 terus ke pentas utama perlumbaan serantau. Venue pembuka tirai? Tiada lain, di Litar Antarabangsa Chang, Thailand.
Dua nama besar bakal menggalas cabaran ini – Muhammad Afizi Supaat (no. 83) dan Tengku Amirul Haffiruddin (no. 73). Masing-masing sudah bersedia untuk menempa nama dalam kejohanan yang cukup sengit ini.
Acara bermula pada 25 April dengan sesi latihan bebas pertama seawal jam 8.10 pagi waktu tempatan (9.10 pagi waktu Malaysia). Diikuti sesi kedua pada jam 2.00 petang (3.00 petang Malaysia).
Esoknya, pelumba akan berentap dalam Perlumbaan 1 jam 1.20 petang (2.20 petang Malaysia). Sebelum disusuli Perlumbaan 2 pada 27 April pada masa yang sama. Setiap perlumbaan akan menguji ketahanan, ketajaman, dan keberanian dengan lapan pusingan mendebarkan.
Apa yang memacu semangat gila-gila pasukan ini? Sudah tentu kepimpinan berpengalaman Azlan Shah Kamaruzaman sebagai ketua pasukan. Dibantu oleh pengurus dinamik Rosnizam @ Obert. Dengan gabungan pengalaman bertahun-tahun dalam dunia perlumbaan sebenar, kedua-dua mereka menyuntik semangat juang dan keyakinan tinggi kepada Afizi dan Tengku Amirul.
Ini juga menandakan kali pertama VOGE Malaysia turun gelanggang di peringkat antarabangsa, langkah berani yang bukan sahaja mengangkat nama pasukan VOGE AS25 Racing Team. Malah membakar semangat peminat-peminat VOGE FR150 di seluruh negara.
Apa Hebatnya VOGE FR150?
Kalau nak cerita tentang jentera yang akan mewakili Malaysia ini, VOGE FR150 bukan calang-calang. Ditenagai enjin 150cc satu silinder DOHC, ia mampu memuntahkan 15.42hp pada 8,500rpm dan 13.5Nm tork pada 7,500rpm. Angka yang cukup menyengat dalam kategori kecil ini.
Lebih menarik, FR150 datang lengkap dengan teknologi slipper clutch, ABS dwi-saluran dan transmisi 6-kelajuan. Semua ciri ini bukan sekadar untuk gaya; ia membantu rider kawal jentera dengan lebih selamat, lebih yakin, dan lebih agresif bila perlu.
Dalam dunia perlumbaan, kelebihan ini boleh jadi penentu di antara berdiri di podium atau sekadar menjadi penonton di pit.
Siapa VOGE AS25 Racing Team?
VOGE AS25 Racing Team lahir tahun ini, khusus untuk ARRC 2025, dan terus mencuri perhatian. Ditubuhkan oleh Azlan Shah Kamaruzaman. Pelumba negara yang masih ligat berlumba dalam kategori ASB1000. Dibantu oleh Rosnizam @ Obert, pasukan ini ada satu misi jelas:
Mencungkil bakat tempatan dan memperkukuhkan nama Malaysia dalam perlumbaan motosikal Asia.
Dengan pengalaman Azlan dan Obert yang bergelumang dalam arena ini selama bertahun-tahun, VOGE AS25 Racing Team bukan sekadar nak cukup syarat. Mereka datang dengan mentaliti untuk bertahan lama, untuk menang, dan membina warisan dalam dunia motorsport.
Kemasukan mereka dalam ARRC 2025 ini bukan saja langkah berani, tapi satu manifestasi cita-cita besar untuk membawa nama Malaysia lebih jauh di pentas antarabangsa.
Dari MForce Bikes Holdings Bhd
Baca Juga MForce Perkenalkan VOGE DS900X, Harga Bermula RM49,998
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.