Baru-baru ini, GIVI Malaysia telah memperkenalkan sebuah topi keledar motosikal terbaru, GIVI M33.0 Aria.
Salah satu keunikan topi keledar ini adalah ia cukup ringan dengan hanya seberat 1,220g, sekali gus menjadikannya sebagai pilihan ideal untuk kegunaan harian.
Selain itu, topi keledar M33.0 Aria juga mematuhi standard keselamatan terbaru, ECE22.06, yang menjamin tahap keselamatan yang lebih tinggi kepada pengguna.
topi keledar ini juga dilengkapi dengan padding dalam yang boleh ditanggalkan dan dibasuh, memastikan keselesaan maksimum serta jangka hayat yang lebih panjang. Sebagai tambahan, bahan anti-alergi yang digunakan menjadikan helmet ini sesuai untuk setiap jenis kulit, menghindari pengguna daripada risiko alergi.
Beberapa ciri menarik yang menjadi tarikan helmet ini termasuklah visor yang tahan calar, tiga corong udara untuk pengudaraan yang lebih baik, serta tali ikat jenis micrometrik yang memudahkan pengguna.
M33.0 Aria datang dalam enam pilihan warna yang menarik iaitu:
- Graphic Rush Blue Turquoise
- Graphic Rush Red Blue
- Graphic Union Black Blue
- Graphic Union Grey Yellow
- Dark Blue
- Dark Grey
Harga yang ditawarkan untuk topi keledar bagi model tanpa grafik ialah RM195 (Semenanjung) / RM215 (Sabah & Sarawak), manakala dengan grafik, RM200 (Semenanjung) / RM245 (Sabah & Sarawak)
Dengan pelbagai ciri-ciri dan variasi warna, serta harga yang berpatutan, helmet GIVI M33.0 Aria pastinya akan menjadi pilihan baharu bagi penunggang motosikal di Malaysia.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Arai Memperkenalkan Topi Keledar Edisi Khas ke-15 Isle of Man TT: RX-7V Evo IoM
Arai telah melancarkan topi keledar Edisi Terhad ke-15 RX-7V Evo IoM TT, sempena ulang tahun ke-40 kerjasama mereka dengan perlumbaan Isle of Man TT.
Topi keledar edisi khas ini merupakan bukti komitmen Arai yang berpanjangan terhadap kecemerlangan dan inovasi dalam rekaan topi keledar.
RX-7V Evo IoM Edisi Terhad ini direka oleh Aldo Drudi, seorang individu terkenal dalam industri sukan permotoran dan merupakan individu yang memberi ilham di sebalik banyak rekaan topi keleddar Valentino Rossi.
Rekaan Drudi untuk RX-7V Evo mendapat inspirasi terus daripada Isle of Man TT, mencerminkan semangat dan adrenalin perlumbaan tersebut. Arai menggambarkan model ini sebagai penanda aras dalam barisan produk mereka, menekankan perlindungan yang unggul dan teknologi terkini.
Dengan harga £849.99 (anggaran RM4100), topi keledar ini mewakili pelaburan yang signifikan dalam kualiti dan keselamatan, dengan ciri-ciri yang setara dengan harga premiumnya. Menjelang pelancarannya pada pertengahan tahun ini, beberapa pengedar sudah menerima pra-pesanan namun masih belum menembusi pasaran Malaysia.
Akihito Arai, Pengarah Urusan Arai Eropah, menzahirkan kegembiraannya untuk pelancaran produk tersebut baru-baru ini.
“Wow. Ini selalu menjadi momen istimewa bagi kami semua di Arai Helmet dan RX-7V Edisi Terhad EVO IoM TT 2024 yang sungguh menakjubkan. Drudi Performance sangat cermelang dan mencipta sesuatu yang “fresh”, namun masih mengandungi semua elemen rekaan yang diharapkan oleh peminat dan pengumpul.”
Merujuk kepada evolusi topi keledar edisi khas TT sepanjang tahun, Arai menambah, “Kami tidak menyangka ketika kami memulakannya 15 tahun yang lalu betapa pentingnya topi keledar khas TT setiap tahun kepada ramai “collector”. Yang dapat saya katakan sekarang adalah, nantikan TT tahun depan!”
Pelancaran RX-7V Evo IoM Edisi Terhad bukan sahaja merupakan tonggak penting, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Arai sebagai pemimpin dalam reka bentuk dan keselamatan topi keledar malah menjanjikan kepada penunggang motosikal gabungan gaya, prestasi, dan perlindungan yang tiada bandingannya.
Jangka Hayat Tali Sawat Kereta
Timing belt atau dalam bahasa Malaysia tali sawat adalah sebuah komponen pada bahagian enjin kenderaan. Umumnya ia dilengkapi dengan dua jenis timing: sama ada timing chain atau timing belt.
Di Malaysia, kebanyakan kereta keluaran Toyota, Nissan, dan Perodua menggunakan timing chain. Manakala, kereta keluaran Proton, Honda, serta model Korea seperti Hyundai, kebanyakannya menggunakan timing belt.
Kedua-dua komponen ini merupakan elemen penting dalam enjin kereta, terletak di bahagian enjin dan berfungsi menggerakkan komponen lain seperti camshaft dan crankshaft.
Secara amnya, camshaft mengawal buka tutup injap yang mengeluarkan asap dan membenarkan udara masuk mengikut putaran crankshaft. Pengoperasian timing belt dan camshaft sama seperti rantai dan sprocket pada motosikal.
Oleh itu, pastikan komponen ini sentiasa berada dalam keadaan baik untuk mengelakkan risiko kerosakan yang boleh menyebabkan kos pembaikan yang tinggi.
Fungsi Timing Chain dan Timing Belt Kereta
Secara asasnya, kedua-dua komponen ini menjalankan fungsi yang sama dalam sistem pengoperasian kenderaan. Timing chain atau timing belt digunakan untuk menyeragamkan pergerakan camshaft, crankshaft, piston, dan injap dalam enjin.
Kedua-dua komponen ini dibezakan oleh jenis material – timing chain menggunakan rantai besi, manakala timing belt menggunakan getah.
Tali Sawat Kereta: Beza Timing Belt dan Timing Chain
Meskipun kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama, ramai pemilik kenderaan berpendapat penggunaan timing chain adalah lebih baik kerana tidak memerlukan penggantian yang kerap. Namun, ada juga yang berpendapat penggunaan timing belt lebih menjimatkan kerana kos penggantian yang lebih murah. Apa pendapat anda? Mari kita lihat lima beza antara timing belt dan timing chain.
- Jangka Hayat
– Timing chain dikatakan mempunyai jangka hayat yang lebih lama. Ia tidak perlu ditukar selagi tidak mengeluarkan tanda kerosakan seperti bunyi nyaring. Jangka hayatnya boleh mencapai sehingga 400,000 km atau lebih, bergantung kepada penjagaan dan penggunaan.
– Timing belt pula perlu digantikan setiap 90,000 km hingga 100,000 km, bergantung pada jenis dan model kereta. Sebagai contoh, timing belt Proton Wira perlu diganti setiap 60,000 km, manakala Honda CRV boleh bertahan sehingga 160,000 km.
- Bunyi Timing Chain dan Timing Belt
– Timing belt beroperasi lebih senyap berbanding timing chain kerana dilapis dengan selaput getah yang menyerap gegaran. Penambahbaikan dalam rekaan timing chain moden juga menjadikannya lebih senyap dan lasak.
- Penjagaan dan Prestasi
– Timing belt tidak memerlukan minyak pelincir, namun perlu diperiksa secara berkala kerana boleh haus dan tergelincir daripada gear. Timing chain memerlukan minyak hitam untuk mengurangkan geseran dan perlu dijaga dengan menukar minyak hitam mengikut jadual.
- Harga Tukar Timing Belt dan Timing Chain
– Kos penggantian timing belt lebih murah kerana material getah lebih murah. Namun, jika mengambil kira aspek ketahanan dan jangka hayat, kos tukar timing chain lebih berbaloi kerana tidak memerlukan penggantian yang kerap.
- Penyelenggaraan
– Timing belt perlu diganti dari semasa ke semasa dan mempunyai jangka hayat yang tertentu. Timing chain pula lebih menjimatkan kerana tidak memerlukan penggantian sekerap timing belt, dengan syarat minyak hitam diselenggara mengikut jadual.
Tanda Timing Chain Rosak dan Timing Belt Perlu Ditukar
Timing chain atau timing belt yang rosak boleh menyebabkan kos penggantian yang tinggi. Oleh itu, anda perlu sentiasa memastikan tali sawat kereta berada dalam keadaan baik. Antara tanda-tanda kerosakan adalah bunyi enjin kasar, cetusan enjin tidak normal, dan lampu amaran tekanan minyak enjin menyala.
Bunyi Enjin Kereta Kasar
– Timing belt tidak memberikan sebarang tanda sebelum putus, tetapi kadang-kadang menghasilkan bunyi. Timing chain yang rosak menghasilkan bunyi nyaring daripada bonet kereta.
Cetusan Enjin Tidak Normal
– Tali sawat yang rosak boleh menyebabkan operasi buka dan tutup silinder tidak seragam, mengakibatkan cetusan enjin tidak normal.
Lampu Amaran Tekanan Minyak Enjin Menyala
– Timing chain atau timing belt yang rosak boleh menyebabkan lampu amaran menyala. Jika lampu ini menyala, segera bawa kereta anda ke bengkel.
Semoga perkongsian ini membantu anda memahami fungsi, tanda-tanda kerosakan, dan perbezaan antara timing chain dan timing belt.
Kredit – Carsome
Baca: Guna Ekzos Besar Boleh Tambah Kelajuan Kereta?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Syarat Permohonan Cermin Gelap Kenderaan
Cermin gelap. Kita pasti pernah tertanya mengapa sesetengah kenderaan kerajaan dan kenderaan mewah bercermin gelap, boleh ke? Macam mana mereka mohon dan pada siapa untuk dimohon? Artikel ini bakal kupaskan proses yang perlu dibuat untuk mendapat kelulusan penggunaan cermin gelap pada kenderaan persendirian.
Dalam pada itu, peraturan penggunaan cermin gelap berdasarkan peratus ketelusan cahaya (VLT) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan pindaan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 telah dikuatkuasakan bermula 8 Mei 2019.
Jadinya, pengguna kenderaan tidak perlu mengemukakan permohonan penggunaan cermin gelap sekiranya penggunaan cermin gelap adalah mengikut spesifikasi VLT yang dikeluarkan oleh JPJ.
Pengguna kenderaan yang ingin mendapatkan cermin gelap berspesifikasi VLT yang lebih rendah di bahagian cermin depan dan cermin sisi di bahagian pemandu perlu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Permohonan cermin gelap berspesifikasi VLT lebih rendah adalah berdasarkan keperluan kesihatan dan keselamatan sahaja. Permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi setiap kenderaan hendaklah dibuat secara berasingan dan ditandatangani oleh pemohon.
Pemohon dan pemilik kenderaan perlu bebas daripada mempunyai apa-apa kes yang belum selesai dengan JPJ dan PDRM berhubung dengan apa-apa pelanggaran Akta APJ, ALPKP, APAD dan lain-lain Akta yang berkaitan.
Syarat tambahan bagi permohonan pertukaran
- Syarat bagi permohonan pertukaran kelulusan cermin gelap adalah pemilik kenderaan motor yang membuat tukar ganti (interchange) nombor pendaftaran kenderaan motor atau pemilik kenderaan motor membuat penukaran kepada mana-mana kenderaan motor yang dimilikinya.
- semasa membuat permohonan pertukaran.
- Tempoh sah laku kelulusan terdahulu adalah tidak kurang daripada 6 bulan dari tamat tempoh kelulusan. Sekiranya tempoh sah laku kelulusan terdahulu melebihi 6 bulan, pemohon perlu membuat permohonan baru.
- Sekiranya permohonan pertukaran diluluskan, tempoh tamat sah kelulusan adalah mengikut tempoh tamat kelulusan terdahulu.
Dokumen yang diperlukan untuk permohonan cermin gelap
- Bagi permohonan baru, pembaharuan dan pertukaran, dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Borang CG1 (borang boleh didapati di laman web JPJ).
- Salinan kad pengenalan.
- Salinan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC).
- Salinan Sijil Kelulusan Cermin Gelap (bagi permohonan pembaharuan dan pertukaran).
- Permohonan penggunaan cermin gelap hanya dibenarkan kepada kenderaan yang didaftar atas nama pemohon sahaja. Jika kenderaan bukan hak milik pemohon, dokumen / surat hubungan dengan pemilik kenderaan perlu dikemukakan. Contoh : sijil lahir / sijil perkahwinan dan lain-lain yang berkaitan).
- Bagi permohonan berkaitan keperluan kesihatan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Bagi kenderaan milikan persendirian individu, pemohon perlu mengemukakan salinan laporan perubatan terkini oleh Pakar Perubatan dari Hospital Kerajaan atau Pakar Perubatan Hospital Swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menyatakan jenis atau nama penyakit secara spesifik.
- Bagi kenderaan persendirian syarikat, pemohon perlu mengemukakan borang daftar Syarikat 24 dan Form 49 yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat yang berdaftar.
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan persendirian individu, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Dokumen sokongan seperti laporan polis atau lain-lain dokumen sokongan yang berkaitan risiko keselamatan yang di hadapi
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan persendirian syarikat, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Borang daftar Syarikat 24 dan Form 49 yang disahkan oleh Setiausaha Syarikat yang berdaftar
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan atau sewaan Kerajaan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Surat permohonan daripada Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Pengarah Jabatan
- Bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan untuk kenderaan milikan kedutaan atau kakitangan kedutaan, dokumen tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut :
- Surat permohonan daripada kedutaan.
- Bagi Permohonan Pertukaran, pemohon dikehendaki mengemukakan Sijil Perakuan kelulusan kenderaan terdahulu.
Bayaran permohonan baru, pembaharuan dan pertukaran
- Tiada bayaran dikenakan untuk Fi Permohonan dan Fi Perakuan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi permohonan berkaitan keperluan kesihatan.
- Bayaran RM50.00 untuk Fi Permohonan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran bagi permohonan berkaitan keperluan keselamatan.
- Bagi Kenderaan Persendirian Individu / Persendirian Syarikat yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, bayaran RM5,000.00 untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu dan pembaharuan dikenakan.
- Bagi Kenderaan Persendirian Individu Kedutaan / Milikan Kedutaan yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, bayaran RM5,000.00 untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu dan pembaharuan dikenakan.
- Bagi Kenderaan Milikan Kerajaan yang ingin membuat permohonan penggunaan cermin gelap untuk keperluan keselamatan, tiada bayaran dikenakan untuk Fi Perakuan untuk permohonan baharu, pembaharuan dan pertukaran.
- Bayaran Fi Permohonan perlu dibuat setelah membuat permohonan, manakala bayaran Fi Perakuan perlu dibuat setelah mendapat surat makluman keputusan permohonan kelulusan penggunaan cermin gelap. Bayaran tidak akan dipulangkan sekiranya pemohon membuat pembatalan permohonan atau tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
- Bayaran Fi Permohonan dan Fi Perakuan boleh dijelaskan di mana-mana pejabat JPJ Negeri / Cawangan atau secara atas talian di Portal Awam JPJ.
Tempoh sah laku permohonan cermin gelap
- Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan kesihatan adalah selama 2 tahun.
- Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan keselamatan bagi Kenderaan Milikan Kerajaan adalah selama 5 tahun.
- Tempoh sah laku permohonan berkaitan keperluan keselamatan bagi Kenderaan Persendirian Individu / Persendirian Syarikat dan Kenderaan Persendirian Individu Kedutaan / Milikan Kedutaan adalah selama 2 tahun.
- Kelulusan yang telah tamat tempoh sah laku perlu membuat permohonan baru tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh kelulusan dengan mengemukakan dokumen-dokumen seperti yang telah dinyatakan dan bayaran fi dijelaskan.
Keputusan permohonan
- Surat keputusan akan dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ kepada pemohon secara pos berdaftar.
- Sijil Perakuan kelulusan cermin gelap akan diserahkan kepada pemohon secara pos berdaftar. Pemohon juga boleh hadir sendiri ke Bahagian Penguatkuasa, Ibu Pejabat JPJ untuk penyerahan sijil.
Kadar saman yang dikenakan
Menurut JPJ, pemilik kenderaan yang gagal untuk mematuhi peraturan cermin gelap boleh dikenakan hukuman denda tidak melebih RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. Dalam hal sabitan kali kedua atau seterusnya, denda tidak melebihi RM4,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya.
Kredit – Vort-X.com / Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia
Baca: Cermin Kereta Gelap Ikut Spesifikasi JPJ 2024
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.