Lando Norris memulakan musim 2025 dengan penuh keyakinan selepas menukar kedudukan petak pertama kepada kemenangan dalam Grand Prix Australia yang penuh drama.
Perlumbaan ini menyaksikan perubahan cuaca yang tidak menentu, beberapa insiden kemalangan, serta fasa Safety Car yang menambah debaran hingga ke garisan penamat.
Norris Kawal Perlumbaan di Awal Saingan
Sejak permulaan perlumbaan, Norris menguasai litar yang basah dengan cemerlang. Mengekalkan kedudukan pendahulu di hadapan rakan sepasukannya di McLaren, Oscar Piastri, serta pelumba Red Bull, Max Verstappen. Seiring dengan litar yang semakin kering, para pelumba mula beralih ke tayar lembut bagi menyesuaikan diri dengan keadaan yang lebih baik.
Namun, sebaik sahaja hampir keseluruhan grid bertukar kepada tayar slick, hujan lebat kembali membasahi litar. Kedua-dua jentera McLaren tergelincir ke atas rumput akibat permukaan yang licin, memaksa kebanyakan pelumba masuk semula ke pit untuk menukar tayar yang lebih sesuai.
Norris sempat mengawal jenteranya dan masuk ke pit, tetapi Piastri tidak bernasib baik apabila tergelincir di selekoh terakhir, menyebabkan dia kehilangan banyak masa untuk kembali ke perlumbaan. Kesilapan ini memberi laluan kepada juara bertahan, Max Verstappen, untuk mendahului perlumbaan buat seketika.
Strategi Verstappen Tidak Berpihak Kepadanya
Meskipun mendahului, Verstappen masih menggunakan tayar slick dalam keadaan hujan yang semakin lebat. Keadaan ini memaksa pelumba Belanda itu untuk masuk ke pit juga, dan kesempatan itu dimanfaatkan oleh Norris untuk kembali merampas kedudukan pertama.
Ads
Perlumbaan semakin mendebarkan apabila satu lagi fasa Safety Car dikeluarkan susulan kemalangan melibatkan pelumba Kick Sauber, Gabriel Bortoleto, serta pelumba Red Bull, Liam Lawson. Sebaik perlumbaan disambung semula, Verstappen berusaha keras untuk mengejar Norris dalam keadaan litar yang licin, bahkan berjaya memasuki zon DRS. Namun, Norris tetap bertahan dengan cemerlang dan akhirnya melintasi garisan penamat di hadapan pesaing utamanya itu.
Russell Lengkapkan Podium, Albon Beri Saingan Sengit
Di belakang mereka, George Russell mengambil kesempatan daripada kekacauan perlumbaan untuk meraih tempat ketiga bagi Mercedes. Diikuti oleh rakan sepasukannya yang juga pelumba rookie, Kimi Antonelli, serta pemandu Williams, Alex Albon.
Antonelli pada mulanya dikenakan penalti akibat pelepasan tidak selamat di pit lane dan turun ke tempat kelima. Kemudian, keputusan itu dibatalkan, membolehkannya kembali ke tempat keempat.
Pakar perlumbaan basah, Lance Stroll dari Aston Martin, menamatkan perlumbaan di tempat keenam. Diikuti oleh Nico Hulkenberg (Sauber), Charles Leclerc (Ferrari), dan Piastri yang berjaya bangkit selepas kesilapannya di tengah perlumbaan.
Ads
Lewis Hamilton pula sempat mendahului perlumbaan untuk seketika apabila dia menangguhkan pertukaran tayar, tetapi akhirnya hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-10 selepas masuk ke pit. Sekaligus menafikan peluang Pierre Gasly (Alpine) dan Yuki Tsunoda (Racing Bulls) untuk meraih mata.
Pelumba yang Tidak Bernasib Baik
Esteban Ocon dan Ollie Bearman (Haas) mengambil risiko untuk kekal dengan tayar intermediate sebelum hujan terakhir turun. Namun pertaruhan mereka tidak membuahkan hasil.
Mereka akhirnya terpaksa masuk semula ke pit untuk menukar tayar. Menyebabkan mereka hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 dan ke-14.
Beberapa pelumba lain pula terpaksa mengakhiri perlumbaan lebih awal. Termasuk Fernando Alonso (Aston Martin) yang mengalami kemalangan pertengahan perlumbaan, serta Carlos Sainz (Williams) dan Jack Doohan (Alpine) yang terlibat dalam insiden awal.
Ads
Namun, yang paling malang adalah pendatang baharu Racing Bulls, Isack Hadjar. Beliau yang tidak sempat memulakan perlumbaan selepas terbabas di selekoh pertama dalam pusingan pemanas. Menyebabkan perlumbaan terpaksa dimulakan semula tanpa kehadirannya.
Apa Seterusnya?
Formula 1 akan terus ke Shanghai bagi Grand Prix China yang akan berlangsung pada 21-23 Mac. Dengan aksi mendebarkan yang dipamerkan di Australia, pastinya perlumbaan seterusnya akan lebih menarik untuk disaksikan!
Art of Speed Malaysia 2025: Kustom Kulture Penuh Gaya dan Karisma!
Art of Speed Malaysia (AOS) kembali mengaum dengan penuh gaya, menandakan edisi ke-14 acara Kustom Kulture paling berprestij di negara ini.
Bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, ribuan peminat dari seluruh pelusuk negara dan rantau ini membanjiri lokasi untuk menyaksikan pertembungan seni, gaya hidup automotif dan budaya kustom dari pelbagai benua.
Penuh Warna-Warni, Penuh Antarabangsa
AOS 2025 tidak sekadar menjadi pesta tempatan, malah turut dimeriahkan oleh kehadiran barisan tetamu antarabangsa yang disegani.
Nama-nama besar seperti Shige Suganuma dan Hiro “Wildman” Ishii dari MOONEYES Jepun, Brendon Vetuskey (pereka produk Hot Wheels), Darren McKeag (McKeag Art), Mark Hawwa (Distinguished Gentleman’s Ride) serta ramai lagi menjadikan pentas AOS sebagai medan pertemuan budaya global.
Naik Taraf Visual: Gerbang Baharu AOS
Gerbang ikonik AOS kini diberi nafas baharu, lebih moden, lebih garang! Dengan paparan LED penuh dan animasi visual dinamik.
Struktur ini bukan sahaja menyambut pengunjung tetapi juga menjadi simbol kepada semangat AOS yang kreatif, bebas dan progresif.
Tidak hairanlah ia menjadi spot paling viral sepanjang hujung minggu.
BEETLE BATTLE: Semangat Merentas Sempadan
Diketuai oleh Denny Kusumah dari Volkswagen Beetle Club Indonesia, segmen “Beetle Battle” menyaksikan kereta klasik dari negara jiran berhimpun di bawah satu bumbung, menyatukan peminat dalam semangat persahabatan serantau.
Ini bukan sekadar pameran, tetapi satu pernyataan bahawa budaya kustom tiada sempadan.
Hot Wheels Convention Gegarkan Hall C
Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) edisi ke-3 terus mencuri tumpuan dengan pelbagai aktiviti buat peminat die-cast.
Dari pameran model rare, swap meet, sesi autograf bersama pereka Brendon Vetuskey hingga pelancaran kereta istimewa menghadap kiri dan kanan pertama di Asia Tenggara semuanya eksklusif di AOS 2025.
Zon Aktiviti Penuh Aksi
AOS bukan sekadar pameran ia adalah pesta hidup penuh interaksi. Antaranya:
Santai Scooterist & perhimpunan kelab kereta klasik
Roda Rumble dan Zon Uji Tunggang motosikal pelbagai jenama
Payung Kopi & medan selera
Pertunjukan fesyen Sunburst Tribe
Zon jual-beli Moto4Sale & Pasar Lambak aksesori kustom
Sesi pelancaran produk, muzik, serta aksi pentas tanpa henti
SoundCircus Takeover Gegar Hall A
Pentagon muzik AOS kembali menyala dengan SoundCircus Takeover, menampilkan barisan pemuzik hebat seperti Noh Salleh, Ruffedge, Luqman Podolski, Romantic Echoes dan ramai lagi.
Gabungan genre alternatif, hip-hop dan indie menjadikan dewan ini sebagai titik pertemuan budaya urban yang autentik.
Hadiah Paling Diidamkan: Trip ke MOONEYES Yokohama
Kategori utama “Best of Show” bukan sekadar anugerah ia adalah tiket ke Jepun!
Pemenang kategori kereta dan motosikal menerima pakej ke MOONEYES Yokohama Hot Rod Show ke-33 sebagai tetamu kehormat.
Ini merupakan satu penghormatan tertinggi dalam dunia kustom.
Senarai Juara AOS 2025: Kemenangan yang Bermakna
Dari VW Beetle 1965 milik Shaun Pinto ke Honda CB 175cc hasil sentuhan Omar Jumiran (Eastern Bobber), senarai pemenang AOS 2025 penuh dengan karya luar biasa dari seluruh rantau.
Turut diumumkan adalah lebih 60 anugerah pilihan juri antarabangsa dari MOONEYES Jepun ke Kustomanila Filipina.
Ini menjadikan AOS sebagai platform paling berpengaruh dalam dunia kustom Asia Tenggara.
Penutup Penuh Berprestij
AOS 2025 bukan sahaja meraikan kenderaan dan karya modifikasi, tetapi juga menyatukan komuniti.
Ia adalah sambutan kreativiti tanpa batas, inspirasi dari pelbagai budaya, dan penghargaan terhadap kerja tangan, rekaan dan inovasi yang menjadi nadi budaya automotif alternatif.
Sempena Porsche Carrera Cup Asia, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang turut menjadi lokasi penutup Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2025 (PESCM) yang menyaksikan persaingan sengit antara sim racer terbaik negara.
Acara kemuncak yang berlangsung serentak dengan PCCA pusingan ke-6 dan ke-7 ini mengumpulkan 30 pelumba maya terbaik dari seluruh negara.
Mereka berentap secara langsung dalam tiga kategori umur iaitu Junior Dreamers (10–14 tahun), Young Dreamers (15–17 tahun), dan Driven Dreamers (18–25 tahun).
Aksi Virtual Bertemu Dunia Nyata
PESCM 2025 merupakan kesinambungan kepada kejayaan edisi sulungnya pada 2024.
Acara ini merupakan platform pembangunan bakat sukan permotoran digital di Malaysia.
Dengan sokongan penuh daripada Sime Darby Auto Performance, acara ini membuka peluang kepada pelumba muda untuk merasai pengalaman sebenar dunia perlumbaan melalui simulator gerakan canggih yang meniru dinamik kereta lumba sebenar.
Peringkat pendaftaran bermula pada bulan Mac 2025 dan peserta bersaing dalam sesi kelayakan maya di Litar Antarabangsa Motegi.
Peserta yang layak mara ke pusingan serantau di Porsche Centre di seluruh negara dan kemudiannya ke kelayakan akhir di Bangsar Shopping Centre.
Hanya yang terbaik berjaya melayakkan diri ke pentas akhir di Sepang.
Sokongan Padu & Detik Mendebarkan di Esports Arena
Sorakan daripada ibu bapa, rakan-rakan dan peminat sukan permotoran menyemarakkan suasana di Esports Arena Sepang.
Perlumbaan akhir dimulakan dengan taklimat khas daripada Pengarah Perlumbaan sebelum sesi kelayakan selama 15 minit menentukan kedudukan grid.
Ketiga-tiga perlumbaan akhir menyajikan pertarungan hebat penuh aksi pintasan berani, perebutan kedudukan, serta ‘kontak’ maya yang dramatik.
Pelumba diuji dari segi kemahiran, strategi dan kawalan emosi di hadapan penonton secara langsung.
Pemenang PESCM 2025
Kategori Driven Dreamers dikuasai dua beradik terkenal arena sim racing negara iaitu Naquib Azlan muncul juara diikuti adiknya Nabil Azlan di tempat kedua.
Sementara Zeth Yuen melengkapkan podium.
Dalam kategori Young Dreamers, Dhevesh Geeva tampil unggul sebagai juara.
Beliau menewaskan Ethen Low dan Nazyff Zain yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Kategori termuda, Junior Dreamers, menyaksikan persaingan sengit hingga ke garisan penamat.
Aydrae Amit muncul pemenang selepas menewaskan Anson Yong dalam pertarungan ‘wheel-to-wheel’.
Manakala Jonas Tan menduduki tempat ketiga dalam penampilan sulungnya.
Semua pemenang membawa pulang trofi cabaran serta hadiah eksklusif iaitu pengalaman pemanduan Porsche sebenar di litar.
Dunia Digital dan Realiti di Bawah Satu Bumbung
Penyertaan PESCM sebagai sebahagian daripada perlumbaan PCCA menyerlahkan komitmen Porsche Malaysia dalam membangunkan bakat sukan permotoran generasi baharu.
Buat julung kalinya, pemenang sim racing diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman perlumbaan sebenar.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli, mencatat keputusan podium yang membanggakan dalam Pusingan 2 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Litar Le Mans, Perancis, pada Ahad lalu.
Pelumba berusia 17 tahun kelahiran Kuala Terengganu ini bertarung sengit dalam kelompok tiga terbaik sepanjang saingan dan mencatat masa 25 minit 21.768 saat untuk menduduki tempat ketiga.
“Alhamdulillah, syukur saya berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga di Le Mans untuk Pusingan 2 hari ini. Permulaan yang baik pada awal perlumbaan apabila saya mula dengan baik untuk berada dalam kelompok hadapan.
Hakim dan pasukannya meraikan podium di Le Mans
Saya juga cuba untuk memimpin perlumbaan pada beberapa ketika bagi mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan. Pada lap terakhir, saya cuba untuk menang tapi dipintas dua pelumba P4.
Saya hanya sempat memintas seorang pelumba sahaja dan berjaya tempatkan diri di podium. Untuk pusingan di Mugello, saya akan buat lebih baik dari hari ini,” kata juara Asia 2022 itu, sambil mengucapkan terima kasih kepada pasukan ZK Racing, SIC, Terengganu Incorporated dan Red Bull Rookies.
Perlumbaan tersebut dimenangi oleh pelumba Sepanyol, Brian Uriarte, dan Maximo Quiles yang masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dan kedua.
Hakim (kanan) bersama para pemenang pusingan 2, Brian Uriarte (tengah) dan Maximo Quiles (kiri)
Keputusan Terkini Rookies Cup 2024
Perlumbaan 1:
Maximo Quiles, Sepanyol (26:21.357)
Rico Salmela, Finland +0.260
Alvaro Carpe, Sepanyol +0.415
Valentin Perrone, Argentina +0.671
Brian Uriarte, Sepanyol +0.792
Hakim Danish, Malaysia +1.798
Perlumbaan 2:
Brian Uriarte, Sepanyol (26:21.440)
Maximo Quiles, Sepanyol +0.048
Hakim Danish, Malaysia +0.328
Valentin Perrone, Argentina +0.348
Alvaro Carpe, Sepanyol +0.617
Kedudukan Kejuaraan:
Maximo Quiles, Sepanyol – 74 mata
Alvaro Carpe, Sepanyol – 65 mata
Brian Uriarte, Sepanyol – 62 mata
Valentin Perrone, Argentina – 55 mata
Hakim Danish, Malaysia – 53 mata
Hakim dengan jentera nombor 13-nya
Hakim Danish menunjukkan prestasi yang cemerlang dan terus berusaha memperbaiki kedudukannya dalam setiap perlumbaan. Kejayaannya di Le Mans memberikan keyakinan dan motivasi untuk pusingan seterusnya di Mugello, Itali. Kita sama-sama nantikan aksi seterusnya dari pelumba muda yang berbakat ini yang terus mengharumkan nama negara di arena antarabangsa.
YZR-M1 V4 Muncul Buat Kali Pertama di San Marino GP
Yamaha Motor Co., Ltd. melakar sejarah baharu apabila memperkenalkan jentera prototaip YZR-M1 dengan enjin V4...