Volkswagen ID.3 GTI Bakal Jadi GTI Produksi Paling Berkuasa Dalam Sejarah
Volkswagen membuka lembaran baharu dalam sejarah GTI menerusi ID.3 GTI, model elektrik berprestasi tinggi yang menjadi GTI produksi paling berkuasa pernah dibangunkan sepanjang lima dekad nama tersebut.
Diperkenalkan sempena ulang tahun ke-50 GTI, model ini menghasilkan 240 kW atau 326 PS bersama tork maksimum 545 Nm, menjadikannya satu pendekatan baharu Volkswagen terhadap formula GTI dalam era elektrifikasi.
326 PS Dengan Pacuan Roda Belakang
ID.3 GTI menggunakan motor elektrik yang dipasang pada gandar belakang, sekali gus menyalurkan keseluruhan kuasa kepada roda belakang.
Dengan output 326 PS dan tork 545 Nm yang tersedia secara segera, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.6 saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 200 km/j.
Launch Control turut diberikan sebagai standard untuk membantu menyalurkan kuasa dengan lebih terkawal ketika melakukan pecutan.
Volkswagen turut melengkapkan model ini dengan adaptive DCC sports chassis dan progressive steering, selain memanfaatkan pusat graviti rendah yang sememangnya menjadi salah satu kelebihan platform elektrik.
Bateri 79 kWh, Jarak Sehingga 601 km
Motor elektrik tersebut menerima tenaga daripada bateri lithium-ion berkapasiti bersih 79 kWh.
Volkswagen menganggarkan ID.3 GTI mampu menawarkan jarak perjalanan sehingga 601 km, manakala pengecasan pantas DC sehingga 183 kW membolehkan bateri dicas daripada 10 hingga 80 peratus dalam kira-kira 29 minit.
Angka ini bagaimanapun masih merupakan nilai ramalan, memandangkan model yang diperkenalkan ketika ini masih dikategorikan sebagai near-production concept vehicle dan belum tersedia untuk jualan.
DNA GTI Masih Dikekalkan
Walaupun sistem pacuan berubah sepenuhnya, identiti visual GTI masih diberikan perhatian.
Bahagian hadapan menggunakan lampu IQ.LIGHT LED matrix, jalur lampu lutsinar serta logo Volkswagen bercahaya.
Antara elemen paling penting ialah jalur merah yang diletakkan di antara lampu hadapan, diinspirasikan daripada bingkai gril merah pada Golf GTI pertama yang diperkenalkan pada 1976.
Bahagian bawah pula menampilkan gril honeycomb gloss black bersama elemen merah dan splitter yang mengambil inspirasi daripada dunia motorsport.
Dari sisi, ID.3 GTI menggunakan rim aloi 20 inci Wörthersee sebagai standard, nama yang merujuk kepada perhimpunan GTI terkenal di Austria.
Volkswagen turut menggunakan kemasan gloss black pada side member serta penutup cermin sisi, sementara pendekatan warna badan yang baharu membuatkan siluetnya kelihatan lebih panjang dan sporty berbanding ID.3 GTX terdahulu.
Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Tornado Red, Moonstone Grey, Scale Silver Metallic, Grenadilla Black Metallic dan Glacier White Metallic.
Menariknya, Tornado Red bukanlah warna baharu dalam keluarga GTI kerana ia pernah digunakan pada versi facelift Golf GTI generasi pertama.
GTI Mode Dengan Bunyi Enjin Pembakaran
Salah satu ciri paling menarik ialah GTI Mode yang boleh diaktifkan menerusi butang bercahaya pada stereng.
Apabila mod ini dipilih, sistem akan melaraskan respons motor elektrik, progressive steering serta adaptive DCC sports chassis kepada tetapan lebih sporty.
Launch Control turut boleh diaktifkan, ambient lighting bertukar merah dan paparan Digital Cockpit berubah kepada grafik khusus GTI.
Lebih menarik, Volkswagen turut menghasilkan semula bunyi enjin pembakaran di latar belakang bagi mengekalkan sebahagian karakter GTI tradisional walaupun model ini menggunakan pacuan elektrik sepenuhnya.
Selain GTI Mode, pemandu turut diberikan pilihan Eco, Comfort, Sport dan Individual.
Baca Juga: Harley-Davidson Breakout Custom Bawa Jack NBC Raih Gelaran Creators Custom Clash 2026
Kabin Moden Dengan Sentuhan GTI Klasik
Di dalam kabin, tema merah dan hitam menjadi identiti utama. Tempat duduk sport menggunakan interpretasi moden terhadap corak tartan check yang mula digunakan pada Golf GTI 1976, sementara jahitan merah dan penanda merah pada posisi pukul 12 di stereng melengkapkan tema tersebut.
Model ini juga menerima Digital Cockpit baharu bersama skrin infotainment 12.9 inci.
Volkswagen turut menambah barisan butang fizikal untuk fungsi penyaman udara di bawah skrin infotainment, selain rotary knob pada konsol tengah bagi mengawal volume dan pertukaran lagu.
Antara kelengkapan pilihan termasuk panoramic sunroof, fungsi urutan dan memory untuk tempat duduk sport, sistem audio Harman Kardon 480 watt serta augmented reality head-up display.
Turut Ada Vehicle-to-Load
Satu lagi ciri praktikal ialah fungsi vehicle-to-load (V2L), membolehkan tenaga daripada bateri kenderaan digunakan untuk menghidupkan atau mengecas peranti luar menerusi adapter PowerSocket.
Volkswagen memberikan contoh penggunaan sistem tersebut untuk mengecas e-bike ketika perjalanan hujung minggu.
Sistem bantuan pemanduan juga dikembangkan menerusi Travel Assist generasi baharu yang kini boleh bertindak balas terhadap lampu isyarat. Apabila sistem mengesan lampu merah, kenderaan boleh membrek secara automatik sehingga berhenti, tertakluk kepada had operasi sistem.
Era Baharu Untuk Nama GTI
Selepas hampir lima dekad dikaitkan dengan enjin pembakaran dalaman dan hot hatch berprestasi tinggi, ID.3 GTI menunjukkan bagaimana Volkswagen mahu membawa identiti tersebut ke era elektrik.
Dengan pacuan roda belakang, 326 PS, tork 545 Nm serta teknologi chassis khusus GTI, pendekatan ini bukan sekadar meletakkan badge GTI pada sebuah EV, sebaliknya cuba mengekalkan elemen prestasi dan karakter yang selama ini sinonim dengan nama tersebut.
Volkswagen menyatakan pre-sales ID.3 GTI dijadualkan bermula pada awal 2027, namun spesifikasi yang diumumkan ketika ini merujuk kepada pasaran Jerman dan mungkin berbeza mengikut negara.
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.

sekarang!





