Video yang tular minggu ini, menunjukkan sekumpulan mat rempit melawan arus di Lebuhraya BORR Bagan Ajam dari arah plaza tol menuju ke Terminal Kontena Butterworth (NBCT) di Pulau Pinang.
Jelas menggambarkan betapa mereka sudah tidak lagi mempedulikan undang-undang. Bukan sekadar melarikan diri daripada sekatan jalan raya, mereka juga meletakkan pengguna jalan lain dalam bahaya.
Minggu lalu, malam Ahad, dua remaja maut dalam satu kemalangan yang melibatkan empat motosikal di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, sekitar jam 4.30 pagi. Kejadian itu berlaku ketika beberapa kumpulan mat rempit berlumba dalam kelajuan tinggi.
Tangkap layar video tular yang memaparkan aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal di Lebuhraya BORR – Sinar Harian
Malah, melakukan aksi berbahaya di sepanjang jalan dari Kompleks Sukan Pandamaran menuju ke Pelabuhan Klang sebelum berpatah balik dan membuat beberapa pusingan. Salah satu motosikal terbabas dan dirempuh oleh motosikal lain dalam kumpulan tersebut.
Insiden seperti ini semakin kerap berlaku, dan malangnya, majoriti mat rempit ini terdiri daripada remaja Melayu. Ini hanyalah salah satu daripada banyak masalah sosial yang menuntut perhatian serius, terutama daripada ibu bapa mereka sendiri.
Ads
Luahan Rakyat Prihatin
Merak Jalanan teringat perbualan dengan seorang rakan yang meluahkan kebimbangannya tentang masa depan remaja Melayu di tanah air sendiri. Terutamanya apabila melihat kegigihan anak-anak Rohingya yang berusaha meningkatkan taraf hidup mereka dengan menyertai bidang kemahiran.
Salah sebuah motosikal telah terbabas di atas jalan raya lalu dirempuh oleh beberapa motosikal dari kumpulan yang lain – Sinar Harian
Kisahnya, ketika rakan tersebut menghantar motosikal untuk dibaiki di sebuah bengkel di Shah Alam, dia mendapati pekerja bengkel tersebut kebanyakannya terdiri daripada remaja Rohingya. Mereka bukan sahaja mahir dalam membaiki pelbagai jenis motosikal, malah sudah menghafal harga setiap alat ganti di bengkel itu.
Ads
Mungkin lima hingga 10 tahun akan datang, kita akan menyaksikan di mana kedudukan anak-anak Melayu dan bagaimana masa depan anak-anak Rohingya di bumi Malaysia ini.
BMW Motorrad Malaysia memperkukuh kedudukannya dalam segmen dua roda dengan memperkenalkan dua model skuter premium bersaiz sederhana, iaitu BMW C 400 X Baharu dan BMW C 400 GT Baharu.
Pelancaran model ini menjadi bukti komitmen pengeluar automotif premium dari Jerman itu dalam memberi nafas baharu terhadap persaingan skuter maxi di Malaysia.
Menurut Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, segmen Mobiliti Bandar mencatatkan prestasi kedua terbaik buat BMW Motorrad pada tahun 2024, selepas segmen Adventure.
Beliau turut menegaskan bahawa model-model C 400 ini melambangkan pendekatan Keterbukaan Teknologi, menawarkan pengguna kebebasan memilih antara kuasa elektrik seperti CE 02 dan CE 04 atau kuasa pembakaran dalaman untuk keperluan harian di bandar.
BMW C 400 X dan C 400 GT yang baharu hadir sebagai sebuah skuter yang mengutamakan prestasi, gaya dan praktikaliti.
C 400 X tampil lebih dinamik, manakala C 400 GT model Gran Turismo direka untuk perjalanan jarak jauh dengan tahap keselesaan lebih baik.
Kemaskini 2025 membawakan pelbagai penambahbaikan teknikal.
Kemaskini terkini adalah termasuk ciri keselamatan canggih, sistem sambungan terkini serta pilihan warna dan aksesori baharu.
Secara tidak langsung menjadikan kedua-dua skuter ini lebih kompetitif dalam pasaran di Malaysia.
Hadir Dengan Enjin Silinder Tunggal
Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin silinder tunggal berkuasa 25 kW (34 hp) pada 7,500 rpm dan tork maksimum 35 Nm pada 5,750 rpm.
Model ini dipadankan dengan transmisi CVT dan lengan ayun yang mampu menahan kilasan tinggi.
Model ini juga menawarkan pengalaman tunggangan lancar, pantas dan responsif sesuai untuk kegunaan bandar mahupun perjalan jauh.
Sistem ABS Pro yang disertakan sebagai standard membantu penunggang mengekalkan kestabilan ketika membrek, walaupun dalam keadaan kecemasan.
Tambahan pula, Kawalan Brek Dinamik (DBC) memastikan respons membrek lebih sensitif dan selamat dengan mengelakkan pembukaan semula pendikit secara drastik.
Teknologi Canggih: DTC dan MSR untuk Tunggangan Selamat
BMW turut melengkapkan kedua-dua skuter ini dengan Kawalan Cengkaman Dinamik (DTC) dan Kawalan Tork Seretan Enjin (MSR).
DTC memberi cengkaman lebih baik ketika memecut di jalan licin, manakala MSR menstabilkan tunggangan apabila berlaku pengurangan pendikit secara mengejut.
Teknologi ini mampu membuka ruang kepada kestabilan yang optimum walaupun dalam situasi mencabar.
Paparan TFT dan Ketersambungan Pintar
BMW C 400 X kini hadir dengan paparan TFT 6.5 inci, manakala C 400 GT dilengkapi paparan TFT 10.25 inci menerusi pakej Connectivity Pro.
Kedua-duanya menyokong BMW Motorrad Connected App untuk navigasi dan kawalan intuitif, serta boleh dipadankan dengan peranti seperti Connected Ride Navigator atau Ride Cradle untuk pengalaman tunggangan lebih tersusun dan pintar.
Praktikaliti Harian dengan Ruang Simpanan Dipertingkat
Dalam aspek penyimpanan, C 400 X menawarkan tambahan 3 liter ruang di bawah tempat duduk.
Bagi model C 400 GT pula ia menyediakan sehingga 12 liter ruang tambahan, termasuk poket hadapan.
Untuk keselesaan perjalanan jauh, C 400 GT dilengkapi cermin penghadang angin boleh laras secara manual.
Kedua-dua model hadir dengan rak bagasi standard dan menyokong pemasangan kotak penyimpanan 43.5 liter yang baharu.
Model ini juga lengkap dengan lampu dalaman dan port USB, serta kapasiti bebanan yang kini meningkat kepada 10 kg dua kali ganda berbanding model terdahulu.
Rekaan Baharu: Berani vs Sofistikated
Dari segi penampilan, BMW C 400 X tampil dalam varian “Rugged” dengan rona Kalamata metallic matt, tempat duduk dua tona merah-hitam, rim merah serta penampilan offroad yang menonjol.
Ia turut menampilkan angkup brek emas, pemijak kaki khas dan cermin penghadang angin gelap untuk gaya lebih sporty.
Sementara itu, BMW C 400 GT tampil lebih sofistikated dengan varian “Exclusive”, menampilkan warna Diamond White metallic.
Selain itu, model ini hadir dengan rim bewarna emas, sulaman tempat duduk eksklusif, serta pencahayaan lantai untuk sentuhan premium.
Kedua-duanya menampilkan estetika BMW yang tidak pernah berkompromi dalam aspek gaya dan keanggunan.
Pemilikan Lebih Mudah dengan Pelan Pembiayaan
BMW Group Financial Services Malaysia turut menawarkan pelan pembiayaan menarik dengan bayaran bulanan serendah RM668 untuk C 400 X dan RM748 untuk C 400 GT, berdasarkan pembiayaan Straight Line 90% selama tujuh tahun.
Pembeli juga boleh menikmati servis minyak enjin premium, program servis inklusif serta lanjutan waranti oleh BMW Motorrad Malaysia.
Harga Jualan Rasmi
Berikut merupakan harga jualan rasmi (atas jalan termasuk waranti dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun, tidak termasuk insurans):
BMW C 400 X Baharu – RM 47,500.00
BMW C 400 GT Baharu – RM 53,500.00
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, layari laman rasmi BMW Motorrad Malaysia.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Model semasa dan dalam pengeluaran tidak terjejas – semua penggantian adalah percuma
Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan semula membabitkan 87,490 unit kenderaan sebagai langkah berjaga-jaga untuk menggantikan pam bahan api yang berpotensi mengalami kegagalan fungsi.
Langkah ini diambil sebagai komitmen syarikat terhadap keselamatan pengguna, walaupun tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan setakat ini di Malaysia.
Dua Jenis Isu Pam Dikenalpasti
1. Impeller Pam Bahan Api Sebanyak 84,073 unit model termasuk Jazz, City, Civic, Accord, BR-V, HR-V, CR-V dan Odyssey dari tahun model antara 2013 hingga 2020 dipanggil semula.
Isu berpunca daripada komponen impeller dalam pam bahan api yang boleh mengembang selepas lama terendam dalam bahan api, menyebabkan kenderaan sukar dihidupkan atau enjin boleh mati semasa dipandu.
Model terlibat (Impeller Pam Bahan Api):
Jazz (2015 – 2020)
Jazz Hybrid (2018)
City (2014 – 2019)
City Hybrid (2018 – 2019)
Civic (2017 – 2018)
Accord (2013 – 2017)
BR-V (2017 – 2018)
HR-V (2015 – 2018)
CR-V (2018 – 2020)
Odyssey (2017 – 2019)
2. Pam Bahan Api Tekanan Tinggi Sebanyak 3,417 unit model Civic dan CR-V tahun 2023 dan 2024 pula terlibat akibat risiko keretakan pada pam bahan api tekanan tinggi.
Masalah ini boleh mengakibatkan kebocoran bahan api atau bau bahan api ketika kenderaan sedang bergerak atau tidak bergerak.
Model terlibat (Pam Tekanan Tinggi):
Civic (2023 – 2024)
CR-V (2024)
Penggantian Percuma dan Notifikasi Pelanggan
Honda Malaysia menegaskan bahawa semua kos penggantian akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat, dan penggantian akan dilakukan secara berperingkat bergantung kepada ketersediaan alat ganti. Proses ini juga melibatkan kenderaan yang sudah tamat tempoh waranti, menandakan komitmen jangka panjang terhadap keselamatan pengguna.
Pelanggan akan menerima surat notifikasi yang mengandungi maklumat lanjut mengenai panggilan semula ini. Mereka juga boleh menyemak status kenderaan mereka melalui aplikasi HondaTouch, laman web www.honda.com.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2020.
Honda Malaysia menggesa semua pemilik kenderaan terjejas agar segera menghubungi pengedar sah Honda untuk membuat janji temu bagi menggantikan komponen pam bahan api yang terlibat.
Jaminan Honda Malaysia
Syarikat menegaskan bahawa semua model baharu dalam pengeluaran dan jualan semasa tidak terjejas dalam panggilan semula ini. Honda Malaysia turut menekankan bahawa keselamatan pelanggan kekal sebagai keutamaan nombor satu dan akan terus menjalankan langkah proaktif serta mengekalkan ketelusan dalam menguruskan isu kualiti produk.
Bermula dari 5 hingga 20 Julai ini, lorong-lorong di Lebuhraya Persekutuan akan ditutup secara berperingkat bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
Penutupan ini akan berlaku di hadapan stesen minyak Petronas dan Shell, di arah Kuala Lumpur dan Klang.
Kontraktor projek, Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd (SULRT3), mengumumkan bahawa penutupan dan lencongan trafik ini akan bermula dari jam 11 malam hingga 5 pagi, dalam tiga peringkat.
Peringkat Pertama: Pada 5 hingga 6 Julai, lorong paling kiri dan tengah di Lebuhraya Persekutuan arah Klang akan ditutup. Satu lorong akan disediakan untuk pemandu yang menghala ke Klang.
Peringkat Kedua: Pada 12 hingga 13 Julai, laluan pantas di Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur dan Klang akan ditutup. Dua lorong akan disediakan untuk pemandu yang menuju ke arah Kuala Lumpur dan Klang.
Peringkat Ketiga: Pada 19 hingga 20 Julai, lorong paling kiri dan tengah di Lebuhraya Persekutuan arah Kuala Lumpur akan ditutup. Satu lorong akan disediakan untuk pemandu yang menuju ke Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan SULRT3, lencongan ini telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin dialami oleh orang ramai,” kata syarikat tersebut dalam kenyataan mereka hari ini.
Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan LRT3 di 1 800 18 2585 dari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang, kecuali cuti umum.
Projek LRT3 yang menelan kos sebanyak RM4.7 bilion ini bermula di Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia, Selangor, dan dijangka akan memberikan manfaat kepada dua juta penduduk.
Yamaha Y15ZR 2025 Tampil Dengan Tiga Warna Baharu Harga - RM8,998
Yamaha Motor (Malaysia) mengumumkan kemas kini terbaharu bagi model popularnya, Yamaha Y15ZR, yang kini...