Dalam dunia penerbangan moden, kehilangan bagasi bukanlah perkara luar biasa.
Statistik global menunjukkan kira-kira 7.6 bagasi hilang bagi setiap 1,000 penumpang sama ada tersalah destinasi, tertinggal di lapangan terbang asal, atau tersangkut di persimpangan penerbangan sambungan (transit).
Namun, sebuah lapangan terbang di Jepun mencatat pencapaian luar biasa: tiada satu pun bagasi hilang dalam tempoh 30 tahun operasi.
Lebih 10 Juta Bagasi Setahun, Tapi Tiada Hilang
Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX) yang terletak di Teluk Osaka merupakan salah satu daripada dua lapangan terbang utama yang berkhidmat untuk bandar ketiga terbesar di Jepun.
Lapangan Terbang ini telah mengendalikan lebih 10 juta bagasi sepanjang tahun 2023, dan setiap satu daripadanya sampai ke pemiliknya tanpa sebarang isu.
Pencapaian ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada sistem dan budaya kerja yang sangat teliti.
Pemeriksaan Berlapis, Tiada Kompromi
Menurut laporan Nikkei Asia, rahsia kejayaan Kansai terletak pada beberapa lapisan pengesahan.
Setiap bagasi diperiksa berkali-kali dari saat ia diterima hingga saat ia tiba di tempat tuntutan.
Ads
Petugas darat memastikan jumlah bagasi yang dimuat naik sepadan dengan jumlah pada rekod keberangkatan.
Jika ada ketidaksesuaian, pencarian akan dilakukan termasuk di ruang kargo, apron pesawat, dan bilik pengasingan.
15 Minit ke Tangan Penumpang
Petugas di Kansai menyasarkan untuk menghantar bagasi ke kawasan tuntutan dalam tempoh 15 minit selepas pesawat mendarat.
Selain itu, mereka tidak meletakkan barang mudah rosak seperti alat muzik di atas tali pengangkut, sebaliknya menyerahkannya terus ke tangan penumpang.
Langkah ini meningkatkan kecekapan serta mengurangkan risiko kerosakan.
Ads
Lapan Kali Juara Dunia Dalam Penghantaran Bagasi
Rekod cemerlang ini bukan sahaja menakjubkan, malah diiktiraf dunia.
Skytrax, badan penyelidik penerbangan dari UK, telah menobatkan Kansai sebagai Lapangan Terbang Terbaik untuk Penghantaran Bagasi dalam World Airport Awards 2024.
Lebih mengagumkan, ini merupakan kemenangan kali kelapan untuk Kansai dalam kategori tersebut.
🇺🇸 Perbandingan: AS Catat 3 Juta Bagasi Hilang Setahun
Di Amerika Syarikat pula, statistik yang dilaporkan oleh Bureau of Transportation Statistics menunjukkan bahawa 3 juta bagasi telah mishandled sepanjang tahun 2023, bersamaan 0.58% daripada keseluruhan bagasi domestik.
Dalam bulan paling sibuk seperti Julai, kadar itu meningkat kepada 0.75%.
Ads
Lapangan Terbang Terapung Yang Semakin Tenggelam
Selain pencapaian dalam pengurusan bagasi, Kansai juga terkenal kerana keunikannya sebagai lapangan terbang terapung pertama di dunia, dibina di atas kawasan tambakan laut di Teluk Osaka pada tahun 1994.
Namun, pembinaan atas tanah tambak turut membawa kesan jangka panjang dimana struktur lapangan terbang ini kini tenggelam antara 2 hingga 4 cm setiap tahun, dengan jumlah penurunan lebih daripada 8 meter sejak pembukaannya.
Osaka Bersedia Hadapi World Expo 2025
Ujian sebenar menanti apabila Osaka menjadi tuan rumah kepada World Expo 2025 bermula April sehingga oktober 2025.
Perhimpunan antarabangsa ini menampilkan pemimpin dunia untuk membincangkan penyelesaian global.
Kansai dijangka menerima lonjakan penumpang kepada 37.33 juta orang, berbanding hanya 13.99 juta pada 2023.
Persoalannya, mampukah Kansai mengekalkan rekod sempurna tanpa kehilangan satu pun bagasi?
Yamaha Motor Co., Ltd. melakar sejarah baharu dalam pasaran dua roda India dengan memperkenalkan dua model skuter elektrik terbarunya, Aerox E dan EC-06. Kedua-duanya direka khas untuk memenuhi keperluan mobiliti bandar yang semakin menuntut penyelesaian mesra alam dan menjimatkan kos operasi harian.
Era Baharu Mobiliti Elektrik di India
Bayangkan kesibukan lalu lintas Delhi tanpa bunyi enjin atau asap ekzos itulah visi yang ingin direalisasikan oleh Yamaha menerusi pelancaran ini. Dengan harga petrol mencecah ₹100 seliter di kebanyakan bandar utama dan sokongan subsidi kerajaan menerusi program FAME-III, kemasukan Yamaha ke pasaran EV India dianggap tepat pada masanya.
Dibangunkan sepenuhnya di India tanpa sebarang komponen import dari China, Yamaha menjanjikan kualiti pembuatan tempatan (Made in India) yang tinggi. Langkah ini juga memberi saingan hebat kepada pengeluar EV bajet seperti Ola dan Ather, sekali gus membuka lembaran baharu untuk 70% pengguna muda India yang kini cenderung memilih kenderaan hijau.
Aerox E – Kuasa dan Gaya Premium untuk Penunggang Bandar
Model Aerox E ialah versi elektrik kepada Aerox 155 (NVX) yang terkenal di Asia Tenggara, menampilkan reka bentuk sporty serta prestasi bertenaga. Dihasilkan oleh India Yamaha Motor Pvt. Ltd., ia mensasarkan golongan muda di bandar besar yang mahukan gaya dan prestasi dalam satu pakej.
Ciri utama Aerox E:
Motor & Prestasi: Motor elektrik dengan kuasa puncak 9.5 kW dan tork 48 Nm membolehkan pecutan 0–40 km/j dalam masa kurang 4 saat.
Bateri & Jarak: Dua pek bateri boleh tanggal berkapasiti 1.5 kWh setiap satu (jumlah 3 kWh) menawarkan jarak perjalanan sehingga 106 km bagi setiap cas.
Kelajuan & Ciri Keselamatan: Mampu mencapai kelajuan maksimum 90 km/j, dilengkapi kawalan cengkaman (traction control), sistem brek ABS bersedia dan sambungan aplikasi navigasi.
Harga Anggaran: Sekitar ₹2.9 lakh (anggaran RM17,000) dengan insentif subsidi FAME-III.
Model ini dijangka menarik perhatian pembeli berprofil tinggi di bandar utama seperti Mumbai dan Bengaluru, dengan potensi penjimatan bahan api melebihi ₹50,000 setahun.
EC-06 – Pilihan Praktikal Harian dengan Sentuhan Pintar
Sementara itu, model EC-06 pula dibangunkan hasil kerjasama Yamaha dengan syarikat tempatan River Mobility, berteraskan model Indie yang popular. Yamaha memberikan sentuhan kemasan dan teknologi tambahan pada model ini bagi menjadikannya lebih praktikal untuk kegunaan seharian.
Ciri utama EC-06:
Motor & Prestasi: Motor 4.5 kW (puncak 6.7 kW) dengan kelajuan maksimum 90 km/j sesuai untuk kegunaan bandar.
Bateri & Jarak: Pek bateri lithium-ion tetap 4 kWh memberikan jarak perjalanan 160 km bagi setiap cas.
Ciri Pintar: Tiga mod tunggangan (Eco, City, Sport), gear undur, lampu LED penuh, paparan TFT berwarna, pengecas USB dan ciri keselamatan geo-fencing.
Harga Anggaran: Sekitar ₹1–1.2 lakh (RM5,900–RM7,000), layak menerima subsidi FAME sehingga ₹20,000.
River Mobility turut merancang membuka lebih 1,000 stesen pertukaran bateri di seluruh India menjelang pertengahan 2026, menjadikan EC-06 sebagai pilihan ekonomi dan mudah diselenggara.
Pelancaran dua model ini menegaskan komitmen Yamaha terhadap matlamat neutral karbon menjelang 2050. Kedua-duanya direka untuk mengurangkan pelepasan karbon sehingga 80% berbanding model petrol setara, sekaligus menyokong sasaran kerajaan India mencapai 30% penggunaan EV menjelang 2030.
Reaksi awal dalam kalangan komuniti motosikal amat positif dan ramai pengguna media sosial memuji Aerox E kerana gayanya yang agresif dan prestasi mantap, manakala EC-06 dianggap sebagai skuter pintar paling seimbang dalam kelasnya.
Yamaha India Buka Tempahan Dibuka Disember Ini
Tempahan rasmi bagi Aerox E dan EC-06 dijangka dibuka bermula Disember 2025, dengan penghantaran pertama dijadualkan pada suku pertama 2026. Kedua-duanya akan dipasarkan menerusi lebih 200 pengedar rasmi Yamaha di seluruh India.
Dengan pelancaran ini diharapa dapat membawa revolusi ke arah mobiliti bandar yang lebih bersih, pintar dan berdaya tahan untuk masa depan.
QJMOTOR SRK250S Motosikal 250cc dengan Harga Bawah RM10,000!
Pasaran motosikal naked sport di Malaysia kini menerima tambahan baharu dengan pelancaran QJMOTOR SRK250S.
Model terbaharu yang diperkenalkan adalah sempena pembukaan Mforce SmartShop Tat Kang Motor Sdn. Bhd. di Johor.
Premis ini merupakan Mforce SmartShop ke-17 di Malaysia dan ke-7 di negeri tersebut, menandakan perkembangan pesat rangkaian pengedaran Mforce.
Reka Bentuk Urban dengan Dua Pilihan Warna
SRK250S tampil dengan imej agresif dan kemas, hadir dalam dua pilihan warna iaitu Black dan Grey pada harga bermula RM9,888 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).
Reka bentuk naked sport moden dengan elemen praktikal sesuai untuk kegunaan harian.
Dengan dimensi 2,010mm panjang, 810mm lebar dan 1,070mm tinggi, jarak roda 1,370mm serta berat kering hanya 148kg, ia sesuai untuk penunggang baharu mahupun yang berpengalaman.
Ketinggian tempat duduk 780mm juga memberikan posisi tunggangan selesa, manakala ground clearance 135mm membantu mengharungi pelbagai kondisi jalan.
Prestasi 249cc dengan Suntikan Teknologi
Dikuasakan enjin silinder tunggal 249cc, 4-lejang, 4-injap dengan penyejukan cecair, SRK250S menghasilkan 20.5kW pada 9,500rpm dan tork maksimum 22.5Nm pada 7,250rpm.
Sistem EFI memastikan pembakaran bahan api lebih cekap, manakala transmisi 6-kelajuan dengan klac basah berbilang plat memberikan pertukaran gear yang lancar.
Suspensi Mantap, Cengkaman Terjamin
Di bahagian hadapan, SRK250S menggunakan fork terbalik (USD) untuk kestabilan dan kawalan yang lebih baik, digandingkan dengan monoshock teleskopik boleh laras di belakang.
Kombinasi tayar 110/60-R17 di hadapan dan 140/60-R17 di belakang memastikan cengkaman optimum.
Keselamatan ditingkatkan melalui brek cakera 300mm di hadapan dan 240mm di belakang, kedua-duanya disokong ABS sebagai ciri standard.
Teknologi Moden untuk Penunggang Generasi Baru
SRK250S dilengkapi ciri moden seperti paparan meter digital, lampu LED sepenuhnya, suis hazard, port USB Type-A dan tempat duduk dua tingkat.
Rekaan ekzosnya memberi sentuhan sporty, manakala sambungan Bluetooth membolehkan penunggang menjawab dan menamatkan panggilan terus dari motosikal.
Buat masa ini ciri ini hanya menyokong pengguna Android sahaja dan kemas kini iOS dijangka menyusul.
Jaminan dan Sokongan Selepas Jualan
Setiap pembelian SRK250S hadir dengan jaminan 2 tahun tanpa had perbatuan serta kemudahan pembelian alat ganti tulen secara atas talian menerusi Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd.
Tentang QJMOTOR
Ditubuhkan pada 1985, QJMOTOR ialah jenama di bawah Kumpulan Geely yang mengkhusus dalam R&D dan pembuatan motosikal, enjin serta komponen utama.
Pada 2005, QJMOTOR mengambil alih syarikat motosikal Itali, Benelli, sekali gus memperkukuh pengaruhnya di pasaran global.
Dengan pengalaman lebih tiga dekad, QJMOTOR kini mengeksport ke lebih 130 negara dan berhasrat menjadi peneraju dalam segmen motosikal berkuasa tinggi dan teknologi baharu.
Cycle & Carriage terus memperluas rangkaian selepas jualan mereka dengan pembukaan pusat servis khas untuk kenderaan Peugeot di Batu Caves.
Langkah ini dimeterai melalui kerjasama rapat bersama Stellantis Malaysia, dan bakal menjadi antara pusat servis utama jenama itu di kawasan Lembah Klang.
Kemudahan Moden dan Lengkap di Batu Caves
Pusat servis ini dibina di atas keluasan 8005 kaki persegi dan dilengkapi dengan lima ruang kerja servis serta lima ruang kerja “body & paint”.
Pusat ini mampu mengendalikan pelbagai kerja penyelenggaraan daripada servis rutin hinggalah kerja pembaikan badan kenderaan dan semburan cat penuh, kesemuanya dengan peralatan moden dan kakitangan teknikal terlatih.
Lounge Untuk Pelanggan Yang Selesa dan Fasiliti Lengkap
Bagi pelanggan yang menunggu, Cycle & Carriage turut menyediakan lounge untuk pelanggan yang mempunyai penyaman udara , akses Wi-Fi, minuman ringan, dan tempat duduk yang selesa.
Ia direka untuk memberikan pengalaman menunggu yang lebih mesra dan profesional.
Fokus Terhadap Pengalaman Pemilikan Pelanggan
Menurut Adrian Short, Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage, pembukaan pusat servis ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan mereka untuk meningkatkan kualiti pengalaman pelanggan.
Stellantis Komited Perkukuh Rangkaian Servis di Malaysia
Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, turut menegaskan bahawa kerjasama ini penting dalam strategi jangka panjang mereka untuk pertumbuhan di Malaysia.
“Pengembangan rangkaian kami adalah tonggak penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang Stellantis Malaysia. Fasiliti baharu ini membuktikan komitmen kami bersama Cycle & Carriage untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan servis selepas jualan,” ujar beliau.
Promosi Sempena Pembukaan: Servis Percuma dan Hadiah
Sepanjang bulan Julai, pelanggan yang membuat temu janji servis di Cycle & Carriage Batu Caves akan menerima pelbagai manfaat percuma.
Antaranya adalah pemeriksaan kesihatan bateri, pemeriksaan sistem penghawa dingin, diagnostik menggunakan DiagBox, pemeriksaan keselamatan 30 poin, cucian kereta serta “welcome gift”.
Tawaran Unit Terhad Peugeot 3008 Terpakai
Sebagai tambahan, pelanggan juga boleh mendapatkan unit Peugeot 3008 terpakai dengan harga bermula dari RM108,000.
Unit ini boleh didapati di bilik pameran Cycle & Carriage di Cheras dan George Town.
Lebih menarik unit ini ditawarkan dengan perbatuan rendah, waranti sehingga 2031, serta servis penuh di pusat servis sah Peugeot.
Semua unit turut menjalani pemeriksaan rapi sebelum diserahkan kepada pembeli.
Waktu Operasi dan Maklumat Lanjut
Cycle & Carriage Batu Caves dibuka dari jam 8 pagi – 5 petang (Isnin–Jumaat), dan 8 pagi – 12 tengah hari (Sabtu) dan ditutup pada hari Ahad.
Untuk maklumat lanjut atau untuk membuat temu janji, pelanggan boleh melayari www.cyclecarriage.com.my atau menghubungi chatbot WhatsApp di +6012-6202042.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Continental Tyre Malaysia Perkenal "Tyre Lifetime Manufacturing Warranty"
Continental Tyre Malaysia telah memperkenalkan Waranti Pengilang Tayar Sepanjang Hayat. Inisiatif ini merupakan satu langkah baharu untuk...