Selama lebih 18 tahun, Yamaha Fino menjadi simbol motosikal automatik yang berjaya menawan hati rakyat Thailand dengan reka bentuk dan prestasinya, Model ini tampil dengan keluaran terbaharu Fino Final Edition dan mungkin ini adalah keluaran terakhir untuk Fino.
Pelancaran model ini juga adalah bersempena ulang tahun ke 60 tahun Syarikat Motor Yamaha Thailand. Model ini hadir dengan satu varian warna sahaja iaitu hitam menjadikan ia unik dan eksklusif.
Yamaha Fino Final Edition terhad dengan hanya pengeluaran 999 unit dan setiap satu dihiasi dengan logo Emblem emas serta nombor plat bersiri yang unik, menambah sentuhan eksklusiviti kepada daya tariknya.
Motosikal yang diispirasi daripada kebanyakkan model motosikal automatik daripada Jepun ini menggunakan lampu depan LED projector dengan dimmer Diamond Cut Lens. Selain itu, Yamaha Fino Final Edition juga dilengkapi kunci “Answer Back System”, memboleh ruangan penyimpanan boleh terbuka secara automatik.
Motosikal ini juga dilengkapi ruang penyimpanan seluas 7,2 liter, yang boleh memuatkan sebiji topi keledar biasa serta mempunyai tangki bahan api 4.2 liter.
Dengan harga disyorkan sebanyak 50,900 baht (RM6800), Yamaha Fino Final Edition juga turut disertakan dengan topi keledar khas Fino bewarna hitam serta jaminan 5 tahun atau 50,000 kilometer.
Meskipun kita tidak menerima model motosikal ini untuk pasaran tempatan tetapi kita tetap boleh melihat motosikal ini meluncur di jalan raya Malaysia. Ubahsuai daripada model asas Yamaha Ego membolehkan ianya menjadi sebuah model Yamah Fino melalui penukaran “coverset” serta bahagian-bahagian lain.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Toyota Perkenal RAV4 Serba Baharu dengan Kuasa PHEV

RAV4 Generasi Baharu Tampil Bersegi dan Lebih Pintar
Toyota telah memperkenalkan model baharu RAV4 generasi keenam yang hadir dengan reka bentuk lebih bersegi, naik taraf teknologi secara menyeluruh, serta penawaran eksklusif sistem hibrid plug-in (PHEV) untuk pasaran United Kingdom.
Meskipun menarik perhatian ramai, model ini belum ditawarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dan pelancarannya setakat ini tertumpu kepada pasaran Eropah.

Rekaan Lebih Maskulin Berinspirasikan Off-Road
Model terbaharu ini tampil dengan imej yang jauh lebih garang berbanding generasi sebelumnya.
Dengan siluet bersegi yang menyerupai Land Cruiser, “wheel arch” yang lebih besar dan lampu hadapan serta belakang jenis “hammerhead” membawa legasi RAV4 terdahulu.
Sentuhan ini turut menyerlahkan elemen gaya moden yang seiring dengan barisan terkini model Toyota seperti Prius dan C-HR.

Kabin Digital: Paparan Baharu dan Sistem Arene
Di ruang dalam, Toyota RAV4 baharu menerima paparan infotainmen bersaiz 12.9 inci yang merupakan model pertama menggunakan sistem operasi Arene.
Sistem ini bakal menjadi platform standard untuk kesemua model Toyota di masa hadapan.
Melalui sistem ini, Toyota menjanjikan keupayaan memperkenalkan fungsi keselamatan dan hiburan baharu secara lebih pantas.

Antara ciri keselamatan awal yang ditawarkan termasuk “vehicle rear monitor” yang membantu pemandu sewaktu memasuki lebuh raya.
Malah, pada masa akan datang, Toyota turut membayangkan ciri yang membolehkan pemandu memuat turun ‘pakej prestasi’ yang mengubah pengendalian kenderaan mengikut gaya model tertentu.
Contohnya tetapan casis ala GR86 untuk pemanduan agresif, atau penyerap hentak ala Lexus untuk keselesaan maksimum.
Fokus kepada Hibrid Plug-In Sahaja di UK
Untuk pasaran UK, RAV4 baharu akan ditawarkan secara eksklusif dengan rangkaian kuasa hibrid plug-in sahaja.
Walaupun spesifikasi penuh belum diumumkan, pasaran Eropah bakal menerima dua pilihan utama.
Pilihan model tersebut adalah pacuan dua roda (FWD) dengan kuasa 264hp dan model pacuan semua roda (AWD) dengan kuasa 300hp.
Model PHEV paling berkuasa ini mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 5.8 saat.
Model ini juga berupaya bergerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 100 kilometer (62 batu).
Ia dilengkapi bateri 22.7kWh yang boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC sehingga 50kW (30 minit untuk 10-80%) atau pengecas AC 11kW.

Pilihan Hibrid Konvensional dan Varian GR Sport
Selain PHEV, pasaran Eropah turut ditawarkan dengan pilihan hibrid konvensional berkuasa 181hp (FWD) dan 188hp (AWD).
Menariknya, Toyota turut memperkenalkan varian GR Sport yang menekankan aspek pengendalian dengan ciri seperti rim aloi ringan bersaiz 20 inci, saiz roda lebih lebar (+20mm), penyerap hentak khas serta spring yang lebih tegap.
Bahagian dalamnya dihiasi tempat duduk sporty bergaya “bucket seat”, pedal aluminium dan lambang GR yang menyerlahkan aura prestasi.
Harga Dijangka Lebih Tinggi
Harga rasmi belum diumumkan, Toyota menjangkakan RAV4 generasi baharu ini akan dijual sedikit lebih tinggi daripada model semasa, iaitu sekitar £44,120.
Belum untuk Pasaran Malaysia
Buat masa ini, RAV4 generasi baharu ini hanya diumumkan untuk pasaran Eropah, khususnya United Kingdom.
Peminat automotif di Malaysia perlu bersabar kerana tiada petanda rasmi bahawa model ini akan memasuki pasaran tempatan dalam masa terdekat.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Baca Juga : UMW Toyota Motor Perkasa Mobiliti Hijau Bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia
Mercedes-Benz E-Class 2024 – Kemewahan dan Inovasi Terunggul

Mercedes-Benz E-Class terus mengukuhkan posisinya sebagai sedan mewah untuk mereka yang mencari keseimbangan antara prestasi, kemewahan, dan teknologi.
Model terbaru ini bukan sahaja hadir dengan reka bentuk yang elegan tetapi juga dilengkapi dengan Artificial Intelligence untuk memudahkan tugas harian melalui sistem automasi yang canggih.
Pilihan yang Menawan
E-Class terbaru hadir dengan dua varian utama iaitu Mercedes-Benz E 200 dan Mercedes-Benz E 350 e plug-in hybrid.
Bagi mereka yang ingin menikmati pemanduan elektrik sepenuhnya, E 350 e mampu mencapai jarak sehingga 118 km menggunakan kuasa elektrik.
Reka Bentuk Ikonik dan Sporty
Bahagian luarannya menyerlah dengan konsep rekaan ‘cab-backward’ yang menonjolkan keseimbangan antara kemewahan dan gaya sport.
Rekaan gril yang bersambung dengan lampu depan LED memberikan penampilan yang moden tetapi tetap mengekalkan identiti klasik Mercedes-Benz.
E 350 e dengan pakej AMG Line hadir dengan roda aloi 20 inci yang memberikan sentuhan sporty tambahan, manakala E 200 dilengkapi roda aloi 19 inci untuk rupa yang lebih elegan.
Di bahagian belakang, lampu LED dua bahagian dengan motif bintang Mercedes-Benz menjadikan rekaan lampu belakangnya lebih menonjol. Menambah sentuhan eksklusif pada penampilan keseluruhan kereta ini.
Ruang Dalaman Digital yang Canggih
Masuk ke dalam E-Class, anda akan disambut dengan papan pemuka digital yang menakjubkan, dikenali sebagai MBUX Superscreen.
Dengan skrin besar yang meliputi keseluruhan papan pemuka, ia memberikan pengalaman digital yang immersive dan futuristik.
Varian E 350 e menampilkan skrin 12.3 inci untuk pemandu dan paparan tengah 14.4 inci yang menjadikan setiap fungsi lebih mudah diakses.
Selain itu, kedua-dua varian dilengkapi dengan sistem pencahayaan ambien yang memberikan suasana mewah dalam kabin.
Untuk penumpang yang mahukan lebih keselesaan, kerusi E 350 e dilengkapi dengan pengudaraan dan pemanas, menjamin keselesaan optimum dalam apa jua keadaan cuaca.
Teknologi AI untuk Kemudahan Seharian
Teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam E-Class membolehkan kereta ini belajar dari rutin harian pemandu.
Contohnya, jika anda selalu membuka tingkap ketika tiba di pintu masuk syarikat, AI akan automatik melakukannya untuk anda.
Ini bukan sahaja memudahkan kehidupan harian, tetapi juga menjadikan pengalaman pemanduan lebih peribadi dan intuitif.
Ketersambungan 5G dan Hiburan
E-Class juga tidak ketinggalan dalam memenuhi keperluan kesambungan moden dengan sokongan 5G.
Pemandu kini boleh menikmati persidangan video, melayari internet, dan menstrim video melalui aplikasi pihak ketiga yang disokong seperti Zoom dan TikTok, semuanya dari dalam kereta.
Sistem bunyi Burmester® 4D surround sound pula memberikan pengalaman audio yang luar biasa, menjadikan setiap perjalanan lebih menyeronokkan.
Harga untuk model terbaru Mercedes-Benz E-Class di Malaysia adalah seperti berikut:
- Mercedes-Benz E 200 AVANTGARDE: RM 355,888
- Mercedes-Benz E 350 e AMG Line (plug-in hybrid): RM 418,888
Harga ini termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10%, tetapi tidak termasuk insurans.
Kesimpulan
Mercedes-Benz E-Class 2024 bukan sahaja menawarkan prestasi unggul, tetapi juga teknologi termaju yang memudahkan kehidupan seharian anda.
Dari reka bentuk yang anggun hingga ke teknologi AI yang canggih, setiap aspek kereta ini direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang mewah dan intuitif.
Bagi mereka yang mencari sedan yang menggabungkan kemewahan, teknologi, dan prestasi, E-Class terbaru ini adalah pilihan yang tepat.
Baca Juga Apa Maksud AMG Dalam Mercedes-Benz?
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Ducati Malaysia Perkenal Tiga Model Terkini Untuk Pasaran Tempatan, Siap Tawar Ducati Corse Credit Financing!

Berita baik untuk penggemar motosikal Ducati, baru baru ini jenama terkenal itu telah melancarkan tiga model premium untuk pasaran Malaysia. Model yang ditawarkan boleh dikatakan mengikut citarasa kebanyakan rakyat di sini.
Tiga model tersebut adalah Diavel V4, Panigale V4 SP2 dan Streetfighter V4. Setiap model ini mempunyai karakter masing-masing yang membuatkan setiap satunya unik dalam kelasnya yang tersendiri.
- Diavel V4
Model pertama untuk kita ‘bedah’ adalah Diavel V4. Ia merupakan sebuah model kelas cruiser sporti pertama Ducati, jadi jangkakan reka bentuk yang aerodinamik walaupun ia sebuah ‘cruiser’.
Model ini bernadikan enjin 1,158cc V4 Granturismo yang menghamburkan 168 hp dengan injap dalaman Desmo pada 60,000 km. Selain itu, silinder belakang juga telah dibuang untuk mengurangkan kesan haba pada penunggang ketika meluncur di jalan raya.
Tangki bahan api seluas 20 liter membolehkan jarak perjalanan sekitar 250+ kilometer bergantung kepada cara tunggangan. Lampu pada Diavel V4 dilengkapi dengan jenis LED dan LED Matrix untuk bahagian belakang dan turut dilengkapi nyalaan lampu siang (DRL).
Model ini juga telah ditambah baik dengan berat keseluruhan yang lebih ringan daripada Diavel 1260 S iaitu sebanyak 13 kg, walaupun ia menggunakan enjin V4 empat silinder. Mod tunggangan yang tersedia untuk model ini adalah Sport, Touring, Urban dan Wet.
Harga yang ditawarkan bagi pasaran tempatan untuk Diavel V4 bermula dari RM178,900 untuk varian Ducati Red manakala untuk warna Thrilling Black ditawarkan dari RM181,900.
- Panigale V4 SP2
Model kedua untuk dikongsikan adalah Panigale V4 SP2. Mereka yang ‘mengejar’ kelajuan dan sentiasa mencari motosikal yang boleh melengkap satu pusingan litar dengan catatan masa terpantas pasti menyenaraikan model ini dalam fikiran anda.
Direka menggunakan teknologi MotoGP, mereka yang memiliki model ini pasti kelihatan segak, garang dan hensem (ibarat anda memandu Lamborghini versi motor), didatangkan pula dengan corak ‘Livery’ Winter Test yang menampilkan warna hitam legap dengan sedikit corak gentian karbon, memang nampak sporty.
Setiap unit model ini diberi ukiran nombor siri khas dengan penggunaan laser di bahagian kepala stereng. Menggunakan enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale V4 ia memberi hantaran kuasa sebanyak 215.5 HP @ 13,000 rpm.
Dari segi pengendalian dan keselesaan, model ini menggunakan sistem gantungan hadapan jenis Ohlins NPX25/30 dan penyerap hentak belakang TTX36 dengan Ohlins Smart EC 2.0 yang boleh dikawal secara elektronik bagi membolehkan kawalan casis yang lebih tegap.
Roda aloi Marchesini Forged Magnesium turut digunakan dalam model ini. Tujuan bahan ini digunakan adalah kerana ia lebih kuat dan ringan, sangat penting untuk motor berprestasi tinggi seperti ini.
Sistem brek pula menggunakan Brembo MCS yang membantu penunggang untuk sentiasa membiasakan diri dengan penggunaan brek dalam pelbagai cuaca samada di litar, atau di jalan raya.
Harga yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia bermula dari RM299,900.
- Streetfighter V4
Model terakhir untuk pelancaran Ducati kali ini adalah Streetfighter V4 yang jatuh dalam segmen ‘naked bike’. Di jalanan juga terdapat banyak motor ‘naked’ dari pelbagai jenama motosikal, ini bermakna, reka bentuk seperti ini boleh dikatakan pilihan kegemaran ramai orang Malaysia.
Bagi model Streetfighter V4 ini, ia di inspirasikan dari karakter The Joker kerana motor ini nampak lincah dan ‘nakal’. Secara ringkas, ia sebenarnya adalah sebuah Panigale V4 yang ditanggalkan fairing namun elemen sporty itu masih tidak lari.
Kapasiti bahan api model ini telah ditingkatkan kepada 16.5 liter dengan rekaan tangki lebih ergonomik supaya lebih selesa untuk penunggang ‘kepit’ tangki ketika kelajuan tinggi.
Menggunakan enjin 1,103 Desmosedici, ia menghamburkan kuasa sebanyak 208 HP pada 13,000 rpm dan daya kilas 123 Nm pada 9,500 rpm. Dari segi paparan, ia menggunakan skrin berwarna TFT sebesar 5-inci dengan pelbagai rekabentuk paparan, termasuklah mod Track Evo yang sangat berfungsi di litar.
Harga model ini bermula dari RM141,900. Menariknya, Ducati Malaysia menawarkan Ducati Corse Credit Financing untuk pinjaman mudah bagi kesemua model-model Ducati dan juga Scrambler Ducati.
Dengan kadar faedah serendah 4.88 peratus dan bayaran deposit dari 10 peratus, ia merupakan salah satu cara Ducati untuk melancarkan penjualan model yang tersedia untuk pasaran Malaysia ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi mereka www.ducati.com.my.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.